Indonesia: 50 Tahun Melawan Lupa

G30S Oleh Muhammad Febriansyah. Terbitan semula makalah dari The Malaysian Insider, disiarkan pada 29 September 2015. G30S Dalam Sejarah Indonesia – Komunis & Kudeta Jakarta, 1 Oktober 1965, 4 pagi. Sejumlah pasukan tentera pengawal keselamatan presiden, Cakrabirawa, dengan bersenjata lengkap mendatangi rumah Ahmad Yani, seorang jeneral tertinggi tentera darat. Mereka memberitahu ada situasi yang sangat bahaya dan presiden Soekarno ingin bertemu saat itu juga. Merasa pelik dan tidak percaya dengan perintah itu, ia menolak ikut sehingga berlaku pertelingkahan. Ahmad Yani kemudian ditembak tentera bawahannya itu. Ia rebah berlumuran darah di dalam rumahnya sendiri, di depan anak dan isteri. Mayatnya diheret dan dicampakkan ke dalam lori tentera yang segera membawanya ke Lubang Buaya. Anak perempuannya menjerit histeria dan menyapu darah ayahnya ke muka. Gambaran tragik di atas adalah sedutan kisah nyata daripada filem bertajuk Pengkhianatan G30S/PKI, sebuah filem propaganda rejim Orde Baru (1965-1998) mengenai peristiwa bersejarah yang paling penting selepas kemerdekaan Indonesia. G30S/PKI merujuk kepada Gerakan 30 September, yang menurut sejarah rasmi Orde Baru merupakan sebuah percubaan kudeta yang didalangi Parti Komunis Indonesia (PKI) untuk merebut kuasa dari Soekarno. Kudeta tersebut akhirnya berjaya dipatahkan Suharto, satu-satunya jeneral berpangkat tinggi yang tidak menjadi sasaran mangsa pembunuhan PKI. Dengan demikian, Suharto digambarkan sebagai pahlawan yang mempertahankan Pancasila, asas ideologi negara daripada cengkaman komunis.

Propaganda Hebat Anti-KomunisSejak mula ditayangkan pada 1984, filem itu menjadi tontonan wajib seluruh rakyat Indonesia setiap malam 1 Oktober sampai berakhirnya kekuasaan Suharto pada 1998. Semua stesen TV milik negara dan swasta menayangkan filem sepanjang lebih dari 4 jam itu pada masa bersamaan. Walaupun selepas kejatuhan Suharto filem itu tidak pernah ditayangkan lagi, tetapi bayangan kekejaman yang dilakukan PKI terhadap Ahmad Yani dan 5 jeneral tentera lainnya masih melekat dalam ingatan sebahagian besar rakyat Indonesia sampai hari ini. Jalan cerita filem itu kemudian menunjukkan bagaimana satu persatu jeneral tentera diculik sepasukan kecil tentera Cakrabirawa yang dipengaruhi PKI. Ada jeneral yang langsung dibunuh di rumahnya seperti Ahmad Yani, dan ada yang dibawa hidup-hidup ke Lubang Buaya, sebuah tempat terpencil di pinggir Jakarta. Di tempat itu jugalah, digambarkan manusia komunis tidak bertuhan menyeksa tubuh para jeneral yang masih hidup dengan kejamnya sambil mereka berpesta. Semua mayat mereka kemudian dikuburkan ke dalam sebuah perigi tua. Boleh dikatakan sebahagian besar rakyat Indonesia memahami peristiwa 30 September, 1965 daripada menonton filem tersebut atau melalui pelajaran sejarah di sekolah. Setiap 1 Oktober,  setiap premis, pejabat dan rumah akan mengibarkan bendera setengah tiang untuk memperingati terbunuhnya 6 jeneral yang digelar sebagai pahlawan revolusi. Tarikh itu juga kemudian diperingati sebagai hari Kesaktian Pancasila dan terbebasnya Indonesia daripada ancaman komunisme. Bagaimana Indonesia dibebaskan daripada ancaman komunisme? Berdasarkan sejarah rasmi Orde Baru, iaitu berkat kehebatan Suharto dan tentera menumpas PKI sampai ke akarnya. Bagaimana pula PKI yang merupakan sebuah parti komunis terbesar di luar Kesatuan Soviet dan China boleh ditumpaskan sampai ke akarnya? Jawapan sebenar kepada pertanyaan ini selalu dikunci rapat oleh Orde Baru, iaitu melalui… Pembunuhan Massal Pembunuhan Massal Benarlah ungkapan yang mengatakan sejarah selalu ditulis pihak yang menang. Naratif tentang kekejaman PKI dan kepahlawanan Suharto di atas adalah tafsiran sejarah yang ditulis Orde Baru. Hanya 2 bulan setelah peristiwa itu, Pusat Sejarah ABRI (tentera Indonesia) menerbitkan buku karangan Nugroho Notosusanto bertajuk 40 Hari Kegagalan G30S, 1 Oktober-10 November 1965. Menurut Nugroho, komunisme sama dengan ateis dan PKI merupakan dalang pembunuhan 6 jeneral. Peristiwa G30S menurut Nugroho ini kemudian menjadi satu-satunya naratif rasmi yang diakui Orde Baru. Naratif itu kemudian dijadikan “license to kill” bagi rejim Orde Baru yang baru mengambil alih kuasa untuk melakukan pembunuhan massal terhadap mereka yang dituduh sebagai ahli atau penyokong PKI. G30S hanyalah sebuah peristiwa yang sejarawan John Rossa disebut sebagai “pretext to a mass murder”. Dalam waktu 3 tahun (1965-68), terutama di pulau Sumatera, Jawa dan Bali, dijangkakan lebih sejuta orang yang dituduh sebagai ahli atau penyokong PKI menjadi mangsa pembunuhan massal. Aksi terancang itu dilakukan dengan leluasa kerana tidak mendapat perlawanan mangsa. Banyak penduduk kampung di Jawa dan Bali yang tidak ada kaitan dengan apa yang berlaku di Lubang Buaya, kemudian diambil secara paksa tanpa mereka tahu sebabnya. Lalu mereka dibawa ke suatu tempat dan dibunuh begitu saja hanya karena diyakini anggota atau penyokong PKI. Gambaran ini berdasarkan kesaksian sejarah mangsa yang masih hidup, pelaku, mahupun masyarakat awam yang mengalami langsung kekacauan pada masa itu. Kesaksian sejarah ini banyak dijumpai dalam bentuk hasil kajian, temu bual, buku akademik, memoir, filem dokumentari dan sumber lain yang banyak beredar selepas reformasi. Tahun 2012 kes pembunuhan massal ini kembali menjadi perhatian dunia selepas filem dokumentari The Act of Killing mendapat penghargaan di pelbagai festival filem antarabangsa. Filem ini berkisah tentang Anwar Congo, salah seorang pelaku pembunuhan massal korban peristiwa 1965 di kota Medan. Filem yang ikut diarahkan olehnya itu menunjukkan bagaimana caranya dia membunuh ratusan “orang PKI” dengan cara yang sukar diterima akal, melampaui batas kemanusiaan. Korban 1965 Mendamaikan Masa Lalu Bagaimanakah bangsa Indonesia sekarang berdepan dengan beban masa lalu yang pahit itu? Selama 32 tahun di bawah kepimpinan Suharto, rakyat Indonesia hidup ketakutan di bawah bayang-bayang PKI. Sebahagian takut PKI yang kejam seperti yang digambarkan Orde Baru akan bangkit kembali. Sebahagian yang lain memilih untuk tidak membangkang kerana takut menjadi mangsa seperti yang dialami oleh bekas ahli atau penyokong PKI. Ketakutan dan trauma yang melekat dalam setiap minda masyarakat itu telah menyumbang kepada lamanya rejim militeristik Orde Baru berkuasa. Rejim yang mendapat kuasa dengan membunuh lebih sejuta rakyatnya. Walaupun lebih 15 tahun selepas reformasi, tetapi warisan ketakutan itu tetap kukuh. Naratif Orde Baru yang disebarkan melalui propaganda, trauma dan teror negara sejak sekian lama masih sangat dominan dan sukar untuk ditandingi sampai hari ini. Ketakutan terhadap kebangkitan kembali PKI dan kebiasaan mem-PKI-kan orang lain yang tidak disenangi masih kerap berlaku. Situasi ini menjadi penghalang upaya rekonsiliasi. Rekonsiliasi adalah sebuah langkah penting yang mesti ditempuh untuk membebaskan rakyat Indonesia dari beban sejarah yang digelapkan itu. Beban itu paling berat dirasakan tidak hanya oleh mangsa, tetapi juga pelaku. Sebahagian keluarga mangsa dan pelaku pembunuhan massal mencuba mendamaikan masa lalu dengan bekerjasama membongkar kebenaran sejarah yang sekian lama digelapkan. Salah satunya adalah dengan mendirikan Yayasan Penelitian Korban Pembunuhan 1965 setahun selepas kejatuhan Suharto. Satu persatu kuburan massal orang PKI yang dibunuh mereka gali. Penggalian kuburan massal ini ibarat membersihkan kudis dengan mengorek luka itu sendiri. Sakit, tetapi tindakan itu perlu untuk kesembuhan total. Anak para jeneral yang terbunuh dalam peristiwa G30S dan anak bekas pimpinan PKI yang terbunuh dalam pembunuhan massal sudah saling bersilaturahim dan bergabung di dalam Forum Silaturahmi Anak Bangsa. Mereka sudah berusaha menyingkirkan dendam dan saling memaafkan, tetapi menolak untuk melupakan. NU 1965 Pentingnya Pemerintah dalam Rekonsiliasi: Usah Lupa Peranan & Tanggungjawab  Tinggal sekarang bagaimana tindakan proaktif negara untuk menjadi yang paling di depan dalam penyelesaian kes pencabulan hak asasi yang dialami mangsa. Pada 2001, presiden Abdurrahman Wahid  pernah mewacanakan rekonsiliasi dengan langkah pertamanya meminta maaf kepada mangsa. Sebagai seorang pemimpin pertubuhan Islam terbesar, Nahdatul Ulama, yang pernah ikut berperanan dalam pembantaian orang PKI, tindakan Gus Dur ini patut dipuji. Dia juga mencadangkan untuk mencabut undang-undang TAP MPRS No. XXV/MPRS/1966 yang mengharamkan PKI dan penyebaran idea Marxisme, Leninisme, dan Komunisme. Namun niat baiknya mendapat reaksi keras pelbagai kalangan yang masih takut dengan bayang-bayang PKI sehingga batal dilaksanakan. Sejak saat itu, belum terlihat ada upaya maksimal daripada pemerintah untuk menuntaskan kes ini, bahkan terkesan cenderung melupakan. Semua tindakan kekerasan yang dialami mangsa, yang bersifat fizikal mahupun psikologi dilakukan oleh negara atau atas kebenarannya. Oleh itu negara mesti bertanggungjawab. Sebagai pelaksana negara, pemerintah Jokowi saat ini tidak boleh sembunyi tangan atas kejahatan kemanusiaan yang dilakukan pemerintah sebelumnya. 50 tahun peristiwa 1965 yang diperingati tahun ini momentum yang tepat untuk berbuat demikian walaupun rekonsiliasi atas inisiatif negara sepatutnya sudah mesti dilakukan sejak lama. Banyak saksi penting peristiwa 1965 sudah meninggal, dan yang tersisa sudah semakin tua. Tidak ada kuasa yang boleh mengembalikan apa yang telah negara ambil daripada mereka: kebebasan, nama baik, harga diri, dan orang-orang tersayang. Namun tidak pernah ada kata terlambat untuk sebuah permohonan maaf. Maaf untuk mengakui dan mengutuk kejahatan kemanusiaan pada masa lalu supaya tragedi yang sama tidak terulang lagi pada masa depan. Dalam melawan proses pelupaan yang dilakukan negara, seluruh rakyat Indonesia mesti berada di pihak mangsa untuk mendesak pemerintahnya tidak melupakan tanggungjawab mereka. Tugas mereka adalah terus mengingatkan, kerana seperti yang dikatakan Milan Kundera, perjuangan melawan kekuasaan adalah perjuangan ingatan melawan lupa.
]]>