Isa Bukan Konservatif Berkulit Putih : Isa Pemberontak Berbangsa Yahudi Palestin

Terjemahan “Jesus Was Not A White Conservative; Jesus Was A Jewish Palestinian Dissident” karya Ben Norton, diterbitkan pada 25 Disember 2014. Diterjemahkan oleh Yana Rizal. Kristian mempercayai bahawa Yesus Kristus dilahirkan kepada perawan bernama Maryam di Betlehem pada 25 Disember. Pada Hari Krismas, umat Kristian yang berkulit putih, rasis dan berhaluan kanan di seluruh Amerika Syarikat menyambut kelahiran lelaki ini: [caption id="attachment_5231" align="aligncenter" width="640"]Wajah Yesus hasil dari antropologi forensik. Kredit: Popular Mechanics Wajah Yesus hasil dari antropologi forensik. Kredit: Popular Mechanics[/caption] Sebuah artikel Popular Mechanics yang diterbitkan pada Disember 2002, bertajuk “Wajah Sebenar Yesus,” mengatakan: “Dari saat pertama kanak-kanak Kristian menjejaki sekolah agama pada setiap hari Ahad, Yesus Kristus menjadi sebuah imej yang terukir dalam fikiran mereka. Di Amerika Utara, dia seringkali digambarkan sebagai seorang yang lebih tinggi daripada pengikut-pengikutnya, kurus dan tegap, rambutnya perang ikal mayang, kulit dan matanya berwarna cerah. Walaupun inilah imej kebiasaan, ia dengan sendirinya tersasar. Ciri-ciri fizikal begini sangat aneh berbanding dengan orang lain di rantau kelahiran Yesus semasa kehidupannya. Jika benar, sudah tentu para pengarang Bible akan membangkitkan perbezaan yang ketara ini. Sebaliknya, menurut kitab Injil Matius, apabila Yesus ditangkap di taman Getsemani sebelum disalibkan, Yudas Iskariot terpaksa mengenalpastikan Yesus kepada soldadu kerana mereka tidak dapat membezakannya dari para pengikutnya. Lagi mengaburkan hal ini adalah hakikat bahawa tiada di mana-mana bahagian Injil disebutkan bagaimana paras rupa Yesus, dan tiada juga sebarang lukisan gambaran beliau pernah dijumpai. Tambahan pula tiada rangka jasad atau sebarang sisaan yang dapat digunakan untuk kajian DNA. Kerana kelopongan bukti, imej Yesus terserah terus kepada imaginasi artis. Ini dipengaruhi kuat oleh budaya dan tradisi seseorang artis, menurut Carlos F. Cardoza-Orlandi, profesor dunia Kristian di Seminari Teologi Columbia di Atlanta. ‘Walaupun imej yang dihasilkan dunia Barat adalah dominan, di kawasan-kawasan lain di dunia, Yesus digambarkan sebagai berkulit hitam, Arab atau Hispanik.’ Justeru itu, persoalan pokoknya masih kekal: Bagaimanakah paras rupa Yesus? Timbul jawapan baru dari bidang sains yang amat mengujakan: iaitu antropologi forensik. Melalui kaedah sama yang digunakan polis untuk menyelesaikan jenayah, ahli-ahli sains British, dibantu oleh ahli arkeologi Israel, telah mencipta semula apa yang mereka percayai adalah imej jitu raut wajah yang paling terkenal dalam sejarah manusia.” [caption id="" align="aligncenter" width="575"] Wajah lukisan daripada kesan Kain Kafan Turin, yang didakwa membaluti jasad Yesus[/caption] Wajah Yesus Dari Antropologi Forensik Antropologi forensik, sub-disiplin antropologi fizikal, menggabungkan bidang arkeologi, sains fizikal dan biologi, genetik, auksologi (kajian pertumbuhan dan perkembangan manusia), primatologi, paleoantropologi (kajian evolusi primat dan manusia), osteologi manusia (kajian rangka tulang), nutrisi, pergigian dan sains iklim untuk memahami paras rupa manusia zaman dahulu. Dengan fahaman bahawa, menurut kejadian di taman Getsemani, Yesus kelihatan sama seperti bangsa Semit di Galilee yang lain, saintis mengkaji tiga tengkorak yang dijumpai berhampiran Jerusalem. Ahli antropologi forensik termasyhur Richard Neave, yang berkepakaran dalam penciptaan potret saintifik tokoh-tokoh sejarah terkenal (beliau menghasilkan senaskhah buku, “Making Faces: Using Forensic and Archaeological Evidence), mengetuai sepasukan saintis yang, menggunakan tomografi berkomputer, menggambarkan semula otot dan kulit yang sepatutnya membaluti tengkorak ini. Untuk melengkapkan kajian mereka, Neave dan pasukannya juga melihat lukisan daripada tapak arkeologi abad pertama, yang menunjukkan bahawa mata Yesus seharusnya berwarna gelap. Sebagai seorang Yahudi, Yesus kebarangkaliannya berjanggut: sarjana Bible mengatakan bahawa rambut beliau seharusnya pendek dan berkeriting kecil. (Dalam Korintus 1, Paulus mengatakan “Jika seorang lelaki berambut panjang, ia suatu kehinaan ke atasnya,” sekaligus membawa kesimpulan bahawa Yesus tidak berambut panjang). Lelaki Semit di zaman Yesus kebiasaannya berketinggian 5 kaki 1 inci (1.55 m) dan beratnya kira-kira 110 auns (50 kg). Sebagai tukang kayu, Yesus mungkin lebih berotot, tetapi tidak terlalu tegap. Seperti yang dinyatakan dalam sebuah meme lucu: Keajaiban Yesus yang paling besar ialah menjadi seorang lelaki berkulit putih di Timur Tengah pada abad pertama. Sudah tentu ini menganggap bahawa Yesus benar-benar wujud. Kebanyakan sarjana bersetuju bahawa Yesus wujud dalam sejarah, namun kehidupan Yesus menurut sejarah mungkin tersimpang besar dari kisah-kisah Bible. Namun dalam hal ini, sama ada Yesus dalam agama adalah berasaskan watak yang sebenar, atau beberapa watak sebenar, atau personaliti yang langsung tidak pernah wujud, akhirnya tidak relevan. Ini adalah percubaan saintifik untuk menggambarkan paras rupa Yesus, jikalau beliau sememangnya wujud di Betlehem, Palestin pada waktu itu, sebagaimana yang dipercayai umat Kristian. Pemutihan Yesus Pengarah Pengajian Episkopal di Sekolah Teologi Candler, Charles D. Hackett, menjelaskan: “Hakikat bahawa [Yesus] barangkali kelihatan lebih seperti bangsa Semit yang berkulit gelap berbanding dengan apa yang biasa digambarkan oleh dunia Barat, adalah peringatan tentang kesejagatan beliau. Dan [ia] mengingatkan kita tentang silapnya kecenderungan kita menggunakan beliau untuk mendepankan nilai kebudayaan kita.” Gambaran Yesus berkulit putih yang dipegangi kebanyakan orang Barat hari ini adalah hasil daripada percubaan memutihkan Yesus, yang membuatkan beliau kelihatan lebih seperti warga Eropah Barat. Jika kita meneliti sejarah kronologi gambaran Yesus dalam seni Barat, kita akan melihat bahawa Yesus semakin lama semakin putih. Rentasi sahaja bilik-bilik muzium seni yang disusun mengikut zaman sejarah (seperti kebiasaannya) dan saksikan bagaimana gambaran Yesus berubah. Lukisan Macedonia abad ke-14 ini lebih tepat berbanding dengan kebanyakan gambaran Barat tentang Yesus, namun, seperti yang kita lihat dari lakaran ahli antropologi forensik di atas, ia masih tidak berapa tepat. 14th-century Macedonian painting of Jesus Yesus, Radikal Politik Gambaran kontemporari penampilan fizikal Yesus yang wujud mengikut sejarah bukan sahaja satu-satunya perkara yang tidak tepat; gambaran popular politik beliau juga sering terpesong. Yesus merupakan pemberontak politik yang radikal. Yesus dibunuh kerana menjadi musuh negara. Beliau bukan hanya dihukum kerana mendakwahkan “kekufuran”; kebanyakan empayar sejujurnya tidak mengambil berat tentang kepercayaan agama rakyat mereka. Yesus begitu berbahaya kepada empayar Rom kerana beliau mencabar kesahihannya. Penyaliban adalah hukuman utama empayar Rom terhadap pembangkang. Kematian menerusi penyaliban adalah hukuman paling dahsyat oleh empayar tersebut; Rom menggunakannya hanya ke atas hamba yang memberontak, lanun, dan musuh-musuh negara. Hamba yang menyertai kebangkitan terkenal yang diketuai oleh Spartacus, iaitu Perang Hamba Ketiga pada 73-71 SM, telah dibunuh secara penyaliban beramai-ramai kerana jenayah yang paling hebat: iaitu mencabar kezaliman. (Terdapat tiga pemberontakan hebat hamba-hamba di empayar Rom, tiga “Peperangan Hamba” dalam tempoh 50 tahun dari 135 SM hingga 71 SM) Yesus juga dianggap pengkhianat, kerana mendakwahkan ketaatan kepada Tuhan melebihi ketaatan terhadap pemerintah Rom. Beliau tahanan politik, dan dibunuh atas sebab-sebab politik, dan bukan agama. Hakikatnya, mengikut piawaian hari ini, Yesus akan dianggap sebagai komunis. Ramai warga Kristian Amerika Latin, antara Kristian-Kristian lain di dunia, telah mengiktiraf ajaran radikal Kristus yang bersifat egalitarian dan anti-kapitalis. Mereka telah menyokong teologi pembebasan untuk berdekad lamanya (gerakan yang telah diranapkan secara ganas dan kejam oleh Amerika Syarikat dan negara-negara Kristian imperialis lain). Reaksioner yang membasuh sejarah dan politik Yesus adalah selari dengan rasisme yang memutihkan susuk tubuhnya secara literal. Sebagaimana yang dikatakan oleh meme popular ini: “Yesus seorang revolusioner radikal tanpa keganasan, yang bersahabat dengan pesakit kusta, pelacur dan penjenayah; bukan berasal dari Amerika dan tidak pernah berbahasa Inggeris; merupakan seorang yang anti-kekayaan, anti-hukuman mati, dan juga anti-ibadat secara awam (Matius 6:5); namun beliau tidak pernah anti-gay, tidak pernah menyebut tentang pengguguran kehamilan atau kawalan kelahiran, tidak pernah mendakwa si miskin sebagai pemalas, tidak pernah mewajarkan penyeksaan, tidak pernah berjuang untuk pemotongan cukai demi kepentingan orang-orang kaya Nasrani, tidak pernah menuntut insurans untuk rawatan pesakit; dan beliau berambut panjang, berkulit gelap, bergelandangan, seorang yang menggerakkan komuniti, anti-pengaiban wanita, dan berketurunan Yahudi dari Timur Tengah.” Yesus, Yahudi Palestin Yesus juga seorang warga Palestin. Ya, beliau berketurunan Yahudi, namun beliau juga warga Palestin. Beliau adalah kedua-duanya sekali. Sebelum penciptaan Israel pada tahun 1948, ini bukanlah suatu keanehan; terdapat beribu-ribu orang Yahudi Palestin. Tanah moden Israel dahulunya dipanggil Palestin selama beribu-ribu tahun, dan orang Yahudi telah menetap di sana sekian lamanya. Malah, pada pertengahan abad ke-19, di bawah Empayar Uthmaniyyah, para sarjana menganggarkan kira-kira 5-7% daripada 600,000 penduduk di Palestin dahulunya berbangsa Yahudi. Tidak hairanlah apabila kita ingat bahawa orang Yahudi dan Arab Palestin berkongsi warisan dan keturunan sama. Seperti yang didedahkan oleh kajian saintifik Pusat Perubatan dan Pengajian Perubatan Universiti New York, “Kaum Yahudi adalah saudara genetik Palestin, Syria, dan Lebanon, dan mereka semua berkongsi keturunan genetik yang bermula sejak beribu-ribu tahun dahulu.” Seperti Yahudi Palestin, Kristian Palestin adalah antara penganut agama yang paling lama di seluruh dunia. Dan Kristian Palestin telah menganuti agama Kristian berabad lamanya sebelum orang putih Barat, yang mendanakan “pembunuhan beramai-ramai secara bertingkat” (seperti yang dikatakan sejarawan Israel, Ilan Pappe) terhadap masyarakat asal Arab. Ahli Parlimen Palestin Mustafa Barghouti merenung hakikat ini, sambil menegaskan “Kami sentiasa mengingati bahawa Yesus adalah warga Palestin pertama yang diseksa di tanah air ini.” Dengan erti kata lain, Yesus adalah seorang Yahudi Palestin yang mencabar empayar, mengajar keingkaran awam tanpa keganasan, dan menentang ketamakan dan individualisme yang manjadi nadi kapitalisme. Jika Yesus masih hidup di Amerika Syarikat hari ini, beliau mungkin akan digelar sebagai “pengganas” oleh kerajaan, diperiksa kerana keturunannya oleh pihak polis, dan ditindas oleh kaum Kristian berhaluan kanan. Jika Kristian konservatif melihat kelibat Yesus di komuniti berpagar yang serba putih sekarang ini, mereka akan memanggil polis atau mengacukan pistol terhadapnya dan menembak atas alasan “mempertahankan diri.” Jesus Who Yesus Memanggil Tuhan Sebagai ‘Aalah’ Tapi tunggu, ada lagi! Fakta yang paling menarik adalah bersifat linguistik. Yesus Kristus berbahasa Aramia. Perjanjian Lama ditulis dalam kedua-dua bahasa Ibrani purba dan Aramia. Perkataan untuk “Tuhan” dalam bahasa Aramia, iaitu bahasa Yesus, adalah “Aalah.” Perjanjian Lama menggunakan Aalah dalam petikan-petikan Aramianya. Yesus memanggil Tuhan sebagai Aalah. Sehingga hari ini, Kristian yang berbahasa Aramia dan Arab juga merujuk kepada Tuhan sebagai “Allah”. Orang Yahudi yang berbahasa Arab juga merujuk kepada Tuhan sebagai Allah. Allah merujuk kepada Tuhan dalam agama tradisi keturunan Ibrahim. Bertentangan dengan pendirian Kristian Islamofobik yang jahil, orang Islam tidak menyembah “Tuhan yang berbeza.” Ini adalah doa dalam bahasa Yesus, yang akan dibacakan kepada pengikut-pengikutnya pada zaman itu: [embed]https://youtu.be/QqLZr11JhMM[/embed] Jadi mari kita perjelaskan: Kristian berhaluan kanan, yang nasionalis, rasis dan “mahukan Amerika sentiasa putih,” dan inginkan tentera mereka “menghancurkan Timur Tengah,” yang dengan penuh semangat menyokong pengawasan sempadan untuk mengelakkan pendatang berkulit asing daripada memasuki negara ini, juga sebenarnya memuja seorang Yahudi Palestin berbahasa Aramia yang memanggil Tuhan sebagai “Aalah” dan disalibkan kerana membangkang politik secara radikal. Ah, alangkah besarnya ironi dunia ini.

]]>