Isu Murtad : Apa Kata Islam Agama, Islam Ideologi, Islam Politik
oleh Norhayati Kaprawi
Tidak Salah untuk Berdiskusi
Pada 10 Nov 2012, saya menemankan teman saya Siti Kasim ke TV3 untuk diwawancara. Bukan saja TV3, pihak polis pun memanggil beliau ke balai untuk beri keterangan. Selama dua hari berturut-turut, wajah Siti terpampang di muka depan akhbar Utusan Malaysia. Kenapa tiba-tiba Siti menjadi terkenal? Apa yang telah beliau lakukan? Apakah Siti ada buat sebarang kesalahan?
Siti Kasim ialah peguam hak asasi manusia yang bertanyakan soalan pada YB Nurul Izzah semasa sesi soal jawab di forum “Islamic State: Which version? Whose responsibility?” (Negara Islam : Versi mana? Tanggungjawab siapa?). Apabila YB Nurul Izzah berceramah tentang hak kebebasan beragama di Malaysia, Siti sekadar ingin tahu adakah ia juga termasuk orang Melayu.
Apabila seorang ahli politik mendakwa dia mendukung kebebasan beragama, rakyat berhak untuk tahu dengan jelas sejauh manakah hak kebebasan beragama yang dia maksudkan itu. Untuk konteks Malaysia, apakah YB Nurul Izzah meyakini bahawa Al-Quran Surah Al-Baqarah 2:256, “Tidak ada paksaan dalam agama….” dan jaminan di Artikel 11 Perlembagaan Malaysia bahawa “Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya..” itu ialah untuk SEMUA rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu atau Islam?
Soalan yang bagus dan tidak salah untuk berdiskusi.
Antara Pendirian Peribadi dan Pendirian Politik
Di forum yang berlangsung pada 3 Nov 2012 itu, YB Nurul Izzah menyatakan bahawa “Macamana orang boleh mengatakan “Maaf, ia hanya tertakluk pada bukan Melayu saja” Ia harus dilaksanakan sama rata (pada semua).” Beliau menekankan bahawa di dalam Al-Qur’an tidak ada perkataan atau terma khusus untuk ‘Melayu’. Seperti untuk membezakan pendirian peribadi dan pendirian politik, Nurul Izzah menyatakan “Begitulah sepatutnya. Namun, saya terikat dengan pandangan umum sedia ada. Akan tetapi, begitulah yang saya katakan”.
Pendirian Nurul Izzah yang dinyatakannya di forum mendapat tepukan hangat oleh para hadirin waktu itu. Namun, apabila dikecam hebat oleh lawan politiknya, dengan segera iaitu pada 4 Nov 2012, Nurul Izzah mengeluarkan kenyataan rasmi yang menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak menggalakkan atau menerima murtad. Beliau menghuraikan bahawa kenyataannya “saya berpegang dengan pandangan umum sedia ada” yang diucapkan di forum tersebut sebenarnya bermaksud sebagai “setelah memeluk Islam, seorang Muslim tertakluk dengan Syariat Islam; sebagaimana seorang warganegara tertakluk dengan Perlembagaan Persekutuan.”
Bagi yang bertepuk tangan gembira mendengar pendirian Nurul Izzah di forum tersebut mungkin kecewa dengan pendirian Nurul Izzah di kenyataan rasminya. Orang yang marah di forum tersebut pula mungkin bertukar menjadi gembira dengan kenyataan rasmi Nurul Izzah. Bagaimana boleh begitu?
Pada saya, inilah jadinya apabila agama berada di tangan orang politik atau parti politik.
Pada pandangan saya, ada perbezaan besar yang mendasar antara pendirian Nurul Izzah di forum tersebut dengan pendirian yang dinyatakan di jawaban rasminya.
Sebagai orang biasa, saya memahami kenyataan peribadi Nurul Izzah di forum tersebut sebagai bermakna tiada paksaan dalam agama seperti yang ternyata di dalam Al-Qur’an dan juga hak kebebasan beragama yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia, meliputi SEMUA warganegara Malaysia, termasuk orang Melayu atau orang Islam juga.
Akan tetapi, menurut pemahaman saya, kenyataan rasmi Nurul Izzah pula sebagai berpendirian bahawa orang Melayu (yang majoritinya beragama Islam) TIDAK BOLEH keluar Islam.
Nurul Izzah menyatakan bahawa beliau “terikat dengan pandangan umum sedia ada – iaitu setelah memeluk Islam, seorang Muslim tertakluk dengan Syariat Islam”. Pastinya Nurul Izzah tahu bahawa “pandangan umum sedia ada” masa kini ialah ramai ulama dan tokoh agama di Malaysia berpendapat bahawa dalam “Syariat Islam”, orang Melayu atau Islam dianggap tidak tertakluk di dalam jaminan ‘kebebasan beragama’ seperti yang disebut di dalam Al-Qur’an dan juga termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia, lalu tidak boleh dibenarkan keluar Islam. Lihat sajalah kecaman terhadap beliau dari ahli-ahli politik UMNO dan pertubuhan-pertubuhan Islam. Malah menurut Enakmen Hudud PAS di Kelantan dan Terengganu, orang murtad wajib dihukum bunuh !
Malaysia Memang Sudah Membolehkan Orang Keluar Islam
Ahli-ahli politik UMNO yang kononnya marah sangat dengan kenyataan Nurul Izzah yang membolehkan murtad, seperti terlupa bahawa kerajaan Malaysia di bawah pentadbiran UMNO telah lama mempunyai undang-undang yang membolehkan orang Islam keluar dari agama Islam. Negeri Sembilan contohnya, mempunyai peruntukan di bawah Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam yang membolehkan orang Islam membuat permohonan untuk keluar Islam. Hasil penyelidikan Profesor Undang-undang UiTM, Dr Mohd Azam Mohd Adil, beberapa ratus permohanan untuk keluar Islam telah pun diluluskan.
Ahli-ahli politik PAS pula seperti serba salah sama ada mahu menyokong atau mengutuk Nurul Izzah. Kepentingan politik memerlukan mereka menyokong Nurul Izzah yang sama-sama pemimpin Pakatan Rakyat. Tok Guru Nik Aziz, ulama yang kuat memperjuangkan hudud, yang memberi hukuman bunuh terhadap sesiapa yang murtad, pun agak berat untuk memberi komentar.
Apabila Agama Di Tangan Orang Politik
Saya amat menghormati YB Nurul Izzah sebagai seorang wanita berani dan berfikiran terbuka. Saya tidak terkejut jika tekanan politik menyebabkan Nurul Izzah tergesa-gesa mengeluarkan kenyataan rasmi yang kelihatan tidak selari dengan pendiriannya di forum tersebut.
Maka, amat penting bagi rakyat Malaysia memahami betapa bermasalahnya apabila agama mahu ditentukan dan dikawal oleh orang-orang politik. Ada yang pendirian peribadinya sangat terbuka, tetapi oleh kerana kehendak politik, terpaksa membuat pendirian yang sempit dan keras. Ada ahli politik yang berfikiran sempit dan berideologi keras, terpaksa pula menonjolkan wajah mesra rakyat dan berpura-pura bersikap terbuka untuk mencari penyokong baru.
Masyarakat harus sedar bahawa matlamat ahli agama tulen ialah menyampaikan pesanan agama dan mencari keredaan Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, manakala ahli politik atau agamawan yang berkepentingan politik pula, matlamat mereka ialah untuk berkuasa.
Ahli politik dan tokoh agama ingin mengambil kuasa Tuhan
Yang saya pelik ialah bila ada orang-orang yang sudah tidak beriman dengan Allah s.w.t, yang sudah menyatakan secara verbal dan juga lisan bahawa mereka sudah tidak mahu jadi orang Islam, ahli-ahli dan pertubuhan-pertubuhan agama serta ahli-ahli politik Islam begitu berkeras menghalangnya.
Akan tetapi, ada orang-orang yang tidak pernah terlintas sedikit pun di hati dan fikiran mereka untuk keluar dari Islam, malah masih sangat beriman dengan Allah swt dan mempercayai Nabi Muhammad sebagai Nabinya, tiba-tiba mereka dikafirkan pula oleh tokoh-tokoh dan pertubuhan-pertubuhan agama serta ahli-ahli politik Islam tersebut – hanya kerana orang-orang itu tidak mempunyai pegangan politik, atau pandangan serta pendirian yang sama dengan mereka. Apa-apa saja yang mereka tidak suka, tidak faham atau tidak setujui, terus mereka menuduh orang yang sesama Islam itu sebagai kafir, sesat, murtad dan sebagainya. Bukankah itu bermakna mereka sendiri mahu memurtadkan orang Islam lain?
Di sini nampak jelas sikap ego dan keangkuhan agamawan dan ahli politik seperti itu. Mereka selalu mengutuk Fir’aun yang mahu berlagak seperti Tuhan dalam menentukan hidup mati seseorang, namun mereka tidak sedar bahawa mereka juga bersikap sedemikian. Mereka mahu jadi penentu dalam memaksa orang kekal dalam Islam dan siapa yang harus dikeluarkan dari Islam.
Agama dijadikan alat percaturan oleh ahli-ahli politik dan alat untuk menerapkan ideologi keras sesetengah tokoh atau pertubuhan agama. Mereka bukan saja merasa telah dilantik dan diberi mandat untuk menjadi wakil rakyat atau wakil pertubuhan, malah mereka berlagak seperti mereka telah mendapat mandat untuk menjadi wakil atau jurucakap Tuhan di Malaysia ini.