Jurang kemewahan dan makna Raya

Oleh Hamizah Hanan Setiap tahun, Aidilfitri disambut dengan penuh suka cita, tidak kira apa jenis latar belakang sekalipun. Persiapan dilakukan berbulan sebelum datangnya Syawal atau dikenali dengan kata lain sebagai ‘hari kemenangan’. Di samping didendangkan dengan lagu-lagu raya yang berkumandang di corong radio, pusat membeli belah mula dibanjiri dengan manusia dan dapat dilihat pelbagai promosi jualan yang dijalankan. Ada yang mula memasak pelbagai juadah dan mengemas rumah. Hal ini berlaku adalah disebabkan Aidilfitri ini juga didefinisikan sebagai hari ‘serba baharu’. Hari Raya, pesta membeli-belah Baik dari segi pakaian, perkakas rumah, hisasan rumah, makanan dan pelbagai lagi, hampir semua perlu ditukar dek kerana ingin selari dengan konsep serba baharunya itu. Persiapan yang dilakukan menelan ratusan ringgit dan mungkin juga ribuan ringgit. Sehinggakan ramai yang tidak menyedari bahawa mereka sudah terjebak dengan pembaziran dan semua ini dilihat seperti suatu yang dibenarkan hanya dengan alasan ianya dilakukan sebagai suatu ibadah. Hal ini lebih jelas lagi kelihatan natijahnya apabila dikaitkan dengan nafsu sedikit demi sedikit dipendam selama setahun ini dan ditambah ‘pemangkin’ bulan Ramadan selama sebulan. Kemudiannya, keinginan yang dipendam itu dilepaskan secara sekali gus, ibarat satu momentum yang kuat bersempena hari raya yang merupakan hari bergembira. Menjelang hari raya, ramai sanak saudara yang akan pulang ke kampung halaman. Berkumpul setelah setahun tidak berjumpa dan kali ini bercuti meluangkan masa bersama untuk menyambut hari raya. Di sinilah pertemuan dengan sanak saudara baik yang jauh atau dekat, yang rapat ataupun yang jarang-jarang kelihatan. Hari raya yang bertujuan untuk mengeratkan silaturrahim, disambut beramai-ramai dengan sederhana ini boleh bertukar rupa sebagai sebuah pesta untuk bertanding dan menunjuk-nunjuk. Jurang pendapatan, jurang Raya Yang kaya akan bergaya dengan serba-serbi baru sehinggakan melupakan masyarakat yang miskin dan tidak bernasib baik. Yang kurang berkemampuan ini hanya akan menyambut perayaan dengan apa yang ada. Malahan kepada anak-anak keluarga yang kurang berkemampuan, mereka akan mula bertanyakan kepada ibu bapa mereka tentang, ‘mengapa mereka tidak dapat merayakan hari raya seperti anak orang kaya?’ seperti mana yang mereka lihat anak-anak jiran yang pulang ke kampung ketika hari raya. Bukan itu sahaja, budaya pemberian duit raya juga memberikan impak yang mendalam. Jurang perbezaan kelihatan ketara apabila anak-anak orang kaya memperoleh sejumlah duit raya yang lumayan. Manakala, kepada anak-anak orang miskin ini, mereka hanya mendapat beberapa ringgit sahaja. Lama kelamaan budaya yang diterapkan semenjak kecil ini akan membuahkan masyarakat yang mementingkan diri dan kelak membentuk moral yang rendah. Apa makna raya sebenarnya? Hari raya dirayakan dengan pelbagai perkara yang mementingkan rupa dan persembahan yang kebanyakkannya bersifat dangkal. Semangat dan makna disebalik apa yang dilakukan semakin luntur. Lebih malang lagi apabila generasi yang seterusnya hanya dapat menginterpretasi apa yang dilihat amatlah bersifat superficial dan dijadikan sebagai sebuah budaya yang dilakukan saban tahun tanpa mendalami makna disebaliknya. Agama yang sifatnya adalah intrinsik (mendalam) juga mahu ditafsirkan dan dimenifestasikan ke dunia realiti secara extrinsik (luar). Hakikatnya manusia malu, takut dan gentar untuk memikul tanggungjawab sendiri atas apa yang dilakukan. Segalanya memerlukan alasan agama untuk menjustifikasikan setiap perbuatan mereka. Bermula dari pemendaman keinginan, nafsu, penahanan emosi dan diri sendiri sehinggalah ke tahap menghalalkan segala perbuatan pembaziran, bermegah-megah, bersuka ria dan pelbagai lagi. Padahal awalnya mereka sendiri sudah mengiktiraf yang dia berkuasa atas dirinya sendiri. Akhir kata, beribadahlah dengan sifat yang bersederhana. Kemeriahan hari raya Aidilfitri disambut dengan tidak meninggalkan makna disebaliknya dan juga tidak melupakan orang-orang yang dalam kesusahan. Setiap perbuatan yang baik itu haruslah datang dari dalam diri tanpa diantarakan dengan agenda lain mahupun alasan lain. Soalnya, adakah setiap kebaikan yang kita lakukan itu memerlukan sebab agama? Tanyakan pada diri kita, adakah kita akan melakukan kebaikan jika itu bukan suruhan sesiapa pun.         unnamed  

]]>