Kalimah “Allah” dan agama Kristian

Bible versi Bahasa Malaysia?” Mungkin demikian antara persoalan dan pertanyaan yang muncul dalam fikiran orang awam sejak belakangan ini. Hal ini tidaklah menghairankan kerana gambaran yang diberikan oleh kebanyakan media arus perdana adalah seolah-olah orang Kristian di Malaysia tiba-tiba sahaja mula menggunakan kalimah “Allah”. Satu lagi sentimen atau hasutan yang disebarkan secara amat halus oleh puak tertentu adalah bahawa “bahasa Melayu” adalah milik “orang Melayu” dan apa-apa bahan yang ditulis menggunakan bahasa itu ditujukan khusus kepada orang Melayu. Akibat hasutan terancang yang dilakukan puak etnosentrik, ultra kiasu, fanatik dan rasis tertentu, orang ramai terus terkeliru dan tidak tahu fakta sebenar yang sebenarnya berada di depan mata. Makalah ini tidak bertujuan mempertikaikan atau memperlekeh mana-mana pihak – khususnya mahkamah dan agama Islam – tetapi sekadar berkongsi pelbagai maklumat (fakta) yang wajar diketahui umum. Sekurang-kurangnya pembaca akan tahu pelbagai perkara yang mustahil disebarkan menerusi media arus perdana yang dikuasai golongan politik tertentu. (Untuk mengelakkan sebarang masalah yang tidak diingini, biar saya nyatakan bahawa kandungan makalah ini mungkin tidak sesuai bagi sebahagian pembaca beragama Islam kerana terdapat pelbagai unsur dan fakta mengenai agama Kristian. Anda boleh membaca makalah ini atas pilihan sendiri. Harap maklum.) Presiden Pertubuhan Peribumi Perkasa (Perkasa), Ibrahim Ali dilaporkan menghasut orang Melayu membakar kitab Bible versi “bahasa Melayu” di Pulau Pinang pada Januari 2013 dan tindakan menghasut itu disokong penuh oleh penaung Perkasa, Tun Dr Mahathir Mohamad (Free Malaysia Today, 6 Februari 2013). Selewat-lewatnya sejak awal tahun ini, saya berusaha mendapatkan maklumat yang tepat dan objektif daripada rakan-rakan pelbagai kaum beragama Kristian berhubung penggunaan kalimah “Allah” dalam Al-Kitab (Injil/Bible) versi Bahasa Malaysia. Untuk rekod, rakan-rakan pelbagai kaum yang saya maksudkan bukan kelompok yang baru memeluk agama Kristian. Sebaliknya mereka adalah daripada keluarga yang beragama Kristian sejak turun-temurun; jauh sebelum kelahiran Ibrahim Ali, Zulkifli Noordin dan Ridhuan Tee Abdullah. Rakan-rakan beragama Hindu, Sikh, Buddha, Islam dan sebagainya yang berfikiran matang turut berkongsi pandangan dalam dialog santai mengenai isu ini dari semasa ke semasa. Usah lupa bahawa Nabi Muhammad juga menggalakkan dialog antara agama. Menangkis tohmahan, hasutan dan penyelewengan fakta Pada 16 Mei 2013, Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) yang beribu pejabat di Petaling Jaya mengedarkan kenyataan bertajuk “Bila, Mengapa dan Bagaimana Kristian Menggunakan Kata Allah” untuk rujukan dan panduan para penganut agama Kristian. [caption id="attachment_2241" align="alignleft" width="290"]PD 1CFM Kenyataan Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) bagi membimbing penganut Kristian.[/caption] Sebagai seorang penganut agama Hindu yang mengamalkan konsep inter-faith serta mendalami pelbagai agama utama di Malaysia, saya mendapati bahan edaran itu sangat berguna dalam usaha menangkis pelbagai tohmahan, kritikan, penyelewengan fakta dan hasutan yang dilakukan puak tertentu. Suatu fakta menarik dan penting untuk diperhatikan adalah berhubung penterjemahan kitab suci agama Kristian kepada Bahasa Malaysia. Gambaran umum yang cuba diberikan puak tertentu adalah seolah-olah Bible versi Bahasa Inggeris diterjemah kepada Al-Kitab versi Bahasa Malaysia. Untuk rekod, Al-Kitab adalah terjemahan berdasarkan teks asal Bahasa Ibrani dan Yunani. Kita perlu menyedari serta menerima hakikat (fakta) bahawa kata/kalimah “Allah” dalam Bahasa Ibrani dan Arab mempunyai bentuk akar yang sama. Kitab Bible dalam versi Bahasa Arab juga menggunakan kalimah “Allah”. Sehingga hari ini, tiada sebarang masalah di negara-negara Islam lain apabila kalimah “Allah” dikekalkan dalam kitab suci agama Kristian. (Mungkinkah keimanan penganut Islam di negara-negara itu lebih kuat berbanding orang Melayu di Malaysia?) Menurut kenyataan CFM, lebih 60 peratus penganut agama Kristian daripada kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia pada masa kini membaca Al-Kitab versi Bahasa Malaysia, menggunakan Bahasa Malaysia secara lazim serta berdoa juga dalam Bahasa Malaysia. Usah kita lupa – atau buat-buat lupa – bahawa Bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan kita. Malah, Al-Kitab versi “bahasa Melayu” yang mula-mula diterjemahkan pada tahun 1731 sudah sedia menggunakan kalimah “Allah”. Maka, jangan percaya pada fitnah, pembohongan dan hasutan yang disebarkan puak tertentu bahawa gereja-gereja di Malaysia tiba-tiba mula menggunakan kalimah “Allah” untuk mengelirukan kaum tertentu dan memujuk kaum tertentu memeluk agama Kristian. Kitab salat-as-sawai (Katekismus Kristian) versi “bahasa Melayu” ditulis pada sekitar tahun 1514 dan terbit (dicetak) hampir 30 tahun kemudian. Pada 1629 pula terbit Injil Matius versi “bahasa Melayu”. Kitab-kitab ini (serta banyak lagi) menggunakan kalimah “Allah” apabila merujuk kepada Tuhan atau Pencipta. “Fakta yang tidak boleh dinafikan adalah bahawa sejak agama Kristian datang ke Nusantara (Kepulauan Melayu) lebih 500 tahun dahulu, kalimah ‘Allah’ sudah digunakan dalam teks dan kitab agama Kristian yang diterjemah ke bahasa Melayu yang merupakan bahasa perantaraan (lingua franca) pada waktu itu,” kata Perzeus James, pensyarah di Sekolah Perakaunan dan Perniagaan, Kolej FTMS, Bukit Jalil. Malah, semua orang yang tahu perkembangan tamadun manusia dan agama-agama utama dunia pasti akan menyedari dan mengakui hakikat bahawa kalimah “Allah” sudah digunakan jauh sebelum kelahiran Rasulullah dan sebelum baginda menerima wahyu pertama yang disampaikan oleh Jibril. Jangan kelirukan penganut agama Kristian [caption id="attachment_2243" align="alignleft" width="246"]Injil Matius (1629) sudah menggunakan kalimah “Allah”. Injil Matius (1629) sudah menggunakan kalimah “Allah”.[/caption] Dalam pelbagai hujah di media arus perdana dan dalam kalangan puak tertentu, pandangan (kebimbangan) yang diluahkan adalah bahawa genarasi muda Melayu akan “keliru” dan keimanan mereka tergugat sekiranya kalimah “Allah” digunakan dalam Al-Kitab versi Bahasa Malaysia. Pernahkah kita terfikir atau berfikir tentang kekeliruan yang (mungkin) boleh wujud dalam kalangan penganut agama Kristian di Malaysia sekiranya penggunaan kalimah “Allah” oleh orang “Bukan Islam” (Tidak Islam) diharamkan? Kebimbangan ini turut dikongsi CFM dan beberapa rakan beragama Kristian yang saya temui. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, “Allah” adalah istilah Bahasa Arab bagi “Tuhan (Yang Esa)” sementara “Tuhan” adalah “Allah yang mencipta alam semesta”. Kamus Pelajar Bahasa Malaysia (edisi pertama dan kedua) juga mengesahkan bahawa “Tuhan” membawa makna “Allah yang mencipta alam semesta”. Sementara itu, Kamus Inggeris-Melayu Dewan menjelaskan “God” sebagai “Tuhan; (in Islam) Allah”. Ada pihak yang pernah bermati-matian menegaskan bahawa semua perkataan dan istilah dalam Kamus Dewan “hanya harus dilihat dari perspektif pandangan Melayu dan bukan dari kaca mata kaum-kaum lain” (The Malaysian Insider, 18 April 2011). Maknanya, terbukti bahawa “dari perspektif pandangan Melayu”, tiada salahnya jika kalimah “Allah” digunakan apabila merujuk kepada Tuhan. (Kecuali ada puak yang mahu menegaskan dan menyebarkan fahaman – ajaran sesat – bahawa ada lebih daripada satu Tuhan!) Di sisi yang lain pula, CFM berpendirian bahawa dalam Bahasa Malaysia, “Allah” bermakna “Tuhan” dan “Tuhan” bermaksud “Lord”. “Apabila kita membaca Al-Kitab, ‘Allah’ dan ‘Tuhan’ mempunyai konotasi yang berbeza. Oleh itu ‘Allah’ (dalam Al-Kitab) tidak boleh digantikan dengan ‘Tuhan’,” kata kenyataan rasmi itu. Sejak zaman kanak-kanak di Aulong Lama, Taiping, saya sering ke gereja (selain ke rumah-rumah ibadat agama-agama lain). Sesungguhnya penganut Kristian menggunakan istilah “Tuhan” (Lord) apabila merujuk kepada Jesus (Nabi Isa) iaitu “Lord Jesus” (Tuhan Yesus). [caption id="attachment_2242" align="alignleft" width="300"]“Allah” dan “Tuhan” membawa makna berbeza dalam Al-Kitab. “Allah” dan “Tuhan” membawa makna berbeza dalam Al-Kitab.[/caption] Maka, secara logik, sekiranya kalimah “Allah” (God) dalam Al-Kitab ditukar/diubah menjadi “Tuhan” atas desakan puak-puak tertentu yang takut bayang-bayang sendiri, maka akan timbul kekeliruan pula dalam kalangan penganut agama Kristian. Kebimbangan yang berasas ini turut dilahirkan CFM dan beberapa rakan beragama Kristian. Kita sering diminta supaya “simpati” terhadap nasib anak-anak Melayu yang mungkin terkeliru jika kalimah “Allah” dikekalkan dalam Al-Kitab versi Bahasa Malaysia – seolah-olah anak-anak Melayu di Malaysia memang sangat suka membaca kitab itu! Apa kata kita menggunakan “empati” untuk memahami kekeliruan yang bakal wujud dalam kalangan anak-anak muda beragama Kristian jika istilah “Tuhan” digunakan untuk menggantilah kalimah “Allah” dalam Al-Kitab. Jangan lupa bahawa istilah “Tuhan” (Lord) sudah sedia ada dalam kitab berkenaan bagi merujuk kepada Jesus. Larangan tambahan bakal menyusul? Contoh yang dikemukakan oleh CFM boleh membantu kita memahami hakikat ini. Dalam Yesaya (41:13, 43:3 dan 51:51), terdapat ayat “For I am the Lord, your God …” Ayat berkenaan diterjemahkan sebagai “Akulah Tuhan, Allah kamu …” dalam Al-Kitab: Berita Baik (2001) terbitan rasmi The Bible Society of Malaysia. “Ia akan mewujudkan situasi tidak masuk akal jika orang Kristian perlu menterjemahkan frasa ‘Lord, God’ (Tuhan, Allah) sebagai ‘Tuhan, Tuhan’. Pengulangan kata ‘Tuhan, Tuhan’ menunjukkan sifat jamak dalam Bahasa Malaysia; dan seolah-olah memperlihatkan bahawa agama Kristian percaya akan banyak Tuhan. Ini adalah sesuatu yang tidak boleh diterima,” kenyataan CFM bertarikh 16 Mei 2013 menegaskan. Rata-rata penganut agama Kristian – serta rakan-rakan “Bukan Kristian” yang memahami ajaran sebenar agama masing-masing – merasakan bahawa jika hak menggunakan kalimah “Allah” dalam Al-Kitab dinafikan, tindakan itu sebenarnya bertentangan dengan hak kebebasan beragama mengikut Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 11 (3) menyatakan dengan jelas bahawa setiap kumpulan agama mempunyai hak untuk menguruskan hal ehwal berkaitan agama masing-masing. Selain daripada itu, usah kita lupa bahawa apa-apa fatwa (arahan) yang dikeluarkan tidak terpakai terhadap orang Bukan Islam (Tidak Islam). Penganut agama Kristian juga bimbang bahawa sekiranya mereka akur pada “arahan” dan “larangan” menggunakan “Allah” dalam Al-Kitab, maka arahan dan larangan susulan akan datang bertali-arus. Misalnya, penggunaan istilah “Al-Kitab”, “firman”, “rasul”, “iman”, “ibadah”, “Injil”, “wahyu”, “nabi”, “syukur”, “solat” dan “doa” yang sebenarnya sedang cuba disekat oleh pihak tertentu sejak 1986. “Jika gereja-gereja di Malaysia bersetuju untuk berhenti menggunakan kata ‘Allah’, bermakna hak untuk menyunting kitab sudi agama kami telah diberikan kepada sebuah kerajaan sekular. Ini akan menjadi suatu perkara yang memalukan dan kejadian yang belum pernah berlaku pada mana-mana agama dan kerajaan,” kata kenyataan CFM yang tentu sahaja tidak disiarkan media arus perdana. Saya memuji ketegasan CFM dalam mempertahankan hak terhadap kandungan Al-Kitab dan hak orang Kristian menggunakan Bahasa Malaysia. Dalam pada itu, sama-samalah kita berharap dan berdoa (mengikut agama masing-masing) supaya puak tertentu yang masih takut pada bayang-bayang sendiri akan segera mendapat petunjuk daripada Tuhan Yang Esa. Baru-baru ini, apabila saya mengulangi pendirian bahawa satu-satunya pemimpin Islam yang paling saya kagumi ialah Nabi Muhammad, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) mempamerkan “pemikirannya yang begitu sempit” dan “dakwah negatif” dengan menyeru saya “kenapa tidak sahaja memeluk Islam” (19 Julai 2013). Memandangkan pada kali ini saya mengemukakan hujah-hujah yang menyokong pihak gereja dan agama Kristian, saya mengandaikan bahawa pertubuhan itu akan segera menyeru saya memeluk agama Kristian. Apa-apa pun, terima kasih sahajalah atas keprihatinan dan minat anda terhadap pegangan agama saya. “Untukmu agamamu, dan untukku agamaku.” (Surah al-Kafirun, ayat 6)

]]>