Boikot PRK UiTM? Tetapi keadaan di UiTM berbeza. Rata-rata ramai yang tidak sedar bahawa suara mahasiswa dipinggirkan oleh pihak pentadbiran UiTM. Penulis ada terbaca rencana “Boikot PRK UiTM?” yang ditulis oleh Dr Jamaluddin Ahmad, Pensyarah Fakulti Pendidikan, UiTM Shah Alam di laman The Malaysian Insider. Kenyataan “Aspirasi akan terus bertahan di UiTM” mendapat perhatian penulis. Setelah diselidiki, ternyata ada asasnya. Tekanan sistem UiTM itu sendiri menyebabkan pelajar dilema sama ada mahu mengundi atau memboikot PRK UiTM. Contohnya akta 174 di mana kaedah tatatertib UiTM menegah para pelajar daripada memboikot kelas/aktiviti rasmi UiTM. Bak kata lain Akta 174 diguna pakai untuk mencengkam kebebasan bersuara mahasiswa. Kesannya mahasiswa UiTM sering dilihat dan dicapkan sebagai mahasiswa yang ‘lesu’ terhadap isu semasa, sering dipandang serong oleh masyarakat kerana dianggap mementingkan diri sendiri. Dek status quo UiTM sebagai benteng tempat terakhir bagi mahasiswa Melayu dan Bumiputera. Jadi tidak hairanlah wujud kumpulan Pro-M seperti yang bergerak secara “anonymous” di laman sosial seperti UiTM Insider, Kelab Sosialis UiTM, Pro Mahasiswa UiTM, GAMUS UiTM dan lain-lain, memberi kesedaran untuk “ingkar” kepada larangan tersebut. Sementara itu media arus perdana kerap mempamerkan propaganda UiTM bahawa Pro-M langung tidak mendapat tempat dalam kalangan mahasiswa dan mahasiswi UiTM kerana kononnya kemenangan semua kerusi dibolot oleh Pro-A. Namun, perkara sebenar disini UiTM tidak menggamalkan sistem dwi-parti bagi pilihan raya kampus mereka. Walhal, Pro A juga tidak wujud kerana yang ada hanya wakil mahasiswa dari setiap fakulti dan bertanding secara individu setelah ‘direstui’ oleh Hal Ehwal Pelajar (HEP) melalui pelbagai tapisan. Menurut akta 174, calon Jawatankuasa Perwakilan Pelajar tidak dibenarkan membuat apa sahaja pakatan atau kelayakan bertanding mereka akan digugurkan. Jika berlakunya pertandingan antara calon Pro A dan Pro M, bolehkah kita bayangkan kesan dan impaknya jika Pro A tewas kepada Pro M di UiTM. Perkara inilah yang mahu dielakkan oleh pihak pengurusan UiTM dan kerajaan. Sudah tentu pihak pengurusan atasan UiTM selaku pelindung mahasiswa Melayu dan Bumiputera mahu menjaga imej UiTM selaku universiti penyokong kerajaan pemerintah sepenuhnya. Inilah demokrasi terpilih ala UiTM. “Suara Mahasiswa Suara Keramat” Sejak AUKU diperkenalkan dulu, mungkin pentadbiran universiti mengugut para siswa dan siswi dengan panggilan-panggilan “tak bersyukur” dan ‘pengkhianat’ sekiranya kita menyuarakan sebarang ketidakadilan. Namun, adakah pihak universiti masih dapat menghalang mereka untuk menggunakan kewarasan intelektual mereka dalam menegakkan hak mereka? Penulis ingin menegaskan mahasiswa dididik untuk mempelopori pelbagai bidang intelektual mereka. Sewajarnya keberanian dan kesungguhan golongan intelektual ini menghadapi pelbagai isu-isu akademik, universiti, kebajikan mereka mahupun isu nasional serta global sepatutnya digalakan. Justeru, akan timbul kesedarkan komuniti di sekeliling mereka agar lebih sensitif dan responsif akan apa-yang terjadi di sekeliling mereka. Sebagai kesimpulan, “suara mahasiswa suara keramat” bukanlah satu angan-angan kosong yang hanya boleh dipermainkan oleh sebilangan pihak tertentu bagi mencengkam kebebasan bersuara mereka. Dan kita juga berharap pihak pentadbiran universiti UiTM akan mengubah dasar mereka agar dapat mendengar dan mempertimbangkan suara mahasiswa supaya kepimpinan mahasiswa lebih efisyen dan mencapai taraf pemimpin yang berdaya saing diperingkat global. Akhir kata, jom renungkan kata-kata hikmat daripada seorang pensyarah dan penulis terkenal Amerika, Alfie Kohn (1993): “Students should not only be trained to live in a democracy when they grow up; they should have the chance to live in one today.”
]]>