Kehidupanku sendiri – Oliver Sacks mengetahui dirinya menghidapi barah

Penterjemahan tidak rasmi My Own Life oleh Oliver Sacks yang diterbit oleh the New York Times pada 19/2/2015. Penterjemah: Yana Rizal.    SEBULAN lalu, aku merasakan diriku sihat walafiat, malah cergas. Pada umur 81 tahun, aku masih berenang sebatu sehari. Namun nasibku telah surut – beberapa minggu lalu, aku mendapati bahawa aku mempunyai beberapa metastasis di hati. Sembilan tahun lalu, mereka menemui sebuah tumor di mataku, tumor yang jarang dijumpai iaitu melanoma okular. Walaupun radiasi dan laser untuk membuang tumor tersebut akhirnya membutakan mataku itu, ianya begitu jarang untuk kes-kes tersebut menular. Aku di antara 2% yang malang. Aku bersyukur bahawa aku telah diberi sembilan tahun kesihatan dan produktiviti semenjak diagnosis yang asal itu, namun kini aku berdepan dengan kematian. Barah ini memenuhi satu pertiga dari hatiku, dan walaupun pertumbuhannya masih boleh diperlahankan, barah seperti ini tidak boleh dihentikan. Kini keputusan di tanganku bagaimana untuk menghabiskan bulan-bulan yang tinggal dalam hidupku. Aku perlu hidup dengan cara yang paling bermakna dan produktif sebaik mungkin. Untuk ini, aku sangat terdorong dengan kata-kata ahli falsafah kegemaranku, David Hume, yang apabila mengetahui bahawa beliau sakit tenat pada umur 65 tahun, telah menulis autobiografi singkat dalam masa sehari pada bulan April 1776. Ianya berjudul “Kehidupanku Sendiri. ” “Aku kini mengharapkan pemergian yang cepat,” luahnya. “Sedikit sahaja penderitaanku dari penyakit ini; dan yang lebih aneh, walaupun kemerosotan tubuhku, aku tidak pernah hilang semangat. Keghairahanku masih membara untuk belajar, dan kerianganku sama pada teman-teman.” Aku bertuah untuk hidup menjangkaui 80, dan 15 tahunku yang lebih daripada hayat Hume selama 65 tahun itu telah diperkayai sama rata dengan kerja dan kasih sayang. Dalam masa itu, aku telah menerbitkan lima buku dan menghabiskan satu autobiografi (yang agak panjang berbanding dengan autobiografi Hume yang hanya beberapa laman) yang akan diterbitkan pada musim bunga ini; dan aku mempunyai beberapa buah buku lagi yang hampir selesai. Hume menyambung, “Aku … seorang yang sederhana sikapnya, mampu mengawal perasaan, berhati terbuka, sosial, dan ceria, boleh mengekalkan hubungan rapat, namun agak terkesan dengan permusuhan, dan berpada-pada dalam semua keghairahanku.” Di sini aku meninggalkan Hume. Sementara aku telah menikmati hubungan kasih sayang dan persahabatan dan tiada permusuhan sebenar, aku (atau sesiapa yang mengenaliku) tidak mampu mengatakan bahawa aku seorang yang bersikap sederhana. Sebaliknya, aku seorang yang tegas pendiriannya, dengan semangat yang membuak, dan keghairahan yang melampau dalam segalanya. Namun, sebaris dari tulisan Hume menyentap aku sebagai kebenaran: “Ia adalah sukar,” luahnya, “untuk menjadi lebih terpisah dari kehidupan dalam keadaanku saat ini.” Sejak beberapa hari yang lepas, aku telah melihat kehidupanku dari sudut pandang yang tinggi, sebagai sebuah latar, dan dengan perasaan keterhubungan yang mendalam terhadap semua bahagiannya. Ini tidak bermakna aku telah selesai dengan kehidupan. Sebaliknya, aku merasakan hidup dengan penuh semangat, dan aku berharap dan ingin dalam masa yang tinggal ini untuk mendalami persahabatanku, untuk mengucapkan selamat tinggal kepada mereka yang kucinta, untuk menulis lebih lagi, untuk mengembara jika termampu, untuk mencapai pemahaman yang lebih tinggi dan pengertian. Ini memerlukan kelantangan, kejelasan fikiran dan kejujuran; percubaan untuk melangsaikan perhitungan aku dengan dunia. Tapi akan ada masa juga, untuk bersuka-ria (dan mengarut). Tiba-tiba aku merasai tumpuan dan perspektif yang jelas. Tiada masa lagi untuk segala yang tidak penting. Aku mesti memberi tumpuan kepada diri aku, kerja aku dan rakan-rakan aku. Aku tidak lagi akan menonton “NewsHour” setiap malam. Aku tidak akan lagi memberi perhatian kepada politik atau hujah-hujah mengenai pemanasan global. Ini bukan tidak peduli namun pemisahan – aku masih lagi kisah tentang Timur Tengah, pemanasan global, mengenai jurang ketidaksetaraan, namun ini bukan lagi urusan aku; semuanya milik masa hadapan. Aku gembira apabila bertemukan muda-mudi berbakat – termasuklah yang membiopsi dan mendiagnosis metastasisku. Aku rasa masa hadapan berada di tangan yang baik. Aku semakin sedar, sejak 10 tahun kebelakangan ini, tentang kematian di kalangan warga sezamanku. Generasi aku dalam perjalanan keluar, dan setiap kematian aku rasakan bagai sentakan, merobek sebahagian daripada diriku. Akan tiada siapa lagi seperti kita apabila kita pergi, namun tiada pernah juga wujud sesiapa seperti yang lain. Apabila seseorang mati, mereka tidak boleh diganti. Mereka meninggalkan kekosongan yang tidak dapat dipenuhi, kerana itulah nasib – secara genetik dan neural – setiap manusia untuk menjadi individu yang unik, untuk mencari perjalanannya sendiri, mengharungi kehidupannya sendiri, dan menerjah kematiannya sendiri. Aku tidak mampu berpura-pura bahawa aku tidak takut. Namun perasaan utama aku adalah kesyukuran. Aku telah mengasihi dan dikasihi; aku telah dilimpahkan kurnia dan memberi sesuatu semula sebagai balasan; aku telah membaca dan mengembara dan berfikir dan menulis. Aku telah berhubung dengan dunia, hubungan khas antara penulis dan pembaca. Lebih dari segalanya, aku telah menjadi makhluk yang mampu merasa, berfikir, di planet yang indah ini, dan itu dengan sendirinya merupakan keistimewaan dan pengalaman yang hebat. _________ Oliver Sacks, seorang profesor neurologi di Sekolah Perubatan New York University, ialah pengarang beberapa buah buku, antaranya Awakenings dan The Man Who Mistook His Wife for a Hat.

]]>