Kitalah Pemimpin Yang Dinantikan

Bersih 4 [Terjemahan makalah “We are the leaders we are waiting for” tulisan Mohan Ambikaipaker, terbitan Malaysiakini pada 2 September 2015. Diterjemahkan oleh Yana Rizal] Dah Bersih, Sekarang Apa? Pasca saat bersejarah himpunan Bersih 4 untuk demokrasi di Malaysia, semestinya persoalan yang timbul ialah: Sekarang, apa yang akan terjadi? Lagi pula, jauh benak fikiran kita, mungkin timbul perasaan skeptikal dan ada yang mula tertanya apa hasil sebenarnya: Adakah himpunan ini akan membawa kepada undi tidak percaya ke atas Perdana Menteri Najib Tun Razak pada bulan Oktober? Adakah himpunan ini akan membebaskan Anwar Ibrahim dan tahanan politik lain? Adakah himpunan ini akan menyelamatkan wang ringgit daripada menjunam lagi? Walaupun ini merupakan persoalan yang menarik dan penting, saya percaya ia bukan isu pokok buat rakyat. Pertama sekali, kita perlu memahami makna sebenar apa yang telah tercapai dari segi budaya politik rakyat. Budaya Politik Rakyat Budaya politik rakyat adalah proses perlahan yang mana rakyat semakin membangun untuk menentukan identitinya, dan belajar untuk bertindak secara bebas bagi pihaknya sendiri. Rakyat terdiri daripada kuasa sosial melalui perjuangan politik dan proses pembebasan dirinya daripada penindasan. Segala bentuk penindasan: rasuah, perkauman, seksisme, xenofobia, homofobia, Islamofobia, dan pengeksploitasian golongan miskin, Orang Asal dan pekerja imigran. Berfikir dan bertindak sebagai rakyat dan demi rakyat adalah sangat berbeza dengan proses pemikiran seorang pemimpin dalam parti politik. Budaya politik rakyat bukan semata-mata cara untuk mencapai matlamat tertentu, sebagai contoh, penggulingan segerombolan pemimpin korup dan digantikan dengan sekumpulan lagi pemimpin elitis. Ia juga bukan perubahan rejim dan kemunculan sistem dua parti, seperti yang dilihat di Barat. Walau di Barat, masalah rakyat tidak diselesaikan oleh sistem dua parti yang dikawal oleh golongan kaya dan kaum dominan. Namun, apa yang berlaku di Malaysia beberapa hari ini, dalam Bersih 4, adalah permulaan segar dan menarik dalam kisah budaya politik rakyat Malaysia. Anwar Mengimbas Sejarah Sejak pelancaran Reformasi pada tahun 1998, selepas pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri, rakyat Malaysia telah membangkitkan semula demokrasi melalui jalanan sebagai tanda kuasa politik di peringkat akar umbi. Waktu itu, 60,000 rakyat Malaysia turun ke jalanan untuk membantah apa yang mereka lihat sebagai rejim autoritarian Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad. Walaupun Mahathir telah menggunakan penindasan kuasa negara ke atas lawannya, baik dari dalam dan luar Umno acap kali sebelum ini, Reformasi merupakan pembuka mata rakyat Malaysia, buat masyarakat Melayu khususnya, mengenai bahaya autoritarianisme Mahathir. Kemuncak bantahan ini adalah perletakan jawatan Mahathir akhirnya pada tahun 2003. Mungkin ia mengambil masa lima tahun, namun rakyat Malaysia akhirnya telah mendapatkan kemenangan penting dalam perjuangan untuk menghentikan pemerintahan autoritarian seorang pemimpin daripada berkekalan. Banyak negara pasca-kolonial lain telah tenggelam dalam pemerintahan autoritarian dan tiada jaminan bahawa Malaysia juga tidak akan terjerlus sama. Hindraf Protes Hindraf Peristiwa Penting Sejurus selepas perhimpunan Bersih 2007, kemunculan protes Hindraf merupakan satu pencapaian besar. Kepentingan sejarah demonstrasi ini terletak pada hakikat bahawa sebuah kaum terpinggir di Malaysia mampu mengutarakan penderitaan komunitinya yang diabaikan. Banyak analisis kritikal sebelum Hindraf membangkitkan kurangnya sokongan minoriti Cina dan India semasa Reformasi. Penyertaan semula minoriti kaum dan etnik dalam protes politik memberi satu lagi isyarat penting dalam perkembangan budaya politik rakyat yang membantah. Buat kaum minoriti dan etnik di Malaysia, demonstrasi jalanan Hindraf melucutkan kebimbangan terhadap keganasan yang sering dikaitkan dengan ancaman “13 Mei” yang digunakan oleh rejim pemerintah bagi mengekalkan sokongan pengundi. Perkembangan sejarah popular ini juga akhirnya membawa kepada kemunculan parti-parti pembangkang berdaya saing dan kejayaan mereka dalam dua pilihan raya umum 2008 dan 2013. Kejayaan pilihan raya ini menghapuskan majoriti dua pertiga Parlimen yang sangat penting buat rejim pemerintah pada tahun 2008. Setelah menghentikan pemerintahan Mahathir yang seolah-olah tidak berkesudahan, ini merupakan kemenangan penting buat rakyat untuk kali kedua, bagi menghentikan perubahan sewenang-wenangnya ke atas perlembagaan. Pilihan raya umum 2013 menyaksikan satu lagi kejayaan buat rakyat. Kali ini, kemenangan pada majoriti undi berbilang kaum buat parti-parti pembangkang. Satu lagi halangan yang seakan tidak dapat diatasi dalam sejarah Malaysia moden kini telah dihancurkan. Bersih 4 Wudhu Bersih 4 Capai Apa? Kepentingan Bersih 4 harus diteliti sebagai kisah kemunculan kebangkitkan rakyat yang semakin yakin dan mempelajari untuk menuntut kuasa melalui kerjasama dan kesaksamaan dengan pelbagai identiti yang membentuk rakyat Malaysia. Dengan menentang kerajaan korup melalui keingakaran awam, rakyat telah lebih matang dalam menyedari bahawa mereka hanya perlu memberi persetujuan untuk ditadbir oleh kerajaan yang benar-benar mewakili kepentingan mereka dan bertindak secara aktif untuk kesejahteraan mereka. Maka, persoalan penyertaan orang Melayu atau Cina dalam Bersih 4 harus diletakkan dalam perspektif. Sudah tentu taktik pecah dan perintah digunakan untuk memecahkan evolusi rakyat ini. Namun evolusi rakyat tidak berakhir dengan Bersih 4. Ini sebenarnya kisah yang tiada berkesudahan. Lihat sahaja gambar indah umat Islam bersolat ketika Bersih 4 sementara orang bukan Islam menghormati dan juga membantu dengan wudhu. Gambar bernilai seribu bahasa dan jelaslah dengan menghapuskan pengasingan, rakyat menunjukkan prinsip-prinsip masyarakat alternatif, yang berbilang kaum dan agama buat Malaysia yang sedang menunggu untuk membangun sepenuhnya. Inilah pentingnya masyarakat memahami apa peranan mereka dalam membangunkan rakyat. Kita tidak boleh mengkritik pemimpin jika kita sendiri tidak terus berubah, belajar dan berkembang sebagai rakyat yang bertanggungjawab dan memperjuangkan keadilan untuk semua. Dan untuk ini kita tidak perlukan lagi mana-mana pemimpin. Seperti Grace Lee Boggs, seorang aktivis Cina Amerika katakan, “Kitalah pemimpin yang kita nantikan.”

]]>