Kolem 3D – Tradisi India di Zaman Baru

Ruben membuat kolem sepanjang 18 meter di MidValley sempena Deepavali pada tahun lalu Ruben membuat kolem sepanjang 18 meter di MidValley sempena Deepavali pada tahun lalu[/caption] Kolem? Apa Simboliknya Orang ramai yang berkunjung ke pusat beli-belah MidValley menjelang sambutan Deepavali pada tahun lalu melahirkan kekaguman melihat rekaan kolem pelbagai warna bersaiz 18 x 4.5 meter (60 x 15 kaki) yang menghiasi ruang legar. Rasa hairan dan kagum bertambah apabila mereka menyedari bahawa individu yang mengusahakan kolem tiga dimensi (3D) itu adalah seorang pemuda berumur 28 tahun. Kreativiti yang digunakan oleh Ruben Prakash dan rakan-rakannya untuk menghasilkan lukisan kolem yang cantik dan berwarna-warni itu ternyata menarik minat pengunjung pelbagai kaum lebih mengenali seni rekaan kolem. Perkataan kolem dalam Bahasa Tamil membawa makna “indah” atau “cantik”. Penduduk di bahagian India Utara menggunakan istilah ranggoli yang biasa didengar dalam filem-filem Bollywood. Tradisi rekaan kolem pada lantai dan kaki lima di depan rumah menjadi amalan dalam kalangan gadis dan wanita kaum India sejak ribuan tahun dahulu. Amalan itu berbalik kepada ajaran dharma atau kebajikan yang menjadi salah satu perkara penting dalam Sanathana Dharma (Hinduisme). [caption id="attachment_4708" align="alignleft" width="400"]Beras hancur dicampur pewarna makanan Beras hancur dicampur pewarna makanan[/caption] Pada zaman dahulu, golongan wanita India lebih banyak menghabiskan masa membuat kerja-kerja rumah dan menjaga keluarga. Maka, peluang untuk mereka terlibat dalam aktiviti kebajikan (dharma) dalam masyarakat umum sangat kurang. Bagi mengatasi kekurangan itu, mereka mula mencipta corak kolem menggunakan serbuk tepung beras pada lantai. Senireka berwarna putih ini bukan hanya cantik dipandang, malah menjadi sumber makanan bagi serangga kecil, semut dan burung. Maka, golongan wanita juga berpeluang melakukan kebajikan yang dituntut dalam ajaran Hindu. Sejarah ini dijelaskan secara ringkas oleh Retna Devi Balan menerusi sebuah makalah yang disiarkan dalam majalah Dewan Budaya keluaran September 1997. Katanya, selain daripada beras dan tepung beras, bahan-bahan lain yang selalu digunakan adalah kerisik kelapa, biji sagu, kacang hijau dan bunga. Menurut Ruben yang tinggal di Puchong, Selangor, ada juga pembuat kolem yang turut menggunakan rempah-ratus tradisional India seperti bunga cengkih, kayu manis dan serbuk kunyit dalam usaha menghasilkan kolem yang unik serta menampilkan kekayaan tradisi. “Saya menggunakan pewarna makanan untuk dicampurkan pada serbuk beras bagi menghasilkan corak pelbagai warna. Hal ini penting bagi memastikan bahawa tujuan asal rekaan kolem tidak terabai; iaitu memberikan makanan kepada serangga kecil dan semut,” kata graduan bidang reka bentuk grafik dari Universiti Limkokwing, Cyberjaya. Ada juga kedai menjual serbuk kolem pelbagai warna yang dicampur bahan kimia. Corak kolem yang terhasil memang cantik tetapi selepas beberapa hari, bahan kolem itu terpaksa dibuang kerana serangga tidak akan memakannya. Maknanya, rekaan kolem itu hanya untuk hiasan dan tidak lagi memenuhi tujuan asal memberi makan kepada serangga dan burung. Tradisi Tidak Lupus di Tangan Pemuda [caption id="attachment_4712" align="alignleft" width="201"]Ruben memanfaatkan sepenuhnya bakat seni yang dipelajari semasa tinggal di Persatuan Pure Life Ruben Prakash[/caption] Apabila Ruben diundang membuat kolem khas di MidValley pada tahun lalu, dia memastikan hanya bahan-bahan asli digunakan. Maknanya, hanya beras hancur dan pewarna makanan yang selamat dimakan digunakan. “Awal-awal lagi saya sudah memberitahu pihak pengurusan bahawa apabila pameran berakhir beberapa minggu kemudian, beras warna itu jangan dibuang ke dalam tong sampah. Sebaliknya diberikan kepada serangga atau burung,” kata pemuda itu yang turut meminati bidang tarian, karate dan yoga. Ruben tinggal di Persatuan Pure Life, Jalan Puchong sejak berumur sembilan tahun. Pada waktu itulah saya mengenalinya apabila beberapa kali Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menganjurkan aktiviti Baca Cerpen Kavyan dan Apresiasi Sastera Remaja. Semasa tinggal di Persatuan Pure Life, Ruben tertarik untuk mempelajari tarian tradisional etnik Tamil iaitu bharatanatyam. Pemuda ini turut belajar joget, tarian kipas, kathak, ngajat dan kathakali. “Semasa tinggal di Persatuan Pure Life, saya belajar sendiri teknik rekaan kolem asas menggunakan tepung beras. Kemudian, seorang sukarelawan wanita yang datang dari India mengajar saya cara-cara menghasilkan kolem yang pelbagai,” kata Ruben yang menggunakan daya kreativiti dan imaginasi bagi menghasilkan pelbagai rekaan dan corak kolem. Corak merak, bunga, lukisan abstrak, angsa, teratai dan wajah penari kathakali sering menjadi pilihan orang ramai yang mengundangnya membuat kolem sempena majlis perkahwinan, pertunangan, upacara keagamaan atau sekadar hiasan pada majlis kebudayaan. Tidak ada saiz standard untuk rekaan kolem. Apa yang pasti, kolem biasanya berbentuk simetri. Kolem paling asas adalah dengan meletakkan empat titik pada lantai menggunakan serbuk tepung beras yang dicairkan dengan sedikit air. Kemudian, jari digunakan untuk membentuk corak garisan beralun mengelilingi titik-titik berkenaan. [caption id="attachment_4711" align="aligncenter" width="502"]Penghuni Persatuan Pure Life belajar membuat kolem ringkas Penghuni Persatuan Pure Life belajar membuat kolem ringkas[/caption] Pada Mei 2003, sekumpulan 30 pelajar pelbagai kaum dari Kolej Prime USJ (kini Kolej SEGi) menghasilkan kolem 102.5 x 1.2 meter. Kolem dengan motif merak itu menggunakan sekitar 800 kilogram kerisik kelapa yang dikeringkan sebelum dicampurkan dengan pewarna ungu, kuning, hitam, putih, biru dan hijau. Kejayaan para pelajar tersebut turut mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records. Pada tahun 2008, Ruben mendaftarkan Mangalam Creation  yang berpengkhususan dalam kerja-kerja penghasilan kolem. Pemilihan nama adalah sempena Datin Paduka A. Mangalam yang mengendalikan Persatuan Pure Life dan menjadi sumber inspirasi serta pemberi semangat kepada Ruben sejak mula-mula tinggal di rumah anak yatim itu. Sekumpulan remaja dari Persatuan Pure Life juga terlibat dalam aktiviti rekaan kolem bersama Ruben di bawah Mangalam Creation. Malah, beberapa anak didiknya memenangi pertandingan rekaan kolem dari semasa ke semasa. Segala kejayaan ini tidaklah menghairankan jika kita berpeluang melihat sendiri keunikan dan keistimewaan kolem yang dihasilkan. Meneruskan Tradisi India di Zaman Baru Salah satu corak menarik adalah kolem tiga dimensi (3D) yang menggabungkan seni reka visual tiga dimensi dengan rekaan kolem dua dimensi. Hasilnya adalah kolem yang seolah-olah benar-benar muncul dan timbul secara tiga dimensi pada permukaan lantai. [caption id="attachment_4709" align="aligncenter" width="602"]Kolem tiga dimensi seperti ini mendapat sambutan hangat Kolem tiga dimensi seperti ini mendapat sambutan hangat[/caption] Contohnya, bahagian kepala dan leher merak dibuat dalam bentuk 3D menggunakan polistirena. Bahan-bahan kolem pelbagai warna dilekatkan pada permukaan kepala dan leher merak itu mengikut corak yang sesuai. Kemudian, bahagian kepala 3D itu diletakkan secara menegak di atas lantai. Rekaan kolem bagi badan, sayap dan ekor merak dibuat penuh indah pada lantai. Maka terhasillah kolem 3D yang menggambarkan seekor merak mengigal megah. Menurut Ruben, corak kolem 3D yang sering dibuat olehnya adalah merak, gajah dan bunga teratai. Orang ramai yang mengundangnya membuat kolem sempena majlis perkahwinan, pertunangan, ponggal, tahun baru, Vishu, Ugadi dan Deepavali sering meminta pemuda itu menggunakan daya kreativiti bagi menghasilkan corak serta rekaan kolem yang lain daripada yang lain. Hakikat yang tidak boleh dinafikan adalah bahawa ramai juga generasi muda kaum India yang tidak tahu mencipta kolem. Ada juga wanita yang memberikan alasan tiada masa kerana sibuk dengan kerja, atau tidak cukup ruang di rumah yang sempit; apatah lagi jika tinggal di rumah pangsa. Pada masa yang sama, bagi mengekalkan tradisi dan budaya, ramai yang menggunakan kolem tiruan berbentuk pelekat. Sayangnya kolem jenis ini tidak memenuhi niat asal mencipta kolem iaitu melakukan kebajikan dengan memberi makan kepada semut, serangga kecil dan burung. Ramai pula yang memanfaatkan ruang kecil di rumah untuk mencipta kolem yang kecil, kemas dan cantik dengan menggunakan daya kreativiti dan imaginasi. Lampu kecil dan bunga-bungaan ditambah untuk menaikkan seri pada kolem kecil yang dibentuk. Perkembangan ini menunjukkan bahawa kesedaran terhadap nilai tradisional semakin meningkat di kalangan generasi muda. Bagi mereka yang kekurangan idea, terdapat banyak buku terbitan India yang mengumpulkan pelbagai corak kolem serta memberikan panduan asas rekaan kolem. Ruben mengaku sering merujuk pelbagai buku seperti itu bagi mendapatkan idea dan inspirasi untuk menghasilkan corak-corak baru mengikut citarasa semasa. Menurut Ruben, dengan adanya YouTube, orang ramai bukan sahaja boleh belajar memasak makanan pelbagai negara, tetapi juga cara mengikat sari dan membuat kolem. Generasi muda yang celik komputer dan teknologi maklumat (IT) pasti teruja untuk belajar menghasilkan kolem secara mudah. Buat masa ini, Ruben menggunakan masa lapang untuk mengajar sekumpulan kanak-kanak dan remaja di Persatuan Pure Life menciptakan kolem dan membuat pelbagai barangan perhiasan bagi acara kebudayaan India. Katanya, selain merupakan suatu sumbangan kecil kepada rumah anak-anak yatim yang menjadi tempat tinggalnya sejak berumur sembilan tahun, kelas rekaan kolem ini juga membantu mengisi masa lapang penghuni dengan aktiviti berguna. Dengan adanya semangat meraikan kepelbagaian, memupuk persefahaman dan mengeratkan perpaduan, masyarakat pelbagai kaum dan etnik juga menunjukkan minat untuk mempelajari seni membuat kolem yang menjadi salah satu identiti kebanggaan kaum India. unnamed

]]>