Kuasai BM, kekalkan jati diri

E Pian berkongsi pengalaman semasa sesi ceramah. E Pian berkongsi pengalaman semasa sesi ceramah.[/caption] Demikian antara intipati penting daripada sesi ceramah yang disampaikan oleh E Pian Pro Paul (Pian Chindaphed) kepada sekumpulan guru Bahasa Malaysia dari SJKC Kuen Cheng 1 dan SJKC Kuen Cheng 2 pada 20 Mac 2014. Pandangan dan hujah yang diketengahkan itu mungkin kedengaran agak biasa tetapi sebenarnya amat penting dalam usaha memastikan masyarakat pelbagai kaum, etnik, budaya dan agama di negara bertuah ini dapat sama-sama meningkatkan usaha menguasai Bahasa Malaysia tanpa perlu mengorbankan jati diti. Dalam sesi ceramah sekitar sejam di Bilik Mesyuarat SJKC Kuan Cheng 2, Kuala Lumpur, penulis berketurunan Siam dan beragama Buddha itu yang berasal dari Pasir Mas, Kelantan berkongsi pengalaman sendiri untuk dijadikan contoh terbaik kepada para guru yang hadir. “Penduduk keturunan Siam dan Cina di Kelantan memang cukup akrab dengan bahasa dan budaya Melayu. Malah, saya dan abang saya berkomunikasi menggunakan bahasa Melayu Siam. Bersama anak-anak pula, saya menggunakan bahasa Siam Kelantan. “Sejak kecil, saya bergaul dengan orang Melayu di kampung saya iaitu Kampung Padang, Gelang Mas, Pasir Mas. Penggunaan Bahasa Malaysia standard pula dikuasai menerusi pembacaan majalah-majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP),” E Pian menceritakan secara santai. [caption id="attachment_3161" align="alignleft" width="150"]Kelompok penulis Siam diangkat dalam Dewan Sastera, Ogos 2013. Kelompok penulis Siam diangkat dalam Dewan Sastera, Ogos 2013.[/caption] Minat membaca membawa pula kepada minat menulis cerpen di mana karya pertamanya – sebuah cerpen yang ditulis pada tahun 1984 – tersiar dengan judul “Mek” di akhbar Watan, tiga tahun kemudian. Bakatnya terus diasah apabila menyambung pengajian di Jabatan Penulisan, Universiti Malaya pada 1987-1990. “Penguasaan bahasa yang saya miliki bukannya datang semata-mata kerana saya lahir dan membesar dalam kalangan orang Melayu di Kelantan. Sebaliknya, saya belajar Bahasa Malaysia secara formal bukan hanya di sekolah tetapi juga dengan banyak membaca buku dan majalah. “Semasa saya di sekolah menengah, mendiang ayah saya pernah berpesan kepada saya bahawa sebagai seorang anak Malaysia, saya wajib mahir dalam penggunaan bahasa kebangsaan,” kata beliau yang kini menjawat jawatan pegawai perancang bahasa di Bahagian Pengembangan Bahasa Kebangsaan Pelbagai Kaum, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP. Kes-kes terpencil beri gambaran negatif Kata-kata itu segera mengingatkan saya kepada sajak “Datukku Bahasa Malaysia” (Siasah, Oktober 2002) di mana watak “datuk” berpesan kepada “saya”: “Kau tidak harus hanya berbangga bercakap bahasa ibunda; kau tidak harus hanya berbangga bercakap bahasa Inggeris; tetapi kau wajib berbangga bercakap Bahasa Malaysia.” E Pian turut menceritakan kepada para guru yang hadir bahawa beliau mengambil mata pelajaran Pengetahuan Agama Islam pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Beliau mengakui bahawa langkah itu membuatkan ramai yang mengandaikan bahawa beliau akan meninggalkan agama asal (Buddha). Walau bagaimanapun, amat membanggakan bahawa penulis keturunan Siam ini masih mengekalkan jati diri dan agama asal. Pada masa sama, beliau berbangga kerana menguasai Bahasa Malaysia dan agama Islam secara mendalam. Situasi seperti ini memang selalu berlaku dalam kalangan penulis Bukan Melayu yang terlibat dalam bidang penulisan Bahasa Malaysia. Saya mula menulis secara profesional pada tahun 1992. Penguasaan Bahasa Malaysia (Melayu), budaya Melayu dan agama Islam yang dimiliki adalah membanggakan. Akibatnya, soalan yang sering diajukan oleh rakan-rakan penulis dan wartawan Melayu-Islam adalah sama ada saya mempunyai “niat” meninggalkan agama asal dan mengahwini orang Melayu. Saya menyifatkan pertanyaan itu sebagai “soalan kedua paling bodoh” selepas soalan “Bagaimana saudara boleh fasih Bahasa Malaysia?” Pengalaman awal saya berdepan dengan orang dan pertanyaan seperti ini terungkap dalam cerpen “Impian Syarif” (Siru Kambam, 1996) dan makalah “Pertanyaan yang Memalukan” (Pelita Bahasa, Ogos 1997). Di sisi yang lain pula, masyarakat Bukan Melayu berhak untuk kecewa dengan sikap beberapa individu (penulis) yang memilih untuk meninggalkan agama asal – malah “meninggalkan” kaum dan budaya asal! – berikutan penguasaan bahasa Melayu. Gambaran negatif yang dihantar oleh kelompok kecil dalam kes-kes terpencil seperti ini adalah bahawa sekiranya seseorang menguasai Bahasa Malaysia (Melayu), mendalami ajaran Islam serta mengenali budaya orang Melayu, maka ada kemungkinan besar bahawa individu terbabit akan meninggalkan agama asal. Beberapa contoh penulis Bukan Melayu E Pian yang merupakan penerima pelbagai anugerah penulisan, khasnya Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2010/2011, menjadi contoh baik untuk menunjukkan bahawa seseorang penulis tidak perlu berkompromi dalam soal bahasa ibunda, jati diri, agama, budaya dan tradisi apabila terlibat dalam bidang penulisan bahasa kebangsaan. Dalam sesi ceramah berkenaan, turut disentuh mengenai beberapa penulis Bukan Melayu yang aktif menghasilkan karya Bahasa Malaysia dan didapati bahawa terdapat suatu persamaan yang amat ketara antara kesemua mereka. Lim Swee Tin lahir dan membesar di Bachok, Kelantan dan mengakui bahawa “membesar di kalangan orang Melayu” menjadi antara faktor utama yang menyumbang kepada penguasaan bahasa Melayu yang dimilikinya. Saroja Theavy Balakrishnan berasal dari Kedah manakala Raja Rajeswari Seetha Raman membesar di Bagan Serai, Perak. Kedua-dua mereka juga mengakui secara terbuka bahawa faktor utama penguasaan bahasa Melayu adalah pergaulan dengan jiran-tetangga kaum Melayu. Dalam kes saya pula, sepertimana saya tegaskan menerusi suatu wawancara (theSun, 16 Julai 2009), saya lahir dan membesar di sebuah kampung berpenduduk majoriti kaum India. Saya tidak rela berpura-pura mengatakan bahawa penguasaan Bahasa Malaysia yang saya miliki adalah kerana saya membesar dalam kalangan jiran Melayu. Sebaliknya, saya sentiasa menegaskan dengan bangga dan gembira bahawa walaupun saya membesar di Aulong Lama, Taiping dalam kalangan kaum India (dan satu atau dua jiran Melayu), penguasaan Bahasa Malaysia tidak menjadi masalah kerana ia bahasa kebangsaan yang sama-sama kami cintai sejak usia muda. Sewaktu membincangkan topik berkenaan, E Pian mengakui bahawa walaupun tidak membesar atau bergaul sepenuhnya dengan orang Melayu, seseorang masih boleh menguasai bahasa kebangsaan sekiranya bahasa itu digunakan dalam kalangan masyarakat dan kawan-kawan sendiri. Penulis kumpulan cerpen Garis Sempadan (2010) itu memberikan contoh di mana rakan-rakan pelbagai kaum (Bukan Melayu) boleh sahaja menggunakan Bahasa Malaysia untuk berkomunikasi walaupun individu kaum Melayu tidak hadir dalam perbualan itu. Persatuan Siam Kelantan, Kuala Lumpur dan Selangor Suatu contoh baik yang E Pian berikan adalah suasana di Sabah dan Sarawak di mana penduduk pelbagai kaum, etnik, keturunan dan latar belakang menggunakan Bahasa Malaysia secara lazim untuk berkomunikasi. Hal ini membuktikan bahawa Bahasa Malaysia bukan milik orang Melayu semata-mata. Malah, hasil pergaulan saya dengan rakan-rakan Bukan Melayu dan Bukan Islam di Sabah dan Sarawak, mereka turut menggunakan Bahasa Malaysia dalam kalangan kelompok sendiri; termasuk dalam upacara keagamaan. Contoh paling dekat adalah penggunaan Bahasa Malaysia dalam upacara keagamaan Kristian di gereja. Saya juga secara penuh sedar menggunakan Bahasa Malaysia untuk menghasilkan makalah dan cerpen yang mengangkat kisah serta budaya India dan agama Hindu; walaupun sering dituduh “cuba menyebarkan agama Hindu”. [caption id="attachment_3159" align="alignleft" width="150"]Budaya dan agama dikekalkan orang Siam di Kelantan. Budaya dan agama dikekalkan orang Siam di Kelantan.[/caption] Di sisi yang lain, penguasaan dan penggunaan Bahasa Malaysia tidak pula bermakna bahasa ibunda serta bahasa-bahasa lain dipinggirkan. Perkara ini turut diakui E Pian yang merupakan Setiausaha Persatuan Siam Kelantan, Kuala Lumpur dan Selangor (Pesila). “Walaupun kita mahir dalam bahasa kebangsaan, ia tidak menghilangkan jati diri kita. Saya boleh menegaskan perkara ini berdasarkan pengalaman saya sendiri. “Walaupun saya menulis sajak, cerpen, skrip drama dan televisyen, serta menjadi pegawai perancang bahasa di DBP dan menguasai bahasa kebangsaan, tetapi semua itu tidak sedikit pun menghilangkan jati diri saya sebagai individu keturunan Siam dan beragama Buddha,” katanya. Saya turut bangga dengan usaha-usaha yang dilakukan secara berterusan oleh Pesila sejak 1998 untuk memastikan penduduk keturunan Siam di Malaysia tetap menguasai, menghargai dan memelihara bahasa, budaya, jati diri dan agama kelompok berkenaan. “Salah satu objektif penubuhan Pesila adalah untuk mewujudkan sekolah bahasa Thai di Kuala Lumpur. Dalam perlembagaan persatuan, dinyatakan secara jelas bahawa Pesila bermatlamat mengembalikan penguasaan bahasa ibunda dalam kalangan ahli persatuan dan masyarakat Siam tanpa mengabaikan kepentingan bahasa kebangsaan,” beliau menegaskan. Semangat waja seperti ini wajar disebarkan kepada lapisan masyarakat pelbagai kaum, etnik dan keturunan di Malaysia dalam usaha meraikan kepelbagaian yang sesungguhnya merupakan keunikan yang mungkin hanya terdapat di negara bertuah ini.         unnamed

]]>