LGBT dan Keadilan Yang Sukar Dimengerti

LGBT Malaysia Sejarah LGBT Dipolitikkan Pada tahun 2011, LGBT dipergunakan oleh pihak politik untuk memburukkan kempen Bersih, kempen yang menuntut pilihanraya dan kerajaan yang bersih. Mata rakyat dikaburi untuk mengalihkan perhatian mereka daripada kesalahan yang dilakukan oleh setengah pihak pemimpin dan kerajaan secara amnya (sila rujuk makalah saya yang bertajuk “Seksualiti: Suatu Pengenalan”). Sememangnya, golongan LGBT adalah sasaran yang mudah untuk keuntungan politik. Ini kerana masih ramai di kalangan kita yang tidak selesa dengan kewujudan LGBT. Mereka mudah dipermainkan untuk terus mengabaikan hak asasi manusia LGBT, mencaci LGBT, membenci LGBT, mengasari LGBT, dan kalau boleh, menjenayahkan golongan ini tanpa mempertimbangkan hak asasi manusia. Iaitu hak kesamarataan untuk setiap orang, kerana nilai kita sebagai manusia tetap sama dan patut dilindungi sama rata oleh perundangan kita (sila rujuk makalah saya yang bertajuk, “Hak LGBT dan Akta Harmoni Nasional”). Pada bulan Ogos lepas, saya yakin ramai orang LGBT telah turun ke jalanraya walaupun kami berisiko dikasari dan dijenayahkan oleh pihak yang berkuasa dan berpengaruh. Kami sanggup berpegang kepada pendirian bahawa kita memerlukan pilihanraya dan kerajaan yang bersih untuk memastikan pengasingan kuasa di antara tiga cabang kerajaan, iaitu perundangan, kehakiman dan eksekutif. Ini adalah supaya akauntabiliti dan ketelusan urus tadbir yang baik dapat ditegakkan dengan lebih cekap dan berkesan. Kesanggupan kami ini tidak lari dari perjuangan kami, terutamanya kaum trans, yang panjang dan sukar untuk menuntut hak asasi manusia yang sama rata dan berpatutan seperti yang dinikmati orang lain. Transgender Case Pengiktirafan Orang LGBT dan Keadilan Kes mahkamah transgender yang menuntut supaya hak asasi mereka dilindungi sama rata masih berlangsung sejak tahun 2010, dan kini dibelakangkan sekali lagi oleh Mahkamah Persekutuan. Kemenangan mereka pada tahap Mahkamah Rayuan ditentang oleh pibak Kerajaan. Golongan trans terdesak untuk membawa kes mereka ke mahkamah kerana keengganan pihak berkuasa untuk mempertimbangkan perkembangan  dari bidang ilmu lain. Psikologi sekarang mengiktiraf “disforia gender”, iaitu ketidaktenteraman dalam diri seseorang kerana tubuh badan dan anggota seks mereka sejak lahir tidak serasi dengan identiti gender mereka. Ketidakadilan terhadap golongan transgender sejak zaman 80an adalah salah satu daripada gejala sistemik sebuah kerajaan yang enggan mendengar suara rakyatnya, lebih lagi yang lemah kedudukan sosial, ekonomi dan politik. Saya yakin gejala-gejala lain sudahpun dikecam oleh para pembaca. Sudah banyak yang ditulis mengenai isu penggunaan nama Tuhan, 1MBD, pembelian harta di Australia oleh MARA, dan sebagainya. Selagi kita tiada pegawai yang berintegriti untuk memegang jawatan-jawatan kekuasaan dan berpengaruh dalam tiga cabang kuasa kerajaan—perundangan, kehakiman dan eksekutif—kita akan terus menghadapi pelbagai ketidakadilan dalam negara yang rencam ini. LGBT Bersih Mungkin juga isu rasuah dan ketidakadilan yang berleluasa di negara ini adalah akibat kecenderungan mimpi feudal kita. Mengharapkan seorang wira muncul dari kalangan pemimpin kita yang sedia ada, dan bukan membangkitkan wira dalam diri kita sendiri. Wira bukan sahaja mereka yang berani menegaskan pendirian mereka di khalayak ramai. Wira adalah mereka yang beretika dan berintegriti. Integriti bukan sahaja berasaskan intelek tetapi juga belas ihsan. Wira adalah mereka yang tidak sanggup melihat ketidakadilan berterusan, yang sanggup bersuara tidak mengira bangsa, agama, umur, seksualiti, kewarganegaraan dan sebagainya. Ini bermakna kalau kita beretika, kita perlu berpegang kepada pendirian untuk menentang ketidakadilan. Kalau pendirian itu tiada, kita tidak boleh katakan kita beretika. Kalau kita beretika, sememangnya kita menghadapi risiko. Kami sebagai LGBT akan tetap menggunakan setiap saluran untuk menegakkan hak asasi manusia kami sebagai manusia yang patut dinilai secara samarata walaupun gender dan seksualiti kami berbeza. Kami sebagai orang LGBT sudah lama menyumbang kepada kebaikan negara. Biarlah pengiktirafan golongan LGBT berlaku di jalanraya Malaysia, di kampung, di bandar, dalam keluarga, dengan jiran, dengan orang Malaysia di merata tempat. Biarlah wira di dalam diri kita diiktiraf bersama dalam perjuangan kita untuk menegakkan keadilan, dan kesamarataan orang Malaysia.    

]]>