Mansuhkan Sekolah Vernakular Demi Perpaduan?

Sekolah Vernakular Terjemahan “So you want to abolish vernacular schools because you want unity?” tulisan Ooi Kok-Hin, terbitan The Malaysian Insider pada 26 September 2015. Diterjemahkan oleh Yana Rizal. Baru-baru ini, saya membaca dua berita yang merunsingkan. Salah satunya bahawa kerajaan perlu berhenti bertolak ansur dengan bukan Melayu kerana “mereka bukannya mengundi untuk kita”. Kemudiannya seorang mufti mencadangkan bahawa sekolah vernakular patut ditutup dan kita seharusnya mempunyai satu jenis sekolah untuk semua. Beliau boleh pula membangkitkan Singapura sebagai contoh sekolah satu aliran di mana semua boleh bergaul dan tidak mempunyai perbezaan Berita seterusnya adalah laporan bahawa biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) harus diberikan sepenuhnya 100% kepada Bumiputera. Mengenai berita yang pertama, kita telah mendengarinya sekian lama. Pantulan hujah mengenai kepentingan perpaduan nasional berbanding dengan kebebasan untuk memilih aliran persekolahan. Saya cuba untuk tidak memihak dalam makalah ini, namun kalau boleh, saya ingin menunjukkan apa sebenarnya yang dimaksudkan jika kita menyokong satu aliran sekolah dan menutup sekolah-sekolah lain atas nama perpaduan negara. Sekolah Untuk Perpaduan, Sebenar-benarnya… Jika kita ikhlas ingin mewujudkan satu aliran sekolah untuk semua anak-anak Malaysia, kita tidak seharusnya bercakap mengenai penutupan sekolah vernakular semata-mata. Kita juga perlu menutup semua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan sekolah agama. Sekolah-sekolah vernakular dan MRSM/SBP/sekolah agama adalah dua sisi berbeza dalam perkara yang sama. Masing-masing terlalu sejenis, mewujudkan pengasingan etnik dan mengehadkan peluang kanak-kanak untuk terdedah dan berinteraksi bersama kaum-kaum lain sewaktu usia pembentukan kritikal mereka. Pendedahan terhad kepada rakan-rakan kaum lain (itupun jikalau ada) adalah sesuatu yang amat menyedihkan, memandangkan pengalaman di bangku persekolahan selalunya mempengaruhi perwatakan dan pandangan dunia di masa hadapan. Tambahan pula, propaganda dan stereotaip perkauman sangat berkesan apabila ia disebarkan dalam pengasingan dan tidak dicabar oleh sudut pandang lain. Mansuhkan PPSMI Kasta Elit & PPSMI – Bahasa Inggeris, Ya atau Tidak? Adakah golongan elit sudah lupa bahawa kebanyakan mereka tidak pun menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan? Ramai dari kalangan Melayu berpendidikan tinggi berasal dari sekolah-sekolah elit seperti MRSM, SBP dan sekolah-sekolah agama. Malah, saya amat terkejut apabila mengetahui bahawa rakan-rakan dari MRSM menerima pendidikan mereka dalam bahasa Inggeris. Di MRSM, mata pelajaran Sains dan Matematik secara amnya diajarkan dalam bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris dipandang tinggi di MRSM dan dilihat sebagai suatu kemahiran yang mampu menaikkan keberdayaan diri. Tentu sekali ia tidak dipandang rendah ataupun dikhuatiri akan menjejaskan Bahasa Melayu/Malaysia. Saya hampir tidak percaya. Pada masa yang sama, ada pahlawan-pahlawan tertentu yang menentang keras pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) kerana didakwa tidak patriotik dan mengecilkan nilai bahasa kebangsaan. Namun di sini wujudnya penciptaan sekolah elit yang menjalankan kelasnya dalam bahasa Inggeris untuk pelajar yang kebanyakannya Melayu. Persoalannya di sini: adakah kita bersetuju bahawa pendidikan dalam Bahasa Inggeris adalah baik? Jika ya, mengapa keseluruhan warga lain tidak mendapat pendidikan ini? Mengapa hanya segelintir sahaja yang terpilih dapat menikmati keistimewaan ini? Jika jawapannya tidak, maka sekolah-sekolah elit tersebut patut kembali kepada pembelajaran dalam Bahasa Melayu seperti yang lain. Mungkin ringkasan yang terbaik telah dibuat oleh pengerusi Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE), Datin Noor Azimah Abdul Rahim yang mengungkap, “Mereka berkata orang Melayu tidak mampu melakukannya, namun MRSM membuktikan bahawa orang Melayu boleh melakukannya. Maka apakah rasional untuk memansuhkan PPSMI?” Juga, adakah kewujudan dan populariti sekolah elit Melayu menunjukkan bahawa sebilangan besar warga Melayu telah hampa dengan sekolah kebangsaan? Bukankah kita sepatutnya menumpukan semua kemampuan kita dan guru-guru cemerlang kita di sekolah kebangsaan, daripada memberikan yang terbaik hanya untuk sekolah-sekolah elit? Sekolah Satu Aliran Bukan “Penutupan”, Namun “Pembukaan” – Sekolah Milik Siapa? Mungkin “penutupan” bukanlah perkataan yang sesuai. “Pembukaan” adalah lebih baik. Kita tidak perlu menutup semua sekolah-sekolah tersebut kerana ia akan menjadi suatu pembaziran. Memandangkan kita sudahpun mempunyai segala infrastrukur dan tenaga pengajar, kita seharusnya membuka sekolah-sekolah tersebut kepada semua rakyat Malaysia. Alihkannya sebagai sekolah kebangsaan (mengikut nama) dan bukakannya kepada semua (mengikut tatacara). Sebagai langkah pertama, ia semudah ini. Cadangan untuk membuka sekolah-sekolah elit Melayu dapat mudah disalah anggap sebagai mencabar hak-hak istimewa Melayu, namun dapatkah kita membincangkan hal yang sebenarnya? Jika kita inginkan perpaduan, maka semua warga harus melepaskan kepentingan eksklusif masing-masing yang dipaut ketat. Warga bukan Melayu tidak seharusnya menganggap sekolah vernakular sebagai hak milik Cina atau India. Sebaliknya, ia milik semua rakyat Malaysia. Dalam nadi yang sama, orang Melayu tidak seharusnya menganggap lagi bahawa sekolah elit Melayu adalah milik mereka semata-mata. Ini termasuklah MRSM, SBP dan mungkin juga sekolah-sekolah agama. Mengapa tidak? Seseorang sepatutnya boleh berpeluang mempelajari Islam walaupun dia bukan Islam ataupun Melayu. Percubaan untuk mencapai persefahaman tidak semestinya bermaksud kita perlu bersetuju ataupun mempunyai kepercayaan yang sama. Ramai sarjana dalam Islam adalah orang bukan Islam, yang kemudiannya memperkenalkan Islam kepada dunia bukan Islam (seperti Ira Lapidus, Karen Armstrong dan lain-lain). Mengapa berhenti di sana jika kita benar-benar inginkan perpaduan negara? Apa kata kita membuka kolej matrikulasi dan kampus-kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM)? UiTM adalah universiti awam terbesar di Malaysia. Menurut profil universiti di laman web, UiTM mempunyai “12 kampus negeri, 6 kampus satelit di Shah Alam, 11 kampus satelit negeri dan 21 kolej rangakaian”. “Dengan rangkaian seluas ini dan tenaga kerja seramai 17,770, universiti ini menawarkan lebih daripada 500 program akademik dalam suasana yang kondusif dan rancak. Ia menempatkan seramai 175,200 pelajar”. Malaysia Majmuk Kepentingan Diri vs Kepentingan Bersama – Sanggupkah, Bersediakah? Sudah tentu, ini tidak mampu dicapai dalam masa yang terdekat kerana kita semua masih terlalu terikat dengan kepentingan masing-masing. Kita tidak mempercayai satu sama lain. Kita tidak percaya bahawa “mereka” bersedia untuk melepaskan kepentingan diri demi kepentingan bersama. Orang Melayu akan memastikan sekolah-sekolah elit dan UiTM adalah hak milik mereka, manakala orang bukan Melayu akan memastikan sekolah vernakular dan juga, um, Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) sebagai hak milik mereka. Jadi, jika anda sendiri tidak sanggup melakukan apa yang anda cadangkan, maka hentikanlah hipokrasi ini. Juga mengenai hal itu, Tai Zee Kin menulis sebuah pos menarik pada Facebook beberapa hari lalu. Beliau agak tepat menanyakan: “Apabila calon Republikan [Ben] Carson mengatakan bahawa umat Islam tidak patut dibenarkan menjadi Presiden Amerika Syarikat, saya benar-benar menyampah dan tidak bersetuju dengannya. “Dan saya melihat begitu ramai rakan-rakan Muslim Malaysia segera melompat dan mengutuk pendirian Carson. “Persoalan saya kepada rakan-rakan Muslim ini: adakah anda bersedia untuk membenarkan warga Malaysia bukan Islam sebagai Perdana Menteri? “Ada yang berkata ya, namun kebanyakan akan mengatakan tidak. Jadi dari mana datangnya ketinggian moral anda untuk mengecam pendirian Carson? Perasaan anda terhadap ucapan Carson adalah sama seperti perasaan rakyat Malaysia bukan Islam selama ini, cumanya kami telah menerima keberadaan hakikat ini setelah 58 tahun. “Jadi adakah anda bersedia untuk melakukan lonjakan keyakinan dan membenarkan diri anda dipimpin oleh PM yang bukan Islam di Malaysia?” Hypocrite Hipokrasi, Ketandusan & Perkauman – Di Mana Hala Tuju Kita? Apakah implikasi contoh sekolah MRSM/SBP/sekolah agama dan petikan Tai? Kedua-duanya menunjukkan bahawa kita tidak mengamalkan apa yang kita katakan. Kita menuntut supaya orang lain melakukan apa yang kita sendiri tidak sanggup lakukan. Hipokrasi tidak mampu merangkap sepenuhnya keadaan yang sedang berlaku sekarang ini, Kita sangat ketandusan wacana seperti ini hinggakan kita sendiri tidak menyedari apa yang kita mahukan dan apakah kesannya. Mengenai laporan media bahawa biasiswa JPA harus 100% diperuntukkan kepada Bumiputera – wahai kawan, kita sudahpun mempunyai biasiswa seperti ini. Namanya biasiswa MARA. Jika anda menarik biasiswa JPA dari golongan bukan Bumiputera, yang sebenarnya merupakan satu-satunya harapan buat kebanyakan mereka (memandangkan biasiswa lain mempunyai peruntukan yang sangat terhad, paling-paling sedozen berbanding dengan beribu-ribu biasiswa yang diberikan oleh JPA dan MARA setiap tahun) Jika anda mahu melupuskan harapan ini dari kami, lebih baik anda berhijrah ke suatu tempat yang bukan Malaysia. Malaysia adalah sebuah negara yang dikongsi bersama dan kepunyaan semua yang memanggilnya tanah air. Saya bimbang hala tuju kita sebagai negara dengan perkauman yang semakin jelas dan menjadi-jadi tentang segalanya. Jangankan pula sampai suatu hari nanti seseorang akan mewajarkan pembunuhan atas nama Perkara 153. Kita mesti lantang bersuara menentang kegilaan ini sebelum ia terlambat.  

]]>