Melihat Malaysia dari Kaca Mata Asing

malaysia-flag

Alien di Tanah Air

“Kepada semua warganegara Malaysia, selamat pulang ke tanah air,” jurucakap pesawat MH 71 mengumumkan ketibaan pesawat kami di KLIA. Inilah salah satu perkara yang saya paling suka apabila menaiki Malaysia Airline, di samping kebanggaan yang dirasai apabila pesawat negara di negara lain.

Saya mengambil beg “hand-carry” lalu turun dari pesawat menuju ke bahagian imigresen. Selepas pemeriksaan passport yang diimbas secara elektronik, saya berjalan ke tempat mengambil bagasi.

Kebetulan, dua pesawat yang baru tiba dari Bangladesh membawa dua kontinjen orang Bangladesh dan mengakibatkan kesesakan. Saya kira dalam ratusan orang Bangladesh juga.

Menurut salah seorang dari mereka, mereka datang untuk melawat sahaja. Namun, ternyata kawalan polis dan pemeriksaan kastam yang ketat menunjukkan ketidakpercayaan terhadap dakwaan orang Bangladesh itu.

“Mengapa kita menghalang dan menaruh prasangka buruk terhadap pekerja asing di negara ini? Mengapa kita perlu memandang mereka dengan mata yang prejudis?” Fikiran sebegini terlintas seketika.

Mungkin pengalaman di luar negara sebagai seorang alien telah membuatkan aku lebih bersimpati dengan pekerja asing. Baik di New York ataupun Kuala Lumpur, mereka sekadar ingin beradu nasib dan mahukan kehidupan yang lebih baik.

Selalunya aku lihat penduduk tempatan melayan pekerja asing, yang rata-rata buat kerja bawahan yang enggan dilakukan oleh orang kita sendiri, seperti sampah dan haiwan.

Apakah hanya kerana kita membayar duit kepada mereka, maka kita boleh layan mereka seperti hamba?

Biar mereka dari Bangladesh, Myammar, Nepal, ataupun Indonesia, mereka tetap manusia yang mempunyai ahli keluarga tersayang seperti kita.

Migrant Workers Prihatin, Suatu Masa Dahulu…

Kita rakyat Malaysia, terutamanya yang bukan Melayu, sepatutnya lebih prihatin dan memahami mereka. Nenek moyang kita dahulu pun datang dari tempat lain – timur selatan China, India, Arab, Sulu, dan Sumatra.

Mengapa kita menghalang orang lain daripada membuat benda yang sama? Apakah hak dan alasan kita untuk membenci orang lain yang kini mahu mengikuti jejak nenek moyang kita?

Apakah kita yang hidup senang sekarang enggan berkongsi nikmat dan kekayaan hidup kita dengan orang lain?

Saya bukanlah nak suruh kastam buka sempadan negara dan biarkan ribuan orang asing masuk tanpa had. Namun, kita boleh melakukan lebih baik daripada, contohnya, menyeksa kaum Rohingya dan menindas pekerja asing di sini.

Apakah justifikasi tindakan kita melayan mereka seperti spesis yang kurang daripada manusia (“dehumanizing”) ? Ini yang membelenggu fikiran saya.

Panjang pula saya cerita pasal pekerja asing, tapi memanglah juga mereka banyak membantu membangunkan Malaysia tapi dilayan macam sampah.

Yang Menjadi Isu Negara – Apa Nasib Masa Depan Kita?

Selepas hampir dua minggu pulang ke negeri sendiri, saya sudah boleh membiasakan diri.

Tetapi entahlah disebabkan liputan media dan media sosial yang bisa memperbesarkan sesuatu isu, atau mungkin sesetengah kelompok rakyat Malaysia memang sudah menjadi lebih ekstrim.

Hal atlet gimnastik contohnya. Ia tidak pernah menjadi isu sebelum ini. Sazali Samad yang digelar “Mr Universe”, para atlet renang, dan ramai lagi tidak pernah dipersoalkan pemakaian mereka.

Jikalau obsesi konservatisme ini berterusan tanpa dibendung, saya khuatir apa akan terjadi dengan negara ini 20 tahun kemudian.

[caption id="attachment_4870" align="aligncenter" width="492"]Gambar: michellecook.theworldrace.org Gambar: michellecook.theworldrace.org[/caption]

Malaysia Negara Pasaraya – Sarang Konsumerisme

Lagi satu saya dapati trend konsumerisme di kalangan rakyat kita. Saya rasa orang Amerika pun tidak dapat menandingi budaya konsumerisme di tanah air.

Di Malaysia, secara spesifiknya Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang, seolah-olah setiap hari ialah “Black Friday”. Tiap-tiap hari begitu banyak orang membeli-belah di Prangin Mall, First Avenue, Mid Valley, Publika, KLCC, atau Pavillion.

Oh, menyentuh pasal Pavillion, ada iklan oleh Tourism Malaysia ketika penerbangan saya. Dalam iklan tersebut ada memaparkan Pavillion sebagai salah satu ikon dan pusat pelancongan.

Saya fikir pada masa itu, apakah Malaysia yang kita cuba promosikan kepada dunia luar? Rasanya 90% rakyat Malaysia tidak pernah pun membeli apa benda di Pavillion. Saya sendiri pun sekadar mampu pergi sana tengok wayang.

Berbalik kepada isu konsumerisme, nampaknya GST pun tidak memperlahankan budaya “kecenderungan untuk membeli” (“propensity to consume”). Memang harga barang telah naik sejak GST dilaksanakan.

Dulu di Pulau Pinang, mudah untuk mendapatkan makanan dalam RM 3. Sekarang puratanya memerlukan sekurang-kurangnya RM 5.

Pada hemat saya, budaya konsumerisme ini memperlihatkan dua benda. Sama ada ianya bukti negara Malaysia semakin membangun dan rakyat mampu membelanja, ataupun ianya simptom kekurangan kepintaran kewangan (“financial intelligence”) di kalangan rakyat.

Tunjangnya Pendidikan

Saya pun hairan sebenarnya. Mengapa sekolah dan universiti kita mengajar benda-benda seperti biologi, kimia, perakaunan, geografi, dan matematik tambahan tetapi tidak mengajar perancangan kewangan?

Bukan saya nak katakan subjek yang diajar sekarang tidak berguna, tetapi ilmu-ilmu seperti pengurusan kewangan dan kesihatan lebih penting, relevan dan pasti berguna dalam kehidupan seharian.

Article 19

]]>