Projek Dialog

Mempertahankan agama minoriti

Prinsip dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan akan sentiasa menjadi rujukan. Prinsip dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan akan sentiasa menjadi rujukan.[/caption] Bayangkan jika suatu forum khas diadakan bagi mempertahankan serta melindungi agama-agama minoriti di Malaysia daripada dakyah dan serangan pihak luar. Forum itu nanti pasti sahaja berciri ilmiah, penyelidikan, akademik dan tiada sebarang unsur hasutan atau penghinaan yang bertentangan dengan hak-hak sah agama minoriti dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia. Perkara 3 (1) menetapkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Kebebasan beragama bagi penganut “agama minoriti” ini dijamin oleh Perlembagaan dan mereka mempunyai hak untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing. Wacana Pengenalan kepada Minoriti Agama di Malaysia oleh Dr Mohd Faizal Musa, felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 12 Jun 2014 juga agak menarik untuk diperhatikan. Ia antara lain membantu khalayak meneliti realiti mazhab Syiah di Malaysia dari sudut berbeza. Bagaimanapun, perlu dibezakan antara “minoriti agama” dan “agama minoriti” supaya tidak timbul kekeliruan dan salah tanggap. Dewasa ini, banyak forum, seminar dan perbincangan diadakan dalam usaha mempertahankan agama Islam daripada “agenda Kristianisasi”. Contoh terdekat adalah Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara anjuran bersama Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Mei 2014. Seminar itu secara terang-terangan mempersenda ajaran Kristian dan penganut Kristian secara keseluruhan, serta secara jelas berciri anti-perpaduan, berniat jahat, tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat dan mengancam ketenteraman awam. Walaupun mendapat bantahan masyarakat Tidak Islam (Bukan Islam) serta beberapa laporan polis dibuat, belum ada sebarang tindakan diambil terhadap penganjur serta sekumpulan penceramah yang terbukti adalah “bekas paderi dan bekas rahib palsu”. Hujah Muhyiddin jadi panduan dan rujukan Semasa sidang Dewan Rakyat pada 17 Jun 2014, Ahli Parlimen Penampang, Ignatius Dorell Leiking meminta Menteri Pendidikan menjelaskan tindakan kementerian terhadap UiTM yang telah secara tidak langsung menyebarkan kebencian antara agama melalui penganjuran seminar itu. Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam jawapan bertulis menegaskan bahawa seminar itu berciri akademik dan bersifat sesi percambahan minda (brainstorming), serta bertujuan mempertahankan agama Islam daripada cabaran luar. Dia menyifatkannya sebagai suatu perbincangan akademik yang perlu dilihat secara positif. Selaras dengan itu, Forum Mempertahankan Agama Minoriti yang dicadangkan pula bertujuan membicarakan cara-cara mempertahankan “agama minoriti” daripada serangan dan dakyah pihak luar. Perlu ditekankan bahawa seperti kata tajuk, forum itu nanti bertujuan “mempertahankan” dan bukannya “menghasut”. Apatah lagi melanggar Perkara 11 (4) dan “mengembangkan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”. [caption id="attachment_3626" align="alignleft" width="300"]Wakil agama minoriti diberi peluang berkongsi fakta berdasarkan penyelidikan. Wakil agama minoriti diberi peluang berkongsi fakta berdasarkan penyelidikan.[/caption] Bayangkan bahawa koleksi makalah berbentuk penyelidikan berjaya diterbitkan susulan forum tertutup berkenaan dan diedarkan kepada peserta sahaja bagi tujuan akademik. Tentulah akan dipastikan tidak ada sebarang kandungan yang menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 atau Akta Hasutan 1948. Buku itu hanya membincangkan tentang usaha mempertahankan agama minoriti serta penjelasan mengenai agenda dakyah pihak luar yang mengancam agama minoriti. Kalau Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpeluang meneliti buku itu nanti, beliau juga akan mengakui bahawa ia hanya satu penyelidikan (study). Sama seperti jawapannya bagi buku Pendedahan Agenda Kristian (2014) terbitan Mais yang diedarkan semasa seminar anti-Kristian di UiTM. Forum Mempertahankan Agama Minoriti adalah suatu program akademik dan perbincangan ilmiah bagi menerangkan permasalahan dakyah pihak luar yang menjadi isu dan perbahasan hangat dalam kalangan penganut agama minoriti. Dalam forum itu nanti, perbincangan dan penjelasan pasti sahaja dilakukan secara ilmiah yang bersifat pro dan kontra, selaras dengan budaya intelektual yang diharapkan; serta dijalankan dalam suasana harmoni tanpa menghina mana-mana agama lain. (Saya meminjam banyak idea daripada jawapan Muhyiddin di Dewan Rakyat pada 17 Jun 2014.)   Oleh itu, fakta dan perbincangan dalam forum itu perlulah dilihat secara positif sebagai suatu bentuk percambahan minda dan intelektual yang sedikit pun tidak melanggar mana-mana peruntukan Perlembagaan. Kandungan forum tidak langgar Perlembagaan Forum tertutup itu juga difokuskan kepada khalayak terpilih yang intelektual, matang dan mampu membicarakan topik-topik sensitif secara ilmiah dan akademik. Maka tidak timbul soal ada pihak yang mungkin rasa tergugat dari segi keimanan. Umum mengetahui bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan ada mengeluarkan beberapa pandangan (atau “fatwa” dalam Bahasa Arab) berhubung larangan penyebaran agama Bukan Islam kepada orang Islam. Buku Pendedahan Agenda Kristian menghuraikannya lebih lanjut sebagai “larangan yang menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam serta larangan umat Islam menyertai aktiviti yang mempunyai kaitan dengan agama lain khususnya Kristian.” Agak menarik untuk diperhatikan bahawa majlis fatwa merumuskan senarai “agama lain” sebagai “Cina, Buddha, Hindu, Sikh dan Kristian”. Mungkin sahaja “Cina” merujuk kepada pelbagai ajaran, kepercayaan dan agama yang dianuti orang Cina. Bagi tujuan Forum Mempertahankan Agama Minoriti yang dicadangkan ini, senarai “agama minoriti” tidak akan dikhususkan kepada mana-mana agama. Sebaliknya merujuk kepada mana-mana agama, ajaran, anutan dan mazhab minoriti yang terkeluar daripada acuan “agama bagi Persekutuan” dalam Perkara 3 (1). Forum itu nanti akan membuka peluang meneliti hak dan kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan kepada penganut agama minoriti, serta menghuraikan batasan dan had yang ditetapkan dalam Perlembagaan berkaitan hak penganut agama minoriti. Panel juga dijangka memperkatakan isu-isu semasa berkaitan agama minoriti dalam ruang lingkup dan kebebasan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Maknanya, tidak ada apa-apa kandungan yang melanggar peruntukan Perlembagaan. Saya membayangkan suatu forum ilmiah di mana panel membentangkan hujah, pandangan dan fakta berdasarkan kajian, penyelidikan dan pengalaman berkaitan topik dakyah pihak luar ke atas penganut agama minoriti. Panel dan peserta tentu berpeluang membincangkan cara-cara mempertahankan agama minoriti dan penganut agama minoriti daripada serangan dan dakyah pihak luar. Hal ini selaras peruntukan Perkara 11 dan maklumat terperinci boleh dirujuk dalam buku Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan di Malaysia (2006). Selaras semangat Bangsa Malaysia, forum itu juga boleh dijadikan medan untuk mencadangkan cara-cara memupuk perpaduan, meraikan kepelbagaian dan meningkatkan sifat tolak-ansur dalam kalangan masyarakat pelbagai agama. Puak ultra kiasu, pelampau tidak dibenarkan hadir Pembicara atau ahli panel forum akan dipilih daripada kalangan individu intelektual, rasional dan matang yang mampu mengemukakan pandangan, hujah, idea, pengalaman dan kritikan berdasarkan topik yang ditetapkan. Panel diberikan kebebasan untuk berbicara secara akademik serta berdasarkan penyelidikan dan pengalaman sambil mengambil kira segala peruntukan Perlembagaan dan undang-undang negara. Pembicara bertanggungjawab sepenuhnya atas segala pandangan, hujah dan kritikan yang dikemukakan. Pemudah cara (moderator) pula berhak menghalang pembicara daripada meneruskan hujah-hujah yang difikirkan kurang sesuai. Forum Mempertahankan Agama Minoriti adalah aktiviti tertutup kerana topik berkaitan agama minoriti mungkin dianggap sensitif bagi kelompok tertentu yang berminda tertutup dan takut pada bayang-bayang sendiri. [caption id="attachment_3628" align="alignleft" width="300"]Kejayaan” seminar di UiTM boleh juga dijadikan panduan bagi forum. Kejayaan” seminar di UiTM boleh juga dijadikan panduan bagi forum.[/caption] Peserta mestilah berumur lebih 18 tahun dan mahu hadir atas kerelaan sendiri. Penyertaan hanya atas undangan penganjur bagi memastikan puak ultra kiasu, pelampau, fanatik, kurang cerdik, rasis dan seumpamanya tidak terlepas masuk ke forum ilmiah ini. Orang ramai, wakil media, pemerhati atau sesiapa yang berminat untuk hadir wajib mendapatkan kelulusan penganjur dengan mengisi borang dalam talian (online). Segala langkah berjaga-jaga ini penting – antara lain – demi “keperluan memelihara ketenteraman awam” serta memastikan forum itu nanti tidak disalah anggap mengandungi unsur hasutan. Lebih teruk jika dituduh sebagai usaha menyebarkan agama minoriti kepada masyarakat awam (termasuk penganut agama Islam dalam lingkungan mazhab Ahlu Sunnah Waljamaah). Kalau forum diadakan di Selangor, maka Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 perlu diambil kira, walaupun forum ini hanya bertujuan “mempertahankan agama minoriti” dan bukannya “menyebarkan agama minoriti”. Sebelum forum bermula, pemudah cara akan mengingatkan para peserta bahawa tujuan forum tertutup itu diadakan bukan untuk dicurigai, memperkecilkan mana-mana agama dan bukan untuk menyerang pegangan dan kepercayaan penganut mana-mana agama lain. Sebaliknya, forum ini adalah semata-mata bagi mempertahankan jati diri penganut agama minoriti di Malaysia dan memberi kefahaman kepada penganut agama minoriti yang diselubungi pelbagai kekeliruan seperti isu serangan, cabaran dan ancaman dakyah pihak luar. Berdialog sambil memartabatkan bahasa kebangsaan Istilah “dakwah” tidak digunakan dalam cadangan forum ini kerana bimbang kemungkinan ada puak kurang cerdik yang hanya tahu mengaitkan perkataan “dakwah” dengan agama Islam. Lalu, mungkin frasa “serangan, cabaran dan ancaman dakwah pihak luar” disalah tafsir sebagai “serangan, cabaran dan ancaman dakwah Islam”. Sekiranya Forum Mempertahankan Agama Minoriti menjadi kenyataan, penganjur mungkin wajar membenarkan wartawan dan media membuat liputan. Untuk selamat, wartawan dan media juga perlu mengemukakan borang penyertaan untuk kelulusan sebelum hadir. [caption id="attachment_3629" align="alignleft" width="275"]Definisi “agama minoriti” akan dibiarkan agak longgar supaya bersifat inklusif. Definisi “agama minoriti” akan dibiarkan agak longgar supaya bersifat inklusif.[/caption] Kalau wartawan hadir dan membuat liputan, mungkin akan timbul pula persoalan bahawa kandungan forum itu tidak lagi bersifat “tertutup”. Sebagai individu yang pernah bekerja di bahagian editorial berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan akhbar Sinar Harian, tentulah perkara itu juga sudah saya fikirkan. Sebarang siaran berita mengenai forum agama minoriti itu nanti adalah atas dasar etika kewartawanan dan tidak bertujuan mengganggu ketenteraman awam. Apa-apa yang dilaporkan wartawan dan media adalah interpretasi berdasarkan etika kewartawanan dan tidak semestinya menggambarkan secara tepat kandungan forum serta apa yang benar-benar berlaku dalam forum. Forum perlu dikendalikan dalam Bahasa Malaysia selaras dengan kedudukan bahasa ini sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan. Frasa dan istilah bahasa-bahasa lain boleh digunakan mengikut keperluan dan kesesuaian. Peserta yang mengemukakan soalan perlu diingatkan supaya menggunakan Bahasa Malaysia. Langkah ini sebagai usaha memartabatkan bahasa kebangsaan. Peserta akan dibenarkan mengambil foto (atau selfie) serta membuat rakaman audio dan visual (jika mahu) untuk tujuan akademik, rujukan, penulisan atau untuk disebarkan kepada umum atas tanggungjawab sendiri. Bagaimanapun, perlu diingat bahawa forum yang dijalankan itu adalah aktiviti tertutup (closed door forum). Segala perkara yang diperkatakan semasa forum tertutup adalah bersifat ilmiah, akademik dan penyelidikan; serta mungkin tidak mampu difahami khalayak umum. Bayangkan jika forum tertutup ini dapat benar-benar dijalankan dalam skala kecil-kecilan pada 6 Julai 2014, genap dua bulan selepas seminar anti-Kristian di UiTM. Jika anda benar-benar berminat menjayakannya, hubungi uthayasb@yahoo.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.         unnamed

]]>

Share your thoughts!

More Articles