Mengenali minoriti Kampung Chetti

PD 1Wanita Kannama (kiri) dan Valli berbalas pantun secara spontan.[/caption] Secara fizikal, masyarakat Chetti mempunyai persamaan dengan rupa etnik India. Ada juga individu yang menyerupai masyarakat Cina dan Baba Nyonya. Hal ini berlaku kerana kelompok Chetti wujud hasil perkahwinan lelaki Chetti (kaum India) dengan wanita Melayu, Cina dan Nyonya. Jadi, sekiranya kita berkunjung ke Kampung Chetti, kita akan berpeluang untuk bersua dengan individu yang mempunyai rupa masyarakat majmuk di Malaysia. Ada yang lebih menyerupai masyarakat Melayu, ada yang kelihatan seperti orang Cina dan ada pula yang tidak tumpah seperti kaum India. Kalau diteliti dari aspek agama, masyarakat Chetti sejak dahulu berpegang teguh pada ajaran agama Hindu, mazhab Saiva yang menyembah Tuhan dalam bentuk rupa Dewa Shiva. Walaupun berlaku perkahwinan campur, masyarakat Chetti tidak meninggalkan agama yang dianuti sejak turun-temurun. Kali pertama saya ke Kampung Chetti adalah bersama-sama pengkaji sejarah dari Singapura, Samuel S Dhoraisingam yang menulis buku “Peranakan Indians of Singapore and Melaka” (2006). [caption id="attachment_2903" align="alignleft" width="150"]PD 1Majalah Liputan khas mengenai kaum Chetti di majalah Dewan Budaya.[/caption] Kemudian, saya pergi lagi semasa sambutan Ponggal pada Januari 2007; khusus untuk menulis beberapa artikel yang disiarkan di majalah Dewan Budaya dan Dewan Bahasa (Mac 2007). Kandungan makalah-makalah itu masih segar dan sesuai dijadikan rujukan bagi memahami keunikan komuniti Chetti Melaka. Kuil Sri Muthu Mariamman yang terletak di tengah-tengah Kampung Chetti menjadi pusat pelbagai aktiviti keagamaan dan kebudayaan sejak tahun 1822. Nama lain yang diberikan adalah “Kuil Datuk Chachar” dan nama ini jelas membezakan kuil berkenaan daripada mana-mana kuil Hindu di seluruh dunia. Penduduk Kampung Chetti menjelaskan bahawa nama “Datuk Chachar” diberikan kerana dalam budaya masyarakat beragama Hindu, Dewi Mariamman memang disembah untuk menyembuhkan penyakit cacar. Hantu Tetek masuk dari budaya Melayu Di Kuil Sri Muthu Mariamman juga terdapat dua patung yang diperbuat daripada buluh dan dihiasi menyerupai wanita dengan wajah yang menggerunkan. Kedua-dua patung ini digunakan untuk mengiringi rata atau kereta berhias semasa perayaan keagamaan. Aspek yang menarik mengenai kedua-dua patung tersebut adalah kerana dinamakan “Hantu Tetek”. Nama ini pasti mengingatkan orang ramai kepada Hantu Tetek yang terdapat dalam budaya Melayu di mana watak berkenaan diwujudkan untuk menakut-nakutkan remaja lelaki supaya pulang ke rumah sebelum waktu Maghrib. Kebanyakan individu yang ditemui di Kampung Chetti tidak dapat menjelaskan bagaimana Hantu Tetek boleh wujud dalam budaya Chetti; khususnya sebagai dewi pengawal di Kuil Sri Muthu Mariamman. Semasa Kunjungan Perpaduan Kavyan pada 15 Disember 2013, saya tidak melepaskan peluang membawa Shahrul Nizam Abd Hamid, Rayner Yeo dan Nor Arlene Tan  mengunjungi Kuil Datuk Chahar dan melihat patung Hantu Tetek. Seorang warga emas bernama Minachi Naiker pernah menceritakan kepada saya pada Januari 2007 mengenai sejarah Hantu Tetek. Katanya, pada masa dahulu, seorang penduduk bermimpi melihat seorang wanita berpayu dara besar berdiri di sisi dua telaga penting di perkarangan kuil berkenaan. Mimpi itu membawa alamat baik serta menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh individu terbabit. Sejak itulah konsep dan watak Hantu Tetek wujud dan diasimilasikan dengan Kuil Sri Muthu Mariamman. Sayangnya, generasi muda Chetti kurang didedahkan dengan latar kewujudannya. [caption id="attachment_2904" align="alignleft" width="150"]Kanak-kanak akan meneruskan tradisi nenek-moyang. Foto: Shahrul Nizam Kanak-kanak akan meneruskan tradisi nenek-moyang. Foto: Shahrul Nizam[/caption] Atas sebab itulah juga Solidariti Kampung Chetti anjuran Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) pada 29 Disember 2013 antara lain berusaha membantu generasi muda Chetti mengenali sejarah dan budaya masyarakat sendiri. Tambahan pula, mereka adalah penerus tradisi bagi kampung warisan ini. Kuil-kuil yang terdapat di serata Kampung Chetti juga amat unik dan mungkin sahaja tidak terdapat di mana-mana tempat lain di seluruh Malaysia. Kuil-kuil di sini kebanyakannya digelarkan “kuil kampung” atau “kuil terbuka”. Nama yang diberikan amat sesuai kerana kuil-kuil itu memang terletak di tanah lapang dan kawasan terbuka. Tidak ada bangunan besar seperti yang lazim dikaitkan dengan kuil-kuil Hindu. Malah, tidak ada bumbung juga. Penganut hanya pergi ke tanah lapang berkenaan dan bersembahyang di hadapan stupa berupa pentas kecil. Melihat semula Kampung Chetti dari sudut lain Orang ramai yang terbiasa melihat cara penganut agama Hindu di Malaysia bersembahyang pasti hairan dan terkejut melihat aksi orang Chetti sembahyang. Tidak mustahil bahawa ada yang beranggapan masyarakat Chetti menyembang semangat atau bunian! Akan tetapi, kewujudan “kuil terbuka” ini ada kisah tersendiri yang amat logik. Cikgu Malathi Pillay yang menjadi pemandu pelancong kepada saya pada Januari 2007 menjelaskan hakikat bahawa pedagang (“setu” atau “cetti”) yang datang ke Melaka pada zaman dahulu (seawal kurun kedua) bukan daripada golongan pengukir yang pandai membuat patung dan berhala. Maka, apabila mereka menetap di Melaka serta berkahwin dengan wanita Melayu dan beranak-pinak di sini, mereka mahu membina tempat untuk bersembahyang. Malangnya, mereka tidak pandai membuat patung dan berhala; apatah lagi kemahiran membina bangunan kuil. Mereka juga menyedari ajaran paling asas agama Hindu adalah bahawa Tuhan terdapat di mana-mana dan boleh disembah dalam apa-apa bentuk. Dengan itu, mereka mendirikan kuil menggunakan konsep kawasan terbuka. Walaupun kini sudah ada beberapa kuil besar, konsep “kuil terbuka” terus dikekalkan di Kampung Chetti. Harus juga dinyatakan bahawa Kuil Sri Poyatha Venayagar Moorthi di Kampung Chetti yang dibina pada 1781 dipercayai kuil Hindu tertua di Nusantara. Semasa Solidariti Kampung Chetti (29 Disember 2013), remaja dan belia Chetti dibawa sekeliling perkampungan warisan ini oleh Shahrul Nizam untuk merakamkan foto-foto dari sudut pandangan yang berbeza berbanding “sudut” yang biasa mereka lihat sehari-hari. Foto-foto keunikan Kampung Chetti serta “kemusnahan” yang dijangka dibawakan oleh projek pembinaan dua buah kondominium 22 tingkat, sebuah hotel 12 tingkat dan tempat letak kereta enam tingkat di “Lot 93” akan dikongsikan sehingga menjadi “viral” menerusi laman rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter. Akhirnya, harapan Kavyan serta Persatuan Kebajikan dan Kebudayaan Kaum Chetti Melaka adalah supaya orang ramai – Rakyat – mendapat kesedaran tentang kesan negatif pembangunan di “Lot 93” lalu tampil menggunakan “kuasa rakyat” – people’s power, makkal sakthi – untuk mempertahankan perkampungan warisan ini daripada musnah dan pupus. Orang ramai boleh melayari www.kavyan.blogspot.com atau menghubungi infokavyan@yahoo.com.my untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini Solidariti Kampung Chetti yang bertujuan mengembalikan “kuasa” kepada kaum minoriti Chetti.         unnamed        

]]>