Muslim Bihar Menderma Tanah Untuk Kuil Hindu Terbesar di Dunia

Hindu Muslim Penterjemahan tidak rasmi “Bihar’s Muslims donate land for world’s largest Hindu Temple”, terbitan www.greaterkashmir.com. Diterjemah oleh Hamizah Hanan.     Muslim di Bihar, dalam peristiwa yang menyerlahkan keharmonian antara kaum, telah mendermakan tanah untuk membina kuil Hindu terbesar di dunia yang boleh memuatkan seramai 20,000 orang. “Masyarakat Muslim bukan sahaja mendermakan tanah, malah juga memberi tanah pada kadar nominal untuk pembinaan kuil Hindu terbesar di dunia. Tanpa bantuan masyarakat Islam, ianya sukar untuk merealisasikan projek impian ini,” Acharya Kishore Kunal, setiausaha Mahavir Mandir Trust yang berpusat di Patna yang mengendalikan projek ini, memberitahu IANS. Kunal, bekas pegawai polis India berkata bahawa Muslim telah tampil kehadapan untuk memastikan bahawa pembinaan kuil tersebut berjalan lancar. Pembinaan kuil ini akan bermula pada bulan Jun di Janki Nagar berhampiran Kesaria di daerah Champaran Timur, kira-kira 150km dari sini. Ia akan menelan kos sebanyak Rs. 500 crore. “Ianya kebiasaan bagi masyarakat Hindu untuk mendermakan tanah buat pembinaan kuil, tetapi ianya luar biasa apabila masyarakat Muslim mendermakan tanah untuk pembinaan kuil,” katanya, sambil menambah bahawa umat Islam harus dipuji kerana berganding bahu dengan penganut Hindu mendermakan tanah untuk tujuan keagamaan. Menurut Kunal terdapat lebih daripada tiga dozen keluarga Muslim yang mempunyai tanah di tengah-tengah lokasi cadangan kuil tersebut dan ada diantaranya memiliki tanah sepanjang jalan utama yang menghubungkan ke kawasan tapak projek. “Sebahagian Muslim mendermakan tanah dan yang lain membantu dan menyokong usaha kami membeli tanah mereka untuk pembinaan kuil tersebut. Jika masyarakat Islam tidak tampil dengan tawaran ini, pastinya projek kuil ini akan ditangguhkan…” Beliau berkata bahawa Mahavir Mandir Trust telah berjaya mendapatkan 200 ekar tanah. “Masyarakat Hindu dan Muslim telah menyumbang kita-kira 50 ekar tanah dan yang selebihnya telah dibeli.” Sebelum ini, beberapa umat Islam telah membantu membina kuil Hindu yang didedikasikan kepada Dewi Durga di daerah Gaya, dan kuil lain yang didedikasikan kepada Dewa Shiva di daerah Begusarai dan di daerah Sitamarhi. Muslim Help Hindu Temple Syarikat Pembinaan Valecha yang berpusat di Mumbai akan membina kuil tersebut, yang berukuran 2,500 kaki panjang, 1,296 kaki lebar dan 379 kaki tinggi. “Kuil ini mampu menahan gempa bumi (memandangkan ianya) berhampiran sempadan Nepal,” kata Kunal. Radheyshyam Sharma, Pengarah Indgenious Studio Pvt Ltd yang berpusat di Gurgaon, akan menyelia aspek seni bina kuil tersebut. Beliau berkata kuil Virat Ramayanan Mandir akan lebih tinggi daripada Angkor Wat (215 kaki), yang merupakan kompleks kuil terkenal di dunia yang terletak di Kemboja. Kompleks ini akan terdiri daripada 18 kuil bermenara tinggi dan kuil Shivanya akan mempunyai arca Shivling terbesar di dunia, sebuah lagi ciri yang menjadikannya unik dari yang lain. Menurut beliau kuil tersebut boleh memuatkan sebanyak 20,000 tempat duduk di dalam dewan yang menghadap kuil utama, di mana berhala Ram, Sita, Luv dan Kush ditempatkan. Menurutnya lagi, tiada kuil di dunia yang mempunyai kapasiti yang begitu besar. Tambahnya lagi kuil itu akan dinamakan “Virat Angkor Wat Ram Mandir”, namun kemudiannya nama tersebut ditukar berikutan bantahan daripada orang-orang Kemboja. Angkor Wat dibina semasa pemerintahan Raja Suryavarman dan merupakan tapak Warisan Dunia Unesco pada hari ini.

]]>