Nilai sehelai tudung

Wanita setakat objek Wanita sering dianggap pesalah hanya kerana mereka mempunyai tubuh mereka. Ia seolah-olah kewujudan wanita itu sendiri dianggap sebagai objek pemuas nafsu yang tidak setaraf dengan kaum lelaki. Kenyataaan ini sering disusuli dengan saranan bahawa kaum wanita menutup tubuh mereka dengan pakaian yang longgar (tetapi tidak boleh terlalu longgar kerana mudah untuk perogol-perogol di luar sana menanggalkan pakaian mereka.) Aurat Tetapi apa yang pasti, selalunya aurat wanita dikaitkan dengan pemakaian tudung, dengan tanggapan bahawa rambut itu sendiri boleh manaikkan nafsu syahwat pihak yang berkenaan. Harapannya ialah dengan mengenakan tudung kepala, seorang wanita itu menjaga aurat dan kemuliaan diri beliau sebagai seorang wanita. Sebagai seorang wanita, saya berasa sedih bagi pihak kaum lelaki setelah membaca kenyataan-kenyataan sebegini kerana seolah-olah lelaki tidak mempunyai kuasa untuk mengawal nafsu mereka sendiri. Sepanjang pergaulan saya dengan orang lelaki, samada sebagai ahli keluarga, rakan mahupun untuk difikirkan jika beliau sesuai dijadikan pasangan hidup- saya dapati kebanyakan lelaki mempunyai nilai hormat terhadap kaum wanita yang tinggi dan selalunya berperawakan sopan. Pentingnya nilai hormat Saya pasti, nilai hormat antara sesama manusia adalah sifat yang ada di dalam diri setiap manusia, tidak semua orang menjalankan aktiviti seharian dengan memikirkan tentang siapa yang patut dirogol atau disalahkan kerana membangkitkan nafsu syahwat mereka pada setiap hari. Kawalan diri yang dibentuk dari pendidikan moral dan agama membina sifat kebanyakan individu. Tambahan pula, banyak kertas-kertas penyelidikan yang membentangkan berkenaan psikologi perogol selalunya adalah lebih bersifat egoistik daripada seksual. Cara wanita berpakaian atau memperagakan susuk tubuh badan, mahupun perawakan, tidak mengundang perkosaan. Perkara yang membawa kepada kes rogol adalah adanya perogol yang tidak mempunyai nilai estetik menghormati manusia lain, lelaki mahupun perempuan. Nilai tudung Akan tetapi, tidak saya nafikan nilai sehelai kain tudung kepada wanita adalah amat berharga. Seorang rakan lelaki Melayu saya menyatakan bahawa jika seandainya saya mengenakan tudung kepala, pastinya petisyen yang saya mulakan akan mempunyai lebih ramai pengikut. Ibu saya pula berpendapat bahawa saya akan lebih bernilai sebagai bakal isteri jika saya memakai tudung. Apabila saya nyatakan kepada rakan saya bahawa saya tidak ingin menjadi seorang hipokrit dengan mengenakan tudung kepala hanya untuk mendapat sokongan (mahupun semata-mata untuk memegang gelaran isteri), beliau menjawab bahawa tudung itu hanyalah seperti mana-mana pakaian. Ia boleh dipakai atau ditanggalkan dan labuh atau pendeknya kain tudung melitupi dada wanita boleh mengikut fesyen semasa. Dari pengalaman sendiri, saya nafikan kenyataan beliau. Jika rakan-rakan wanita saya membuat keputusan untuk mengenakan tudung, mereka akan menerima ucapan tahniah kerana telah “insaf”. Kain tudung dianggap sebagai kuasa atau benteng yang mempertahankan kaum wanita dari perkara-perkara yang tidak baik. Tudung kepala lebih banyak dipersoalkan, lebih berharga dari kepingan pakaian yang lain, dan lebih bernilai dari segi melambangkan perawakan seseorang wanita. Wanita yang bertudung dianggap secara amnya lebih mulia dari wanita tidak memilih untuk mengenakannya. Dari logik ini mulalah hujah yang menyatakan bahawa jika wanita bertudung dirogol, itu adalah takdir: Jika wanita yang dirogol itu tidak mengenakan tudung seharian, beliau adalah mengundang perkosaan itu sendiri. Makna tudung ditentukan lelaki Pada pandangan saya, persoalan tentang pakaian wanita dan dominannya tudung yang melitupi rambut wanita, terlalu berpihak kepada kuasa kaum lelaki dan sama sekali terlepas titik perbincangan yang sepatutnya. Wanita patut diberi kebebasan untuk memilih pakaian sendiri, pendek atau panjangnya rambut mereka, mahupun jika rambut itu perlu dilitupi sehelai kain tudung. Tubuh wanita adalah milik wanita itu sendiri. Pakaian yang dikenakan melambangkan gaya peribadi, tetapi tidak sepatutnya menjadi titik tolak sifat dan perawakan wanita. Masyarakat perlu juga memainkan peranan dengan mengadakan persekitaran yang selamat bagi wanita. Jika wanita berterusan dijadikan mangsa hanya kerana kewanitaan mereka, ini hanya akan menggalakan mereka yang tidak mempunyai sifat moral ataupun nilai kemanusiaan untuk memporakperandakan masyarakat. Usahlah kita menjadi seperti orang kampung di dalam filem ‘Lelaki Harapan Dunia’- di mana kaum wanita dan kaum lelaki di dalam filem itu bertukar pakaian semata-mata untuk mengelakkan kaum wanita kampung itu dirogol orang minyak. Pastinya masyarakat kita lebih bijak dari itu, dan saya pasti tidak semua kaum lelaki mahukan wanita semua dipakaikan jubah hitam longgar atau diasingkan dari pandangan mereka sekaligus. Saya juga pasti bahawa kaum wanita yang memilih untuk tidak mengenakan tudung ataupun memakai tudung – samada hijabster, bertudung “Neelofarhijab” ataupun mengenakan niqab – membuat pilihan tersebut dan mahu pilihan tersebut kekal datang dari kehendak diri mereka sendiri. unnamed    

]]>