Pembodohan Rakyat Malaysia

Niat Tidak Menghalalkan Cara – Menghalusi Konsep “Baik” dan “Jahat” Pada Sabtu lepas, saya menjadi pemerhati bengkel pemuda-pemudi Katolik. Topik bengkel tersebut adalah “LGBT dan Perkahwinan Sama Seks”. Jurucakapnya seorang paderi Katolik yang saya hormati. Dalam sesi pertama pembentangan beliau, paderi tersebut menggunakan contoh “Robin Hood” untuk menitikberatkan hujahnya bahawa niat tidak menghalalkan cara. Beliau bertanya sama ada Robin Hood itu seorang yang baik atau jahat, dan menarik perhatian pemuda-pemudi terhadap perbuatan Robin Hood yang salah, iaitu merompak, dan tidak semestinya orang kaya yang dirompak itu tidak baik orangnya. Apa yang tidak diberi peluang untuk dibentangkan adalah mengapa pemuda-pemudi tersebut mengatakan Robin Hood adalah baik dan mengapa ia tidak semestinya bererti cara yang digunakan Robin Hood menghalalkan kesalahan merompak. Paderi tersebut terus menekankan bahawa itu sahaja kesimpulannya jika pemuda-pemudi mengatakan bahawa Robin Hood seorang yang baik. Tidak diambil kira juga bahawa pada masa itu, pengagihan kekayaan begitu teruk dan tidak adil, dan tiada peluang meluahkan ketidakpuasan rakyat tentang pemerasan melalui cukai yang tinggi, demi kemewahan hidup segelintir tertentu (berbunyi pula macam cerita Malaysia). Sekiranya saya menggunakan logik paderi tersebut, saya sepatutnya akan mencapai kesimpulan yang sama untuk mana-mana contoh sejenis. Umpamanya, seorang kanak-kanak yang mencuri makanan kerana kelaparan, menurut paderi tersebut, kanak-kanak itu jahat, kerana sebabnya tidak menghalalkan cara. Bagi saya, seorang yang mencuri kerana begitu terdesak menunjukkan sistem pemerintahan kita telah gagal memelihara keperluan rakyat. Saya di sini ingin mengkritik dan merenung mengapa kita masih bergantung kepada analisa yang terlalu mudah untuk kaum belia kita dalam perdebatan isu yang kompleks. Mungkin kita takut pemikiran mereka akan mencabar kita untuk mematangkan hujah. Saya tidak patut terkejut dengan pedagogi yang tidak berganjak dari pendekatan tradisional, yang tidak menggalakkan pemuda-pemudi berfikiran kritis. Malangnya, pemikiran sempit yang digalakkan oleh pemimpin, pelbagai pihak berkuasa dan orang berpengaruh merupakan sebab pembodohan rakyat begitu pesat dan berkesan di Malaysia. Robin Hood Pemikiran dan Hujah Binari Merenung kembali, saya kira lebih baik paderi tersebut menggunakan contoh Robin Hood untuk mendebatkan mengapa perlunya belas kasihan untuk mereka yang dianggap berdosa. Juga betapa pentingnya kita mengambil kira konteks dan isu hak asasi manusia yang dihadapi mereka. Kalau contoh Robin Hood digunakan sebegitu, bagi saya, perdebatan akan lebih menyeluruh, tidak berat sebelah dan menggalakkan penganalisaan yang lebih halus. Tidak dapat dinafikan bahawa agak ramai pemimpin di Malaysia, sama ada pilihan rakyat atau dipilih sendiri, menggunakan pemikiran dan hujah binari. Baru-baru ini, kita dengar macam-macam hujah yang bertujuan untuk tidak menggalakkan rakyat bersuara dan menyoal. Kadang-kadang hujah-hujah tersebut terus mengancam nyawa mereka yang bersuara dan menyoal. Mereka yang bersuara dan menyoal dipaparkan sebagai penjahat dan musuh negara, dan ketara sekali pilihan kegemaran pemimpin adalah golongan LGBT. Macam tiada contoh lain siapa penjahat di negara ini. Agama tidak kurang dipergunakan untuk mengharamkan perbuatan bersuara, menyoal dan berfikiran kritis. Rakyat dijenayahkan semata-mata kerana berani bertanya. Tidak berbeza pula bila mana-mana agamawan cuba mengawal persoalan dan perdebatan penganut agama tentang isu hak asasi manusia LGBT. Aneh, bukan?

]]>