Apa sebenarnya yang berlaku dalam pertemuan? Untuk makluman, saya pernah menyiarkan petikan catatan mengenai kandungan mesyuarat itu di blog saya pada 18 Mac 2011. Kemudian, dalam sesi pertemuan semula dengan Muhyiddin pada 23 Mac 2011, Dr Lim Swee Tin tampil mengatakan bahawa kandungan catatan di blog itu adalah palsu, tidak benar dan fitnah. Muhyiddin tidak melayan kata-katanya.
Pada 16 Mac 2011, Lim Swee Tin menggantikan tempat Profesor Datuk Shamsul Amri Baharuddin (yang berada di luar negara) untuk membentangkan perakuan panel bebas kepada Muhyiddin.
Timbalan Perdana Menteri melahirkan rasa gembira kerana panel bebas secara konsensus (sebulat suara) bersetuju meminda frasa “kasta Paria” yang menjadi isu pokok. Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa isu Interlok edisi murid belum selesai kerana masyarakat India khasnya sedang menunggu hasil daripada panel bebas.
[caption id="attachment_4237" align="alignleft" width="300"]
apabila dijadikan teks Komsas.[/caption]
Turut diakui oleh Muhyiddin bahawa ini adalah teks sekolah dan boleh dipinda dan disesuaikan. Bagaimanapun, hanya perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum India akan dipinda kerana kaum Melayu dan Cina “tidak bangkitkan isu”.
Berdasarkan resolusi yang diperakukan panel bebas secara konsensus, isu “kasta Paria” sudah berjaya diselesaikan. Beberapa saranan sudah dikemukakan berhubung isu kaum India dan Muhyiddin mahu menyelesaikan isu terbabit secara menyeluruh supaya tidak ada isu berulang selepas ini.
Muhyiddin berkata, beliau sudah membaca semua cadangan dalam senarai yang diperakukan panel bebas; dan didapati bukan hanya berkaitan perasaan (sensitiviti) kaum India, tetapi juga soal bahasa dan kesalahan fakta.
Kalau boleh, Menteri Pendidikan meminta panel bebas melihat semula cadangan-cadangan oleh anggota panel kaum India kerana beliau “tak nak debat berpanjangan”.
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) waktu itu, Datuk Termuzi Abd Aziz mencadangkan supaya perhatian pindaan ditumpu pada “paria” sahaja serta meminta konsensus panel bebas “ubah itu sahaja” dengan alasan “kerana itu yang timbulkan masalah besar”.
Rajendran menegaskan bahawa pada mesyuarat pertama panel bebas (16 Februari 2011), keputusan sudah diambil bahawa perkara-perkara yang menyentuh sensitiviti kaum perlu dipinda bagi mencari “jalan penyelesaian kepada kemelut”.
Datin Siti Saroja Basri menyatakan bahawa suaminya, Sasterawan Negara Datuk Abdullah Hussain (Pak Lah) sebenarnya tidak setuju satu perkataan pun ditukar tetapi sedia berkorban dan membenarkan “kasta Paria” dipinda. Isu sebenar bukan sekadar frasa “kasta Paria” Munyiddin berkata, panel bebas tidak harus mengungkitkan kesalahan bahasa dalam novel ini kerana semacam mengajar pengarang bagaimana untuk menulis dengan betul.
Termuzi sekali lagi berkata, lebih baik hanya “kasta Paria” dipinda kerana itulah “persoalan pokok”; khususnya selepas wakil kaum India sudah membuktikan bahawa watak Maniam bukan seorang “paria” seperti dinyatakan novel ini.
Rajendran berkata, perkara-perkara menyentuh sensitiviti kaum India perlu juga dibetulkan (dimurnikan) kerana ketiga-tiga wakil kaum India membawa “suara” masyarakat India.
Termuzi berkata, ketiga-tiga wakil kaum India sepatutnya menjelaskan kepada masyarakat India mengapa hanya “kasta Paria” ditukar/dipinda.
Lim Swee Tin berkata, novel Interlok bukan teks sejarah. Katanya, perkara penting yang perlu ditukar adalah “Paria” sahaja, manakala “yang lain jika perlu sahaja”. Beliau juga berharap wakil kaum India “dapat bertolak-ansur dan bertoleransi” dalam hal ini.
Untuk makluman, cadangan pindaan sudah pun dipersetujui secara konsensus sebelum diserahkan kepada Muhyiddin. Akan tetapi, apabila bertemu menteri itu, masing-masing mula seolah-olah merapu dan mengampu.
Sudah mula jelas seakan-akan ketiga-tiga wakil kaum India (nota: bukan wakil MIC) akan dipergunakan untuk merealisasikan agenda tertentu. Minoriti cuba dimanipulasi oleh majoriti. Apakah minoriti akan tunduk?
[caption id="attachment_4239" align="alignleft" width="300"]
oleh Menteri Pendidikan pada Februari 2011.[/caption]
Saya merujuk halaman 211 berkaitan lokasi Malabar di mana “ini menyentuh sensitiviti kerana apa yang dinyatakan di sana sudah salah”. Lim Swee Tin berkata, “itu tak sensitiflah, Uthaya” manakala Termuzi berkata, “salah fakta tak sensitif”.
Lim Swee Tin mula mengecilkan skop dengan berkata, “yang menyentuh sensitiviti dari segi agama”. Manakala perkara-perkara yang dikemukakan wakil kaum India disifatkan sebagai “kesilapan pengarang. … Biarkan zaman menghukum atau pun mengadilinya, bukan kita”.
Termuzi berkata, “memanglah fakta tu salah, tapi tak nampak jadi sensitif”.
Selepas terus diasak, ketiga-tiga wakil kaum India meminta kebenaran untuk keluar dari bilik untuk berbincang. Hasil perbincangan, kami bertiga memutuskan untuk berundur dari panel bebas. Kami berpegang teguh bahawa keputusan yang dipersetujui semua anggota panel bebas secara konsensus adalah apa yang diperakukan pada mesyuarat 4 Mac 2011.
Kami tahu bahawa kalau kami terus berada dalam mesyuarat itu, minoriti akan terus diasak, diperlakukan sesuka hati dan cuba dipergunakan bagi membolehkan kumpulan majoriti mencapai agenda terancang yang diimpikan.
Kemudian, pada 23 Mac 2011, kami bertiga diundang bertemu semula dengan Muhyiddin. Kami menegaskan bahawa kami tidka mahu bermesyuarat lagi kerana sudah keluar daripada panel bebas yang ternyata pincang.
Dalam pertemuan itu – yang anehnya turut dihadiri “majoriti” sebagai penonton – Muhyiddin memberikan jaminan bahawa kesemua saranan pindaan yang dikemukakan wakil kaum India akan dibuat.
Tentulah janji itu tinggal janji kerana hanya 19 pindaan dilakukan dalam versi novel yang dicetak semula oleh DBP dengan persetujuan MIC. Kavyan pula terus menolak pemurnian yang tidak menepati konsep “janji ditepati” tetapi itu kisah yang lain pula.
Apa yang pasti, minoriti perlu berani bersuara walaupun majoriti kelihatan gah dan gagah. Ingatlah bahawa Tuhan sentiasa bersama-sama orang yang benar. Semoga catatan berdasarkan pengalaman saya dalam isu novel Interlok: Edisi Murid menjadi pedoman serta menjawab pelbagai persoalan.