Penggunaan Dialek dalam Perbahasan Bahasa di Malaysia

oleh Yvonne Tan

 

(Terjemahan artikel “Regional dialects in Malaysia’s Language Debate”)

 

Isu bahasa di Malaysia sering dibahaskan dari masa ke masa, dan perkara ini sering dibangkitkan dalam penggunaan bahasa perantara di sekolah terutamanya dalam subjek Matematik dan Sains. Sama ada daripada bekas Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Rais Yatim yang memberi pandangannya kepada seorang para wartawan “Saya tak jawab lah soalan begitu. Tanya je lah dalam bahasa kebangsaan […] Where were you educated? You can’t speak bahasa at all?” atau Sharifah Amani, iaitu ketika penerimaan anugerahnya untuk Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM), beliau turut berkata “I sound like, stupid, if I speak Malay, so I’ll speak English.” Tidak boleh dilupakan juga perbincangan di ‘Twitterjaya’ mengenai pergelutan rakyat Malaysia berdasarkan bahasa yang dipelajari di sekolah, sama ada bahasa Inggeris (bertujuan kepada orang Melayu) dan bahasa Malaysia (bertujuan kepada orang Cina).

 

Walau bagaimanapun, sebuah komponen dalam debat bahasa di Malaysia, adalah kebanggaan dalam penggunaan dialek. Kebiasaannya, mereka seringkali disambut secara eksklusif dalam media alternatif dan budaya pop. Alieff Irhan, dan juga drama spontan oleh Syahmi Sazli telah membuat satu impak yang kuat terhadap orang ramai di YouTube tentang penggunaan dialek Kelantan. Penggunaan dialek juga telah mengambil bentuk dalam filem seperti Cun! (2011), iaitu sebuah filem genre romantik dan komedi yang dilakonkan sepenuhnya dalam dialek Kedah. Ia juga dibintangi oleh beberapa pelakon yang tidak semestinya berasal dari Kedah tetapi meluangkan masa untuk mempelajari dialek tempatan, dan menerima banyak pujian dengan usaha Remy Ishak dalam filem tersebut. Filem-filem lain termasuklah filem Dain Said, Bunohan (2011) and Budak Kelantan (2008), di mana kedua-duanya menyentuh unsur tentang perpecahan atau pengagihan komuniti di kawasan pedalaman yang maju dan tradisi pembangunan yang memberi fokus kepada isu-isu jenayah. Dialek Melayu Utara sudah tentu telah memberi satu cabaran mengenai stereotaip pedalaman dan kemunduran atas kaum India Malaysia seperti filem Chemman chaalai (2005) dan Jagat (2015) di mana kedua-duanya telah difilemkan terutamanya dalam bahasa Tamil Malaysia.

 

Dialek-dialek Malaysia juga menonjol dalam genre hip hop yang berkembang di Malaysia seperti K-Main, RxF Rhaled & YAPH – Golok di mana sesesorang menjadi bangga menjadi anak kelahiran negeri Kelantan sepertimana kebanggan kumpulan rap K-Clique yang berasal dari negeri Sabah, yang turut terkenal dengan gabungan bahasa Inggeris dengan dialek Sabah dalam nyanyian rap mereka. Mereka telah menggabungkan pelbagai unsur budaya berdasarkan negeri sama ada dari segi tarian, perayaan ke dalam kehidupan seharian seperti lorong, warung dan juga ladang kelapa sawit, yang jelas dipaparkan di dalam video musik mereka. Fauxe, seorang artis yang berasal dari Singapore, sering mencampurkan sampel-sampel lagu tradisional yang berbagai seperti lagu Tamil Malaysia kepada Melayu Hawaii bersama dengan rentak hip hop. Hasil-hasil ciptaan lagunya telah menjadi sejenis bentukan perpaduan yang berfungsi sebagai sebuah tanda penghormatan kepada Malaysia dan warisannya.

 

Hip Hop berkembang pesat dengan pengaturan pesta jalanan pada zaman 70-an, yang telah menciptakan ruang untuk pertukaran budaya antara masyarakat Afrika-Amerika bersama dengan masyarakat pendatang dan komuniti terpinggir, dengan ramai penyanyi hip hop yang mempunyai asal usul Amerika Latin atau Caribbean. Oleh itu, Hip Hop telah mencerminkan latar belakang sosioekonomi mereka secara semula jadi, dengan memberikan ruang untuk berbangga dengan budaya hibrid mereka yang tidak semestinya disambut di tempat lain. Walaupun bukan dalam bahasa dialek, lagu Bawah oleh Kidd Santhe telah berjaya menangkapkan jiwa yang sama, yang telah dilokalisasikan dengan lirik “berapa kali polis tahan budak india tak lepas, hari-hari kena gari buat cam barang hias”.

 

Sekiranya bahasa Inggeris memberangsangkan profesionalisme/internasionalisme dan bahasa Melayu sebagai kesetiaan kepada negara [1], dialek tempatan melambangkan komuniti yang seseorang berasal daripada. Bukan sepertimana bahasa Inggeris dan bahasa Melayu, yang telah dirangka sebagai “pilihan” untuk kefasihan, dialek tidak mempunyai tahap atau implikasi yang serupa. Dialek memerlukan unsur kehidupan masyarakat untuk mendapatkan akses kepada aksen bahasa bernada yang tidak boleh hanya “dipelajari”. Hampir semua dialek tidak boleh wujud sendiri, di mana terdapatnya sari kata dalam bahasa Melayu atau bahasa Inggeris untuk cuba merapatkan jurang tersebut dan juga memastikan khalayak yang lebih luas, yang penting untuk platform media alternatif.

 

Bukan sahaja dalam komuniti Melayu, namun dalam masyarakat lain juga. Dengan menonjolnya bahasa Mandarin, terdapat juga beberapa kerisauan tentang bagaimana “dialek” seperti Hokkien, Hakka, Kantonis, Teo Chew dan sebagainya akan lama-lama dihapuskan. Protes-protes di Hong Kong sentiasa menekankan isu bahawa bahasa Kantonis bukanlah sejenis dialek tetapi bahasa tersendiri yang tidak dapat difahami oleh bahasa Mandarin sama sekali sebagai penentangan terhadap standardisasi. Hal yang sama juga dapat dikatakan dengan Taiwan dengan Gerakan Mahasiswa Sunflower, dan lagu Island’s Sunrise dari band Indie Fire EX dalam bahasa Hokkien telah dijadikan lagu kebangsaan gerakan tersebut. Kebanggan yang sama dengan dialek boleh diperhatikan di sini seperti Hai Ki Xin Lor [You Mean the World to Me], ciptaan sebuah filem sepenuhnya dalam dialek Hokkien negeri Pulau Pinang, yang merupakan kali pertama untuk Malaysia. Sementara itu, bahasa Kantonis kerap tampil dalam filem yang dengan bangganya menggabungkan berbagai bahasa seperti Fly By Night (2018), Ola Bola (2016) dan trilogi Sepet.

 

Penapis Instagram “Guess the Gibberish: Malay edition” sejenis permainan atas cabaran ‘Gibberish’, di mana perkataan Inggeris digunakan untuk meniru slanga Melayu dan orang perlu mengetahui apakah ungkapan bahasa Melayu tersebut. Contohnya: penekaan ” low lung sea low mat tea” sebagai “lu langsi lu mati” dan kegemaran saya “nah see go rank tell me lure matter” sebagai “nasi goreng telur mata”.

 

Tidak lama selepas itu, munculan dialek rantauan seperti Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan dan seterusnya telah membuat netizen popular dengan penekaan dan pengulasan mereka dengan penapis Instagram tersebut. Pengetahuan dwibahasa diperlukan untuk menggunakan penapis tersebut di mana, bergantung pada penapis yang mana, pengetahuan bahasa Inggeris dan bahasa Melayu atau dialek tempatan.

 

Keseragaman bahasa hampir selalu disukai oleh negara bangsa sementara yang lain meratapi kematian banyak dialek di seluruh dunia. Namun, apa yang unik mengenai peningkatan budaya popular vernakular di Malaysia adalah kesedaran penonton di luar masyarakat. Ia hampir selalu dapat diakses oleh para hadirin Malaysia dan ia turut memperluaskan tiga label, iaitu masyarakat “Melayu” yang berbahasa Melayu standard, “Cina” yang berbahasa Mandarin dan “India” yang berbahasa Tamil. Ini bertentangan dengan bagaimana dialek sering biasanya digunakan sebagai “cara yang dihormati untuk mempertahankan sempadan, sempadan terluar yang dilintasi oleh orang asing secara intelektual dan tidak langsung”. [2]

 

Walau bagaimanapun—sebagaimana wacana popular dan rasmi selalu berbeza secara konseptual—penggunaan dialek yang semakin berkembang dalam konteks Malaysia telah menyaksikan pemikiran semula sentimen “nasional” sebagai kewujudan bahasa dari pelbagai kaum dan masyrakat yang dapat diraikan sekali. Walaupun terdapat peningkatan migrasi dan pemusatan bandar, budaya popular sering, dan masih berterusan, dikaitkan dengan budaya vernakular lisan yang secara langsung berfungsi sebagai sumber kebanggaan dan optimisme yang jarang berlaku dalam perbalahan bahasa yang tidak pernah tamat di Malaysia.

 

*Setinggi-tinggi penghargaan kepada Fuad Rahmat atas bantuan beliau dalam pemberian maklumat mengenai budaya Hip Hop yang menggunakan dialek-dialek tempatan di Malaysia

 

[1] Tan Zi Hao, “Language shaming in Malaysia” New Mandala, 19 January 2017

<https://www.newmandala.org/language-shaming-malaysia/>

 

[2] Michael North The dialect of modernism: race, language, and twentieth-century literature. New York: Oxford University Press, 1994, p. 25.