Protes Belia Di Era Kekejaman Neoliberal (Bahagian 2)

Gambar: Roarmag.org Gambar: Roarmag.org[/caption] Sambungan terjemahan “Protesting Youth in the Age of Neoliberal Cruelty” oleh Henry A. Giroux, terbitan Truth-Out pada 18 Jun 2014. Diterjemahkan oleh Maryam Lee. Menghidupkan Semula Imaginasi Radikal Perkara yang menyatukan Occupy Movement (Gerakan Occupy) di Amerika Syarikat dengan kolektif-kolektif global lain adalah penekanan mereka terhadap tindakan langsung dan penolakan struktur perwakilan dan politk moden, menurut Michael Hardt dan Antonio Negri. Kolektif-kolektif ini turut merasakan sokongan untuk pilihanraya dan parti politik tradisional adalah korup. Oleh itu, mereka tidak menolak demokrasi, tetapi mempersoalkan ke mana haluannya dan bagaimana mereka “boleh melibatkan diri kembali” dan memenangi semula “kuasa politik warga pekerja” (Hardt & Negri, 2012: 29). David Graeber pula berpendapat bahawa potensi gerakan belia baru ini lebih “terbuka untuk pendirian yang jauh lebih radikal daripada sebelum ini pada skala yang besar”, sekaligus mengancam kedua-dua konservatif dan liberal. Di beberapa buah negara terutamanya, “mereka menyeru tentang politik kelas, pembinaan semula sistem-sistem politik yang sediakala, [dan] menuntut bukan sahaja reformasi kapitalisme, malah penghapusannya sama sekali” (Graeber, 2013: 69-70). Isu sebenar di sini bukanlah sama ada perjuangan Occupy di sekitar Eropah dan Amerika Syarikat telah berkurang semangatnya, tetapi apa yang kita telah pelajari daripadanya, bagaimana ia berubah dan apa yang akan kita lakukan tentangnya? Bagaimana kita boleh menghidupkan kembali pemberontakan ini sebagai gerakan antarabangsa yang boleh mendatangkan perubahan sebenar? Apa gunanya membuat dakwaan bahawa golongan belia telah gagal memprotes politik pengurangan dana awam, ekonomi neoliberal, dan pemerintahan korup modal kewangan? Lebih baik kita mengenal pasti cara-cara protes dibekukan melalui pergelutan untuk hidup dan ancaman kekerasan kerajaan sekiranya kita melawan. “Jenayah” terbesar yang dilakukan golongan belia menentang ialah mereka telah menanggapi konsep utopia bahawa terdapat alternatif kepada kapitalisme. Dengan itu, mereka hakikatnya melawan perang sistemik ke atas imaginasi radikal, kepercayaan bahawa semuanya berkiblatkan budaya konsumer, dan nilai hanya pada pertukaran wang. Capitalism Not Working Pemogok-pemogok ini belum gagal. Sebaliknya, mereka sedar bahawa mereka perlukan lebih masa untuk benar-benar membangunkan visi, strategi, peralatan budaya, infrastuktur, organisasi dan pakatan yang lebih jelas. Hal ini perlu untuk merealisasikan usaha-usaha mereka bagi menggantikan struktur sosial yang telah lama korup. dengan sistem baru yang bukan hanya demokratik, namun turut mendapat sokongan penduduk ramai. Ramai penunjuk perasaan telah beransur fokus kepada perjuangan yang lebih khusus. Contohnya menekan universiti supaya mengeluarkan pelaburan mereka daripada indsutri arang, melawan kenaikan hutang pendidikan, dan menganjurkan bantahan terhadap Perjanjian Trans-Pasifik dan pengurangan dana awam. Mereka juga menyediakan perkhidmatan sosial percuma kepada golongan miskin dan terpinggir, dan membangunkan ruang-ruang pendidikan yang menggalakkan pembentukan budaya untuk menghasilkan keperluan, identiti, dan kemandirian yang membolehkan hubungan demokratik (Zeese, 2013; Taaffe, 2013; Brahinskky, 2014). Pada masa yang sama, mereka melibatkan diri dalam perjuangan sehari-harian, sebagaimana dikatakan Thomas Piketty di dalam bukunya Capital in the Twenty-First Century: “kapitalisme pasaran bebas bukan sahaja bertanggungjawab untuk kesenjangan yang “menakutkan” dari segi kekayaan dan pendapatan, tetapi juga menghasilkan oligarki yang anti-demokratik (Piketty, 2014: 571).” Dan melalui usaha-usaha untuk menghasilkan ruang-ruang demokratik inilah, imaginasi radikal mampu dibebaskan daripada cengkaman jentera kematian budaya sosio-politik akibat kapitalisme kasino. Apa yang sebelum ini dianggap mustahil telah menjadi kebarangkalian melalui perkembangan penentangan belia seluruh dunia, yang membayangkan masa depan baru, dan menunggu realisasi. [caption id="attachment_5357" align="aligncenter" width="499"]Gamabr: AFP/Sajjad Hussain (SBS.com.au) Gamabr: AFP/Sajjad Hussain (SBS.com.au)[/caption] Cabaran-cabaran Masa Suram Hak, tuntutan, visi dan perwakilan politik baharu yang didedikasikan kepada kebaikan awam dan sosial memerlukan komitmen jangka masa panjang. Bagaimana struktur alternatif kekuasaan, strategi dan pengurusan boleh diatur supaya ia realistik dan mampu mencabar kekuasaan yang sedia ada masih belum jelas. Apa yang jelas, ialah gerakan belia seluruh dunia ini sedang menyediakan, bak kata Hardt dan Negri, satu “kerangka” untuk letusan radikal yang mampu membina masyarakat baru (Hardt & Negri: 103). Namun, masih banyak yang perlu dilakukan. Cabaran bagi pemberontak muda kini adalah pembentukan visi, taktik dan pengurusan utuh bagi membolehkan pelaksanakan strategi perubahan yang lebih bermakna, dan bukan sekadar hangat-hangat tahi ayam. (Aronowitz, 2014). Belia di seluruh dunia perlu memupuk imaginasi radikal yang mampu memberi alternatif kepada kapitalisme dan mencabar neoliberalisme serta polisi austeriti yang merosakkan. Ia memerlukan visi yang bergema kepada masyarakat tentang keperluan demokrasi radikal, yang mampu meyakinkan orang ramai bahawa ia mampu diubah, dan sistem globalisasi serta kapitalisme kasino yang sedia ada boleh diatasi. Sungguhpun krisis modal kewangan yang menindas juga perlu disingkirkan, golongan belia juga perlu menyampaikan “dimensi pengasingan yang lebih meluas daripada jurang pendapatan” (Aronowitz, 2011). Isu-isu eksistensial, yang putus harapan, dan mengasingkan diri ke ruang peribadi hendaklah dihadapi sekiranya kemandirian perlu digerakkan, supaya melibatkan diri dalam perjuangan jangka panjang demi demokrasi radikal. [caption id="attachment_5358" align="aligncenter" width="416"]Gambar: Ourcurriculummatters.edublogs.org Gambar: Ourcurriculummatters.edublogs.org[/caption] Seterusnya, selagimana kumpulan-kumpulan protes ini terpecah sesama sendiri, tiada perubahan akan berlaku. Merancang strategi berkesan dan membina organisasi yang mampan tidak akan berlaku selagi perpecahan autoriti, kaum, gender, kelas, seksualiti, dan identiti terus berleluasa. Apabila pecahan-pecahan ini berfungsi untuk mendemokrasikan segala tuntutan, namun gagal memberi kepimpinan demokrasi, politik akan larut di dalam pergelutan wacana dan kuasa menjadi penyakit. Seperti yang digambarkan oleh Sarah Jaffe, “Paradoks gerakan Occupy ialah apa yang menjayakannya juga telah meruntuhkannya. Tarikan kepada gerakan tanpa pemimpin mampu dirasai, dan ketiadaan tuntutan jelas menyebabkan sesiapa sahaja boleh menyertainya selagi mereka bersetuju dengan dasar asasnya bahawa golongan elit yang kecil terlalu berkuasa. Namun idea tanpa-kepimpinan itu, sendirinya menyembunyikan cara kekuasaan terus beroperasi, dan ketiadaan sebarang tuntutan akhirnya menjadi kengganan untuk berhadapan terus dengan sistem yang sedia ada.” (Jaffe, 2014) Pakatan antara kumpulan-kumpulan berbeza, terutamanya dengan kesatuan pekerja dan buruh, mesti berlaku rentas-batasan nasional, digerakkan oleh pemahaman politik global yang menyeluruh. Ini merangkumi mekanisme kekuasaannya, ideologi, kedaulatan korporat, dan kesan dahsyatnya ke atas kehidupan masyarakat, serta realiti idealisme demokrasi radikal yang adil. Kemungkinan untuk pakatan, perpaduan dan pemahaman politik yang menyeluruh ini amat tinggi di kalangan golongan belia sekarang berbanding dengan sebelumnya, dengan adanya teknologi canggih. Terdapat juga kesedaran bahawa kuasa kini semakin global, dan ini telah menjana keperluan politik baru (Epstein, 2014: 41-44; Aronowitz, 2014a; Aronowitz, 2014b). Sudah tiba masanya untuk kemarahan ini berubah menjadi sebuah gerakan antarabangsa yang menggubal budaya demokratik sebenar, dengan strategi untuk perubahan sosial, politik dan ekonomi yang berkesan.    

]]>