Rakyat UK termakan politik perkauman, di Malaysia bagaimana?

keluar daripada Kesatuan Eropah (EU) pada 23 Jun 2016. “Brexit” satu pengajaran kepada rakyat Malaysia – di waktu sesetengah individu mecanangkan konsep kafir harbi – bagaimana momokan perkauman boleh mengkaburi mata dan membawa kepada pemusuhan yang akhirnya memakan diri. Di UK, politikus dan penyokong kempen tinggalkan EU (“Leave”) menggunakan bayangan bahawa berjuta-juta Muslim akan menceroboh dan mengubah lanskap UK untuk menarik sokongan. Tetapi selepas kempen Leave berjaya, momokan tersebut didedahkan sebagai tidak berpijak pada realiti dan tidak dapat ditunaikan. Ini termasuk janji untuk menyekat kemasukkan warga asing ke UK dan penjimatan dana negara itu disalurkan kepada sistem perubatannya. Janji-janji puak pro-Leave entah ke mana tetapi bagi keseluruhan rakyat UK impak pungutan suara (referendum) itu menghempap mereka sejurus keputusan itu diumumkan. Ekonomi UK telah merundum, duit matang-wang “pound” telah jatuh dengan mendadak dan kepimpinan politik di dalam keadaan huru-hara. Persamaan  Cabaran politik dan ekonomi di Malaysia pula tidak kurang serius. Penurunan harga minyak, kelembapan ekonomi dunia dan nilai mata wang yang lemah telah mengakibatkan beribu rakyat hilang kerja dan kenaikan harga barang dan makanan import. Sementara itu tahap rasuah dan korupsi dilaporkan lebih tinggi berbanding dua tahun lepas, manakala hutang daripada skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dikatakan bakal dibayar oleh rakyat Malaysia sendiri. Di tengah-tengah semua kemelut ini, tiba-tiba Kerajaan PAS Kelantan mendapat lampu hijau untuk membentangkan rang undang-undang di parlimen yang akan membuka jalan bagi perlaksanaan hukuman hudud di negeri miskin itu. Apabila rang undang-undang itu ditentang, Mufti Pahang Datuk Seri Abdul Rahman Osman telah dengan sewenang-wenangnya melabel pihak-pihak tersebut sebagai “kafir harbi”. Ramai tokoh yang lebih arif daripada saya telah mengulas bagaimana istilah tersebut sudah tidak relevan di dalam era negara berdemokrasi. Apa yang saya ingin katakan adalah seperti permusuhan terhadap migran Muslim di UK di tengah kehangatan kempen Brexit, percubaan untuk menanam bibit permusuhan melalui istilah “kafir harbi” juga tidak berpijak pada realiti. Menurut sarjana Islam Prof Abdullahi An-Naim, semua orang berhak mempersoal usaha melaksanakan hudud di Kelantan kerana undang-undang itu buatan manusia. Ia merupakan hasil interpretasi manusia terhadap Al-Quran dan ilmu pengubalan undang-undang syariah. Realiti-nya sekiranya PAS Kelantan berjaya melaksanakan undang-undang tersebut ia akan memberi impak yang menyeluruh kepada semua rakyat Malaysia di semua negeri, tidak kira mereka Muslim atau tidak. Sentimen perkauman, keagamaan seperti “ini hal Islam orang lain tak boleh campur” tidak boleh digunakkan untuk menghalang debat dan tindakan sivil berkenaan sesuatu isu yang membabitkan semua pihak. Kalau kita terima konsep kafir harbi dan mula bermusuh sesama kita, kita juga akan buta terhadap masalah-masalah ekonomi, korupsi dan politik yang semakin menekan. Jadi rakyat Malaysia sekarang menghadapi dua pilihan. Samada kita boleh terus menolak momokan perkauman dan mengembalikan perhatian terhadap realiti masalah ekonomi dan politik negara. Atau kita boleh mengikut warga UK yang dipukau momokan perkauman dan membahayakan masa depan anak-anak mereka. Kini, bukan sahaja ekonomi UK yang berada di dalam keadaan getir. Serangan terhadap warga UK yang bukan kulit putih dan daripada Eropah di negara itu sudah pun meningkat susulan “Brexit”.

Gambar dari Mail Online UK

]]>