Oleh Mohamad Farez Abdul Karim, penulis undangan
Pada suatu petang, Sal dan anak-anaknya berkumpul di ruang tamu untuk bermesyuarat tentang keruncingan belanja hidup mereka setelah tiga hari berturut-turut jualan makanan mereka di sebuah kantin di Bukit Timah Road, merosot kerana musim hujan. Sal kebingungan. Wang di tangannya cuma ada RM10 sahaja, jauh dari cukup untuk dijadikan modal jualan besok harinya. Wang sewa rumah bulan itu belum dilangsai. Kepala Sal betul-betul sudah pusing. Lalu anak-anaknya buat saranan: ‘Besok kita tak usah jualan, kita tunggu sampai hari tak hujan… Mak bolehlah berehat dulu…’ – Petikan buku Dalam Ribuan Mimpi Gelisah: Memoir Said Zahari. Sal yang dimaksudkan ialah isteri kepada Said Zahari. Said seorang wartawan yang dipenjarakan selama 6000 hari (bersamaan 17 tahun) oleh kerajaan Singapura pada 1963. Ini terjadi selepas dia diusir dari Malaysia oleh Tunku Abdul Rahman akibat daripada Mogok Utusan yang dijalankannya bersama rakan-rakan wartawan. Penderitaan yang dialami para tapol (tahanan politik), segala ketidakadilan dek kekejaman diktator sudah tentu akan dirasai oleh kaum kerabat mereka juga. Bagaimana secara tiba-tiba pasangan kekasih, keluarga tercintadipisahkan dengan begitu sahaja. Direntap dan ditahan tanpa bicara, bahkan bertahun lamanya! Jungkir ke belakang, beberapa tahun sebelum itu, di hutan pergunungan Sierra Maestra dalam wilayah Cuba. Seorang pejuang gerila anak kelahiran Argentina yang mesra digelar Che berkata kepada temannya, ‘Revolusi yang suci itu lahir dari rasa cinta nan hebat.’ Sebelum dia bersetuju mengikuti rakan baiknya Fidel memasuki Cuba secara haram dengan kapal layar untuk menjadi askar gerila, dia pernah mengembara bersama rakan karibnya Alberto Granado. Mereka menunggang motorsikal Norton menjelajah Amerika Selatan sebelum berpisah kemudiannya. Granado pulang ke Buenos Aires manakala Che menyambung kembaranya hingga ke Guetamala City, pada masa sama Amerika Syarikat sedang mengebom kota itu untuk menjatuhkan kerajaan kiri Arbenz. Bertugas sebagai pegawai perubatan, di situlah jiwanya bergolak untuk menentang imperialis Amerika yang selalu mencampuriurusan pemerintahan negara-negara Amerika Selatan. Che Guevara tatkala dalam perang gerila, dialah komander dialah juga doktor yang merawat orang kampung yang tak punyai prasarana perubatan. Tambahan pula, dia menjadi guru mengajar kebanyakan gerila yang buta huruf. Tanpa rasa cinta kepada kebebasan, cinta kepada orang-orang miskin, tak mungkin dia menelusuri jalan berliku sebagai revolusioner sebelum mati ditembak ketika dalam tahanan di Bolivia. Kematiannya meletuskan api semangat cinta manusiawi terhadap gerakan kiri dan revolusi menentang sebarang bentuk imperialisme. Ironinya, wajah Che menjadi logo dibaju-baju dan produk-produk berunsur pop moden yang tersebar ke serata dunia bertunjangkan ekonomi kapitalisme. Namun, fenomena itu secara tak sedar mencelikkan umum terhadap riwayat hidupnya menentang penindasan dengan tindakan revolusi. Melangkau jauh lagi ke belakang, suatu hari di tahun 1893, di stesen keretapi Pietermaritzburg, Afrika Selatan. Seorang peguam yang kurus bernama Mohandas Karamchand Gandhi mengalami satu peristiwa yang bakal mengubah diri beliau buat selamanya. Dia dihalang dari menduduki koc kelas pertama hanya kerana dilahirkan sebagai seorang berkulit gelap, bukan berkulit putih. Insiden ‘yang mahajelik’ itu berpunca daripada dasar apartheid yang diamalkan kerajaan kolonial British di Afrika. Beberapa tahun kemudian di tanah asalnya India, Gandhi mengubah diri menjadi sosok pejuang keadilan dan hak kesamarataan dengan melancarkan gerakan satyagraha (kuasa kebenaran) berkonsepkan ahimsa (kedamaian),sebuah perlawanan dengan kasta pemerintah tanpa sebarang unsur kekerasan. Pada 30 Januari 1948, beliau mati dibunuh. Kata-kata akhir yang terluah dari mulutnya ialah ‘Hey Rama’ (Oh Tuhan). Bapu, nama gelaran yang diberi oleh rakyat India kepadanya dijulang sebagai ‘bapa negara India’. Perasaan benci terhadap kezaliman dan penghinaan yang pernah dialaminya, dibalas dengan perjuangan berasaskan cinta. Begitulah riwayat seorang pejuang dari India yang mengangkat karya John Ruskin, Unto This Last sebagai naskhah yang amat mempengaruhihidupnya. Leon Trotsky, sewaktu kanak-kanak pernah menangis teresak-esak melihat layanan buruk ayahnya kepada pekerja mereka. Nilai sentimental itu, atas rasa cinta kepada keadilan menjelmakan Trotsky menjadi pejuang Marxist yang senantiasa berkobar-kobar menghapuskan sistem kapitalis di Russia. Pernah menemui cinta pertama di penjara lalu dikurnia dua anak yang bernama Zina dan Nina, dia kemudian menjadi orang kanan Lenin sebelum dibuang negara sewaktu pemerintahan Stalin. Sebagai pengkritik keras dasar politik Stalinisme, dia juga mengakhiri hidup dengan terbunuh di tangan seorang ejen Russia ketika tinggal di Mexico. Seorang pengkagum Karl Marx dan Friedrich Engels, dia juga mengkagumi naskhah susastera umpamanya Iliad karya Homer. Dalam tradisi Islam, mustahil orang muslim tak kenal dengan seorang sahabat Nabi yang bernama Abu Dzar. Dilahirkan dalam kabilah bani Ghifar, sebuah suku pada zaman pra-Islam yang terkenal amat liar,kasar dan pemberani. Mereka juga sering menghalang, mencegah dan merompak kafilah Arab yang dalam perjalanan. Abu Dzar kemudian memeluk Islam. Wataknya sudah tentu berubah. Dalam sebuah wirayat, Nabi pernah bersabda bahawa kesetiaan dan kejujuran Abu Dzar seumpama ‘cahaya terang-benderang’. Sebagai seorang yang mencintai Nabi, Abu Dzar sudah tentu mencintai kehidupan yang zuhud dan membenci sifat tamak lagi rakus. Bukankah itu intipati ajaran Islam? Dia bangun mengkritikbentuk pemerintahan Khalifah Rasyidin ketika itu Uthman bin Affan. Pada era pemerintahan khalifah Islam ketiga itu, didapati banyak orang-orang kaya dan penguasa menggunakan harta baitulmal demi kesenangan kerabat sendiri. Amalan kronisme berleluasa. Akhirnya, atas saranan gabenor Muawiyah, Sayidina Uthman mengusir Abu Dzar ke padang pasir apabila dia bersikeras tak mahu menghentikan pertentangan dan kritikannya. ‘Aku tak perlukan duniamu,’ jawab Abu Dzar terhadap pujukan Uthman sebelum diusir. Diceritakan, sebelum kematiannya, ada satu jemaah Haji sedang melalui berdekatan Abu Dzar dan isteri yang sedang terlantar sakit. Isteri Abu Dzar melambai memanggil mereka untuk meminta bantuan. Setibanya mereka, dia memohon kain kafan bagi suami tercinta yang sudah nazak. Dalam keadaan hampir sakarat itu pun Abu Dzar menolak pemberian daripada mereka sekiranya mereka terdiri daripada kalangan pegawai dan penguasa. Akhirnya Abu Dzar bersetuju selepas dihampiri salah seorang dari mereka yang mengaku bahawa kainnya ditenun oleh ibu sendiri. Betapa cermat dan tinggi cinta Abu Dzar terhadap kesucian dan keberkatan hidup hingga ke takat itu! Bagaimana pula dengan Nabi Muhammad sendiri? Baginda dihina, dikeji, keluarganya dipulau dan ditentang sehingga terpaksa berhijrah ke Madinah. Apa yang baginda perbuat setelah menakluki kota Mekah? Baginda membebaskan kesemua tahanan perang, dan memaafkan semua musuhnya. Tidakkah baginda merupakan contoh revolusioner sejati yang berjuang demi kecintaan terhadap kemanusiaan? Seorang revolusioner sentiasa menentang status quo. Dia itu takkan berhenti pada satu takah kehidupan dan berasa selesa dengannya. Api nyala cinta terhadap kemanusiaan di dalam dirinya sentiasa berkobar.Dia justeru seorang emosional dan punyai sifat sentimental yang tinggi. Adakalanya dia menjadi pesimis, lembut, dan ada masa dia keras, pemarah. Revolusioner adalah manusia biasa. Walaupun begitu, mereka takkan menjual perjuangan dengan harga yang murah. Mereka tidak akan mati dalam menjadi seorang selebriti tivi yang dipuja dan dibela oleh penguasa nan zalim. Revolusioner hidup seadanya. Fikiran mereka menerawang ke dunia utopia tatkala masyarakat umum terpukau dengan pesona materialisme di media perdana. Banyak daripada mereka adalah wira yang tak didendang. Kerna dalamnya cinta mereka terhadap kemanusiaan sejagat, insan revolusioner pasti akan menggemari tak kurang sebuah karangan puisi indah. Usman Awang, penulis cerpen Uda dan Dara juga menyindir dengan tajam berbisa dalam sajaknya berjudul Anjing Itu. Ruhi Hayat adalah nama pena seorang sasterawan juga pejuang revolusi, Abdullah Thani bin Raja Kecil. Bakatnya dalam penulisan membentuk jatidiri untuk menjadi pejuang kiri. Mengkagumi sosok nasionalis India, Subhas Chandra Bose, dia kemudian menukar nama menjadi Boestamam. Dia bersama API (Angkatan Pemuda Insaf) memperkenalkan slogan ‘Merdeka dengan Darah’ dalam gagasan mereka, justeru ditangkap oleh polis British ketika itu atas tuduhan hasutan. Walhal, tiada darah manusia yang ditumpahkan melalui penerbitan testamen politik tersebut. Hampir kesemua revolusioner, pejuang nasib golongan murbawan yang tertindas adalah mereka yang minat dengan pembacaan karya-karya agung dan kesusasteraan tinggi. Cinta mereka terhadap ilmu, kebenaran, dan kemanusiaan sejagat amat tinggi. Mereka membantah tindak-tanduk zalim oleh penguasa. Mereka menolak monopoli dalam ekonomi dan menentang dasar politik imperialis asing. Tidak semestinya mereka itu sentiasa bertindakbalas dengan keganasan. Ada segelintir yang lembut dan berjuang untuk merubah struktur social melalui kebudayaan. Mereka menentang kekerasan dengan kekerasan, dan membalas kelembutan dengan kelembutan. Berbeza dengan pendapat Mao Zedong, katanya ‘sesebuah revolusi itu adalah kebangkitan, tindakan ganas masyarakat kelas bawah untuk menjatuhkan kelas atasnya’. Sekiranya bukan dengan senjata, jalan ‘ahimsa’ sang revolusioner ialah berlawan dengan tulisan kata-kata, yang memang merupakan kuasa ampuh menjatuhkan mana-mana kerajaan zalim dan korup. Ayatollah Khomeini yang lebih 14 tahun hidup dalam buangan dulu pernah menuturkan tentang kekuatan penulisan apabila dijelmakan menjadi seperti peluru mesingan, berupaya menghancurkan kezaliman penguasa. Ini kerana, kebenaran berdiri dengan hujah. Walaupun penguasa zalim membariskan tentera demi menundukkan kebangkitan rakyat, kata-kata yang benar adalah gelombang yang sentiasa kekal melantun dari mulut ke mulut, telinga ke telinga, jiwa ke jiwa. Akhirnya ia menjadi ombak besar yang tak dapat dihalang oleh sebarang empangan. ‘Dunia hari ini akhirnya adalah kepunyaan anak muda. Lakukanlah apa sahaja. Dan lakukan sekarang’. Begitu kata Hishamuddin Rais, seorang Melayu sosialis tentang hal revolusi. Mohon untuk saya memberi sedikit tambahan, ‘anak muda, lakukanlah dengan rasa cinta demi keadilan, kemanusiaan dan kebenaran’. ]]>