Respons kepada Artikel ISMA: Siapa Bilang Gadis Melayu Tak Melawan

Siapa Bilang Gadis Melayu Tak Melawan Kami merujuk kepada artikel bertajuk “Siapa Bilang Gadis Melayu Tak Melawan: Forum Di Atas Persepsi dan Rungutan” tulisan saudari Nurul Hajjar Atan dari PEMBINA, yang disiarkan di laman web ISMA pada 15 September 2015. Pertama sekali kami ingin mengucapkan terima kasih kepada saudari kerana sudi menghadiri forum kami dan menulis ulasan mengenainya. Namun di sini kami ingin membuat beberapa pembetulan dan penjelasan terhadap tulisan tersebut: 1) Projek Dialog adalah penganjur forum, dan bukan panelis. Panelis kami adalah:

  • Yati Kaprawi, pembikin dokumentar di Lensa Srikandi
  • Fadiah Nadwa Fikri, BERSIH
  • Nurhayyu Zainal, Kolektif Guerilla Budaya (KGB)
  • Engku Iman, seniwati
2) Perenggan yang didakwa disebut oleh Yati Kaprawi: “Seks jantina dan mungkin juga ‘seks’ yang dilakukan oleh berlainan jantina. Semua benda nak fikir seks, panggilan nama seks, binatang seks, bulan bintang pun nak berasaskan seks jugak.” Rasanya kurang tepat. Apa yang dibincangkan ketika itu ialah konsep “gender” dalam bahasa Arab, yang meletakkan jantina kepada semua objek – oleh itu pemikiran mereka semestinya berlandaskan gender. Itu memang dalam bahasa dan budaya mereka, berlainan dengan Melayu yang bahasanya neutral (objek dan kata nama seperti “dia” tiada gender). Apabila pemikiran yang sangat berlandaskan perbezaan gender itu diambil dalam budaya Melayu, ia menukar wacana kita. Yati juga ada mengatakan bahawa, dalam wacana keagamaan yang sedang berlaku kini, dalam usaha untuk mengelakkan seks/kelucahan, secara tidak langsung ia menukarkan segala perbahasan kita terutamanya tentang wanita, berbalik kepada isu seks. Ini yang pernah diteorikan oleh Foucault sebagai “Incitement to discourse” – iaitu represi dalam membincangkan seks secara terbuka menyebabkan ia timbul dalam ruang kod bahasa yang dapat diterima oleh masyarakat. Buktinya dalam konteks Malaysia zaman kini, apabila sebarang paparan tentang wanita, tidak kira apa pencapaian atau mesejnya, akan sentiasa kembali kepada isu aurat “untuk mengelakkan fitnah/zina/membangkitkan nafsu syahwat lelaki”. Dengan erti kata lain, disebabkan seks merupakan satu topik yang terlarang dibincangkan secara terbuka, maka ia berselindung di sebalik topeng “teguran”. Kerana itulah jika kita lihat kembali, dalam kes Aisyah Tajuddin, sebilangan ugutan terhadapnya adalah tentang rogol. Sama juga dalam isu gimnas Farah Ann Abdul Hadi, dan yang terkini pemenang biasiswa Bank Negara, Hajar Nur Asyiqin Abdul Zubir. Kedua-duanya terpaksa menghadapi tekanan masyarakat yang melihat mereka sebagai objek seks. Ini juga barangkali sebabnya sebilangan ustaz popular sangat gemar “berjenaka” hal-hal begini, kadangkala dalam perincian yang amat menjengkelkan terhadap wanita, kepada gelak ketawa para lelaki. Namun ia dihalalkan atas nama teguran. Melayu Terakhir3) Tentang persepsi, barangkali definisi perempuan Melayu sebagai seorang yang lemah-lembut dan sebagainya juga merupakan suatu persepsi masyarakat dan tidak berpaksikan mana-mana kajian. Tiada masalah jika itulah definisi yang membanggakan saudari. Cumanya persepsi itu tidak mewakili realiti semua wanita Melayu. 4) Kehadiran Melayu yang sedikit, itu di luar kawalan kami. Kalau boleh memang kami inginkan lebih hadirin Melayu, namun itu terpulang kepada keinginan mereka untuk berdialog bersama. Mungkin juga elok jika saudari timbulkan hal ini semasa forum tersebut supaya boleh kita perjelaskan dan pertimbangkan pandangan saudari. 5) Tentang seni Engku Iman pula, poin di situ ialah disebabkan masyarakat terlalu fokus kepada aspek “kelucahan” hasil seni tersebut, mereka tidak dapat melihat mesej sebenar di sebalik gambaran buah dada di atas penimbang itu – iaitu bagaimana bahagian tubuh wanita sering dijadikan sebagai objek. Tubuh wanita tidak seharusnya dilihat sebagai objek seks sahaja. Nilainya lebih daripada itu. Sedangkan buah dada juga berperanan untuk menyusukan anak, dan sebagainya. Itu juga menjawab persoalan mengapa ibu yang menyusukan anaknya di ruang awam harus dikutuk begitu sekali, sedangkan dia hanya melakukan peranannya sebagai ibu. Dari sesuatu yang suci, masyarakat telah menukarkannya kepada sesuatu yang lucah. Ini bukan mempersoalkan sifat malu seseorang. Jauh sekali tujuan para panelis untuk menggalakkan kelucahan, saudari. Breastfeeding 6) Mungkin saudari terlepas semasa Yati sendiri membangkitkan bahawa sifat kewanitaan yang dibayangkan oleh masyarakat Melayu Muslim zaman kini tidak selari dengan realiti masyarakat Islam yang terdahulu. Apabila wanita-wanita seperti Khadijah dan Aisyah merupakan sosok kuat yang begitu dihormati di kalangan rakyat kerana kebolehan mereka. Yang pertama sebagai ahli saudagar. Yang kedua, sebagai ulama, hakim, dan pernah sendiri mengetuai rombongan untuk berperang. Hidup mereka bukanlah hanya duduk rumah melayan suami. Jauh sekali. —- Moga penjelasan ini dapat menenangkan kebimbangan saudari dan para pembaca. [Untuk ulasan lanjut tentang forum tersebut, sila baca di sini.] ]]>