Syukur, Aku Feminis

D56H22 Paper doll graffiti in a public street - Rome Oleh Kamal Sandera Mengapa Aku Memilih Menjadi Lelaki Feminis Aku tak pernah menyangka satu hari nanti aku akan menjadi seperti ini. Menjadi seorang yang sering mempertikaikan segala-galanya. Cuba untuk memahami sesuatu dengan lebih kritikal. Memaksa aku membaca buku-buku dan artikel-artikel yang sebelum ini asing bagiku. Semua ini disebabkan oleh feminisme. Kenapa aku memilih feminisme atau menjadi seorang feminis? Semua ini kerana aku tidak sanggup melihat kaum perempuan ditindas, direndah-rendahkan, dinafikan hak-hak mereka, dianiaya dan paling teruk perempuan sering dianggap sebagai objek seks. Cara berpakaian seorang perempuan dikatakan penyebab perempuan dirogol. Apabila seorang perempuan bersuara pasti ancaman dan ugutan yang berbentuk seksis akan dilemparkan kepada mereka. Lihat sahaja dalam isu Aisyah Tajuddin apabila beliau mengkritik hudud di Kelantan, beliau telah diugut dengan ancaman rogol. Aku juga  sudah jelik dengan ustaz-ustaz yang selalu bersikap seksis dan tidak tahu menghormati perempuan. Sering melihat perempuan sebagai kelas kedua dalam masyarakat. Aku benci mufti seperti Harussani Zakaria yang sanggup menggunakan hadis Nabi untuk ‘menghalalkan’ rogol dalam perkahwinan. Apakah beliau tahu apa itu rogol? Rogol adalah satu bentuk keganasan dan penindasan. Aku menjadi feminis kerana aku menyampah dan benci kepada idea maskuliniti yang konservatif dan tradisionalis. Aku masih ingat bagaimana rakan-rakan lelaki semasa zaman persekolahanku sering mempermainkan, mengejek dan mempersenda aku. Semua ini kerana aku tidak menepati ciri-ciri seorang lelaki yang dikatakan lelaki. Masih terimbau dalam benak ingatanku bagaimana rakan-rakanku (lelaki dan perempuan) mengatakan cara jalan, bercakap, gelak, makan dan pakaianku persis seperti perempuan. Sampai ada yang menggelarkan aku sebagai pondan, sotong, lembut dan yang paling teruk umat akhir zaman. Aku pernah cuba untuk menjadi ‘lelaki’ seperti mana yang mereka mahu, namun ia amat menyakitkan. Aku tidak ada masalah dengan maskuliniti tetapi sekiranya ia ‘membunuh’ dan menyakitkan diriku, maka aku akan menentang konsep tersebut. Feminism for Everyone Mulanya Persoalan Fatwa haram ke atas Sisters In Islam (SIS) telah menyebabkan aku terjebak menjadi seorang feminis. Apabila fatwa itu keluar, ia memaksa aku mengkaji siapa SIS. SIS dikatakan menyebarkan fahaman liberal dan plural. Namun sepanjang pengamatan aku, aku tidak nampak perjuangan mereka itu bertentangan dengan Islam. SIS cuba membebaskan perempuan daripada penindasan golongan agamawan yang misoginis, patriarki dan kapitalis. Feminisme mengajar aku menjadi manusia. Betul Islam juga mengajar aku menjadi manusia. Feminisme mendidik aku untuk melihat manusia sebagai manusia dan hal ini juga turut terkandung dalam ajaran agama Islam. Feminisme mengajar aku menghormati hak-hak asasi manusia. Namun begitu, tidak ramai golongan agamawan yang menekankan hal ini. Ada orang membisikkan kapada aku bahawa feminisme bertentangan dengan Islam. Tapi berapa ramai golongan agamawan yang berjuang menentang keganasan dalam rumah tangga, isu jurang pendapatan gender, keganasan gender, sistem kapitalis atau kemusnahan alam sekitar? Bilangan mereka boleh dikira dengan jari. Kebanyakan mereka (khusus di Malaysia) lebih tertarik tentang cara perempuan berpakaian berbanding dengan gangguan seksual yang dialami oleh perempuan di tempat kerja. Feminis & Keadilan Untuk Minoriti Aku menjadi feminis kerana aku tidak sanggup melihat golongan transgender ditindas dan diganasi. Berapa ramai diantara kita yang mengetahui apakah yang dialami oleh golongan ini dalam mengharugi liku-liku kehidupan? Pernahkah kita bertanya mengapa mereka memilih jalan ini untuk meneruskan kehidupan? Bukan sahaja mereka, malah golongan minoriti agama di Malaysia seperti Syiah juga sering ditindas. Mereka sering diburuk-burukkan dalam ceramah dan khutbah Jumaat. Namun adakah mereka diberi peluang dan pentas yang sama untuk menjawab tomahan tersebut? Kita bercakap tentang keadilan namun keadilan yang dilaungkan hanya untuk golongan elitis dan agamawan. Kita tidak mahu berdialog kerana kita takut orang ramai akan mula berfikir. Di negara ini berfikir merupakan satu ‘jenayah’. Ramai yang menyangka feminisme menggalakkan manusia menjadi homoseksual (gay dan lesbian). Feminisme menghormati pilihan seseorang. Walau apapun orientasi seks seseorang itu adalah pilihan beliau dan wajar untuk dihormati. Tidak ada seorang pun yang patut didiskriminasikan hanya disebabkan orientasi seks dan gender mereka. Sekiranya kita berjumpa dengan orang yang berbeza orientasi seks dan gendernya dengan kita, mereka masih lagi manusia yang mempunyai harga diri yang perlu dihormati. Inilah yang diperjuangkan oleh feminisme. Aku akui bahawa aku terpesona dan tergiur dengan perjuangan Simone de Beauvoir. Aku cair dan ghairah melihat usaha Vandana Shiva. Aku bangga dengan Amina Wadud. Semua ini adalah sebahagian daripada pemikir feminis yang aku kenal. Banyak lagi pejuang-pejuang feminis yang belum aku kenal tapi aku pasti mereka juga berjuang untuk memerdekakan wanita dan manusia. Bukan sahaja wanita tetapi lelaki juga. Dengan memerdekakan wanita, lelaki juga akan turut merdeka. Feminist Equality Memahami Tuhan Pengasih & Penyayang – Melebihi Kotak Gelaran Sebagai feminis, aku dilabel dengan pelbagai gelaran. Liberal. Sekular. Petanda kiamat. Kaum yang dilaknat. Sesat. Syiah. Pengkhianat bangsa. Murtad (sebab aku pernah menyatakan mungkin sahaja Tuhan itu transgender dan adakah Allah itu Muslim?). Tidak kurang juga aku dilabel sebagai Dajjal. Feminisme adalah tentang kesetaraan. Feminisme adalah berkaitan dengan manusia sebagai manusia. Gologan agamawan juga mengatakan benda yang sama iaitu melihat dan menilai manusia tanpa mengira agama, bangsa, keturunan dan sebagainya. Tapi itu semua indah khabar dari rupa. Feminisme membuat aku melihat Tuhan sebagai Pencipta yang Pengasih dan Penyayang, bukan yang suka menghukum. Tuhan amat menyayangi hambanya walaupun seseorang itu gay, lesbian, transgender termasuklah yang bukan Islam kerana kita semua ciptaan-Nya. Feminisme adalah tentang hormat dan pilihan. Feminisme mengajar aku melihat dunia dengan kanta yang lain. Melihat setiap hidupan mempunyai nilai yang perlu dihomati. Manusia, kesetaraan dan pilihan adalan tiga ungkapan yang menggambarkan feminisme dalam kaca mataku. Aku akan terus berjuang sebagai seorang feminis. Hatta di dalam syurga sekalipun aku akan berjuang sebagai seorang feminis. Akan ku ajarkan bidadari/ra di dalam syurga tentang kesetaraan. Terima kasih Tuhan kerana melahirkan aku sebagai FEMINIS. Biarlah kesejahteraan dari Tuhan memerintah hatimu.

]]>