Tembok 1Malaysia: Perpecahan didahulukan

Tembok Berlin belum runtuh.

Ya – “Tembok Berlin” masih wujud, malah telah dibina semula di negara kita sendiri.

Tembok yang dibina oleh Republik Demokratik Jerman pada 13 Ogos 1961 untuk memisahkan Jerman Timur dan Jerman Barat, tembok yang melambangkan bukan sahaja pemisahan fizikal, tetapi pemisahan mental dan pemisahan ideologi antara rumpun yang berkongsi darah dan sejarah yang sama, telah dibina semula di tanah air kita yang tersayang.

Bezanya, tembok ini tidak lagi mempunyai bentuk fizikal – ia wujud di mana saja dan di setiap strata masyarakat.

Pembinanya bukan orang Jerman – jauh sekali – tetapi orang kita sendiri. Pemerintah kita. Kita. Kita sendiri.

Tembok Berlin telah menjadi Tembok 1Malaysia.

Politik perkauman

Pada pendapat penulis, tembok ini telah mula dibina pada zaman jajahan British dimana rakyat koloninya dipisahkan mengikut kaum.

Melayu dengan Melayu, Cina dengan Cina, India dengan India. Dasar ini dikenali sebagai ‘Divide and Rule’ (Pisah dan Jajah) dan berasaskan logika bahawa jika sesebuah masyarakat koloni dipisahkan mengikut kaum. Dalam wujudnya sengketa dan kesalahfahaman akibat pemisahan ini, masyarakat tersebut tidak akan dapat bersatu untuk menumbangkan penjajahnya.

Tarikh 31 Ogos 1957 menjadi saksi kepada kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu dari penjajah British. Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963 manakala Sabah pula merdeka pada 31 Ogos 1963. Pada 16 September 1963, wujudnya sebuah persekutuan baru – Persekutuan Malaysia hasil gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura. Tetapi apakah kita benar-benar merdeka dari penjajah?

Lihat sahaja nama parti-parti komponen yang paling lama berdominan di Malaysia:

United Malays’ National Organisation. Malaysian Chinese Association. Malaysian Indian Congress.

Alasan di halaman buku sejarah: Supaya ketiga-tiga kaum ini mempunyai wakil masing-masing di arena politik. Kononnya melambangkan perpaduan dan sikap toleransi di antara ketiga-tiga kaum ini.

Adakah ia benar-benar berhasil? Jika ya, mengapakah kita masih kerap mendengar ucapan berbaur perkauman di arena politik negara dan di laman media sosial misalnya?

Apakah masalahnya jika kita mewujudkan satu parti atau entiti di mana namanya melambangkan suatu tujuan yang dipupuk bersama, dan bukan berdasarkan kaum ahli-ahlinya?

Ini tidak termasuk lagi hal hak istimewa Bumiputera/Melayu lawan Pendatang yang tentunya akan mencetuskan kontroversi jika dihujah di sini.

Tambah lagi hal sekolah vernakular yang kononnya juga melambangkan toleransi antara kaum. Tidak boleh dipersoalkan. Topik sensitif kata kita.

Tetapi dan dengan mulut yang sama, kita melafazkan kata-kata tersebut: “Tuhan mencipta semua manusia sama rata. Tiada yang lebih tinggi atau yang lebih istimewa kecuali yang Maha Esa”.

Politik agama

Susah untuk penulis mencari contoh negara lain di era moden kini di mana seseorang itu secara otomatik, dari lahir, wajib menjadi penganut sesebuah agama jika dia lahir di dalam kaum yang tertentu. Apalagi kalau ini ditetapkan di dalam perlembagaan sesebuah negara. Ternyata Malaysia memang sebuah negara yang istimewa.

Namun begitu kerapkali jika hal ini dipersoalkan, penyoalnya akan ditelagah dan dituduh sebagai mencuba merosakkan akidah atau mencuba mengaburi iman seseorang.

Ya tentunya setiap agama akan menyatakan bahawa ia adalah jalan yang sebenar.

Persoalannya adalah: Agama manakah yang menyatakan dalam kitab sucinya bahawa sesebuah kaum itu wajib menganuti agama tersebut?

Dalam cubaan menekankan pentingnya kesucian iman dan kekuasaan Tuhan, adakah kita telah mencipta undang-undang baru yang tidak pernah disyorkan oleh agama kita?

Kebebasan beragama itu hak asasi setiap manusia yang tidak sepatutnya dirampas oleh mana-mana entiti, termasuk perlembagaan sesebuah negara.

Biarlah seseorang itu menemui kebenaran melalui bimbingan serta pancaran sinar Tuhan ke atas hatinya, dan bukan atas paksaan langsung atau tidak langsung. Dengan merampas kebebasan agama sesebuah kaum melalui perlembagaan negara – dalam kata lain, undang-undang tertinggi sesebuah negara (yang tetap ciptaan manusia, bukan ciptaan Tuhan) – kita telah menyekat banyak peluang untuk berdialog secara bermakna dan terbuka.

Akibatnya, kita akan tetap dengan prejudis kita… dan lingkaran persalahfahaman ini akan berpusar dan berpusar sehingga – dan semoga – satu hari bila kita berani membuat perubahan.

Bukan berani kerana iman kita lalai, tetapi berani kerana iman kita cukup teguh untuk menempuhi apa jua halangan dan cobaan.

Sentimen nasionalis Sabah dan Sarawak

“Welcome to Malaysia!” “Awak tinggal atas pokok ke? Semua pakai cawat ke?” “…akan dihantar ke seluruh Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak.” “Malaysia wujud pada 31 Ogos 1957.” Majoriti penduduk Sabah dan Sarawak pasti sudah biasa sekali dengan pernyataan-pernyataan sebegini. Ya, di era moden yang lengkap dengan kewujudan kemudahan Internet, ternyata pernyataan-pernyataan tersebut masih wujud 51 tahun selepas pembentukan Malaysia! Dari sudut tersebut kebangkitan sentimen nasionalisme di kalangan rakyat Sabah dan Sarawak yang makin lantang tidak hanya berpunca dari sentimen perkauman kuat segelintir kelompok yang harus ditempuhi bila menjejak kaki ke tanah Semenanjung. Puncanya adalah lebih rumit dan berkisar Perjanjian Malaysia 1963 yang kononnya tidak dipenuhi oleh kerajaan persekutuan. Akibatnya, Sabah dan Sarawak telah menjadi antara negeri-negeri termiskin di Malaysia kerana hanya memperolehi 5 peratus royalti minyak dan gas walaupun kedua-dua negeri telah banyak menyumbang sumber-sumber asli tersebut. Tambah lagi dengan isu-isu agama: 1) usaha pengIslaman di sekolah walaupun kedua-dua negeri tersebut adalah negeri-negeri sekular, serta 2) penyekatan buku-buku Alkitab Bahasa Melayu oleh JAIS dan MAIS (kebanyakan pengguna Alkitab Bahasa Melayu berasal dari Sabah dan Sarawak). Jadi memang tidak mengejutkan apabila kita lihat bahawa beberapa NGO di Sarawak dan Sabah telah ditubuhkan untuk menuntut balik hak-hak otonomi kedua-dua negeri ini. Ada yang memperjuangkan kemerdekaan Sabah dan Sarawak dari Malaysia kerana menganggap bahawa sebarang rundingan dengan kerajaan persekutuan kurang membuahkan hasil. Yang lain pula hanya ingin menuntut kerajaan persekutuan untuk menghormati dan mengangkat semula kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah-wilayah yang otonomi di dalam Persekutuan Malaysia. Baru-baru ini Borneo Heritage Foundation (BHF) dan Sarawak Association for Peoples’ Aspirations (Sapa) menganjurkan sebuah forum di Kuala Lumpur untuk membahaskan Perjanjian Malaysia 1963. Jelas sekali ini menunjukkan kesedaran sejarah yang semakin meningkat dikalangan penduduk Sabah dan Sarawak, dan tahap kesabaran yang semakin berkurang terhadap isu-isu yang melanda kedua-dua negeri tersebut. Apakah respons kita sebagai rakyat Malaysia? Bagi yang pro-merdeka pula, adakah kemerdekaan Sabah dan Sarawak dari Malaysia satu-satunya solusi yang paling bagus? Mungkin benar rundingan dengan kerajaan persekutuan kurang membuahkan hasil. Tetapi sudahkah kita menggunakan cara-cara lain, misalnya menganjurkan forum dialog antara anak-anak muda Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia untuk meningkatkan kesedaran mengenai isu-isu yang menimpa negara kita? Jom Roboh! Jelas bahawa isu-isu ini bukan hal yang boleh diremeh-temehkan dan melibatkan pelbagai aspek dari segi undang-undang, dasar kerajaan serta mentaliti rakyat yang telah terbentuk setelah beratus-ratus tahun dipengaruhi polisi ‘Divide and Rule’ oleh penjajah asing. Penulis percaya, secara peribadi kita semua inginkan perpaduan sesama rakyat yang berbilang kaum dan agama. Masalahnya, kita belum cukup menyedari kepentingan dan peranan dialog sebagi salah satu cara untuk memupuk perpaduan. Ini hanya boleh dicapai jika kita rela membuka hati dan minda untuk mempelajari perspektif baru – dan untuk mempelajari perspektif baru, kita perlu rela berhenti melabelkan sesuatu topik sebagi ‘topik sensitif’. Sesuatu topik hanya sensitif jika kita mudah sensitif dan tidak rela atau takut membahaskannya. Namun begitu tidak bermakna kita boleh mengambil kesempatan ini untuk memaki atau meremehkan pandangan orang lain. Sesuatu dialog hanya boleh menjadi dialog yang bermakna jika kedua-dua pihak melihatnya sebagai suatu peluang untuk belajar dari satu sama lain, dan bukan satu pertandingan di antara dua ego. Janganlah kita hanya bersatu dalam membina Tembok 1Malaysia. Marilah kita bergandingan tangan, hati dan minda untuk merobohkan tembok yang tidak sepatutnya wujud di kalangan masyarakat yang majmuk. Mungkin juga satu hari nanti kita akan menjadi saksi kepada kewujudan sebuah parti baru di negara kita ini: United Malaysians’ National Organisation. Mungkin. Ayuh, jom roboh!         unnamed ]]>