Temubual eksklusif bersama Reveren Jerry Dusing, presiden Sidang Injil Borneo, Sabah

Projek Dialog: Sebagai permulaan, boleh anda jelaskan sedikit sebanyak berkenaan Sidang Injil Borneo (SIB): siapa yang diwakili organisasi ini, bila penubuhannya serta aktiviti-aktiviti yang sering dijalankan? Reveren Datuk Jerry Dusing: Sidang Injil Borneo (SIB) bermula di Sarawak pada pertengahan 1920an dan kemudiannya di Sabah pada 1940an sejurus sebelum Perang Dunia Kedua. Seperti gerakan mubaligh lain, SIB mempunyai objektif untuk mengongsikan ajaran di dalam kitab Injil kepada semua manusia di mana juga mereka berada. Khususnya kepada mubaligh-mubaligh (SIB) pada waktu itu, fokus utama mereka ialah penduduk asal Sabah dan Sarawak yang tinggal jauh di pedalaman. Kumpulan-kumpulan mubaligh lain pada masa itu kebanyakannya bergiat di kawasan bandar sebelum memasuki kawasan pedalaman. Akan tetapi, SIB yang pada waktu itu dikenali sebagai Borneo Evangelical Mission, bermula di kawasan pedalaman dan secara perlahan memasuki kawasan bandar. SIB lebih menumpukan gerakan mubaligh di kawasan pedalaman [orang asal] kerana terdapat lebih keperluan di kawasan tersebut. Di Sarawak terutamanya, kebanyakan penduduk asal pada masa itu masih hidup di dalam rimba: mereka sangat ketinggalan, mengamalkan animisme, serta cara hidup yang tidak menggalakkan perkembangan manusia. Di Sabah, gerakan mubaligh hanya  bermula pada tahun 40an. Perkembangan SIB amat berbeza berbanding kumpulan mubaligh lain dari segi kaedah, penekanan serta kawasan yang ditumpukan. Tentunya ini bukan suatu permasalahan buat mereka [komuniti pedalaman] tetapi jika kita ambil kira daripada perspektif yang lebih maju, adalah amat sukar untuk membayangkan bagaimana kehidupan seperti itu dapat berkembang dan berkekalan. Malah, cara fikir pemerintah British pada waktu itu, melalui apa yang dapat kita fahami daripada pembacaan sejarah, menunjukkan bahawa agak mustahil untuk mereka melakukan sebarang usaha kemajuan terhadap penduduk asal ini. Sebab utama mengapa para mubaligh ini mudah diterima adalah kerana kebanyakan penduduk pedalaman pada waktu itu masih terperangkap dalam cara hidup animisme, masalah penyakit, kemiskinan serta kemabukan. Ajaran Injil dapat menghasilkan perubahan yang besar terhadap cara hidup mereka ke arah yang lebih baik. Sekarang, ramai dikalangan mereka dapat merasa faedah yang diterima di mana mereka memperolehi kedudukan yang baik dalam kerajaan serta syarikat swasta. Oleh kerana gerakan mubaligh dapat memberi bantuan dalam mengubah cara hidup mereka, kebanyakan penduduk pedalaman dapat mencapai status kejayaan pada hari ini. SIB lebih berkembang di kalangan penduduk pedalaman Sabah dan Sarawak pada hari ini kerana penumpuan yang diberikan kepada kawasan pedalaman terhadap permasalahan kemiskinan, kesihatan, kemabukan dan pendidikan. PD: Terdapat berapa bahagian atau ahli dalam SIB sekarang? RDJD: Sebenarnya terdapat tiga organisasi dalam SIB. Ke tiga-tiga organisasi ini berbeza dari segi pentadbiran, namun tetap sama dalam semangat dan kerjasama. Tiga organisasi SIB ini mewakili wilayah yang berbeza iaitu Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia. Di Sarawak ia didaftarkan di bawah Registrar of Society (RoS), kemudiannya ditukar kembali di bawah Missionary Society Ordinance. Di Semenanjung Malaysia, ia didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat. Di Sabah pula ia didaftarkan di bawah “Trustee Ordinance”. Dari segi pentadbiran, SIB lebih senang didaftarkan sebagai pertubuhan berbeza. Namun dari segi teologi serta ajaran Kristian dan juga kepimpinan, SIB tetap bersama sebagai satu gerakan, berkongsi sumber dan pekerja penuh masa atau pastor bersama. Untuk mengekalkan kesatuan di kalangan tiga organisasi ini, perjumpaan akan diadakan tiga kali setahun untuk tujuan dialog, serta perancangan strategi dan pembangunan. PD: Boleh anda terangkan dengan lebih mendalam mengenai aspek teologi atau mazhab Kristian yang membentuk SIB? RDJD: Daripada spektrum Kristian yang luas, SIB umumnya sebahagian daripada pemahaman Protestan  dengan pengkhususan kepada mazhab Evangelical. Dalam mazhab Evangelical, keutamaan diberikan terhadap kepentingan Alkitab. SIB banyak menekankan aspek berkaitan Alkitab, termasuklah dalam isu nama ‘Allah’ baru-baru ini. Tujuan utama mazhab Evangelikal adalah untuk berkongsi kepercayaan. Kebanyakan pengikut Evangelikal akan mempunyai keyakinan yang serupa. PD: Terdapat perbezaan dalam sejarah gerakan Evangelikal-Protestant jika dibandingkan antara di Semenanjung Malaysia dan di Sabah dan Sarawak. Di Semenanjung Malaysia, gerakan ini hanya aktif sekitar tahun 60-70an, sedangkan di Sabah dan Sarawak, jauh lebih awal iaitu sejak tahun 1920an. Boleh saudara berikan penerangan lebih lanjut mengenai perbezaan ini? RDJD: Jika dilihat berdasarkan sejarah gereja di Semenanjung Malaysia, perkembangan itu berlaku semasa tempoh kebangunan rohani (revival) yang menyebabkan pertumbuhan yang drastik. Bagi kami yang bekepercayaan (Believers), Tuhan sendiri turut sama membantu proses ini dengan meletakkan keyakinan dan semangat melalui petanda kehadiran Tuhan dan keajaiban yang menyentuh perasaan manusia. Jadi, apa yang dapat dilihat pada tahun 70an di Malaysia dan juga Sabah dan Sarawak, adalah satu perkembangan luar biasa. Contohnya, SIB pada waktu itu membesar dua kali ganda daripada sebelumnya. Pada waktu ini juga, banyak pihak merasakan perkembangan tersebut tidak mungkin berlaku hanya disebabkan keputusan kerajaan pada waktu itu untuk menghantar pulang mubaligh warga asing yang bertapak di Malaysia. Penganut Kristian pada waktu itu merasakan diri mereka mangsa, tetapi jika dilihat melalui perspektif yang lebih luas, ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan pada waktu itu yang memperkenalkan polisi localization. Kerana pada waktu itu kepimpinan SIB masih lagi dipegang oleh mubaligh asing, terutamanya warga Britain dan Australia daripada mazhab yang pelbagai. Kesan yang baik daripada perubahan ini ialah dasar localization ini membantu untuk membangun kepimpinan warga tempatan sendiri. Peralihan kepimpinan kepada mubaligh tempatan yang lebih memahami budaya setempat memudahkan gereja berhadapan dengan masyarakat setempat. Namun jika kita mahu melihat dari sisi yang lebih spiritual, perkembangan ini bukan sekadar faktor manusia semata-mata, tetapi juga disebabkan faktor supernatural. Sebagai seorang Kristian, saya dapat mengatakan seperti itu. Tetapi, tentu sekali sukar untuk diterima oleh orang bukan Kristian. PD: Tadi kita lebih banyak membincangkan tentang perkembangan SIB, sekarang kita akan membincangkan aspek kebudayaan dalam konteks Malaysia. Proses Islamisasi di Semenanjung Malaysia berlaku dalam pelbagai aspek termasuklah senibina, media, cara bermasyarakat, cara pakaian dan sebagainya. Ia berlaku dalam rangkuman faktor dinamika masyarakat di Semenanjung Malaysia, tetapi apakah keadaan di Sabah dan Sarawak dan adakah terdapat kesan Islamisasi terhadap kehidupan penganut Kristian di sana? RDJD: Saya merasakan ini bukan khususnya polisi kerajaan. Saya juga tidak pasti sama ada berlakunya proses Islamisasi secara khusus. Jika dilihat dengan lebih mendalam, dapat dikatakan proses ini lebih kepada suatu ‘Melayusasi’. Hujah kami ialah mengapa perlu proses ‘Melayusasi’ yang sebegini? Sekiranya ingin melakukan ‘Malaysianisasi’, bukankah ada cara yang lebih baik untuk mengiktiraf budaya yang lebih bersesuaian dengan Malaysia yang mempunyai kepelbagaian warna dan cara hidup. Kenapa hanya mahu memilih perkembangan budaya berasaskan Timur Tengah? Kami menghormati penganut Islam, malah bagi kami penganut Kristian, apa keperluannya untuk memilih representasi Kristian daripada Barat? Bukankah lebih baik untuk menonjolkan ciri-ciri budaya asal yang lebih menunjukkan proses ‘Malaysianisasi’ berlaku. Dari segi senibina, kita mampu membangun senibina kita sendiri. Saya sendiri mempunyai latar belakang kejuruteraan sivil. Kita dapat lihat setiap budaya mempunyai cara ekspresi yang tertentu. Begitulah cara manusia membangun, bergantung kepada persekitaran tempatan. Malaysia sepatutnya mempunyai kepelbagaian dalam ekspresi. Apa yang semakin kehilangan buat masa ini adalah cara untuk berekspresi sebagai warga Malaysia. Jika kita mengikut ilmu sosial, mempunyai budaya yang tunggal (mono-culture) adalah sesuatu yang tidak baik. Ada pihak yang berpandangan bahawa kita memerlukan dasar budaya yang selaras. Tetapi apa sebenarnya yang betul-betul selaras? Bagi kami, perkara yang asas ialah sistem keyakinan dan kepercayaan, yang mana ia perlu memberi jawapan kepada persoalan tentang peranan kita sebagai manusia. Sebagai ketua dan Presiden kepada SIB Sabah, saya amat menggalakkan perkembangan ekspresi kebudayaan. Terdapat juga sebilangan ahli SIB yang melihat sesetengah mazhab mempunyai sistem yang selaras dan merasakan ada keperluan untuk SIB mengikuti mereka. Tetapi apa keperluannya? SIB adalah berbeza. Kelainan ada di pelbagai kawasan, suku etnik dan cara hidup. Bagaimana untuk menyelaraskan perbezaan-perbezaan antara satu sama lain? Di Sabah dan Sarawak kami sudah dibesarkan untuk menjadi lebih toleran. Kami dapat melihat kepelbagaian beragama termasuk Islam, Buddha, Sikh, Kristian dan juga kepercayaan nenek moyang dikalangan ahli keluarga. Kami saling hormat-menghormati antara satu sama lain berbanding dengan keadaan di Semenanjung. Contohnya, dua tahun yang lalu, saya turut berada di dalam Majlis Perpaduan Negara, sebuah kumpulan antara agama. Bila ada kumpulan melawat Sabah, mereka akan perasan perbezaan yang ada. Sudah ada kebiasaan untuk peniaga Cina dan peniaga Muslim menjual barangan berbeza dalam kedai yang sama selagi dapat dipastikan makanan yang dimakan tidak bercampur. Kami tidak cuba mempersendakan satu sama lain. Sudah wujud pemahaman tidak bertulis antara penduduk di Sabah dan Sarawak yang tiada di Semenanjung Malaysia. Perkara ini ditimbulkan dalam Suruhanjaya Cobbold. Sabah dan Sarawak meminta jaminan dalam hal kebebasan beragama. Ini bukan hanya permintaan penganut Kristian, walaupun sememangnya pada waktu itu adalah majoriti, tetapi juga permintaan suku kaum dan agama etnik-etnik lain. Itu menyebabkan adanya perkara berkenaan kebebasan beragama dalam Perlembagaan. Bagi Sabah dan Sarawak,  20 dan 18 perkara yang ditimbulkan sebagai syarat menganggotai persekutuan adalah berkenaan kebebasan beragama. Islam adalah agama Persekutuan hanya untuk upacara rasmi. Akhirnya ia adalah bergantung kepada individu untuk memilih, cuma sekarang sudah berkembangnya masalah mempolitikkan agama. PD: Apakah kepentingan Bahasa Malaysia dalam konteks budaya dan upacara Kristian di Sarawak? RDJD: Sabah dan Sarawak mempunyai banyak kumpulan-kumpulan etnik kecil dengan bahasa etnik yang berbeza. Adalah mustahil untuk kami menguasai setiap bahasa etnik yang berlainan untuk tujuan pendidikan. Oleh sebab itu, Bahasa Malaysia digunakan untuk tujuan pendidikan Kristian. Pemilihan Bahasa Malaysia juga adalah selari dengan dasar pendidikan kebangsaan. Ia bukan seperti di Semenanjung Malaysia dimana penggunaan bahasa lain, seperti Bahasa Inggeris, Cina dan Tamil turut digalakkan. Di Sabah dan Sarawak, selain Bahasa Inggeris yang turut digunakan di sesetengah pusat pembelajaran, Bahasa Malaysia tetap diutamakan terutamanya di kawasan pedalaman. Penggunaan Bahasa Malaysia ini bukan perkembangan baru, malah bahasa yang sama telah digunakan lebih satu ratus tahun yang lalu pada zaman penjajahan untuk tujuan bacaan doa serta penterjemahan kitab-kitab agama. Jadi, apabila Alkitab kami ditahan kerana sebab bahasa, adakah ini bermakna kami perlu mengajar semula pengikut kami dengan bahasa yang berbeza? Situasi ini seperti satu keputusan dibuat dalam Negara di mana Bahasa Malaysia tidak boleh lagi digunakan, tentu sekali akan menyebabkan huru-hara. Begitu juga kesannya jika mahu dilihat daripada aspek keagamaan. PD: Boleh anda jelaskan latar belakang dan juga perkembangan terbaru berkenaan kes penahanan kitab-kitab SIB oleh Kementerian Dalam negeri? RDJD: Tentu sekali kami agak bimbang menerima penghakiman kes yang melibatkan the ‘The Herald’. Kami tidak berniat untuk tidak menghormati pihak mahkamah, tetapi sebagai pimpinan Kristian, kami bimbang dengan tujuan dan penafsiran undang-undang yang dibuat berkenaan keputusan ini. Kerisauan utama kami adalah implikasi yang akan berlaku terhadap kes SIB, terutamanya dalam aspek yang lebih luas, melibatkan kitab yang digunakan, cara pengajaran dan penyebaran agama Kristian. Jadi cuba bayangkan kesan langsung terhadap kami sekiranya penafsiran keputusan kes Herald turut dikenakan terhadap keseluruhan penerbitan Kristian. Buat masa ini kami menerima keputusan yang dibuat, tetapi penggunaan nama ‘Allah’ ini sangat penting. Kami cuma menggunaan ‘Allah’ dalam penterjemahan Bahasa Malaysia dan juga bahan-bahan lain yang diambil dari Indonesia, yang menggunakan Bahasa Indonesia. Ini yang menyebabkan kerisauan kami. Bukan sekadar berkenaan Alkitab, tetapi juga melibatkan  upacara Ibadah  dan juga nyanyian, serta cara berkomunikasi bersama sidang jemaah kami. SIB Sabah mempunyai lebih 120,000 anggota dengan lebih 500 gereja lokal. Jadi bayangkan sekiranya ada larangan, bagaimana kesannya terhadap kami di Sabah dan Sarawak. Teknologi moden yang digunakan sekarang bukan hanya melibatkan bahan bercetak, tetapi juga internet, telefon bimbit dan SMS. Amat sukar sekiranya ada larangan sebegini. Keputusan ini mungkin hanya diambil dengan mempertimbangkan perspektif dan persekitaran di Semenanjung Malaysia, dengan andaian Sabah dan Sarawak mempunyai suasana yang sama. Tetapi andaian ini tidak tepat. Kami sangat berbeza, dari segi budaya dan cara dengan Semenanjung Malaysia. Sekiranya berlandaskan Perlembagaan, kami sepatutnya mempunyai kebebasan dalam pengurusan agama kami. Namun, keputusan mahkamah kes The Herald menunjukkan sudah ada pembatasan yang dikenakan terhadap kami. Perdana Menteri kita sendiri yang menerajui gerakan Global Movement of Moderates (GMM). Harus diakui, Sabah dan Sarawak mempunyai proses sejarah tersendiri di awal pembentukan Persekutuan Malaysia. Kita tidak boleh hanya mengambil kira proses sejarah yang berlaku di Malaya. Masyarakat Kristian tidak bertujuan untuk menguasai mana-mana pihak. Apa yang kami harapkan ialah kita sepatutnya lebih beradab, dan bersederhana. PD: Pernahkah isu serupa berlaku sebelum 2007? Atau adakah tahun 2007 merupakan titik mula keadaan menjadi lebih bermasalah? RDJD: Sebenarnya tahun 2007 menjadi masa keadaan semakin bermasalah. Pada tahun 1986 ada penggazetan larangan penggunaan beberapa perkataan termasuk ‘Allah’ dan ‘Al-Kitab’, namun selepas beberapa siri perbincangan, larangan perkataan hanya terpakai untuk nama ‘Allah’. Terdapat juga larangan penggunaan kata ‘Injil’ oleh Majlis Fatwa Sabah yang menyebabkan nama SIB (Sidang Injil Borneo) menjadi tidak sah. Kes yang hampir sama juga pernah berlaku sebelum ini dengan larangan terhadap Al-Kitab yang dicetak di Korea. Jadi persoalannya ialah bagaimana mahkamah akan membuat keputusan? Adakah hanya berdasarkan keutamaan kes-kes sebelum ini, atau ia akan mengambil kira sensitiviti agama masyarakat lain? Permasalahan ini tidak pernah disebabkan kerana tindakan kami yang tidak menghormati agama lain. Secara tiba-tiba tanpa sebarang perbincangan untuk mencapai pemahaman yang sama, keputusan dibuat secara satu hala. Dalam hal ini, kami amat bimbang. PD: Apakah pandangan anda tentang sebab disebalik terjadinya permasalahan ini? Adakah ia kerana Islam dimanipulasi untuk tujuan sentimen politik? RDJD:  Tentunya pada waktu itu terdapatnya perselisihan antara PAS dan UMNO, ini tidak dapat dinafikan. Ia merupakan realiti di Malaysia pada waktu tersebut. Cuma, perkara yang amat mengecewakan ialah pihak agama lain turut terperangkap dalam pertembungan ini. Saya turut berbincang dengan kawan-kawan beragama Islam yang bersimpati. Tetapi malangnya, mereka bukan pembuat keputusan. Ahli politik tetap pembuat keputusan. Sebagai rakyat Malaysia, sekiranya kita gagal mengawal cara kita berpolitik, maka politik kita hanya akan merosakkan Negara kita. Itu amat menyedihkan. Kita semua akan rugi. Semua rakyat Malaysia akan rugi. Saya percaya, sebagai rakyat Malaysia yang berfikir, kita perlu berfikir dengan mendalam tentang hal ini, secara objektif bukan berasaskan sentimen. Kita perlu elak daripada menggunakan agama untuk tujuan politik. Ia tidak akan membantu. Kaum dan agama perlu diasingkan daripada pertimbangan politik. Kita perlu belajar daripada Negara lain yang telah maju ke hadapan. PD: Bagaimana anda melihat halatuju hubungan antara-Bumiputera? Adakah ruang untuk proses dialog untuk mencapai kata sepakat atau kefahaman bersama? RDJD:  Di Sabah dan Sarawak, tentu sekali sentimen masyarakat masih berlegar di sekitar isu kaum masing-masing. Baru-baru ini, kenyataan yang dibuat oleh Mufti Negeri mengatakan kaum Kadazan-Dusun adalah satu kumpulan  rekaan (artificial) amat mengecewakan bagi masyarakat Kadasan-Dusun. Kita sepatutnya belajar menjadi lebih toleran dan sensitif terhadap kaum lain. Itu yang amat saya harapkan. Tentu sekali di Sabah, terdapatnya gerakan untuk menjadikan seseorang itu Muslim, lalu menjadikannya Melayu. Malangnya, ini terkandung di dalam Perlembagaan, yang mentakrifkan Melayu seperti itu. Implikasi masa hadapan mungkin kurang baik. PD:  Pada pendapat saudara, mengapakah kes The Herald mendapat tumpuan yang lebih berbanding kes SIB? RDJD: Ini disebabkan kes SIB tidak terlalu ditonjolkan, supaya isu ini tidak bertambah rumit. Kami menghadapi cabaran satu-persatu. Kes SIB bukan hanya melibatkan isu Alkitab, tapi skop yang lebih luas berkenaan hak penduduk asal dan bahasa pembelajaran. Kesannya jauh lebih besar dan isunya jauh berbeza. Pembentukan Malaysia memberi jaminan hak beragama. Persetujuan ini perlu dihormati. Kita tidak boleh membuat pentafsiran berdasarkan pemahaman kita hanya pada waktu ini. Kita perlu ambil kira pemahaman yang digunapakai semasa persetujuan itu dibuat. PD: Kebimbangan utama dikalangan masyarakat Melayu ialah Bahasa Melayu yang digunakan akan menyebabkan lebih banyak orang Islam akan bertukar agama. Apa pandangan anda berkenaan hal ini? RDJD:  Jika kita lihat kepada statistik dalam negara, peningkatan jumlah bilangan penganut Islam memang jelas dan ketara. Malah sebagai seorang Kristian, kami sepatutnya merasa lebih terancam. Sudah ada bermacam perundangan yang melindungi masyarakat Islam daripada penyebaran agama lain. Kenapa masyarakat Islam perlu merasa terancam, sehinggakan sanggup mengganggu perasaan pihak agama lain? Kita perlu hentikan sebarang gangguan terhadap perasaan penganut agama lain dan lebih menumpukan kepada bagaimana untuk menggalakkan sebuah masyarakat yang lebih toleran. Contohnya, sekiranya saya melihat Islam dapat berkembang pesat berbanding dengan agama Kristian, saya akan mempersoalkan tindakan komuniti Kristian sendiri. Kita patut lebih melihat kepada diri sendiri, dan bukan menyalahkan pihak agama lain, yang boleh merosakkan keamanan masyarakat kita. Kita tidak sepatutnya pergi ke arah itu. Agama merupakan pilihan individu. Pelbagai jenis undang-undang dapat dikuatkuasakan, tetapi jika saya percaya apa yang saya ingin percaya, perundangan tersebut hanya sia-sia. Jika dilihatkan kepada sejarah, masyarakat Kristian juga pernah menggunakan pelbagai jenis undang-undang yang langsung tidak memberi sebarang faedah kepada agama Kristian. Kita tidak boleh menggunakan paksaan terhadap orang lain dalam hal agama. Kita hanya boleh menggalakkan dialog untuk memberikan pemahaman yang jelas tentang agama-agama lain. PD:  Kerajaan telah mengadakan pelbagai jenis usaha seperti Majlis Perundingan Nasional tentang Keharmonian Ugama (National Consultative Council on Religious Harmony) untuk tujuan perpaduan nasional. Apa pandangan anda berkenaan usaha-usaha seperti itu? Adakah ia akan menjelmakan hasil dan meningkatkan kefahaman antara satu sama lain? RDJD: Bagi saya, kita sentiasa mempunyai niat dan keyakinan yang baik untuk menggalakkan keharmonian. Tetapi berdasarkan tindakan kerajaan, kita lihat bahawa mereka melakukan perkara yang bertentangan dengan tekad mereka untuk menggalakkan harmoni. Jadi bagi kami kumpulan Kristian dan juga kumpulan agama lain yang merupakan minoriti, persoalannya ialah adakah kumpulan agama majoriti ikhlas untuk usaha ini? Kami berasa sangat bimbang dengan tingkahlaku melampau dan ancaman yang diterima. Namun, pihak berkuasa tetap tidak mengambil sebarang tindakan. Jadi apa tindakan yang patut diambil oleh kumpulan minoriti seperti kami? Kami mempersoalkan: adakah ini adil? Adakah kerajaan ikhlas dalam menganjurkan usaha ini atau sekadar untuk pertunjukan kepada orang ramai. Sekiranya kerajaan ikhlas, tentu sekali kami 100% menyokong usaha ini. Tetapi jika kerajaan hanya mangadakan ini untuk menunjuk, tiada siapa yang akan berminat. PD: Bagaimana anda melihat masa hadapan kelompok minoriti untuk terus maju, sedangkan banyak petanda yang menunjukkan cabaran yang mendatang akan lebih susah? RDJD: Kami tetap meneruskan usaha tanpa berputus asa. Saya dapat membayangkan bahawa ramai di kalangan majoriti yang senyap sebenarnya mempunyai rasa prihatin. Kita mahukan masa depan yang lebih baik untuk Malaysia,  satu masyarakat yang adil, di mana setiap warga diberikan rasa hormat secara saksama dan menerima faedah bersama daripada apa yang negara ini dapat bekalkan. Saya tidak merasakan ini hanya pandangan komuniti Kristian, tapi juga warga Malaysia yang lainnya, yang sebenarnya merupakan majoriti di negara ini.   Projek Dialog diwakili Ahmad Fuad Rahmat.        unnamed

]]>