Tidak haram memberi ucapan selamat menyambut perayaan non-Muslim

Tujuan Wahyu: Kedamaian dan keadilan Nabi Muhammad SAW menerima wahyu di zaman keadaan rakyat Mekah yang cukup teruk. Penindasan terhadap kelas bawahan, penipuan dalam perdagangan,  penyelewengan harta anak yatim dan banyak lagi keburukan menjadi perkara yang sebati dalam masyarakat arab pada masa itu. Pesanan dan ajaran Nabi Muhammad SAW menyerang segala amalan tersebut. Namun, Baginda mendapat tentangan yang hebat sehingga ada di kalangan Muslim yang terawal diseksa dan ditindas, malahan ada juga yang dibunuh. Sesampai di Yathrib, pesanan keadilan dan kedamaian sudah menjadi perkara yang penting bagi Nabi. Ekoran itu, peperangan antara Aus dan Khazraj selama 140 tahun (ada riwayat kata 400 tahun), yang berasaskan kekabilahan, berjaya dihentikan oleh Nabi Muhammad SAW. Selepas itu, Yathrib ditukar nama oleh Nabi Muhammad SAW menjadi Madinah yang memberi maksud kota Tamadun. Pesanan damai dan harmoni ini terus disuburkan oleh Nabi Muhammad SAW. Makanya Madinah ketika itu pun menjadi tempat manusia mencari kebajikan dan keselamatan. Ini amat selaras dengan firman Allah yang bermaksud, “Tidak kami utuskan kamu kecuali memberi rahmat sekelian alam” (Surah al-Anbiya’, ayat 107). Kemanusiaan Non-Muslim diktiraf Islam Mesej damai ini dipamerkan juga dalam hubungan baik antara muslim dengan non-Muslim. Contohnya, ketika Asma’ binti Abu Bakar yang memeluk Islam tidak mahu menerima hadiah yang diberikan oleh ibunya ekoran berbeza agama, menyebabkan turun firman Allah yang bermaksud: “Allah SWT tidak pernah mencegah kamu terhadap mereka (orang bukan Islam) yang tidak menyerang kamu dalam agama dan tidak mengeluarkan kamu dari negara kamu bahawa kamu melakukan kebaikan kepada mereka dan berlaku adil, sesungguhnya Allah SWT suka kepada orang yang melaksanakan keadilan” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8). Menurut Yusuf Al-Qaradawi ayat ini merupakan dalil bahawa hubungan baik antara Muslim dengan non-Muslim wajar dijaga. Dalam Hadis pula terdapat satu kisah di mana ramai dari kalangan orang Yahudi berlumba-lumba memberi salam kepada Nabi Muhammad SAW.  Baginda pula menyahut sepertimana menjawab salam orang Islam. Tindakan itu ditanya oleh isteri baginda, Aisyah kerana Yahudi itu tidak menyebut “Assalamu alaikum” yang bermaksud selamat sejahtera, tetapi menyebut “assamu alaikum” yang bermaksud “pergi mampus”. Nabi Muhammad SAW menjawab soalan Aisyah seperti berikut: “sesungguhnya Allah itu amat suka kelembutan pada semua perkara”. Dari lagi hadis mempamerkan tindakan Nabi Muhammad SAW yang amat selaras dengan firman Allah yang bermaksud, “Apabila diucapkan dengan ucapan yang baik, maka balas balik ucapan itu dengan yang lebih baik lagi” (Surah al-Nisa’, ayat 86). Pada suatu hari ada seorang mayat Yahudi yang dipikul di hadapan Nabi Muhammad SAW. Ketika itu, Baginda berdiri memberi penghormatan. Sahabat yang melihat perbuatan itu bertanya, mengapa Nabi berdiri sedangkan mayat itu adalah orang Yahudi yang tidak beragama Islam. Nabi Muhammad SAW menjawab bahawa walaupun si mati itu adalah Yahudi, dia masih patut dihormati kerana dia masih seorang manusia. Ucaplah Merry Christmas Dari semua hujah yang dikemukakan, nyata dan jelas bahawa ucapan Merry Christmas kepada  mereka yang beragama Kristian, atau ucapan perayaan non-Muslim yang lain, bukanlah perkara yang terlarang. Lebih-lebih lagi Yusuf Al-Qaradawi ada menyatakan bahawa Al-Quran ada mengizinkan perkahwinan antara muslim dan Ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) (Surah al-Maidah, ayat 5). Malah Al-Quran sendiri akui tujuan perkahwinan adalah kasih sayang dan rahmat (Surah al-Rum ayat, 21). Makanya, lebih-lebih tidak salah jika sekadar mengucapkan tahniah atau salam sejahtera dalam konteks perayaan agama lain. Di kalangan ulama Islam, ada yang menfatwakan haram mengucapkan tahniah dengan kedatangan perayaan agama selain Islam. Ulama itu adalah Ibn Taimiyyah menerusi kitab Iqtida’ al-Sirat al-Mustaqim dan Ibn Qayyim al-Jawziyyah menerusi kitab Ahkam Ahl al-Zimmah. Namun, pandangan mereka sekadar ijtihadi tidak mutlak. Ia boleh dipertimbangkan dalam pertukaran masa, tempat dan situasinya. Fatwa itu mungkin sesuai di era peperangan pada zaman itu, tetapi tidak sesuai di era keamanan seperti Malaysia juga negara-negara yang lain. Malah Al-Qaradawi sendiri pernah menyatakan bahawa ada kemungkinan Ibn Taimiyyah akan mengubah pendapatnya jika beliau berada di era moden kini. Wallahu a’lam. (sila email kami untuk rujukan lanjut – editor)       unnamed

]]>