Bible.
Saya turut membincangkan topik ini bersama-sama Perzeus James, pensyarah di Sekolah Perakaunan dan Perniagaan, Kolej FTMS, Bukit Jalil dan isterinya, Anne yang mengandung empat setengah bulan. Kami bertemu untuk makan malam di sebuah restoran makanan laut di Kota Kemuning, Shah Alam pada 12 Ogos 2013.
“Kemurkaan Tuhan terhadap manusia bermula dengan peristiwa Adam dan Hawa yang mengingkari perintah-Nya. Akibatnya mereka menerima hukuman, dan kematian adalah salah satu bentuk hukuman yang diwariskan kepada umat manusia,” Perzeus yang menguasai Bahasa Malaysia, Tamil dan Inggeris menceritakan.
Katanya, kemangkatan Jesus mengubah kedudukan itu kerana Baginda sanggup berkorban nyawa demi menyelamatkan para pengikut. Tiga hari selepas mangkat, Baginda hidup kembali seperti dijelaskan dalam Bible.
Saya memang berpengalaman menghadiri Sunday School di Aulong, Taiping pada usia kanak-kanak. Pada usia remaja, saya membaca Bible (selain bahan berkaitan agama-agama lain). Saya suka melakukan perbandingan antara agama – dengan erti kata, melihat “persamaan” antara agama; bukan mencari “perbezaan”.
Suatu aspek yang sedikit mengelirukan dan boleh menimbulkan pertanyaan dalam kalangan orang “Bukan Kristian” dan “Bukan Islam” adalah berkaitan peristiwa kemangkatan Jesus (Nabi Isa). Seperti diketahui umum, Bible dan Quran memberikan maklumat yang “bercanggah”.
Tentulah topik-topik berkaitan agama amat sensitif untuk dibincangkan di negara Malaysia. Walau bagaimanapun, sebagai seorang individu yang menyokong dialog antara agama, saya tidak merasakan tindakan saya salah apabila memilih untuk meminta penjelasan daripada seorang individu Kristian.
“Tidak ada percanggahan pendapat dalam mana-mana mazhab Kristian mengenai perkara ini. Memang Jesus yang dipakukan pada salib sehingga mangkat dan memang Jesus yang muncul semula tiga hari kemudian. Walaupun mungkin ada versi lain diceritakan dalam budaya lain, saya dan isteri saya tetap akan mendidik dan membesarkan anak-anak kami dengan versi sahih sebagaimana terkandung dalam Bible,” Perzeus menegaskan dan dipersetujui oleh isterinya.
[caption id="attachment_2368" align="alignleft" width="211"]