UiTM, di hati seorang Kristian

Ketuanan Melayu serta Hak Bumiputera Semasa melanjutkan pengajian ke UiTM, saya didedahkan dengan Akta 174 mengenai tatatertib dan Artikel 153 Perlembagaan Malaysia mengenai ketuanan Melayu serta hak bumiputera. Ketika itu, saya ibarat pelajar baru yang akur kepada apa yang disampaikan. Selain itu,saya juga akur bahawa UiTM tidak mengambil pelajar kaum Cina dan India kerana ingin melindungi serta menjaga hak pelajar bumiputera secara total sebagaimana yang pernah ditaklimatkan kepada saya. Setiap semester, saya diwajibkan untuk mengikuti kursus-kursus kemahiran insaniah sehingga graduasi. Dalam setiap kursus tersebut, persoalan mengenai ketuanan Melayu serta hak bumiputera tidak pernah lekang dan pudar daripada pengisian program. Saya pernah didedahkan bahawa “bangsa Melayu” merupakan bangsa terulung di rantau Asia Tenggara dan kaum-kaum lain (juga merujuk kaum-kaum di Kepulauan Borneo) yang berada di kepulauan Nusantara juga serumpun dan berada dalam lingkungan “bangsa Melayu”. Bagi menanggapi persoalan mengenai hak bumiputera, pernah ada pengacara program me’momok’kan kaum Cina dan India sebagai penghalang kepada kemajuan bumiputera di Malaysia. Saya amat terkejut dengan pendedahan tersebut. Rentetan daripada peristiwa itu, saya mulai sedar bahawa UiTM mengunakan sedikit elemen perkauman dalam memupuk motivasi kesedaran hak bumiputera dalam kalangan pelajar dan kadangkala ianya menguris perasaan saya sebagai seorang bumiputera bukan Melayu. UiTM sebagai pengiat agama Islam Adalah menepati apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutan, bahawa Islam merupakan agama rasmi serta seseorang Melayu itu adalah Islam secara lahiriah tanpa mengikuti kehendak bebas individu tersebut. Selain daripada memantapkan perkara serta persoalan mengenai ketuanan Melayu serta hak bumiputera, UiTM bertanggungjawab dalam memantapkan kefahaman Islam ke atas semua pelajar termasuk yang bukan Islam. Saya secara peribadi tidak mempunyai masalah mengenai perkara tersebut. Bagi saya ianya perlu sebagai memupuk rasa perpaduan dan hormat terhadap agama Islam. Namun, ianya menjadi kurang menarik dan tidak semena-mena apabila elemen serta bab mengenai perbandingan agama yang diselitkan seperti subjek wajib “Islam dan Agama”, “Tamadun dan Peradaban Islam”, dan “Kemasyarakatan Islam” bagi program diploma serta “Peradaban Islam dan Asia” dan ”Hubungan Etnik” bagi program ijazah. Bukan itu sahaha. Topik juga dimanipulasikan secara berat sebelah dan tidak tepat faktanya melalui ‘taqiyya’ dan ‘kitman’ bagi menegakkan kebenaran Islam ke atas bukan Islam dalam penulisan buku akademik serta bahan pengajaran bagi subjek tersebut. Ulasan mengenai Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara Setelah segala itu berlaku pula seminar “Pendedahan Agenda Kristian. Ketika minggu tersebut, saya menjalani latihan pratikal dan tidak berupaya untuk menghadirkan diri ke seminar tersebut yang terbuka juga kepada yang berminat selain dipaksa demi memeriahkan kehadiran. Alangkah terkejutnya saya apabila melihat apa yang disebarkan oleh rakan-rakan saya di media sosial mengenai isi kandungan serta penceramah yang dijemput ke seminar tersebut. Ada diantara rakan saya yang merupakan pelajar junior terpaksa mengikuti program kerana tuntutan markah kehadiran bagi subjek “Hubungan Etnik”. Saya secara peribadi tidak bersetuju dengan penganjuran seminar ini secara terbuka kerana ianya bersifat berat sebelah dan tidak menggalakkan dialog antara agama serta keharmonian serta kepelbagaian masyarakat seperti di Malaysia. Selain itu, pengajuran seminar ini juga mengundang kontroversi apabila penceramah yang dijemput adalah dikatakan sebagai mantan paderi serta biarawati Gereja Katolik di Indonesia. Sudah tentu mereka berupaya berdakwah dan berdakyah tentang kebenaran Islam yang mereka temui sebagai hidayah mereka kepada yang bukan Islam tanpa halangan. Walaupun tidak berupaya mengikuti program tersebut, saya berupaya memperoleh banyak maklumat daripada rakan saya yang menghadiri seminar tersebut. Memang ternyata dia tidak senang dengan penyampaian penceramah tersebut kerana memutar belitkan ayat-ayat Alkitab sesuai dengan kehendaknya serta menghasut pelajar Kristian yang hadir dengan memberi dalil 10 sebab mengapa mereka sebagai pengikut Yesus harus masuk Islam. Tetapi setelah mengkaji serta mengikuti perkembangan semasa mengenai isu ini, ternyata penceremah yang dijemput tersebut bukanlah mantan paderi mahupun biarawati seperti yang dihebahkan. Oleh sebab itu, segala apa yang disampaikan mengenai agama Kristian ternyata boleh diragui kredibilitinya. Adakah niat penganjuran seminar ini? Menguatkan akidah umat Islam? Berdakwah kepada pelajar Kristian dengan harap dapat me’murtad’kan mereka kepada Islam? Sewajarnya UiTM menuju wawasan sebagai “insititut yang berupaya menjadi sebuah universiti unggul yang berteraskan kesarjanaan dan kecemerlangan akademik bagi menerajui dinamisme bumiputera dalam semua bidang profesional bertaraf dunia supaya terlahir graduan yang berdaya saing, global dan beretika”. Jika diletak pada aras wacana sebegini; beretikakah UiTM jika mahasiswanya dididik untuk menjadi rasisme serta etnosentrime terhadap diri dan bangsanya? Dalam isu ini, saya mendapati ianya merupakan seminar pertama yang saya lihat apabila agama Kristian diperlekehkan kepada penganutnya sebagai wacana ilmu secara umum semenjak saya bergelar siswa dari tahun 2009. Pengedaran buku “Pendedahan agenda Kristian” dan Obligation to Preserve the Sanctity of the Name of Allah” Pada masa yang sama tatkala UiTM menganjurkan seminar ini, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang juga penganjur bersama juga mempunyai agenda yang agak nakal dengan mengedarkan kedua-dua buku “Pendedahan agenda Kristian” dan Obligation to Preserve the sanctity of the name of Allah sebagai cenderahati kepada mereka yang hadir. Saya berupaya mendapat dan membaca buku-buku tersebut daripada rakan saya yang menghadiri seminar tersebut. Apa yang dapat saya katakan mengenai buku “Pendedahan agenda Kristian” adalah ianya merupakan usaha yang ‘murni’ MAIS bagi mengekang umat Islam daripada murtad. Saya lihat ia mungkin langkah defensif bagi menjaga akidah umat Islam sebagaimana ada disebut dalam pengenalan buku itu. Dengan nyata buku tersebut ada menyebut, “Penulisan buku ini bukan bertujuan untuk mengajak umat Islam membenci agama Kristian.” Namun, setelah membaca satu-persatu halaman muka surat buku tersebut ternyata ianya amat mendukacitakan saya. MAIS menanam rasa kebencian dan ‘Kristianofobia’ kepada umat Islam secara terang-terangan. Begitu juga dengan buku Obligation to Preserve the Sanctity of the Name of Allah, MAIS yang juga ingin menjadi jaguh dalam menyampaikan kewajipan melarang umat bukan Islam menggunakan perkataan ‘Allah’ menggunakan bahasa puitis yang indah pada pengenalan juga ada menyebut penulisan buku tersebut tidak mengugatkan perpaduan dan toleransi antara komuniti agama di Malaysia. Malang sekali, setelah pembacaan teliti dari awal hingga akhir muka surat buku tersebut dilakukan ternyata ianya meleset sama sekali. Saya tidak mahu bercerita panjang mengenai buku ini kerana saya tahu isu pengunaan kalimah ‘Allah’ masih dalam kes mahkamah. Dan sebagai umat Kristian sendiri, saya berpendapat umat Islam terutama pihak berkuasa agama Islam tidak berhak untuk menindas penganut lain dengan mengekang urusan penerbitan serta penggunaan perkataan ‘Allah’ dalam upacara sembahyang yang sememangnya sebati dalam umat Kristian di Malaysia sekian lama. Kesimpulan Saya juga mengandaikan UiTM barangkali mempunyai agenda tersembunyi dalam mengadakan seminar tersebut memandangkan ketegangan agama dan politik menjadi-jadi di Malaysia bagi mengalih perhatian negara daripada segala isu-isu yang berkaitan dengan permasalahan rakyat seperti kos sara hidup, cukai GST serta salah urus tadbir kerajaan. UiTM pun sering memandang penuh aspirasi kerajaan pemerintah sekarang tanpa berbelah bahagi. Dengan menggunakan kaum dan agama, saya khuatir ianya berterusan sehingga PRU ke-14. Sudah pasti ianya tidak menguntungkan sesiapa ibarat kata pepatah “yang menang jadi arang dan yang kalah menjadi abu”. Cukuplah saya di’brainwash’ (memaksa perubahan pendapat) sejak diploma hingga ke ijazah dengan pelbagai program yang kurang bermanfaat dari segi agama dan hal ‘ketuanan’ yang melampau. Saya bersyukur kerana saya dibesarkan dengan masyarakat yang berbilang kaum dan agama dan sudah tentu saya tidak termakan segala hasutan apa jua program-program UiTM mengarah saya ke arah bersifat rasisme dan etnosentrime. Memetik falsafah UiTM – ”setiap individu mampu mencapai kecemerlangan melalui pemindahan ilmu serta penerapan nilai-nilai murni agar menjadi graduan profesional yang berupaya mengembangkan ilmu dan membangunkan diri, masyarakat dan negara” – saya percaya masih ada ruang untuk diperbaiki lagi dalam UiTM untuk menebus dosanya. Jangankan nanti wacana akademik tidak sihat ini berterusan, bermaknakah visi serta falsafah UiTM dalam melabur siswa-siswinya pada masa depan? Saya berharap ianya berubah selepas insiden ini. Walaubagaimanapun, sebagai alma-mater saya UiTM tetap di hatiku.         unnamed

]]>