Wanita Muslim di Saumaah (Rumah Ibadat Yahudi)

Jew Muslim Yahudi Satu perkataaan sahaja mungkin menaikkan amarah kebanyakan daripada kita yang berpegang teguh dengan ajaran Islam. Mungkin terlalu umum jika dikatakan bahawa Muslim adalah anti-semitik, namun itulah realiti yang saya perhatikan seumur hidup. Yahudi sinonim dengan Israel, dan dari kecil saya diajar bahawa Yahudi itu musuh Islam, orang jahat, penindas dan perampas hak rakyat Palestin. Sebagai seorang wanita Muslim, saya hanya patut bersimpati dengan saudara seagama yang menderita di Palestin. Sebagai rakyat Malaysia, pasport saya membolehkan saya meneroka dunia, kecuali “negara” Israel. Tidak dinafikan penindasan yang berlaku berdekad lamanya terhadap warga Palestin oleh tentera dan kerajaan Israel. Isu tanah dan “negara” yang dibahaskan seringkali diiringi dengan keganasan dan penderitaan oleh kedua-dua pihak, dan ini merupakan sejarah dunia yang tak dapat kita endahkan. Namun, apakah logik kaitan pandangan anti-semitik atau anti Yahudi dengan pandangan peribadi berkenaan konflik Israel-Palestin? Jew Islam Menimbang Semula Persepsi Terhadap Yahudi Wujud dua buku yang membentuk pandangan peribadi saya terhadap bangsa dan agama Yahudi. Buku “The Diary of a Young Girl” karya Anne Frank dihadiahkan kepada saya sewaktu saya berumur 13 tahun, oleh bapa saudara saya yang alim. Beliau merasakan saya boleh mempelajari sesuatu dari cerita Anne. Di manakah persamaan seorang gadis Melayu Islam dari Malaysia pada tahun 90-an dengan seorang gadis liberal Yahudi dari Jerman yang terpaksa hidup dalam persembunyian di Amsterdam ketika Perang Dunia Kedua? Karya beliau adalah nukilan seorang anak gadis, yang mempunyai impian sama dengan gadis-gadis muda seantero dunia melangkaui zaman; namun berlatar belakangkan peperangan. Buku kedua adalah “The Periodic Table” karya Primo Levi. Saya membaca buku ini ketika saya berumur 20-an; masih mencari titik tolak pandangan saya tentang dunia secara umumnya. Levi adalah seorang pakar biokimia, namun karya beliau merupakan karya sastera yang mampu menggambarkan penindasan dan kehidupan di kem-kem tahanan melalui unsur-unsur Jadual Berkala kimia. Kedua-dua buku ini membuka minda saya tentang pandangan anti-semitik dan pencabulan hak asasi manusia terhadap bangsa Yahudi di Jerman. Mungkinkah Yahudi Tak Banyak Beza Dengan Islam? Ironinya jika kita menyingkap sejarah, Bani Israel mempunyai hubungan rapat dengan Nabi Musa A.S. dan kitab Taurat merupakan sebahagian dari sejarah Islam. Jadi mengapa masih ramai antara kita yang anti-semitik? Mengapa saya sendiri berasa terlalu “jauh” dan berbeza dari mereka yang beragama dan berbangsa Yahudi, sedangkan saya percaya terdapat lebih banyak persamaan dari perbezaan antara manusia? Kebetulan saya berada di Washington dan terlintas di sebuah saumaah (rumah ibadat Yahudi) yang membuka pintunya kepada umum. Dalam satu Ahad setiap bulan, sesiapa pun, dari pelbagai bangsa, kerakyatan mahupun agama, boleh mengunjungi rumah ibadat ini untuk mengenali bangsa dan agama Yahudi tanpa prejudis dan untuk pengetahuan semata-mata. Sikap terbuka dan sekular ini mengejutkan saya, kerana setahu saya agama Yahudi agak konservatif. Namun, keinginan untuk mengenali dan mengetahui lebih mengatasi sebarang syak wasangka. Saya pernah mengunjungi gereja untuk memberi penghormatan terakhir kepada seorang rakan yang meninggal dunia serta untuk menyertai seminar, saya pernah ke kuil Buddha dan kuil Hindu; dan saya masih seorang Muslim. Memahami Tradisi Yahudi Jadi, saya membuka pintu hadapan saumaah “Sixth & I” di Washington dan berjalan masuk ke dalam rumah ibadat mereka yang sepatutnya dibenci oleh orang yang seagama denganku. Saya disambut mesra oleh Rabai Micheal Bloom, yang sedang memberi penerangan tentang sejarah Sixth & I kepada hadirin. Saya merupakan satu-satunya Muslim di situ. Rabai Bloom meneruskan penerangan beliau tentang bait-bait sejarah saumaah tersebut.  Ditubuhkan pada tahun 1908, bangunan tersebut bertukar tangan dan dijadikan sebuah gereja Metodis Episkopal pada tahun 1951. Pada tahun 2004, bangunan tersebut dilelong dan hampir sekali dijadikan sebuah disko. Komuniti Yahudi di Washington tidak bersetuju dengan hal ini, dan melalui penjanaan dana, bangunan tersebut kembali kepada asal usul penubuhannya sebagai sebuah saumaah. Rabai Bloom kemudiannya memberi sedikit penerangan tentang agama Yahudi termasuk simbolik “Bintang Daud” (“Star of David” atau Magen David dalam bahasa Ibrani), lilin menorah, dan “Cahaya Abadi” (Ner Tamid). Jika kita yang beragama Islam berkiblatkan Kaabah di Mekah, saumaah dibina berkiblatkan Jerusalem. Barisan tempat duduk di saumaah tersebut mengingatkan saya kepada gereja, namun tiada Jesus disalib di hadapan. Sebaliknya, terdapat arca yang merupakan pintu kepada skrol-skrol kitab Taurat yang ditulis dalam bahasa Ibrani, berusia beratus tahun. Saya berkesempatan membuka arca ini. Di atasnya menyinar “Cahaya Abadi”, di kiri dan kanannya tegaklah sepasang lilin menorah, dan satu daripada tujuh lilin tersebut akan menyala sepanjang masa. Menarik pada pendapat saya adalah wanita boleh duduk bersama lelaki semasa beribadat, dan dikira setara. Ini merupakan sesuatu yang baru menurut Rabai Bloom, dan di saumaah Sixth & I, wanita tidak diwajibkan untuk melitupi rambut seperti tradisi Yahudi untuk beribadat. Terdapat kippah (kopiah kecil yang digunakan oleh kaum lelaki untuk beribadat dan wajib dipakai oleh rabai) dan tallit (kain ibadat yang dipakaikan di atas pakaian seharian) disediakan di pintu masuk saumaah untuk para jemaah. Imam Rabbi Yahudi & Komuniti Penerangan tentang aktiviti komuniti yang diadakan di saumaah tersebut mengakhiri lawatan saya. Seiring dengan pandangan sekular lembaga pengarah yayasan yang membiayai saumaah tersebut, terdapat aktiviti seni dan kesusasteraan untuk masyarakat umum di samping aktiviti keagamaan  di sana. Rabai Bloom juga berkongsi idea untuk menjadikan saumaah tersebut sebagai pusat pengedaran makanan kosyer buat komuniti miskin bandar di sekitarnya. Saya berjalan keluar dari saumaah Sixth & I dengan pandangan bahawa semua agama di dunia ini membantu manusia mendekati Tuhan. Tiada agama yang mahukan penderitaan, penindasan, ataupun kebencian antara mereka yang dianggap kafir. Sebaliknya, sifat komuniti, saling membantu sesama manusia, dan menyebarkan kasih sayang adalah teras untuk membantu manusia mendekati Tuhan. Tuhan tidak perlu dipertahankan, manusia itu sendiri yang perlu mengenali kemanusiaan.

]]>