Seperti biasa, buka mata pagi tadi saya terus mengimbas berita terkini di Internet. Berita di Facebook, sebenarnya. Facebook lebih pantas dari media perdana. Terkejut baca Karpal Singh sudah arwah. Sambil bersiap untuk ke tempat kerja dan membaca pengesahan berita dari media, layar hitam putih sumbangan Karpal Singh kepada negara berputar dalam fikiran. Sebagai rakyat Malaysia yang tak terlepas dari menjadi mangsa percaturan politik dan naluri membentuk teori konspirasi, kontroversi hudud juga bermain di kepala. Mana tidaknya, nama mendiang seolah sudah sinonim dengan isu itu. “Tiap yang hidup pasti mati”, fikir saya. Kemudian kawan-kawan di Facebook mengongsi berita yang mula mengganggu fikiran saya. Zulkifli Noordin, hero kita, sekali lagi muncul menyarungkan pakaian Super Muslim ketika saat-saat genting. Dengan penuh dedikasi, Zul hero kita merasakan mulutnya perlu dibuka, dia perlu berkata sesuatu atas berita kematian Karpal. Allah sudah mematikan Karpal, Zul menulis dengan penuh semangat. Yakinlah Zul bahawa Islam sudah menang. Barangkali air mata jernih turun membasahi pipinya dan hingus membasahi bibir kerana terharu dengan apa yang dikira Zul sebagai kemenangan usaha Pas dengan kerjasama parti Islam UMNO yang mahu menegakkan syariat Tuhan di bumi Kelantan. Musuh sudah disingkirkan Allah. Zul harus tweet rasa syukurnya. Zul harus berkata sesuatu. Ini Zul, Zul Kulim. Zul boleh! Dan Zul telah melakukannya. Belas kasihan dalam Islam Dalam Islam, atau mana-mana agama, wujud konsep belas kasihan. Malah orang tidak beragama juga memahami konsep belas kasihan. Hatta binatang punya belas kasihan. Belas kasihan ini selemah-lemah naluri yang menyatukan manusia. Manusia tidak dipaksa menyintai manusia lain keseluruhannya, tapi ia ada sedikit perasaan belas kasihan sekurang-kurangnya. Belas kasihan ini lah melahirkan rasa hormat kita pada orang lain terutama yang ditimpa musibah. Belas kasihan mampu membuatkan kita faham adab hidup bermasyarakat, apatah lagi dalam masyarakat berbilang kaum dan agama. Bila kematian berlaku, manusia akan merasa tersentuh, jika tidak sebak, sekurang-kurangnya terharu, tergamam. Naluri belas kasihan manusia paling tidak pun akan membuatnya merasakan perlu diam sebagai tanda hormat. Kalau manusia tidak peduli pun, benar-benar dia tidak peduli dan berdiam. Zul tidak ada naluri asas ini. Muncul pula kemudian Datuk Nawawi Ahmad. Bangun pagi, dia merasakan ini hari yang indah maka membuatkannya terangsang untuk berjenaka. Kebetulan terbaca berita kematian Karpal, dia pun merasakan rangsangan berjenaka itu semakin kuat, seperti rangsangan seks yang tidak dapat dibendung. Nawawi pun bertungkus lumus menghasilkan gambar dengan sedikit bakat yang dipelajarinya dari fenomena budaya meme di Internet. Ya, Nawawi sudah berjaya. Langsung butang post ditekan dan dia menunggu dengan penuh ghairah. Peluh membasahi dahinya. ‘Like’ yang pertama sudah cukup membuatkan Nawawi inzal. Nawawi pun terbaring keletihan, tersenyum puas. Rasa malu juga membuatkan manusia tidak bertindak di luar batas norma masyarakat. Seperti mana manusia malu berjalan telanjang di tengah-tengah Kuala Lumpur begitu juga manusia malu mengetawakan orang yang telah mati (telanjang di Langkawi pun bukan perkara biasa). Manusia malu pada keluarga si mati dan malu untuk diri sendiri, malu menimbulkan kemarahan dan malu jika diejek tidak berperikemanusiaan. Kedua-dua spesimen bergelar Zul dan Nawawi tidak dianugerahi Tuhan dengan naluri belas kasihan dan perasaan malu barangkali. Lebih dari itu, mereka tidak memahami budaya dan norma masyarakat, juga mempunyai pemahaman agama yang cetek. Saya meragui status kewarganegaraan mereka. Lebih dari itu, saya meragui status kemanusiaan mereka. Takziah diucapkan kepada agama Islam kerana punya orang-orang seperti Zul dan Nawawi. Islam di Malaysia nazak dan akan mati jika virus Zul Nawawi dibiarkan merebak. Karpal Singh akan terus diingati untuk jasa-jasa beliau kepada negara. Apa sahaja fahaman agama dan politik kita, kita tidak dapat menafikan beliau seorang manusia yang hebat dan berdedikasi pada keadilan dan kesaksamaan. Jasa beliau pada keadilan sosial mungkin lebih banyak dari jumlah kuman dalam otak Zul Noordin dan Nawawi. Keluarga dan rakan-rakan akrab beliau lebih mengenali hati budi beliau. Ke mana Karpal Singh setelah mati bukan urusan saya, bukan urusan anda. Karpal Singh kembali menghadap mahkamah Ilahi. Biarlah sang peguam dan hakim berentap sesama mereka.
]]>