CCM bimbang akan penangkapan aktivis-aktivis Malaysia

CCM bimbang akan penangkapan aktivis-aktivis Malaysia dan pemimpin-pemimpin pembangkang Majlis Gereja-gereja Malaysia (Council of Churches Malaysia / CCM) berasa amat bimbang akan kejadian penangkapan dan tangkapan semula para aktivis Malaysia dan pemimpin pembangkang yang berlaku sejak minggu lepas. Ia merupakan satu perkembangan yang merisaukan yang sudah lama tidak berlaku dalam negara kita semenjak beberapa dekad dahulu. Penyuaraan perasaan tidak puas hati atau perbezaan pendapat merupakan unsur asas bagi proses demokrasi dalam sesebuah pemerintahan yang demokratik. Rakyat mempunyai hak-hak asasi untuk mengadakan demonstrasi awam bagi menyuarakan ketidaksetujuan mereka, selagi ia tiada perbuatan atau panggilan untuk melakukan keganasan. Adalah amat salah untuk sesiapa menganggap bahawa luahan bantahan yang ditujukan terhadap pihak berkuasa sama dengan sentimen anarki dan keganasan. Menteri Dalam Negeri dan pihak polis perlulah lebih berhati-hati dalam hubungan mereka dengan para aktivis, terutama bagi sebuah kerajaan yang menganggap ia mengamalkan demokrasi matang. CCM berdoa untuk kesejahteraan para aktivis yang ditangkap pihak berkuasa hanya kerana mereka menyuarakan pendapat tidak setuju dan mengadakan protes aman. CCM juga berdoa supaya kuasa yang dimandatkan kepada kerajaan Malaysia akan ditegakkan dengan keadilan, kesabaran dan nilai – nilai insaniah terhadap semua rakyat Malaysia. ditandatangani oleh: BISHOP PHILIP LOK OI PENG Pengerusi REV. DR. HERMEN SHASTRI Setiausaha Agung 29th Mei 2013

]]>