Disediakan oleh Yana Rizal.
1. Hinduisme adalah agama tertua di dunia
Ia berasal dari tamadun Vedic India (alaf kedua dan pertama sebelum masihi).
2. Asal-usul Hinduisme tidak diketahui
Hinduisme tidak mempunyai pengasas agama mahupun nabi.
Sebaliknya, Hinduisme merupakan warisan pengajaran dan kebenaran, undang-undang spiritual, dan amalan yang diturunkan oleh pendeta zaman-berzaman.
3. Gelaran “Hindu” tidak wujud di dalam kitab-kitab Hindu
“Hindu” merupakan gelaran yang diberikan oleh orang-orang Arab untuk masyarakat di kawasan sungai Indus, dengan cara hidup mereka.
4. Hinduisme adalah cara hidup.
Hinduisme tidak diasaskan sebagai sebuah “agama” seperti yang biasa difahami, tetapi merupakan satu cara hidup berdasarkan pengajaran daripada kisah-kisah kitab Hindu.
Hinduisme tidak mempunyai sistem yang seragam mahupun badan autoriti keagamaan, kerana falsafah ketuhanan dan kehidupannya yang meluas dan dinamik.
[caption id="attachment_3839" align="alignleft" width="300"] Hinduisme merupakan warisan pengajaran dan kebenaran, undang-undang spiritual, dan amalan yang diturunkan oleh pendeta zaman-berzaman.[/caption]
5. Berjuta-juta Tuhan? TIDAK. Agama Hindu mempercayai hanya SATU tuhan.
Tuhan ini adalah roh segala alam, yang bernama Brahman.
Brahman ialah suatu realiti agung yang tidak berubah, di dalam dan di luar dunia ini, dan tidak mampu untuk diketahui atau difahami dengan sepenuhnya. Roh Brahman ini berada di dalam semua benda.
6. Tapi, dewa Hindu kan berbagai-bagai?
Kerana Tuhan adalah Maha Agung, maka Dia adalah di mana-mana dan dalam segala-galanya, dan tidak mempunyai satu identiti utama. Manusia tidak dapat memahami Tuhan sebagai “satu bentuk sebenar,” sebab itulah terdapat variasi berbeza dalam bentuk Tuhan.
Kesemua ini merupakan penzahiran kepada sifat-sifat Brahman yang berlainan.
Hinduisme menggalakkan penganutnya mendekati Tuhan dengan cara yang paling sesuai dengan diri mereka.
Maka mereka mempunyai pilihan untuk berdoa kepada beberapa atau semua bentuk Tuhan yang berbeza, atau hanya berdoa kepada satu Tuhan yang Maha Esa.
Pembezaan dewa-dewa ini membantu menumpukan doa mengikut keadaan yang sesuai. Sebagai contoh, jika seseorang baru memulakan perniagaan, dia akan menyembah Ganesha, dewa gajah yang mewakili kejayaan.
[caption id="attachment_3606" align="alignleft" width="203"] “Hindu” merupakan gelaran yang diberikan oleh orang-orang Arab untuk masyarakat di kawasan sungai Indus, dengan cara hidup mereka.[/caption]
7. Adakah Hinduisme mempunyai dewa-dewa utama?
Ya. Trimurti ataupun tiga dewa utama adalah Brahma (pencipta), Vishnu, (pemelihara) dan Shiva (pemusnah).
Selain itu, Dewa Ganesha (kejayaan), Dewa Krishna (keagungan), Dewa Hanuman (kekuatan), Dewa Rama (keberanian dan kebaikan) dan Dewi Parvati (kekuasaan dan kecintaan) juga amat popular.
8. Hindu agama menyembah patung? BUKAN.
Penganut Hindu bukan menyembah patung itu sendiri, tetapi menganggapnya hanya sebagai perwakilan fizikal kepada Tuhan.
Ini membantu mereka memberikan tumpuan kepada penyembahan dan meditasi, dan memudahkan mereka mendekati Tuhan.
9. Hindu menyembah lembu? Juga bukan.
Agama Hindu menganggap bahawa semua makhluk kehidupan adalah suci, namun lembu mempunyai tempat yang istimewa.
Lembu dihormati sebagai sumber rezeki dan simbol keibuan, yang membekalkan susu dan keperluan hidup yang lain.
10. Apakah kepercayaan-kepercayaan asas Hinduisme?
Walaupun Hinduisme tidak mempunyai sistem kepercayaan yang seragam, dan menerima pelbagai kepercayaan, secara amnya penganut Hindu berpegang kepada:
Tuhan sebagai Roh dan Realiti Agung
Kebenaran kitab-kitab Vedas
Pengajaran golongan Brahman (pendeta)
Samsara (kelahiran semula): Semua roh kehidupan akan dilahirkan dalam kitaran hidup baru – sehinggalah roh ini mencapai kebebasan (moksha), status pencerahan tertinggi dan penyatuan dengan roh alam.
Karma: Prinsip sebab dan akibat, di mana kelakuan kita dalam kehidupan ini akan menentukan kehidupan yang seterusnya. Kelakuan yang baik akan menyebabkan kelahiran semula yang baik, kelakuan jahat akan menyebabkan musibah dalam kehidupan akan datang.
Dharma: Kebenaran universal, dan tanggungjawab etika.
11. Puruṣārtha: 4 matlamat kehidupan Hindu
Kama: Kemahuan dan kenikmatan, samaada fizikal atau emosi
Artha: Kejayaan dan kemakmuran dalam kehidupan
Dharma: Kemuliaan dan kebaikan. Mengawal Kama dan Artha dalam rangka moral Dharma secara pragmatik, iaitu cara hidup yang betul
Moksha: Kebebasan dari kitaran hidup, satu-satunya matlamat yang sebenar
12. Apakah perayaan-perayaan Hindu?
Disebabkan kepercayaan Hindu yang berbeza-beza, perayaan sesebuah komuniti juga selalunya berbeza mengikut budaya dan dewa yang diutamakan di kawasan itu.
Diwali/Deepavali (“Pesta Cahaya”) – Disambut oleh penganut Hindu sedunia untuk menandakan kemenangan cahaya atas kegelapan, pengetahuan atas kejahilan, kebaikan atas kejahatan, dan pengharapan atas putus asa.
Holi (“Pesta Warna”) – Pesta keramaian di mana warna-warna dicampakkan dengan sukaria antara semua tidak kira status sosial, dan simbolik untuk melupakan sengketa lama. Lahir daripada tradisi legenda Krishna.
Maha Shivaratri – Meraikan Dewa Shiva, pada hari perkahwinannya kepada Dewi Parvati.
Ram Navami – Meraikan kelahiran Dewa Rama.
Krishna Janmastami – Meraikan kelahiran Dewa Krishna.
Ganesh Chaturthi – Meraikan kelahiran Dewa Ganesha.
Thaipusam – Meraikan kejayaan Dewa Murugan ke atas kejahatan. Perayaan penting bagi masyarakat Tamil, seperti di Malaysia.
Thai Ponggal – Pesta menuai bagi masyarakat Tamil.
13. Adakah Hinduisme mendukung sistem kasta?
[caption id="attachment_3842" align="alignleft" width="300"] Diskriminasi kasta bertunjangkan budaya, dan bukan agama.[/caption]
Tidak. Diskriminasi kasta bertunjangkan budaya, dan bukan agama.
Kasta merupakan suatu sistem kuno yang digariskan di dalam kitab-kitab Hindu sebagai kelas pekerjaan, tetapi sebaliknya telah dijadikan dasar hierarki sosial yang sangat ketat.
Kelas kasta (varna) Hinduisme dibahagikan seperti berikut:
Brahman: Golongan pendeta, profesional dan intelektual
Kshatriya: Pemimpin masyarakat, pahlawan dan bangsawan
Vaishya: Dahulunya petani dan penternak, sekarang pedagang
Shudra: Pekerja buruh kasar, penukang atau pemberi khidmat
Dalit/“Yang tidak boleh disentuh”/Pariah: Kelas ini bukan sebahagian daripada Hinduisme, tetapi merupakan pembahagian sosial yang menganggap mereka sebagai golongan terbawah.
Golongan ini sering dipinggirkan dan dianiayai, namun ini bukanlah ajaran Hinduisme.
Diskriminasi kasta telah diharamkan di dalam Perlembagaan India, di bawah Perkara 15 dan 17.
14. Mengapa Hindu menggalakkan pemakanan Vegetarian?
Ini berdasarkan prinsip “ahimsa”, iaitu tiada keganasan.
Oleh kerana semua kehidupan adalah penzahiran Tuhan , maka penganut Hindu digalakkan menghormati kehidupan dengan tidak memakan daging.
15. Hinduisme mempunyai 4 Mazhab utama
[caption id="attachment_3600" align="alignleft" width="202"] Karma: Prinsip sebab dan akibat, di mana kelakuan kita dalam kehidupan ini akan menentukan kehidupan yang seterusnya.[/caption]
Vaishnavi: Mazhab terbesar, yang memuja Vishnu atau salah satu avatarnya (identiti kelahiran semulanya) sebagai Dewa tertinggi dan merupakan kepercayaan monoteistik.
Shaivi: Memuja Siva sebagai Dewa tertinggi dan merupakan kepercayaan monoteistik.
Shakti: Memuja Shakti, atau Devi (Ibu Agung) dalam semua bentuknya sambil tidak menolak kepentingan ketuhanan maskulin atau neutral. Dewi Agung, atau Devi, ialah Tuhan tertinggi, iaitu Brahman sendiri, tanpa tandingan, dan semua bentuk ketuhanan lain adalah semata-mata manifestasi Devi.
Smarti: Prinsip kesamaan semua dewa-dewa, dan semuanya adalah manifestasi satu kuasa ilahi. Ini merupakan takrifkan Hinduisme yang digunakan oleh Mahkamah Agung India, kerana ianya paling sekular.
Mazhab-mazhab Hinduisme tidak menganggap mazhab lain sebagai saingan, dan setiap mazhab bebas meminjam kepercayaan dan amalan dari yang lain.
Sila emel projekdialog@yahoo.com untuk rujukan dan sumber khusus maklumat di atas.
Melawan kebencian kolektif
Bedar Sukma Bisu saya telah bertanya sebanyak dua kali menerusi watak Wefada; ‘Apakah yang lebih penting, kemakmuran (keperluan perut) atau kebebasan (keperluan benak)?
Jika makanan adalah keperluan atau alas perut dari kelaparan, apakah makanan akal atau alas benak dari kejahilan?
Agama adalah keperluan yang penting. Oleh kerana itu, dalam sesebuah negara demokratik, kerajaan sebagai bapa akan menjaga keperluan akal ini secara saksama dan tanpa diskriminasi. Hal ini menjadi lebih sulit kerana kerajaan juga perlu melindungi penganut agama minor.
Sebelum memahami apakah itu minoriti agama, wajar difahami apakah yang dimaksudkan dengan agama menurut standard antarabangsa. Definisi agama sangat luas meliputi kepercayaan, panduan baik dan buruk atau moral, yang turut merangkumi kepercayaan yang bertuhan (theistic), yang tidak bertuhan (non-theistic) dan tiada kepercayaan (atheistic) .
State, atau sesebuah kerajaan perlu mengiktiraf kemerdekaan agama dan kepercayaan. Sekiranya atas sesuatu alasan keagamaan atau ideologi, sesebuah kerajaan enggan mengiktiraf sesuatu ajaran itu sebagai agama, kerajaan masih bertanggungjawab untuk mengiktirafnya sebagai satu kepercayaan (belief).
Sesebuah minoriti agama itu terikat oleh solidariti sesama mereka untuk mempertahankan budaya, tradisi, agama atau bahasa. Oleh demikian objektif bersifat politik dan militari tidak termasuk dalam hal ini.
Pada sesi United Nations yang ke-25 lalu, Profesor Dr Heiner Bielefeidt, Special Rapporteur on freedom of religion or belief, telah memberi beberapa saranan yang menarik untuk diikuti oleh kerajaan.
Pada 11 Mac 2014, beliau membentangkan laporan dengan tema ‘collective religious hatred’. Dr Bielefeidt menegaskan kebencian terhadap agama secara kolektif bukan sesuatu yang alamiah tetapi adalah sesuatu yang boleh dielakkan.
Kebencian terhadap agama secara kolektif berlaku kerana adanya ketakutan atau kebimbangan. Perasaan tersebut adalah lawan kepada kasih sayang. Berdasarkan pemerhatian terhadap laporan dan rungutan berkaitan kemerdekaan beragama dari negara-negara anggota United Nations, beliau menyatakan kebencian terhadap agama secara kolektif terjadi kerana situasi politik.
Kebencian kolektif
Terdapat tiga punca kebencian terhadap agama secara kolektif berleluasa;
1. Wabak korupsi merupakan punca utama berlakunya kebencian terhadap agama secara kolektif.
Di dalam sesebuah negara, institusi awam milik kerajaan wajar membantu masyarakat dan agama. Akan tetapi, oleh kerana rasuah atau korupsi berakar, institusi awam gagal memainkan peranan dan fungsi sebenarnya.
Oleh sebab itu masyarakat lebih gemar bergantung kepada komuniti agama mereka. Ini menyebabkan komunikasi yang sepatutnya berjalan antara institusi dan masyarakat terganggu.
2. Iklim politik yang bersifat autoritatif menyebabkan kebencian terhadap agama secara kolektif merebak.
Iklim politik yang tidak sihat dan kurang memberikan ruang untuk berdialog mengakibatkan penutupan ruang interaksi. Ekoran dari itu juga menyebabkan kontra hujah dan respon balas tidak berlaku. Dalam iklim politik autoritatif, kerajaan akan menyalahkan minoriti untuk sesuatu, atau dalam erti kata lain minoriti agama mengalami pelabelan, paranoia dan dikambinghitamkan.
3. Politik identiti yang sempit juga menjadi salah satu punca kepada kebencian terhadap agama secara kolektif.
Terdapat kerajaan yang menggunakan agama untuk membentuk atau menegaskan satu acuan identiti nasional. Dalam hal ini agama tertentu dibajai sebagai unsur perpaduan nasional, atau dijadikan definisi untuk satu budaya atau identiti tunggal.
Akibatnya, kaum minoriti yang terkeluar dari agama tertentu tersebut akan mengalami pengasingan, menggugat perpaduan dan kestabilan, pengkhianat, tidak setia dan musuh negara.
Saranan Bielfield
Profesor Dr Heiner Bielefeidt selaku Special Rapporteur on freedom of religion or belief seterusnya menggariskan beberapa pendekatan untuk mengatasi kebencian terhadap agama secara kolektif.
Pertama, beliau menyeru supaya setiap orang menghormati setiap orang yang lain mempunyai hak untuk kemerdekaan beragama. Di peringkat kerajaan, rasa percaya yang kukuh perlu dibina. Ini memerlukan infrastruktur yang asasnya adalah ‘hormat’, kata kunci utama dalam hak asasi manusia. Sesebuah negara berhak mempunyai satu agama rasmi akan tetapi ruang untuk diskriminasi mesti tidak dibenarkan.
Kedua, beliau juga menegaskan rasa percaya yang kukuh hanya boleh berlaku antara kerajaan dengan minoriti agama dengan syarat berlakunya komunikasi yang pesat. Dalam hal ini komunikasi tersebut adalah i) antara semua kelompok agama inter dan intra; ii) usaha mendekati minoriti agama oleh kerajaan secara berterusan; iii) membenarkan debat awam tentang isu-isu agama, yang tidak sepihak, berjalan secara lancar malah disuburkan.
Ini bermaksud jika kelompok ahlus sunnah wal jamaah diizinkan melakukan kempen, jelajah, dan siri seminar bahaya Syiah; minoriti agama ini juga perlu diberdayakan dan diberi ruang untuk memberi jawapan balas secara setara (setanding). Dalam hal ini pihak kerajaan hanya perlu mengawasi situasi debat awam itu supaya tidak menjejaskan kestabilan.
Lensa hak asasi manusia tidak menerima alasan ‘menjejaskan keselamatan negara’ secara sewenang-wenang sebagai alasan menutup dialog kerana komunikasi yang dimaksudkan adalah komunikasi dua arah yang mana agensi kerajaan mempunyai akses cukup untuk berhubungan dengan minoriti agama apabila berlakunya bibit krisis ekoran dari kebencian terhadap agama secara kolektif berleluasa; dan minoriti agama tahu siapakah yang boleh mereka hubungi dan menjadi tempat bergantung di saat kebencian terhadap agama secara kolektif berleluasa bertukar menjadi bibit-bibit bencana.
Peranan kerajaan
Dalam hal ini, kerajaan memainkan peranan ibu bapa yang mendamai, mengurus dan bersikap objektif apabila anak-anak bertingkah tentang hak masing-masing.
Kerajaan juga tidak dapat menjadikan ‘menjejaskan keselamatan awam’ sebagai alasan untuk mengelak berlakunya komunikasi sihat antara kerajaan dan minoriti agama kerana kebencian terhadap agama secara kolektif mempunyai gejala-gejala yang jelas kelihatan. Satu kriteria yang jelas sebagai gejala pada gerakan mempromosi kebencian terhadap agama secara kolektif adalah ‘ia diiklankan secara terbuka oleh mereka yang melakukannya’.
Justeru kerajaan perlu menutup jurang antara amaran awal dengan tindakan segera tanpa perlu berlengah; ‘government need to close the gap between early warning and ealy action’.
Komunikasi di atas, hanya boleh berlaku apabila terdapatnya budaya wacana yang sihat, ‘culture of free public discourse’. Dalam hak asasi manusia, tindakan pencegahan dibenarkan, akan tetapi, komunikasi yang lancar dan berterus-terang mesti masih boleh berjalan. Tindakan pencegahan mestilah didefinisikan dan diketahui umum dan ditegakkan tanpa sebarang hasrat untuk diskriminasi atau boleh menyebabkan berlakunya diskriminasi.
Dalam masa yang sama dialog mesti dirancakkan dengan syarat kelompok agama tidak memperaga dan menonjolkan identiti keagamaan mereka. Institusi pendidikan pula mesti berperanan untuk menyediakan komunikasi di atas.
Terdapat suara skeptikal dan sinis apakah saranan-saranan Heiner Bielefeidt selaku Special Rapporteur on freedom of religion or belief ini boleh dan realistik untuk dilaksanakan. Sukacita untuk disebutkan Sierra Leone telah melakukannya dan melakukannya dengan berjaya.
Namun demikian satu wacana atau makalah yang lain diperlukan untuk mengenengahkan kejayaan Sierra Leone dalam hal kemerdekaan beragama ini.
Agama dan kemerdekaannya adalah keperluan untuk akal. Manusia yang bebas memilih dan kenyang secara akliah akan bertindak lebih waras dan sihat untuk memenuhi keperluan perut.
Sensitiviti masyarakat dan peranan dialog
Apa itu Projek Dialog? Projek Dialog merupakan satu inisiatif yang diusahakan sebagai respon terhadap kegagalan kita masyarakat di Malaysia untuk berhadapan dan mengetengahkan isu permasalahan yang sering dianggap sensitif. Atas sebab itu, sejak awal penubuhan dua tahun yang dahulu, Projek Dialog telah secara aktif membincangkan, menggalakkan dan menjadi platfom wacana berkenaan hubungan antara agama dan etnik, isu-isu masyarakat seperti masalah gelandangan, pendidikan, diskriminasi minoriti dan sebagainya melalui pelbagai siri program dan penulisan. Salah satu keutamaan dalam usaha dialog ialah menguruskan sensitiviti dan insensitiviti yang tertanam dalam minda masyarakat tanpa menetapkan kekangan terhadap mana-mana golongan untuk bersuara dan menyampaikan pandangan. Sensitiviti atau insensitiviti satu pihak terhadap pihak yang lain dalam sesuatu isu kebiasaannya bukanlah satu persepakatan yang dikongsi bersama dalam satu masyarakat dengan komuniti pelbagai dan terpisah seperti di Malaysia. Dialog merupakan satu proses berhadapan dengan permasalahan dan pertentangan, bukan sekadar satu aktiviti suka-suka memuatkan retorik mudah perpaduan dan penyatuan dikalangan golongan perpandangan serupa dan mengabaikan pihak berpandangan berbeza. Proses dialog ini penting untuk meningkatkan kefahaman, toleransi serta penerimaan antara pelbagai golongan berbeza dalam masyarakat tanpa sebarang pengasingan khususnya terhadap golongan minoriti. Atas sebab ini, sememangnya ada kebarangkalian perbezaan pandangan yang akan menyentuh sensitiviti dan menyinggung perasaan golongan-golongan tertentu. Isu-isu kontroversi tetap akan timbul, dan dalam sesetengah situasi kesilapan akan dilakukan yang merupakan kebiasaan dalam satu usaha dialog, seperti mana yang telah berlaku baru-baru ini. Dialog merupakan satu proses yang panjang dimana setiap permasalahan baru yang dihadapi merupakan satu pelajaran dalam memahami realiti sosial dalam masyarakat berkepelbagaian di Malaysia. Perkongsian bukan Perwakilan Turut penting untuk dinyatakan di sini, atas sebab kepelbagaian pandangan yang dipromosikan oleh Projek Dialog, sebarang perkongsian sama ada berbentuk kenyataan di laman web mahupun perkongsian dalam media sosial tidak semestinya mewakili pandangan individu, kolumnis mahupun organisasi yang terlibat dengan Projek Dialog. Projek Dialog merupakan platfom perkongsian yang meraikan kepelbagaian pandangan dan pendirian secara bebas sama ada oleh individu mahupun organisasi dan ini yang ingin ditekankan oleh Projek Dialog, sebagai arah masyarakat Malaysia menuju masa hadapan yang lebih harmoni.
]]>Tasawuf dan Satyagraha: Selari dalam perbezaan
Memaknai semula tasawuf
Meskipun makna tasawuf itu berbeza-beza mengikut pendapat Ulamak, saya tidak berminat pemaknaan tasawuf yang hanya bersangkutan pencarian hikmah ilahiah yang tertinggi bersifat individualistik yang terpisah dari kerangka, pemaknaan dan fungsinya di dalam masyarakat.
Di dalam konteks Malaysia, sebuah negara yang majoriti penduduknya umat Islam, saya kira dua perkara terpenting yang sangat memberi kesan kepada umat Islam ialah faktor akhlak dan kemampuan mengaitkan apa-apa teori, falsafah dan ideologi apa pun dengan Islam.
Berbicara tentang demokrasi , kebebasan, keadilan, kemanusiaan dan apa sahaja pun jika tidak dikaitkan dengan galian dari dalam Al-Quran dan Sunnah, sukar bagi masyarakat umat Islam untuk menerimanya, kerana ia begitu asing, apatah lagi yang datangnya dari Barat.
Fatima Mernissi, di dalam bukunya “Islam dan Demokrasi : Antologi Ketakutan” menjelaskan bagaimana Barat di dalam bahasa Arab disebut sebagai “gharb” yang bererti asing , tempat yang diliputi kegelapan, tempat matahari terbenam, dan sesuatu yang tidak diketahui itu selalunya menakutkan.
Perkara ini menjadi jelas dalam wacana umat Islam yang sering saja ketakutan akan apa sahaja yang datang dari Barat yang di mana epistemologi dan ontologinya dikira cukup dikhuatiri mengelirukan umat Islam.
Makanya membincangkan wacana-wacana falsafah Barat tanpa dikaitkan dengan khazanah Islam pasti menjadi suatu benteng bagi kebanyakan umat Islam mempelajarinya.
Faktor kedua, yakni akhlak juga sesuatu yang sangat di”minati” oleh kebanyakan umat Islam. Tidak kira lah sehebat mana pun kita berbicara, berhujah dan berdebat, akan tetapi jika akhlak sang pembicara itu dilihat teruk dan tidak beretika, nescaya segala hujah-hujah rasional dan ilmiah kita akan tidak didengari.
Begitulah cara kebanyakan umat Islam yang sering mengaitkan akhlak dengan keilmuan sedangkan mereka sangat mengetahui betapa ramai ilmuan-ilmuan dan agamawan yang akhlaknya baik dan penuh sopan santun akan tetapi korup dan bermuka-muka. Sedangkan pembunuh Sayidina Ali itu yang bernama Abdurrahman Ibnu Muljam juga merupakan seorang muslim yang rajin beribadah, berpuasa dan seorang hafiz Quran.
Walaupun berakhlak baik bukanlah penyebab kepada keilmuan seseorang , ia bahkan menjadi aset terpenting bagi sesiapa pun yang ingin membawa wacananya ke ruang awam.
Dalam konteks itu, pendekatan tasawuf sebagai akhlak bagi saya merupakan satu pendekatan yang wajar kita terokai sebagai bonus bagi membawa idea-idea yang berguna agar dapat disambut baik oleh masyarakat.
Kiyai Said Aqil Siroj di dalam karyanya “Tasawwuf Sebagai Kritik Sosial : Mengedapankan Islam sebagai Insipirasi Bukan Aspirasi” menyatakan dengan jelas bahawa Islam perlu ditanggapi sebagai agama moraliti.
Konsep keesaan Tuhan yang diturunkan kepada Nabi sarat dengan kesan terhadap sosio-politik keadaan masyarakat Arab Jahiliyyah yang melawan perhambaan manusia kepada manusia, pelbagai pencabulan ke atas hak asasi manusia dan penindasan terhadap golongan yang lemah.
Siroj menerangkan lagi bahawa selain aspek akidah dan syariah yang merupakan elemen penting dalam Islam, ialah tasawuf. Beliau megatakan terdapat tiga sikap yang melampaui batas iaitu ghuluw yakni sikap dan respons yang berlebihan di luar batas kemanusiaan, tatharruf, yang didorong emosional keterlaluan dan irhab yang menjustifikasi kekerasan atas nama agama mahupun ideologi.
Ketiga-tiga sikap ini saya kira( termasuk saya) sering kali kita amalkan apabila berwacana di media sosial dan tidak henti-henti menyebarkan kebencian antara satu sama lain. Termasuklah aktivis-aktivis, intelektual-intelektual, sama ada yang dogmatis atau pun progressif , sudah hilang tasawuf dan cinta dalam menyebarkan idea dan pendapat.
Akhirnya kita terperangkap dengan sifat “self-righteous” dan egois (di mana yang berbangga seolah perjuangan “aku” sahaja yang betul, yang lain semua hipokrit) yang kita sendiri benci jika diamalkan pada diri orang lain.
Pemahaman tasawuf yang positif dalam memberikan kesan sosial yang baik ialah segala perjuangan dan pemikiran kita menurut Kiyai Siroj, ialah satu pembawakan yang bersederhana, dakwah (ajakan) yang mengutamakan “qaulan karima” (perkataan yang baik), “qaulan maisura” (perkataan yang pantas), “qaulan layyinan” (perkataan yang lemah lembut), “qaulan baligha”(perkataan yang memberi kesan kepada jiwa) dan qaulan tsaqila (perkataan yang berkualiti) dan saya ingin menambah sendiri bahawa kesemua ini mestilah berdasarkan percakapan yang benar dan sebenar-benar percakapan yang jujur dan bukannnya menipu dan berselindung di sebalik akhlak yang baik.
Lebih menarik lagi, Kiyai Siroj berusaha mengajak pesantren-pesantren supaya lebih progressif dan berubah menjadi agen transformasi sosial berpaksikan traditionaliti agama dan tasawufnya dalam mengejar apa yang disebut Al-Quran sebagai “khaira ummah” pastinya melibatkan pembangunan politik,sosial,ekonomi, sains dan teknologi dan segala macam bidang pengetahuan yang mesti dikuasi umat Islam.
Sebagai contoh, matlamat pesantren yang di bawah Nahdatul Ulama (NU) di Indonesia yang memutuskan pada 1996 bahawa, kesemua pesantren mestilah bertindak sebagai ,1)lembaga pendidikan dan pengembangan ajaran Islam;2)lembaga perjuangan dan dakwah Islamiyah dan ;3)lembaga pemberdayaan masyarakat yang berkewajipan bergerak secara emansipatif dalam menjunjung masyarakat yang adil, harmonis dan demokratik.
Mengambil ibrah dari Satyagraha bawaan Gandhi
Konsep Satyagraha ini boleh difahami sebagai “non-violence resistance”.
Ghandi menggabungkan satya yang beerti kebenaran dan agraha yang beerti ketegasan(firmness) yang berasaskan kepada satu-satunya kebenaran iaitu “non-violence”(Ahimsa). Ia merupakan suatu gerakan ketidaktaatan sivil. Suatu penentangan yang bersifat penuh cinta dalam ketegasan mempertahankan kebenaran bagi mencapai matlamat sosial.
Saya ingin mengajak rakan-rakan menggunakan konsep Satyagraha ini dan menggabungkannya dengan tasawuf bawaan Islam dalam menerokai pendekatan wacana intelektual dan aktivism sehari-hari kita supaya ia berhasil bukan sebagai gerakan fizikal (bukan dalam konteks artikel ini) akan tetapi menjadi gerakan pemikiran progressif, emansipatif dan berbasis kemanusiaan bersifat penentangan yang kukuh dan mencabar pola pemikiran masyarakat yang kaku ini dipandu oleh tasawuf yang menyentuh nurani.
Satyagraha bawaan Ghandi memerlukan disiplin yang kuat dan padu. Di dalam “Conquest of Violence: The Gandhian Philosophy of Conflict” tulisan Joan Valerie, Ghandi menekankan bahawa untuk melaksanakan Satyagraha, seseorang mestilah mempunyai keberanian yang cekal untuk mengamalkan tapasya, yakni “self-sacrifice”.
Ia bukanlah bermaksud penentangan secara pasif yang membiarkan sahaja pihak lawan menabur fitnah, melakukan kekerasan, memperli, mengejek, menyebarkan aib dan sebagainya, akan tetapi suatu pengorbanan yang punya matlamat jangka panjang yang mana manfaatnya mungkin hanya boleh dirasai oleh orang lain atau generasi yang akan datang.
Ini juga bermaksud, mungkin pengorbanan jiwa yang menahan kesabaran untuk tidak membalas kebencian dengan kebencian – tidak membalas cacian dengan cacian, fitnah dengan fitnah – tidak dapat dinikmati oleh mereka yang berkorban itu, akan tetapi untuk zaman anak cucunya pula menikmati hasilnya. Ghandi menyatakan:
“Suffering injury in one`s own person is of the essence of non-violence and is the chosen substitute for violence to others. It is not because I value life low that I can countenance with joy thousands voluntarily losing their lives for Satyagraha, but because I know that it results in the long run in the least loss of life, and, what is more, it ennobles those who lose their lives and morally enriches the world for their sacrifices.”
Kesimpulan
Marilah kita sama-sama menilai kembali pendekatan kita dalam berwacana dan debat dan beralih kepada dialog yang benar-benar sihat di mana pertembungan konservatisme oleh agama mahupun ideologi dengan aliran yang lebih progresif dapat berlangsung tanpa kebencian antara satu sama lain dan pergelutan yang berlaku menjadi suatu yang positif dan bukannya menanam lebih ketidakpercayaan dan kesangsian yang tidak berasas.
Ini kerana, jika kita tidak berhenti untuk saling mendengar dan saling memahami, saya yakin wacana pemikiran apa pun tidak berhasil memberi dampak positif yang kita idamkan. Kita sama-sama tidak akan boleh bergerak lebih jauh.
Secara peribadi, saya telah melihat begitu banyak kebencian dari kecintaan.
Saya penat dengan kebencian begitu juga anda. Ia memakan jiwa kita semua. Ayuh kita sama-sama fikirkan!
Kes Kalimah Allah: Dialog harus diteruskan
Meneliti keputusan para hakim Dalam menanggapi keputusan tersebut daripada media alternatif di laman sosial, saya agak kecewa, terkilan dan dengan sinis mengandaikan keputusan ini akan dijadikan rujukan kehakiman jika hal-hal yang kononnya berkaitan dengan kesucian Islam dibangkitkan kembali oleh pihak tertentu pada masa akan datang. Isu-isu seperti terjemahan, penerbitan dan upacara ibadah akan terus diperkotak-katikan oleh golongan berkempentingan bagi mencipta ketegangan politik melalui agama wujud sejak 1980an berdasarkan rekod kehakiman bagi dijadikan modal politik kerajaan memerintah. Namun, ianya tidaklah sehebat isu kalimah ‘Allah’ yang dibangkitkan oleh melalui larangan KDN terhadap Gereja Katolik pada tahun 2007. Gereja Katolik mengambil pendekatan undang-undang bagi menyelesaikan masalah tersebut dan berlanjutan sehingga kini. Selain itu, kontrak sosial Perjanjian Malaysia 1963 juga patut diambil berat kerana Sabah dan Sarawak mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan namun tidak mempunyai agama rasmi pada wilayah tersebut. Dan sudah tentu umat Kristian dijadikan sasaran selepas ini berbanding dengan penganut Buddha, Hindu dan agama minoriti lain. Oleh sebab, isu yang terdekat dengan permasalahan umat Islam selalunya dikaitkan dengan agama Kristian sebagaimana yang telah dimomokan MAIS dalam buku “Pendedahan Agenda Kristian” yang boleh mengundang kontroversi. Respon pelbagai pihak sejurus keputusan Berdasarkan keputusan hakim pada 23 Jun, rata-rata NGO Muslim seperti PERKASA, PEKIDA dan Pertubuhan Islam Gabungan Amal (per3) yang hadir di Istana Kehakiman sudah tentu menyifatkannya sebagai satu kemenangan besar umat Islam dalam mempertahankan kesucian agama mereka ketika umat Islam bersiap sedia menanti ketibaan Ramadan. Ketika berceramah, Presiden Perkasa sempat menempelak DAP yang rata-rata mempertahankan umat Kristian dalam isu kalimah ‘Allah’ dengan mencabar agar sekolah vernakular ditutup jika ingin memartabat bahasa Melayu. Sementara itu, ucapan hasutan juga keluar daripada Yang Dipertua Perkasa Negeri Sembilan Ruslan Kassim yang mengugut akan membunuh mereka yang menderhaka titah Sultan di Istana Kayangan, Shah Alam turut mengundang kritikan hebat dalam laman sosial. Saya berpendapat, masalah utama yang dihadapi umat Kristian dalam menanggapi isu ini adalah undang-undang yang kelihatan bercanggah antara enakmen negeri dan Perlembagaan Persekutuan. Nampaknya sikap paranoid sekelompok orang Melayu dan Islam yang berterusan seperti yang ada sekarang sudah tentu akan menjejaskan perpaduan dan keharmonian negara serta mengundang imej negatif tentang bangsa Melayu dan agama Islam oleh yang bukan Islam. Ada juga rancangan agar draf rang undang-undang baru ciptaan Majlis Konsultasi Perpaduan Negara bagi membendung prejudis dan ancaman perpaduan kaum untuk dibawa ke Parlimen dan ianya sepatutnya disokong. Saya amat berpuas hati jika semua agama dilindungi secara adil dan saksama dibawah RUU. Sekurang-kurangnya, masih ada sirna dan harapan agar masalah ketegangan agama dan kaum dapat dikurangkan pada masa mendatang. Kesimpulannya, semua pihak tanpa mengira agama dan kaum seharusnya memilih untuk menolak politik perkauman , etnosentrime dan rasisme. Sikap mengenali satu sama lain dan berdialog sewajarnya dijadikan amalan dalam mengeratkan silaturahim antara masyarakat majmuk seperti di Malaysia ini. Akhir kalam, ayuh kongsi persamaan dan hormati serta raikan perbezaan.
]]>Mempertahankan agama minoriti
Prinsip dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan akan sentiasa menjadi rujukan.[/caption]
Bayangkan jika suatu forum khas diadakan bagi mempertahankan serta melindungi agama-agama minoriti di Malaysia daripada dakyah dan serangan pihak luar.
Forum itu nanti pasti sahaja berciri ilmiah, penyelidikan, akademik dan tiada sebarang unsur hasutan atau penghinaan yang bertentangan dengan hak-hak sah agama minoriti dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.
Perkara 3 (1) menetapkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.
Kebebasan beragama bagi penganut “agama minoriti” ini dijamin oleh Perlembagaan dan mereka mempunyai hak untuk menganut dan mengamalkan agama masing-masing.
Wacana Pengenalan kepada Minoriti Agama di Malaysia oleh Dr Mohd Faizal Musa, felo penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 12 Jun 2014 juga agak menarik untuk diperhatikan.
Ia antara lain membantu khalayak meneliti realiti mazhab Syiah di Malaysia dari sudut berbeza. Bagaimanapun, perlu dibezakan antara “minoriti agama” dan “agama minoriti” supaya tidak timbul kekeliruan dan salah tanggap.
Dewasa ini, banyak forum, seminar dan perbincangan diadakan dalam usaha mempertahankan agama Islam daripada “agenda Kristianisasi”.
Contoh terdekat adalah Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara anjuran bersama Majlis Agama Islam Selangor (Mais) di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam pada 6 Mei 2014.
Seminar itu secara terang-terangan mempersenda ajaran Kristian dan penganut Kristian secara keseluruhan, serta secara jelas berciri anti-perpaduan, berniat jahat, tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat dan mengancam ketenteraman awam.
Walaupun mendapat bantahan masyarakat Tidak Islam (Bukan Islam) serta beberapa laporan polis dibuat, belum ada sebarang tindakan diambil terhadap penganjur serta sekumpulan penceramah yang terbukti adalah “bekas paderi dan bekas rahib palsu”.
Hujah Muhyiddin jadi panduan dan rujukan
Semasa sidang Dewan Rakyat pada 17 Jun 2014, Ahli Parlimen Penampang, Ignatius Dorell Leiking meminta Menteri Pendidikan menjelaskan tindakan kementerian terhadap UiTM yang telah secara tidak langsung menyebarkan kebencian antara agama melalui penganjuran seminar itu.
Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam jawapan bertulis menegaskan bahawa seminar itu berciri akademik dan bersifat sesi percambahan minda (brainstorming), serta bertujuan mempertahankan agama Islam daripada cabaran luar. Dia menyifatkannya sebagai suatu perbincangan akademik yang perlu dilihat secara positif.
Selaras dengan itu, Forum Mempertahankan Agama Minoriti yang dicadangkan pula bertujuan membicarakan cara-cara mempertahankan “agama minoriti” daripada serangan dan dakyah pihak luar.
Perlu ditekankan bahawa seperti kata tajuk, forum itu nanti bertujuan “mempertahankan” dan bukannya “menghasut”. Apatah lagi melanggar Perkara 11 (4) dan “mengembangkan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam”.
[caption id="attachment_3626" align="alignleft" width="300"]
Wakil agama minoriti diberi peluang berkongsi fakta berdasarkan penyelidikan.[/caption]
Bayangkan bahawa koleksi makalah berbentuk penyelidikan berjaya diterbitkan susulan forum tertutup berkenaan dan diedarkan kepada peserta sahaja bagi tujuan akademik.
Tentulah akan dipastikan tidak ada sebarang kandungan yang menyalahi Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 atau Akta Hasutan 1948. Buku itu hanya membincangkan tentang usaha mempertahankan agama minoriti serta penjelasan mengenai agenda dakyah pihak luar yang mengancam agama minoriti.
Kalau Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berpeluang meneliti buku itu nanti, beliau juga akan mengakui bahawa ia hanya satu penyelidikan (study). Sama seperti jawapannya bagi buku Pendedahan Agenda Kristian (2014) terbitan Mais yang diedarkan semasa seminar anti-Kristian di UiTM.
Forum Mempertahankan Agama Minoriti adalah suatu program akademik dan perbincangan ilmiah bagi menerangkan permasalahan dakyah pihak luar yang menjadi isu dan perbahasan hangat dalam kalangan penganut agama minoriti.
Dalam forum itu nanti, perbincangan dan penjelasan pasti sahaja dilakukan secara ilmiah yang bersifat pro dan kontra, selaras dengan budaya intelektual yang diharapkan; serta dijalankan dalam suasana harmoni tanpa menghina mana-mana agama lain. (Saya meminjam banyak idea daripada jawapan Muhyiddin di Dewan Rakyat pada 17 Jun 2014.)
Oleh itu, fakta dan perbincangan dalam forum itu perlulah dilihat secara positif sebagai suatu bentuk percambahan minda dan intelektual yang sedikit pun tidak melanggar mana-mana peruntukan Perlembagaan.
Kandungan forum tidak langgar Perlembagaan
Forum tertutup itu juga difokuskan kepada khalayak terpilih yang intelektual, matang dan mampu membicarakan topik-topik sensitif secara ilmiah dan akademik. Maka tidak timbul soal ada pihak yang mungkin rasa tergugat dari segi keimanan.
Umum mengetahui bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan ada mengeluarkan beberapa pandangan (atau “fatwa” dalam Bahasa Arab) berhubung larangan penyebaran agama Bukan Islam kepada orang Islam.
Buku Pendedahan Agenda Kristian menghuraikannya lebih lanjut sebagai “larangan yang menyebabkan kekeliruan di kalangan umat Islam serta larangan umat Islam menyertai aktiviti yang mempunyai kaitan dengan agama lain khususnya Kristian.”
Agak menarik untuk diperhatikan bahawa majlis fatwa merumuskan senarai “agama lain” sebagai “Cina, Buddha, Hindu, Sikh dan Kristian”. Mungkin sahaja “Cina” merujuk kepada pelbagai ajaran, kepercayaan dan agama yang dianuti orang Cina.
Bagi tujuan Forum Mempertahankan Agama Minoriti yang dicadangkan ini, senarai “agama minoriti” tidak akan dikhususkan kepada mana-mana agama. Sebaliknya merujuk kepada mana-mana agama, ajaran, anutan dan mazhab minoriti yang terkeluar daripada acuan “agama bagi Persekutuan” dalam Perkara 3 (1).
Forum itu nanti akan membuka peluang meneliti hak dan kebebasan yang dijamin oleh Perlembagaan kepada penganut agama minoriti, serta menghuraikan batasan dan had yang ditetapkan dalam Perlembagaan berkaitan hak penganut agama minoriti.
Panel juga dijangka memperkatakan isu-isu semasa berkaitan agama minoriti dalam ruang lingkup dan kebebasan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan. Maknanya, tidak ada apa-apa kandungan yang melanggar peruntukan Perlembagaan.
Saya membayangkan suatu forum ilmiah di mana panel membentangkan hujah, pandangan dan fakta berdasarkan kajian, penyelidikan dan pengalaman berkaitan topik dakyah pihak luar ke atas penganut agama minoriti.
Panel dan peserta tentu berpeluang membincangkan cara-cara mempertahankan agama minoriti dan penganut agama minoriti daripada serangan dan dakyah pihak luar. Hal ini selaras peruntukan Perkara 11 dan maklumat terperinci boleh dirujuk dalam buku Prinsip Perlembagaan dan Pemerintahan di Malaysia (2006).
Selaras semangat Bangsa Malaysia, forum itu juga boleh dijadikan medan untuk mencadangkan cara-cara memupuk perpaduan, meraikan kepelbagaian dan meningkatkan sifat tolak-ansur dalam kalangan masyarakat pelbagai agama.
Puak ultra kiasu, pelampau tidak dibenarkan hadir
Pembicara atau ahli panel forum akan dipilih daripada kalangan individu intelektual, rasional dan matang yang mampu mengemukakan pandangan, hujah, idea, pengalaman dan kritikan berdasarkan topik yang ditetapkan.
Panel diberikan kebebasan untuk berbicara secara akademik serta berdasarkan penyelidikan dan pengalaman sambil mengambil kira segala peruntukan Perlembagaan dan undang-undang negara.
Pembicara bertanggungjawab sepenuhnya atas segala pandangan, hujah dan kritikan yang dikemukakan. Pemudah cara (moderator) pula berhak menghalang pembicara daripada meneruskan hujah-hujah yang difikirkan kurang sesuai.
Forum Mempertahankan Agama Minoriti adalah aktiviti tertutup kerana topik berkaitan agama minoriti mungkin dianggap sensitif bagi kelompok tertentu yang berminda tertutup dan takut pada bayang-bayang sendiri.
[caption id="attachment_3628" align="alignleft" width="300"]
Kejayaan” seminar di UiTM boleh juga dijadikan panduan bagi forum.[/caption]
Peserta mestilah berumur lebih 18 tahun dan mahu hadir atas kerelaan sendiri. Penyertaan hanya atas undangan penganjur bagi memastikan puak ultra kiasu, pelampau, fanatik, kurang cerdik, rasis dan seumpamanya tidak terlepas masuk ke forum ilmiah ini.
Orang ramai, wakil media, pemerhati atau sesiapa yang berminat untuk hadir wajib mendapatkan kelulusan penganjur dengan mengisi borang dalam talian (online).
Segala langkah berjaga-jaga ini penting – antara lain – demi “keperluan memelihara ketenteraman awam” serta memastikan forum itu nanti tidak disalah anggap mengandungi unsur hasutan.
Lebih teruk jika dituduh sebagai usaha menyebarkan agama minoriti kepada masyarakat awam (termasuk penganut agama Islam dalam lingkungan mazhab Ahlu Sunnah Waljamaah).
Kalau forum diadakan di Selangor, maka Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) 1988 perlu diambil kira, walaupun forum ini hanya bertujuan “mempertahankan agama minoriti” dan bukannya “menyebarkan agama minoriti”.
Sebelum forum bermula, pemudah cara akan mengingatkan para peserta bahawa tujuan forum tertutup itu diadakan bukan untuk dicurigai, memperkecilkan mana-mana agama dan bukan untuk menyerang pegangan dan kepercayaan penganut mana-mana agama lain.
Sebaliknya, forum ini adalah semata-mata bagi mempertahankan jati diri penganut agama minoriti di Malaysia dan memberi kefahaman kepada penganut agama minoriti yang diselubungi pelbagai kekeliruan seperti isu serangan, cabaran dan ancaman dakyah pihak luar.
Berdialog sambil memartabatkan bahasa kebangsaan
Istilah “dakwah” tidak digunakan dalam cadangan forum ini kerana bimbang kemungkinan ada puak kurang cerdik yang hanya tahu mengaitkan perkataan “dakwah” dengan agama Islam. Lalu, mungkin frasa “serangan, cabaran dan ancaman dakwah pihak luar” disalah tafsir sebagai “serangan, cabaran dan ancaman dakwah Islam”.
Sekiranya Forum Mempertahankan Agama Minoriti menjadi kenyataan, penganjur mungkin wajar membenarkan wartawan dan media membuat liputan. Untuk selamat, wartawan dan media juga perlu mengemukakan borang penyertaan untuk kelulusan sebelum hadir.
[caption id="attachment_3629" align="alignleft" width="275"]
Definisi “agama minoriti” akan dibiarkan agak longgar supaya bersifat inklusif.[/caption]
Kalau wartawan hadir dan membuat liputan, mungkin akan timbul pula persoalan bahawa kandungan forum itu tidak lagi bersifat “tertutup”. Sebagai individu yang pernah bekerja di bahagian editorial berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan akhbar Sinar Harian, tentulah perkara itu juga sudah saya fikirkan.
Sebarang siaran berita mengenai forum agama minoriti itu nanti adalah atas dasar etika kewartawanan dan tidak bertujuan mengganggu ketenteraman awam.
Apa-apa yang dilaporkan wartawan dan media adalah interpretasi berdasarkan etika kewartawanan dan tidak semestinya menggambarkan secara tepat kandungan forum serta apa yang benar-benar berlaku dalam forum.
Forum perlu dikendalikan dalam Bahasa Malaysia selaras dengan kedudukan bahasa ini sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa komunikasi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan.
Frasa dan istilah bahasa-bahasa lain boleh digunakan mengikut keperluan dan kesesuaian. Peserta yang mengemukakan soalan perlu diingatkan supaya menggunakan Bahasa Malaysia. Langkah ini sebagai usaha memartabatkan bahasa kebangsaan.
Peserta akan dibenarkan mengambil foto (atau selfie) serta membuat rakaman audio dan visual (jika mahu) untuk tujuan akademik, rujukan, penulisan atau untuk disebarkan kepada umum atas tanggungjawab sendiri.
Bagaimanapun, perlu diingat bahawa forum yang dijalankan itu adalah aktiviti tertutup (closed door forum). Segala perkara yang diperkatakan semasa forum tertutup adalah bersifat ilmiah, akademik dan penyelidikan; serta mungkin tidak mampu difahami khalayak umum.
Bayangkan jika forum tertutup ini dapat benar-benar dijalankan dalam skala kecil-kecilan pada 6 Julai 2014, genap dua bulan selepas seminar anti-Kristian di UiTM. Jika anda benar-benar berminat menjayakannya, hubungi uthayasb@yahoo.com.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Dilema MAIS terhadap saudara Kristian
Pendedahan Agenda Kristian (2014).
Buku berkenaan yang diterbitkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) diedarkan secara percuma kepada para peserta “Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.
Saya sudah selesai membaca Bab 5 (bab terakhir) dan ingin berkongsi pelbagai ilmu serta maklumat yang terkandung dalam bab berkenaan demi manfaat masyarakat pelbagai kaum, agama, etnik, mazhab dan kepercayaan di Malaysia.
[caption id="attachment_3525" align="alignleft" width="300"] Salinan buku diserah di IPD Shah Alam untuk membantu siasatan.[/caption]
Tambahan pula, pada 20 Mei 2014, selepas pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam untuk menyerahkan satu salinan fotokopi buku berkenaan bagi membantu siasatan polis di bawah Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan, saya singgah di pejabat MAIS di Seksyen 5, Shah Alam.
Saya mendapat pengesahan bahawa seminar di UiTM tempoh hari bukan acara tertutup seperti dikatakan sesetengah pihak, tetapi terbuka kepada umum. Buku berkenaan pula biasanya hanya diedarkan (secara percuma) semasa MAIS mengendalikan program seperti ceramah dan seminar.
Bagaimanapun, jika ada pihak yang berminat untuk mendapatkan buku tersebut (serta pelbagai bahan bacaan lain yang diterbitkan oleh MAIS), maka boleh sahaja mengemukakan permohonan menerusi surat rasmi dan pasti akan diberikan pertimbangan yang sewajarnya.
Bagaimanapun, memandangkan bahawa ramai yang menghubungi saya untuk mendapatkan maklumat berkaitan kandungan buku tersebut, eloklah saya berkongsi sebahagian daripada kandungannya di sini. Tambahan pula, buku itu sukar diperoleh di mana-mana.
Orang ramai juga boleh membaca makalah bertajuk “Benarkah ini agenda Kristian?” (Projek Dialog, 16 Mei 2014) dan “Buku MAIS boleh undang murtad” (Projek Dialog, 18 Mei 2014) yang turut membicarakan sebahagian kandungan buku ini dari beberapa sudut.
Bab 5 bertajuk “Cadangan Penyelesaian dan Tindakan untuk Menangani Agenda Kristian” dan dikatakan adalah “bab terpenting yang perlu diberi perhatian dalam memperkukuh kesatuan dan kekuatan pegangan umat Islam dalam menghadapi isu ini (agenda Kristian)” (halaman 109).
Sikap sebenar Kristian, menurut pandangan MAIS
Perkongsian ilmu, maklumat dan fakta daripada Bab 5 dirasakan amat perlu memandangkan MAIS dalam buku tersebut sudah mengakui bahawa “isu murtad di kalangan umat Islam di Malaysia telah sampai ke tahap kritikal malah dikhuatiri semakin bertambah setiap hari” (halaman 30).
Dinyatakan bahawa Hindu, Buddha dan Kristian “menjadi pilihan untuk dianuti oleh Muslim di Malaysia yang murtad” tetapi “hanya Kristian yang didapati paling aktif menggerakkan usaha misionari untuk menarik penganut agama lain khususnya Islam menganut agama tersebut” (halaman 34).
[caption id="attachment_3521" align="alignleft" width="300"]
Bekas paderi dan biarawati palsu diundang beri ceramah.[/caption]
Atas sebab itulah juga saya merasakan amat perlu untuk menyebar-luaskan kandungan Bab 5 buku Pendedahan Agenda Kristian kepada orang ramai. Saya tidak akan berpihak kepada sesiapa tetapi membiarkan pembaca membuat penilaian sendiri.
Harus diakui bahawa buku ini agak sukar diperolehi buat masa sekarang – susulan laporan polis pada 8 Mei 2014 serta pembukaan fail siasatan kes oleh IPD Shah Alam pada 16 Mei 2014.
Maka, saya akan membuat banyak petikan langsung daripada buku berkenaan tanpa ada sebarang niat melanggar Akta Hak Cipta dan hak moral MAIS selaku penerbit. Petikan kata demi kata (verbatim) juga bagi memastikan saya tidak terkhilaf atau tersalah tafsir maksud sebenar yang terkandung dalam buku.
Enam kesimpulan berkaitan “sikap sebenar Kristian” dipaparkan pada hujung Bab 1 (halaman 16) seperti berikut:
Nasrani (Kristian) adalah musuh Islam yang sentiasa berniat jahat serta memaparkan sikap negatif kepada umat Islam.
Nasrani (Kristian) adalah pembawa berita pendustaan dan mereka sentiasa berusaha menyelewengkan fakta tentang kebenaran ajaran Islam.
Nasrani (Kristian) akan berusaha sehabis mungkin untuk menimbulkan rasa sakit hati di kalangan umat Islam.
Jalan keluar dari usaha dakyah Nasrani (Kristian) ialah dengan berhujah kepada mereka mengenai kebenaran Islam di samping memantapkan keimanan kepada Allah dan Rasulullah SAW.
Umat Islam mestilah bersikap tegas dan berhati-hati terhadap Nasrani (Kristian) serta tidak taat dan tidak menjadikan mereka sebagai pelindung/pemimpin/penjaga.
Jika umat Islam alpa terhadap peranan hujah kebenaran dan ragu-ragu dengan Islam, mereka akan mudah terpengaruh dengan tipu daya Nasrani (Kristian).
Manakala Bab 5 pula secara langsung mengemukakan pelbagai cadangan bagi penyelesaian dan tindakan untuk menangani apa yang dilabelkan oleh MAIS sebagai “agenda Kristian”.
Evangelisme Kristian dituduh punca semua masalah
Sebagai langkah muhasabah diri, umat Islam diseru supaya “melihat realiti umat dalam menghadapi cabaran agenda Kristian” berdasarkan lima urutan berikut:
Kesedaran – Sejauh mana tahap kesedaran dan sensitiviti kita (umat Islam) dalam menghadapi isu ini (agenda Kristian)?
Minat – Setakat mana kesediaan kita untuk menjaga kesucian akidah umat Islam?
Kehendak – Pada tahap manakah kesungguhan kita untuk mempertahan kemuliaan agama Allah?
Tindakan – Apakah tindakan yang telah kita ambil untuk menyuburkan dakwah dan mencegah anasir yang cuba meruntuhkan (Islam)?
Susulan – Adakah kita bersedia secara proaktif untuk melakukan tindakan susulan bagi terus mempertahan kesucian akidah Islam?
Ringkasnya, tugas-tugas di atas perlu dilakukan dari dalam (kalangan umat Islam sendiri) tanpa perlu menuding jari menyalahkan pihak luar (“musuh-musuh Islam” khasnya orang Kristian). Sekiranya akidah dan keimanan sudah utuh dan kukuh, datanglah apa-apa cabaran, umat Islam di Malaysia akan tetap berdiri teguh.
[caption id="attachment_3524" align="alignleft" width="300"]
MAIS menyeru umat Islam sentiasa waspada dengan agenda Kristian.[/caption]
Apabila keimanan tidak kuat dan akidah tidak sempurna (iaitu masalah “dalaman” Islam dan bukannya masalah “dari luar”), barulah timbul beberapa isu seperti “mengiya dan sokong usaha musuh”, “tertipu dengan usaha musuh”, “meremeh usaha amar makruf dan nahi mungkar” serta “keliru dengan tindakan yang harus diambil” (halaman 110).
Walau bagaimanapun, buku Pendedahan Agenda Kristian masih tetap dengan “misi” dan “niat” mahu meletakkan beban kesalahan atas bahu “agenda Kristian” (halaman 110-111). Umat Islam ditanya apakah mereka masih mahu bersangka baik dengan gerakan evangelisme Kristian.
“Masih mahu membela evangelisme Kristian sedangkan Allah telah nyatakan mereka akan selama-lamanya tidak redha kepada orang Islam? Masih mahu berada di zon selesa dan yakin sepenuhnya tiada apa-apa yang mereka boleh lakukan?” Demikian antara pertanyaan kepada pembaca.
Pada halaman 112-118, dikemukakan “tindakan untuk menghadapi agenda Kristian” yang perlu dilakukan oleh Kerajaan Persekutuan, institusi agama Islam (peringkat persekutuan dan negeri), institusi pengajian Islam, politikus Muslim, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, gerakan belia, pendakwah Islam, umat Islam dan Individu Muslim.
Antara cadangan MAIS yang menarik perhatian saya adalah “mewujudkan dasar keharmonian antara Islam dan Kristian ke arah masyarakat majmuk yang harmoni” serta “meningkatkan elemen pendidikan seperti kempen dan program kepada masyarakat tentang kehidupan harmoni dalam masyarakat pelbagai kaum”.
Perlu sebar Islam kepada orang Kristian
Hal di atas tentulah selaras dengan pengakuan MAIS bahawa “penulisan buku ini bukan bertujuan untuk mengajak umat Islam membenci agama Kristian” (halaman vii) dan “kami umat Islam di Malaysia tidak mahu memusuhi penganut agama Kristian” (halaman 120).
Dalam pada itu, MAIS turut menggesa supaya “menggunakan pelbagai medium penyebaran seperti khutbah Jumaat untuk mendedahkan situasi sebenar masalah kristianisasi di kalangan umat Islam” serta “merangka modul pendidikan khas untuk sekolah agama berkaitan kesedaran kristianisasi”.
Selain daripada “menjalankan penyelidikan tentang cara terbaik menangani usaha kristianisasi ke atas Muslim”, institusi pengajian Islam juga disaran “melahirkan pakar-pakar dalam bidang dakwah kepada golongan Kristian”.
Tokoh ultra kiasu, Ridhuan Tee Abdullah menyatakan harapan agar “ada umat Islam yang boleh menyamar masuk ke gereja dan dengar apa yang dibincangkan” (Sinar Harian, 19 Mei 2014) kerana dia beranggapan orang Kristian tiada kerja selain menghina Islam.
MAIS pula menerusi buku Pendedahan Agenda Kristian meminta NGO Islam “melakukan risikan dan berdakwah kepada gerakan Kristian” serta “menjadi feeder kepada kerajaan dan institusi agama untuk menghadapi dakyah Kristian”.
[caption id="attachment_3523" align="alignleft" width="300"]
Penulis sempat berkunjung ke pejabat MAIS baru-baru ini.[/caption]
Sebagai kesimpulan (halaman 119-120), salah satu perkara yang diingatkan kepada umat Islam di negara berpenduduk majmuk ini adalah supaya “waspada dengan taktik, cubaan dan strategi gerakan evangelisme Kristian yang sentiasa tidak reda dan berusaha untuk menghancurkan Islam selagi umat Islam tidak mengikut jejak langkah mereka”.
MAIS ternyata “merasa terganggu oleh tindakan evangelis Kristian yang cuba memurtadkan umat Islam” walaupun “kami umat Islam di Malaysia tidak mahu memusuhi penganut agama Kristian” (halaman 120). Ada semacam dilema dan unsur ironi yang amat nyata.
Sewaktu berkunjung ke pejabat MAIS pada 20 Mei 2014, saya dimaklumkan bahawa buku Pendedahan Agenda Kristian agak sulit (sukar) diedarkan sekarang berikutan isu seminar anti-Kristian di UiTM yang sedang hangat dan masih dalam siasatan polis.
Dalam keadaan seperti itu, besarlah harapan saya bahawa makalah ringkas ini mampu membantu masyarakat memahami sebahagian kandungan buku berkenaan. Saya tidak mahu “menghukum” pada kali ini, sebaliknya menyerahkan kepada pembaca untuk mengemukakan pandangan balas.
Buku MAIS boleh undang murtad
salam (keamanan). Itu antara perkara paling asas yang diketahui dan diakui oleh semua pada peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, nampak gayanya, keadaan sedikit berbeza dalam konteks di Malaysia kerana sentiasa ada pihak tidak bertanggungjawab yang cuba mencemarkan kesucian dan keindahan Islam dengan memanipulasi nama Islam itu sendiri.
Dalam perkembangan terkini – dan masih hangat – adalah isu “Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada 6 Mei 2014.
Seperti yang saya tegaskan dalam laporan polis pada 8 Mei 2014, sebagai pengamal multifaith (percaya pada ajaran semua agama), saya membidas kandungan seminar itu yang dijadikan platform mempersenda ajaran Kristian dan penganut Kristian secara keseluruhan. Rujuk www.uthayasb.blogspot.com untuk maklumat lanjut.
Apabila saya berpeluang membaca buku Pendedahan Agenda Kristian (2014) terbitan MAIS, perasaan saya amat terganggu. Seperti yang saya nyatakan dalam makalah bertajuk “Benarkah ini agenda Kristian?” (Projek Dialog, 16 Mei 2014), saya berjaya mendapatkan senaskhah buku itu pada 15 Mei 2014 dan terus membacanya dengan penuh teliti.
Perasaan saya terganggu bukan sahaja kerana buku itu berciri anti-Kristian serta boleh diklasifikasikan sebagai bahan bacaan berunsur fitnah terhadap ajaran Kristian dan penganut Kristian.
[caption id="attachment_3495" align="alignleft" width="300"] Salah satu laman yang dipromosikan MAIS dalam buku ini.[/caption]
Selain daripada itu, saya terasa amat bimbang kerana buku itu khabarnya telah diedarkan secara percuma kepada peserta – majoriti Melayu-Islam – yang menghadiri (atau dipaksa menghadiri) seminar berkenaan.
Saya mempunyai alasan untuk berasa khuatir bahawa buku Pendedahan Agenda Kristian boleh menjadi pencetus, pemangkin dan penggalak kepada lebih ramai orang Melayu meninggalkan agama Islam (murtad; daripada kata “riddah” dalam bahasa Arab) dan memilih untuk memeluk agama Kristian.
Selepas saya dan Perzeus James membuat laporan polis (8 Mei 2014), kami berdua diminta pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam pada 16 Mei 2014 untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes.
Antara lain, kami menegaskan kepada pegawai penyiasat jenayah, Inspektor Rohaini Baharom, bahawa penganjur dan penceramah seminar itu perlu disiasat mengikut Seksyen 298 dan 298A Kanun Keseksaan kerana menggalakkan perpecahan, permusuhan, ketidak harmonian dan kebencian dengan menggunakan alasan agama.
Nampaknya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) juga perlu diminta segera mengkaji buku Pendedahan Agenda Kristian yang dikhuatiri menyelitkan “agenda” tersembunyi “memudahkan” orang Islam murtad!
Punca orang Melayu keluar Islam
Dalam pada Jakim dan KDN “meraikan kejayaan” mengharamkan novel Perempuan Nan Bercinta (2012) karya Faisal Tehrani hampir dua tahun selepas ia diterbitkan (dan khabarnya sudah habis dijual dan dibaca orang), jangan sampai buku “panduan untuk murtad” seperti ini terlepas daripada radar.
Sesungguhnya Pendedahan Agenda Kristian adalah sebuah buku yang berciri anti-Kristian, tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat, mengancam ketenteraman awam, berniat jahat, berunsur fitnah dan mengandungi anasir-anasir yang mampu menghancurkan keharmonian rakyat pelbagai kaum, agama, etnik, kepercayaan dan mazhab di Malaysia.
Seperti dinyatakan dalam buku itu sendiri, “tindakan memurtadkan umat Islam walau dengan apa alasan sekalipun adalah sesuatu perkara yang tidak wajar.” Anehnya, terdapat banyak unsur “galakan murtad” dalam buku ini sendiri!
“Isu murtad di kalangan umat Islam di Malaysia telah sampai ke tahap kritikal malah dikhuatiri semakin bertambah setiap hari. Gejala ini memberi gambaran kepada kita bahawa semakin ramai umat Islam telah terpesong daripada ajaran Islam sebenar selain kekuatan Islam di Malaysia semakin tergugat oleh pelbagai anasir dalaman atau luaran.”
Petikan di atas (daripada halaman 30 buku berkenaan) benar-benar merisaukan saya dan membuatkan saya khuatir akan kesan psikologi yang akan dirasai oleh generasi muda Melayu-Islam yang memiliki “kejahilan” dan “keinginan meneroka perkara baru” (halaman 31).
Sejak kecil hingga sekarang, saya tidak pernah membayangkan ada orang Melayu-Islam yang sanggup meninggalkan segala keistimewaan, kemewahan dan peluang khas yang dimiliki (seperti dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan) semata-mata kerana terpengaruh dengan “gelombang murtad” iaitu “gejala yang semakin menular”. Tambahan pula, murtad dikira sebagai jenayah berat dalam Islam.
Bagaimanapun, buku Pendedahan Agenda Kristian seolah-olah tampil “mengajar” pelbagai teknik dan taktik yang boleh ditangani untuk kekal murtad tanpa perlu kehilangan apa-apa kemewahan dan hak istimewa yang diperolehi sebagai Bumiputera dan Melayu-Islam.
[caption id="attachment_3494" align="alignleft" width="300"]
Kisah menarik bagaimana Jamaluddin menjadi paderi Melayu pertama.[/caption]
Buku ini turut mengakui wujud “kelalaian dan kelemahan jatidiri umat Islam” termasuk faktor-faktor luaran seperti “ujian kebendaan, kelemahan penguatkuasaan, desakan hidup, perkahwinan, kelemahan ummah” selain “usaha mubaligh agama lain”.
Orang Melayu yang ada “niat” untuk murtad mungkin tidak sanggup berbuat demikian selama ini kerana “Mahkamah Syariah mengharamkan seseorang Muslim keluar daripada agama Islam (murtad) berdasarkan peruntukan undang-undang Islam” (halaman 38).
Bagaimanapun, kalau mereka berpeluang membaca buku ini, saya khuatir, bimbang dan gelisah bahawa mereka akan mendapat “semangat baru”. Apa tidaknya! Buku ini “mengajar” apa yang pernah dan boleh dilakukan secara langkah demi langkah (step by step).
Diterangkan dalam buku ini (halaman 35) mengenai “kejayaan” Jamaluddin Osman @ Joshua Jamaluddin dilantik menjadi Paderi Melayu pertama di Petaling Jaya pada tahun 1987.
Kes-kes yang menaikkan semangat!
“Beliau pernah ditahan ISA. Tetapi pihak gereja, beberapa NGO, beberapa pemimpin politik dan Majlis Peguam pernah membantah dan mencabar kes berkenaan di mahkamah. Father Joshua Jamaluddin memiliki iras Melayu dan berpakaian seperti Melayu kini lepas bebas untuk menggerakkan program kristianisasi terhadap umat Islam.”
Harap maklum bahawa perenggan di atas bukan daripada sebuah buku dakwah mubaligh Kristian, tetapi daripada sebuah buku terbitan MAIS yang diedarkan secara percuma kepada orang ramai (Islam) semasa seminar anti-Kristian di UiTM.
Tidak mustahil bahawa “semakin ramai umat Islam (yang) telah terpesong daripada ajaran Islam sebenar” (halaman 30) akan berasa kagum membaca kisah kejayaan Father Joshua Jamaluddin yang “kini lepas bebas”. Mungkin mereka tidak pernah tahu mengenai perkara ini tetapi kini mereka sudah tahu secara jelas dan mendalam.
Jangan lupa bahawa “kempen Kristianisasi” ini bukan dilakukan mubaligh Kristian, sebaliknya menerusi sebuah buku terbitan MAIS. Sementara UiTM menganjurkan seminar anti-Kristian, MAIS pula seolah-olah mengambil peluang mengedarkan buku “panduan untuk murtad” kepada peserta yang terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah.
[caption id="attachment_3491" align="alignleft" width="300"]
Kes Lina Joy dan Nor Aishah boleh dijadikan “panduan” untuk murtad.[/caption]
Kes Lina Joy dihuraikan dalam bentuk isi-isi penting yang mudah dibaca dan difahami (halaman 36-41). Kalaulah saya seorang Melayu-Islam dan saya bercadang untuk murtad – tanpa “dipengaruhi” orang Kristian – maka banyak panduan berguna yang boleh saya pelajari dengan membaca buku Pendedahan Agenda Kristian.
Bayangkan bahawa saya (andaikan saya Melayu-Islam) seorang pelajar yang menghadiri “Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara” pada 6 Mei 2014 dan menerima senaskhah buku berkenaan yang diedarkan secara percuma oleh MAIS.
Ibu bapa saya pasti tidak menghalang saya membaca buku itu; malah mungkin berasa bangga melihat anak mereka sudah mula membaca buku-buku “agama” terbitan MAIS selepas menghadiri seminar anti-Kristian anjuran UiTM.
Kes Aishah Bokhari (halaman 42-46) mungkin akan menambah semangat dan keyakinan saya bahawa ada pelbagai pihak (NGO, peguam dan sebagainya) yang akan tampil “membantu” saya sekiranya saya memutuskan untuk meninggalkan agama Islam (murtad).
Pada halaman 47, dinyatakan bahawa salah satu kesan daripada kes Lina Joy dan Aishah Bokhari adalah “buka peluang kes baharu dan tambah keberanian yang telah murtad” walaupun mengikut hukum syarak, “pesalah murtad boleh dikenakan hukuman bunuh” (halaman 30).
Pada penelitian saya sebagai seorang pengamal media, “impak dan kesan ke atas umat Islam” seperti yang dikhuatiri itu sebenarnya turut dibawakan menerusi buku Pendedahan Agenda Kristian terbitan MAIS. Tambahan pula, buku ini ditulis menggunakan Bahasa Malaysia yang amat mudah dibaca dan difahami orang Melayu.
(Soal bahasa terpaksa diungkitkan di sini kerana terdapat kes buku tulisan Charles Darwin dan Karen Armstrong dalam versi Bahasa Inggeris dibiarkan tetapi terjemahan Bahasa Malaysia diharamkan oleh KDN di negara bertuah ini.)
Jakim, KDN elok siasat sebelum terlewat
[caption id="attachment_3492" align="alignleft" width="300"]
Buku ini wajar diteliti oleh Jakim dan KDN kerana mungkin boleh menyesatkan orang Islam.[/caption]
Memandangkan bahawa kini terdapat capaian internet di mana-mana, MAIS seolah-olah tidak lupa “membuka ruang dan peluang” kepada orang Melayu-Islam yang mungkin mahu mendapatkan lebih banyak maklumat dan “panduan untuk murtad” dari seluruh dunia.
Mereka hanya perlu mendapatkan beberapa pautan (link) yang dipromosikan dalam buku ini (halaman 48-52) untuk tahu bahawa mereka tidak sendirian dalam “perjuangan” mereka untuk meninggalkan agama Islam!
Malah, MAIS secara penuh licik memberikan pautan bagi sebuah laman “yang ditubuhkan untuk membela golongan murtad yang ingin melarikan diri ke luar negara setelah murtad”. Sekali lagi, harap maklum bahawa pautan itu bukan diberikan oleh “mubaligh Kristian” dan “musuh-musuh Islam”.
Melalui buku Bahasa Malaysia ini juga, saya (bayangkan bahawa saya orang Melayu-Islam yang tidak tahu Bahasa Inggeris) berjaya memahami sepenuhnya makna “evangelisme”.
Saya difahamkan – oleh MAIS – bahawa “agama Kristian adalah agama misionari, yang meletakkan statusnya sebagai agama universal. Ajarannya menetapkan bahawa agama ini mesti disebarkan ke seluruh umat manusia.”
Menerusi buku ini juga (halaman 58-59), orang Melayu mungkin menjadi amat kagum dengan semangat para penganut Kristian yang “perlu menyediakan prasarana misionari mubaligh seperti penyebar agama, bahan, sasaran fokus dan cara penyebaran.”
Pelbagai artikel berkaitan agama Kristian dalam Bahasa Inggeris diterjemahkan kepada Bahasa Malaysia untuk dimuatkan dalam buku ini sehingga mampu membuatkan pembaca Melayu-Islam (yang tidak tahu Bahasa Inggeris sekalipun) kagum dengan gerakan mubaligh Kristian yang amat profesional, tahan lasak dan intelektual.
[caption id="attachment_3493" align="alignleft" width="300"]
Pembaca akan lebih memahami dan kagum dengan gerakan mubaligh Kristian.[/caption]
Malah, dikemukakan pelbagai “penyamaran” yang boleh dimanfaatkan oleh orang Melayu yang sudah meninggalkan Islam dan memeluk Kristian secara senyap-senyap. Ada pelbagai idea yang mungkin tidak pernah kita terfikir selama ini. MAIS memang hebat, bijak dan licik dalam “menyampaikan maklumat berguna” berhubung perkara ini.
Ingat: Segala maklumat dan “panduan untuk murtad” itu bukan disebarkan kepada anda oleh orang Kristian dan “musuh-musuh Islam” tetapi oleh sebuah pertubuhan Islam. Dan saya mungkin dipersalahkan kerana melakukan pendedahan ini serta meluahkan kekhuatiran saya secara terbuka.
Buat masa ini, buku Pendedahan Agenda Kristian tidak diharamkan oleh Jakim dan KDN. Maka bayangkanlah bahawa orang Melayu-Islam bebas membacanya secara berani di tempat terbuka untuk mendapatkan “panduan untuk murtad”.
Perkara ini amat merisaukan saya. Besarlah harapan saya bahawa Jakim dan KDN akan menganggap makalah ini sebagai aduan rasmi daripada seorang rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, lalu mengambil tindakan sewajarnya bagi membendung gejala murtad dalam kalangan orang Melayu.