Syurga dicipta untuk memuaskan manusia yang padanya dunia tidak bermakna – Heine Kegelisahan Manusia Pada malam 04.06.2015, kelihatan bulan begitu terang memancari langit gelap yang terbentang luas, pemandangan yang sungguh indah. Tak sangka esoknya, Gunung Kinabalu digegarkan gempa bumi dengan magnitud 6.0 dan gelombang riaknya terasa hingga ke sekitar Kota Kinabalu. Adakah semalam itu cahaya gempa? Gempa yang telah menyebabkan: (i) kehilangan 18 nyawa (ii) kebingungan, kerisauan 167 pendaki terperangkap — terselamat semuanya dengan kekuatan kasih para malim (jurupandu gunung) (iii) kemarahan rakyat Sabah terhadap yang kurang ajar (termasuk penjawat am dan pelancong telanjang); dan kini (iv) tanah runtuh, perubahan permukaan bumi dan banjir lumpur di kawasan kaki Gunung Kinabalu. Kali terakhir saya mendaki gunung Kinabalu ialah pada 31hb Mei pada pesta Kaamatan tahun lalu. Mendaki bersama sekumpulan orang muda dari Kg. Terian, Ulu Papar, untuk: (i) bersolidariti dan mengibarkan banner “Save Ulu Papar” kerana kampung mereka kini sedang diancam oleh cadangan pembinaan empangan Kaiduan; dan (ii) menjadi sukarelawan pemungut sampah sarap sepanjang perjalanan yang dibuang oleh pendaki-pendaki semasa ingin mencapai ke puncak gunung Kinabalu. Selain daripada dua tujuan diatas, ada lagi satu tujuan peribadi untuk ke gunung. Iaitu sebagai satu perjalanan rohani, untuk mengabdikan diri dengan ciptaan sambil berdiskusi dengan alam yang lirih. Kita adalah Bumi Walaupun sudah setahun lalu naik gunung, masih segar dalam ingatan saya apa rasanya di puncak. Ia memberi saya suatu perasaan kagum dan misteri. Setiba dipuncak, terdapat satu pemandangan yang selalu diabaikan, iaitu pemandangan ruang kosong yang sangat banyak dan sangat luas. Memandang dari atas ke ruang kosong yang luas terbentang, saat itu saya merasakan ada satu kehidupan yang tidak terungkapkan dan sukar dijelaskan. Sambil menghirup udara segar, terasa hanya ingin tinggal dalam realisasi tersebut dan merasakan bagaimana ia bermanifestasi dalam diri ini secara sedar. Melihat keindahan ibu bumi adalah penting untuk pertumbuhan advokasi kita terhadap ekologi. Kerana biasanya kita akan melindungi benda yang kita cintai. Dan selalunya kita cinta kepada apa yang cantik, seperti planet bumi yang saya katakan tadi. Akan tetapi, bagaimanakah kita mampu melihat kecantikan planet ini kalau kita tinggal di dalamnya? Seperti juga, seseorang tidak akan dapat melihat gambarnya sendiri kalau dirinya berdiri didalamnya. Maka, kita belum melihat keindahan sebenar ibu bumi kita, kalau kita masih menganggap kita dan bumi adalah dua mahkluk yang berbeza. Pada tahun 1968, angkasawan Apollo 8 berjaya mengambil gambar bumi yang pertama dari bulan. Dengan tersebarnya gambar bumi tersebut, ia membangkitkan gerakan global alam sekitar yang membawa kepada pelancaran Hari Bumi pada tahun 1970. Dan pada 1972, angkasawan Apollo 17 telah berjaya menghasilkan gambar bumi yang lebih jelas. Gambar tersebut telah menyebabkan satu kesedaran baru bahawa ekosistem bumi dan umat manusia adalah saling berkaitan dan membentuk satu entiti. Dan ini bermakna kelangsungan hidup manusia bergantung kepada sistem planet ini. Para angkasawan yang melihat bumi dari luar untuk kali pertamanya tidak melihatnya sebagai satu benua atau lautan dari jarak yang jauh, tetapi melihat ke dalam ruang angkasa, dan melihatnya secara keseluruhan. Pertama kali, melihat planet biru terapung yang membawa kehidupan kecil di dalamnya dan tanpa sempadan. Tidak hairanlah mengapa Alvina berkata dan saya mengiyakannya,“Ia seperti berada dalam tubuh yang sama dan satu bahagian yang cedera. Itulah yang saya rasa.” Apabila Gunung Kinabalu sakit seluruh penghuni berdekatan juga jadi sakit. Amaran kepada Manusia Di mana sahaja saya pergi, semua orang akan bercakap mengenai bencana ini seperti ia hanya berlaku di sana dan bersikap “Ah alangkah kasihannya mereka, marilah kita memberi bantuan dan teruskan berdoa”, kemudian keesokan harinya masih terus membuang sampah merata-rata tempat. Tiada orang tanya soalan seperti yang pernah diutarakan oleh Marvin Gaye dulu, “What’s going on?” Menurut Lindu, “Ranau merupakan satu amaran kepada kerajaan dan rakyat Malaysia untuk merenung dan melihat kembali kepada keadaan pembangunan yang telah berlaku. Pembinaan kawasan perumahan konkrit dan pusat membeli belah semakin pesat.” Pemahaman keterbelakangan yang mencadangkan bahawa manusia “…penuhkan bumi, dan takluklah, berkuasalah ke atas semua alam di bumi…” (Kej 1:28) telah meletakkan penekanan yang lebih kepada keunikan manusia daripada keutuhan ciptaan yang saling melengkapi. Dimana manusia dipuji sebagai mempunyai ketinggian akal daripada makhluk bumi yang lain kerana, “manusia dicipta seiras dengan wajahNya” (Kej 1:26). Pemikiran yang bersifat antroposentrik menyatakan bahawa makhluk lain tidak termasuk dalam “rencana keselamatanNya”. Pemahaman bersifat antroposentrik ini, menolak rangka kesamarataan dan memihak kepada cara pandang yang meletakkan ciptaan di hierarki paling bawah. Ini disahkan apabila keulungan manusia diperbesarkan dengan “Tuhan Allah mengambil manusia dan menempatkanya dalam taman Eden untuk mengusahakan dan memelihara taman itu (Kej 2:15).” Jadi, manusia dengan tanggapan yang kononnya dia ‘dipilih Tuhan’, menganggap bahawa mereka mempunyai panggilan untuk “menguasai/memerintah” makhluk yang lain dan menakluk bumi (Kej 1:26 + 28). Maka, cara fikir Aristotle ini telah menggalakkan eksploitasi yang tidak terkawal dan meletakkan manusia sebagai yang dominan dan membinasa bumi. Cinta kepada Kehidupan “Tinggi-tinggi Gunung Kinabalu, Tinggi lagi sayang sama kamu”, begitulah nyanyian penyanyi tempatan Kimin Mudin yang terasa begitu bermakna sekali. Kini lebih bermakna, kerana setiap kali mendengarnya pasti terkenang kembali pendaki-pendaki dan malim gunung yang menjadi korban. [caption id="attachment_4825" align="aligncenter" width="489"] Gambar: Channel News Asia[/caption] Bukan itu sahaja, malim-malim gunung ini juga diisytiharkan sebagai wira. Merisikokan nyawa dan badan mereka untuk menyelamatkan pendaki-pendaki yang terperangkap di puncak Gunung Kinabalu. Robbi – terkorban apabila batu menimpa kepalanya, walau dalam kesakitan dan kesengsaraan beliau menjerit kepada para pendaki untuk teruskan perjalanan, sementara menunggu penyelamat yang tak sempat kunjung. Joseph – terkorban apabila ditemui dibawah runtuhan batu dalam keadaan dia jadikan tubuhnya sebagai perisai kepada dua pendaki. Valerian dan Ricky – terkorban ketika mereka sedang bersama pelajar TKPS di trek “via ferrata” di kawasan gunung yang lebih terbuka dan terdedah kepada runtuhan bongkah batu. Robbi Sapinggi, Joseph Solugin, Valerian Joannes dan Ricky Masirin dalam pekerjaan mereka telah memberikan nyawa sebagai tebusan kepada pendaki lain, supaya yang lain boleh hidup. Seperti dalam Yohanes 15:13, “Tidak ada kasih yang lebih besar daripada kasih seorang yang memberikan nyawanya untuk sahabat-sahabatnya.” Maka ramailah yang kagum, hairan, teruja dengan kebaikan para malim yang telah terkorban, dan juga para malim yang telah menyelamatkan. Banyak yang masih tidak percaya wujudnya orang-orang yang tiada keraguan diri, di zaman moden yang bersifat individualistik dan pentingkan diri sendiri kini. Charlene Burns (2006) membuat cadangan berani dan mengatakan bahawa altruisme yang kita perhatikan itu adalah satu manifestasi kuasa Tuhan yang terlaksana melalui ciptaan. Sifat altruisme, kerjasama (gotong-royong), dan saling kebergantungan yang lebih luas dengan jaring-jaring kehidupan memberi kita kesedaran bahawa kehidupan alam dan kehidupan roh adalah saling berkaitan. Walaupun kita merasa sedih dengan kehilangan nyawa muda, ibu bumi mempunyai rencana lain, ia memeluk mereka. Semoga roh jiwa mereka tenang dan menjadi mata-mata yang menjaga pendaki di masa hadapan. Spiritualiti Orang Asal Antara peristiwa yang dikaitkan dengan gempa bumi adalah pelancong asing yang dikatakan tidak menghormati “semangat gunung” dengan berbogel di puncak. Gambar mereka yang tersebar di internet telah menyebabkan kemarahan rakyat Sabah. Dan ini menimbulkan banyak reaksi berbeza daripada pelbagai lapisan masyarakat. [caption id="attachment_4826" align="aligncenter" width="514"] Gambar: The Star[/caption] Orang tempatan menyalahkan “pembogel” tersebut kerana mengundang kemarahan Aki Nabalu. Maka, banyaklah ‘pembogel’ sebenar yang mengatakan bahawa kepercayaan adat tersebut adalah kepercayaan kuno, primitif dan melanggar ajaran agama. Merekalah ‘pembogel’ yang sebenar kerana, kemanusiaan telah hilang akibat ditelanjangi prasangka dan prejudis terhadap agama tradisi ataupun spiritualiti Orang Asal. Dalam proses pembesaran saya dalam iman katolik, saya diajar bahawa pagan itu sesuatu yang negatif dan harus dibuang kerana “kita sudah Kristian”. Persoalan, bagaimanakah mampu kita fahami spiritualiti yang lebih lama dari kewujudan bumi sendiri. Umur alam semesta 13.7 bilion tahun, planet bumi dalam lingkungan 3.8 bilion tahun, kehidupan ialah 2 bilion, dan kewujudan manusia di bumi hanya dalam 7 juta tahun. Juga munurut Santo Thomas Aquinas, “Jika kita tidak memahami penciptaan dengan betul, kita tidak boleh berharap untuk memahami Tuhan dengan sebenarnya.” Jadi, saya percaya bahawa spiritualiti mendahului agama formal dengan beberapa tahun. Bukan itu sahaja, Persidangan Uskup Katolik Malaysia, Singapura dan Brunei mengatakan, Gereja harus belajar dan berdialog dengan agama lain. Antaranya ialah, Gereja boleh belajar tentang penghormatan dan penghargaan terhadap alam sekitar dan kesyukuran tuaian dari Animisme. Dan kebanyakan agama tradisi Orang Asal berasal dari kepercayaan anismisme, yang setiap ciptaan di bumi ini mempunyai semangat yang mesti dihormati agar semangat itu tidak menggangu manusia. Menarik sekali apabila Huguan Siou kita mengenakan sogit (denda) terhadap pelancong tersebut kerana menyebabkan kemarahan semangat gunung. Tapi mengapa dia tidak berbuat apa-apa untuk mengelakkan kemarahan semangat hutan di Ulu Papar. Bukankah kawasan Ulu Papar juga suatu ruang suci, kerana peranannya sebagai kawasan tadahan air untuk pantai barat Sabah dan untuk semua nilai-nilai yang tidak boleh dibayar dengan wang ringgit. Laudato’ Si Pada khamis lalu, Paus Fransiskus telah melancarkan ensiklik (pesanan kepada semua Katolik) yang ditunggu-tunggu dunia dan menyeru untuk “pemuliharaan ekologi”. Antara perkara-perkara penting dalam ensiklik yang bertemakan perubahan iklim itu ialah: (i) perubahan iklim adalah benar dan ia kini bertambah teruk; (ii) manusia adalah penyumbang terbesar kepada peubahan iklim ini; (iii) perubahan iklim memberi kesan yang besar kepada golongan miskin; (iv) individu boleh dan harus membuat sesuatu, tetapi ahli politik mempunyai tanggungjawab dan perlunya kebangkitan untuk perubahan struktur dan polisi; dan (v) kita masih mempunyai harapan untuk melakukan yang terbaik untuk alam dan bumi kita. Fr. Jojo M Fung dalam renungannya merumuskan surat Paus Fransiskus yang bertajuk Laudato Si’: On Care for Our Common Home. Beliau mengatakan bahawa ensiklik tersebut, “membuka hati kita supaya mempunyai keinginan untuk menikmati kehadiran mistik Allah. Cinta kasih Tuhan dialami, disebarkan dan menghidupkan aktiviti dalam ciptaan, di mana mereka yang miskin berjuang untuk menemukan tempat dalam rumah kita bersama.” Sama juga apabila kita menghadiri perayaan Ekaristi di mana, roti dan anggur yang dipilih oleh Yesus Kristus disetiap perayaan Ekaristi mengikat perayaan Ekaristi seluruh ciptaan dan ciptaan yang dipercayai untuk melindungi umat manusia. Roti yang menjadi tubuh Kristus itu merupakan hasil daripada tanah yang tidak dicemari. Anggur yang diubah kepada darah Kristus juga melambangkan transformasi ciptaan untuk memenuhi keperluan generasi masa kini dan yang akan datang. Air yang bersatu dengan wain anggur melambangkan persatuan dalam Kristus yang bersifat manusia dan Kristus yang bersifat ilahi, yang menandakan serta memuaskan hati kita yang dahagakan Tuhan dan ‘air hidup yang kekal’ (Yohanes 4:14). Advokasi terhadap Ekologi Setiap kali bumi dikorek untuk pembangunan yang tidak lestari, maka setiap kali itulah ibu bumi hilang daya tahannya untuk melindungi umat manusia. Melihat video-video banjir lumpur di Sg. Liwagu baru-baru ini, pokok-pokok besar dengan senangnya tumbang dan menyebabkan rakyat di Ranau, Kota Belud dan sekitarnya mengalami masalah air bersih dan memberi ketidaktentuan dalam kehidupan seharian. Harus tidak dilupakan, daerah Ranau merupakan lokasi kepada projek perlombongan terbesar di Malaysia, Mamut Copper Mine, sebelum ia berhenti beroperasi pada tahun 1999. Kemuncak aktiviti perlombongan ialah di mana Ranau “membangun”, syarikat lombong membina jambatan melintasi Sg. Liwagu, dan pembinaan Ranau Golf Course. Dan jika anda pergi ke Ranau sekarang, ia sudah semakin panas dan di Bundu Tuhan pula banyak bangunan tinggi untuk pelancongan. [caption id="attachment_4831" align="alignleft" width="300"] Banjir di Ranau. Gambar: The Rakyat Post[/caption] Kini terdapat satu lagi cadangan pembunuhan ibu bumi di kawasan Ulu Papar. Ulu Papar yang bersempadan antara Penampang dan Papar, dihuni lebih daripada 1,400 penduduk Orang Asal Dusun. Jika meja mesyuarat yang berberhawa dingin dengan goresan pen meluluskan pembunuhan itu, maka mereka akan menghadapi raksasa yang bernama empangan Kaiduan. Bukan sahaja 1,400 penduduk itu yang akan merasakan, namun kita semua pun akan menjadi korban diatas pembangunan yang tidak lestari ketinggalan zaman itu. Menurut Paus Fransiskus dalam ensiklik terbarunya, “adalah penting untuk memberi perlindungan istimewa kepada komuniti Orang Asal dan juga budaya tradisi mereka. Mereka bukan sahaja antara kumpulan minoriti, tetapi harus berdialog bersama sebagai rakan-kongsi utama, terutamanya apabila projek besar dicadangkan yang akan menjejaskan tanah mereka. Untuk mereka, tanah bukan satu komoditi tetapi suatu hadiah, pemberian atau kurnia dari Tuhan dan daripada nenek moyang mereka yang beristirehat disana, suatu ruang suci untuk mereka supaya boleh berinteraksi / meluahkan diri untuk mengekalkan identiti dan nilai-nilai budaya mereka. Apabila mereka menghuni sebuah kawasan, merekalah pelindung dan pemelihara yang terbaik. Namun, banyak tempat di serata dunia memberi tekanan kepada mereka supaya meninggalkan tanah air mereka untuk membuka ruang kepada projek-projek pertanian atau perlombongan yang dilakukan tanpa memberi perhatian kepada kemusnahan alam semula jadi dan budaya.” (no. 146) Sebagai individu, marilah kita melakukan perubahan budaya, tukar cara hidup kita yang terlalu hedonistik dan konsumeris. Permintaan kepada barang pakai buang yang banyak di pasaran melukakan komuniti yang jauh, di mana tanah mereka dirampas untuk membuat kilang-kilang supaya barang yang anda inginkan itu boleh dijual. Kesengsaraan ibu bumi 30 tahun lalu, akan dirasai oleh generasi masa akan datang, dan kita sedang mengalaminya sekarang. Sebagai refleksi kita hari ini, marilah dengarkan lagu “Colors of the wind” dari filem Pocahontas.
]]>Searching for Malaysia’s migration narrative
By Yvonne Tan #MigranJugaManusia is a hashtag that began as an online protest against the mass arrests of migrants placed under Enhanced Movement Control