Bahagian kedua penterjemahan temubual BFM Night School bersama Professor Ebrahim Moosa, ahli fikir Islam terkemuka masakini. Dicatat dan diterjemah oleh Hamizah Hanan. (Klik link ini untuk bahagian pertama perbincangan.) F.R: Saya bersetuju apabila prof menyebut tentang terdapat suatu masa di mana sikap optimistik itu seolah-olah diharamkan. Terutamanya apabila ada warga Malaysia sanggup untuk bersama dalam usaha yang jarang dilakukan untuk merapatkan jurang antara Islam dan moderniti. Sehinggakan ianya telah terhalang dan berubah arah ke suatu jalan yang tiada siapa ingin lalui. Terutamanya sekarang ini, dengan pimpinan negara sepertimana yang Prof sebutkan adalah dalam keadaan yang sangat merisaukan. Saya ingin menyimpulkan diskusi ini dengan perbincangan tentang pendidikan dan perundangan bersama buku tulisan Prof yang bakal diterbitkan pada bulan Mac tidak lama lagi iaitu berkenaan dengan Madrasah. Betul? Tajuk penuhnya apa ya? E.M: ‘What Is a Madrasa?’ F.R: Saya fikir Muslim zaman ini terutamanya yang berada di persimpangan perjalanan yang kompleks dan moden ini tertanya-tanya. Apakah cara yang terbaik untuk kita mendidik generasi Muslim yang baru? Terutamanya mereka yang celik media dan bersikap sentiasa ingin mencuba serta lebih banyak terdedah kepada permasalahan yang rumit. Selain itu sekarang ini, Prof juga boleh perhatikan bahawa terdapat banyak sekolah agama swasta yang dibina dan banyak aduan dibuat tentang kerisauan para ibu bapa berkenaan adakah pendidikan Islam yang terdapat dalam kurikulum kebangsaan ini adalah betul-betul menepati piawaian Islamik atau tidak dan sebagainya. Apa pandangan umum yang boleh Prof kongsikan daripada pengalaman Prof sendiri mempelajari dan mengkaji bidang pendidikan agama Islam ini? E.M: Buat pengetahuan kamu, apa yang kebanyakan orang maksudkan sebagai Islamik adalah mereka fikir ianya mesti mempunyai pelbagai pengkhususan tertentu dan ianya sangatlah kaku. Sedangkan itu bukanlah Islamik. Islamik adalah kecemerlangan dan kecemerlangan adalah Islamik. Dalam suatu kisah nabi yang terkenal di mana beliau ditanyakan tentang ‘apa itu ihsan?’. Kemudiannya, beliau menjawab Ihsan adalah sebuah perkataan yang memberi maksud kecantikan dan kecemerlangan. Ia membawa maksud sesuatu yang cantik dan mempunyai pengertian yang tertentu iaitu kesempurnaan. Jadi pada masa itu, nabi telah ditanya apakah pengertian Islam, iman dan ihsan. Nabi juga menjawab dengan cara, ihsan itu adalah apabila kamu menyembah Tuhan seolah-olah kamu melihatnya serta kamu juga mengetahui bahawa Tuhan melihat kamu. Inilah yang dikatakan dengan intipati kecantikan dan kecemerlangan. Ihsan, Islam dan syariah, teras utamanya adalah makarimul akhlak iaitu pembangunan peribadi. Sistem pendidikan menjadikan anda berfikir bahawa anda lebih baik daripada yang lain. Sistem pendidikan sebegini tidak mengajar kita tentang nilai kemanusiaan yang perlu ditekankan untuk mencipta kecemerlangan dalam pembentukan peribadi seseorang. Ianya sangat bertentangan. Sistem pendidikan tidak menerapkan rasa cinta akan ilmu pengetahuan, tidak menerapkan semangat untuk memahami bahawa ilmu pengetahuan adalah sebuah barang yang telah hilang bagi individu yang beriman. Sesiapa yang menjumpainya, dialah yang paling berhak menggunakannya. Apa yang dimaksudkan dengan Islam adalah berkaitan dengan kajian, percubaan dan eksperimen. Cuba anda fikirkan bagaimana orang Arab padang pasir, bila mana mereka meninggalkan semenanjung Arab, keluarga mereka, Iraq dan Syria? Anda fikirkan, agaknya bagaimana mereka berhadapan dengan legasi Byzantine dan legasi Parsi? Mereka tidak hanya berkata-kata untuk kekal dengan sejarah Mekah dan Madinah sahaja. Malah, mereka cuba meneroka dan mempelajari ilmu pengetahuan yang baru. Dan orang-orang Muslim ini bersungguh-sungguh. Mereka berusaha untuk mencapai kecemerlangan. Orang Parsi menulis tatabahasa Arab, dan ada yang menulis berkenaan falsafah. Al-kindi merupakan ahli falsafah Arab yang pertama. Banyak pusat-pusat intelektual terbentuk pada waktu itu. Semuanya berkaitan dengan eksperimen atau percubaan. Tiada siapa yang berkata ‘Ok, anda perlu berhati-hati sebelum mempelajarinya’. Anda yang menggunakan ilmu pengetahuan tersebut dan anda boleh meletakkan tepi perkara-perkara yang dirasakan tidak dapat diselesaikan atau tidak membantu. Tetapi yang penting adalah, anda tidak perlu berasa takut dengan ilmu pengetahuan. Jadi, apa yang saya fikirkan berlaku bukan sahaja di Malaysia, malahan di banyak tempat di dunia adalah berkenaan pertumbuhan pusat pendidikan swasta. Sering kali, pusat pendidikan swasta ini digunakan sebagai suatu jalan untuk melepaskan diri daripada sistem persekolahan awam semasa. Mereka mungkin berfikir bahawa sekolah awam boleh membahayakan atau terdedah dengan pelbagai adat serta budaya dan bagi mereka, mereka ingin mengekalkan tradisi Islam yang sebenar. Jadinya, mereka bina sekolah swasta. Sebahagian daripda sekolah agama awam ini adalah sangat bagus. Mereka mempunyai pelbagai pengalaman dan telah membuat kajian yang banyak. Bila mana mereka menekankan tentang pembentukan identiti, mereka sedar bahawa ini bukanlah matlamat sekolah, tetapi ini adalah berkenaan dengan ilmu pengetahuan. Sedikit sebanyak mereka telah berubah dan melahirkan pelajar-pelajar yang sangat bagus dan cemerlang. Sekolah agama awam yang dikatakan teruk itulah sekolah yang mahu untuk menyumbang kepada pembinaan jati diri pelajar mereka. pendidikan adalah berkenaan dengan pembangunan minda dan pemurnian jiwa. F.R: Apa pula reaksi prof kepada yang mengatakan bahawa permasalahan asal bukanlah pada sistem pendidikan itu sendiri. Tetapi, mentaliti dan pemilihan dalam berfikir itu sendiri yang merasakan perasaan tidak selamat yang semakin berkembang dan bermutasi di sebabkan oleh imperialisme, budaya dan ketenteraan. Terutamanya di kawasan Asia Selatan contohnya, di mana mereka sering berhadapan dengan permasalahan ini. Ini adalah suatu yang amat memalukan kita semua. E.M: Penjajahan ketenteraan adalah suatu masalah. Kita perlu sentiasa melawan, menentang dan sebagainya. Tetapi kita harus buang yang keruh dan ambil yang jernih. Jadi, jika pihak penjajah berbahasa Inggeris, adakah kita mahu menggunakan bahasa yang lain? Semestinya tidak. Kita perlu menggunakan bahasa Inggeris supaya kita mampu berkomunikasi dan berinteraksi dengan baik. Ini adalah halangan sementara. Jangan kita terlibat dalam suatu perbalahan atau dendam yang akan meyakitkan diri kita lebih daripada ianya menyakiti orang lain. Kadang kala sesetengah orang mengambil pandangan yang sangat epik daripada sisi pandang yang amat sempit dan berkata ‘kita akan melawan perkara ini habis-habisan.’ Tanpa menyedari bahawa sebahagian daripadanya adalah penjajahan budaya. Cuba perhatikan, sebelum berlakunya perubahan globalisasi secara keseluruhan, waktu itu masih terdapat pusat penyebaran berita utama. Hari ini, itu semua sudah tiada. Kita berada pada era globalisasi teknologi, bermakna anda mempunyai iPad, iPhone, Twitter dan mempunyai capaian kepada internet dan sebagainya. Tidak ada penyampaian berita utama secara berpusat. Jadi, jika anda berfikir untuk melakukan hegemoni dan penjajahan budaya, ianya sukar untuk berjaya. Pimpinan persekutuan yang melakukan penyebaran propaganda akan menjadi kurang berkesan sepertmana yang berlaku semasa kebangkitan Arab. Di mana rakyatnya membaca Twitter dan media sosial yang lain. Jadi bagi saya, ianya suatu perkara yang dibesar-besarkan. Isunya adalah, adakah kita mahu melahirkan manusia yang berbakat? Yang akan menjadi aset kepada umat manusia. Ataupun kita hanya ingin menghasilkan manusia yang akan berkhidmat kepada kawasan perumahan mereka sahaja? Atau manusia yang hanya tahu 2 blok sekitar rumah mereka sahaja? Mereka ini tidak akan berkembang maju di dunia. Ini kesan jangka pendek daripada sudut ekonomi. Daripada pandangan sosial pula, adakah kita mahu melahirkan manusia yang berkeyakinan? Perasaan tidak selamat adalah disebabkan oleh kurangnya keyakinan dalam diri dan ini adalah disebabkan oleh kurangnya ilmu pengetahuan. Sebaik sahaja anda terdedah kepada kerumitan dan kompleksiti dunia, anda akan membina keyakinan diri pada masa yang sama. Salah satu masalah utama yang saya dapati dalam kalangan belia Islam adalah kurangnya keyakinan diri, ketidak upayaan untuk menyatakan diri mereka dengan jelas, tidak mampu untuk berkomunikasi dengan baik dan banyak lagi. Bila pulang ke rumah keluarga nanti, cuba anda bercakap dengan anak-anak anda. Mereka hanya akan memberikan jawapan yang berbentuk monosilibus (satu patah perkataan) sahaja kerana mereka sentiasa menggunakan Twitter dan melayari internet hampir sepanjang masa. Mereka tahu untuk melakukan itu. Mereka mampu untuk menulis dengan baik. Namun, bukannya pada komunikasi. Jadi, kita perlu mengajar mereka kemahiran berkomunikasi dengan baik. Kita perlu menggunakan media sosial supaya ia memberi kelebihan kepada kita, iaitu untuk memupuk kehalusan jiwa dan pembinaan minda yang baik. Jadi, cabaran kepada mereka di bidang sosial ini adalah bagaimana untuk mencipta suatu teknologi di mana teknologi inilah yang digunakan oleh kanak-kanak hampir 80-90 % di media sosial. Mencipta sebuah permainan yang menggalakan dan menarik untuk memikirkan tentang pembinaan peribadi yang baik. Berbanding mencipta permainan berkenaan aksi tembak menembak dan membunuh sepanjang masa. Apa kata mereka membuat sesuatu permainan yang kompleks yang mampu mengasah minda dan membuatkan jiwa mereka memahami apa yang dimaksudkan dengan kecantikan. Mungkin, kita boleh memperkenalkan cerita–cerita ar-Rumi, cerita penghafaz al-Quran dan mungkin penceritaan tentang sejarah Melayu. Bawakan mereka kesemua cerita dan sejarah itu ke dalam media sosial. Anda mempunyai orang-orang yang amat berbakat di negara anda untuk mencipta permainan kompleks yang menarik. Dengan hanya menggunakan internet untuk merangsang perkembangan otak kanak-kanak ke arah tahap pemikiran yang lebih tinggi. Hanya mengunakan sesuatu yang seluruh dunia mengatakan ianya sia-sia. F.R: Betul tu. Teknologi yang ada sekarang, mengapa tidak kita gunakannya dengan cara yang betul dan ke arah yang benar. E.M: Tetapi, cuba anda lihat, untuk menggunakannya dengan cara yang betul, anda perlu berfikir di luar kotak. Satu masalah yang pada kebanyakan orang adalah mereka boleh mendapatkan keputusan peperiksaan yang tinggi. Namun, tidak semua bersikap inovatif. Inovasi berlaku bila mana kita digalakkan untuk berfikir secara luar kotak. Inovasi bermula daripada rumah. Ibu bapa boleh membantu dengan menanyakan soalan kepada anak-anak mereka. Contohnya, mereka bukan sahaja bertanyakan apa yang anak-anak mereka pelajari di sekolah. Tetapi, membantu anak-anak berfikir dengan cara ‘Mengapa tidak kamu lakukan dengan cara yang ini atau cara yang lain?’. Dengan cara ini, sedikit sebanyak membantu anak-anak untuk berfikir di luar kotak. Jika tidak, semuanya berfikir dengan cara yang sama dan akhirnya tiada inovasi yang akan berlaku. Inovasi bermakna kita memberi peluang untuk berkata ‘Ok, kamu tidak terbatas dengan bagaimana cara saya melakukannya. Kamu boleh melakukannya dengan cara kamu sendiri. Beri peluang anak-anak ini untuk berbuat demikian di makmal serta di dalam kelas supaya semuanya tiada pemikiran yang beku. Ini akan membuka peluang-peluang yang lain. Seingat saya salah satu cara yang saya lakukan untuk menjadikan diri saya lebih kehadapan daripada rakan-rakan yang lain adalah ke mana sahaja saya pergi untuk menuntut pendidikan tradisional ini, saya tidak pernah berasa puas hati dan cukup dengan apa yang mereka ajarkan. Jadinya, saya sering mengalami pergolakan dan membaca bahan-bahan selain yang terdapat dalam kokurikulum. Lebih banyak perkara yang saya temui, inilah yang banyak membantu saya. Tetapi pemikiran yang beku adalah merupakan jalan akhir kepada inovasi. F.R: Bercakap tentang pencarian di luar, terdapat juga kecenderungan dalam kalangan golongan liberal di bandar untuk memandang pemikiran secara tradisi ini ataupun pendidikan tradisional merupakan suatu pemikiran yang sudak lapuk. Model pemikiran yang mereka anggap sesuatu yang tidak lagi boleh digunakan. Apakah mereka tersilap faham ataupun terlepas pandang hingga menyebabkan mereka mempunyai pandangan sebegitu, terutamanya jenis sikap moden yang sombong? E.M:Dalam buku saya yang bertajuk ‘What is Madrasah’, saya ada kongsikan pengalaman saya sendiri bagaimana saya belajar di madrasah dan apa yang saya temui di sana. Pada mulanya, saya fikir ‘Ini adalah apa yang saya pelajari di sana. Jadi adakah ianya bernilai?’ Hanya kemudian, baru saya menyedari bahawa apa yang saya pelajari selama ini adalah suatu yang sangat bernilai. Kekayaan khazanah tradisi. Namun malangnya, belajar di madrasah, ianya tidak memberi kita kaca mata ataupun keupayaan sebenar untuk kita menghargai kekayaan tradisi itu sendiri. Hanya apabila saya mula membaca Derida, falsafah barat dan falsafah bahasa kemudiannya barulah saya dapat memahami dengan lebih baik, apa yang saya fikirkan. Apabila saya kembali kepada tradisi, saya dapat melihat kekayaan di dalamnya. Jadi saya kongsikan sedikit sebayak di dalam buku tersebut yang akan berada di pasaran pada bulan Mac depan. Jika para pendengar berminat dengan ‘What is Madrasah’ ianya juga boleh didapati di laman web amazon.com dan kedai-kedai buku tertentu. Saya berharap agar saya berpeluang untuk bertukar pandangan dan berbincang dengan pembaca selepas mereka mendapat buku saya. Tapi perlu diingat, kita kaya dengan tradisi. Tidak semua tradisi adalah mesra pengguna pada hari ini. Jadi, bila anda mahu melibatkan tradisi, anda perlu memilih jalan yang betul. Hakikatnya anda sentiasa memerlukan kesinambungan. Namun, ada sesetengah jalan yang tidak mempunyai kesinambungan. Maka di sinilah orang moden yang bersikap sombong ini akan memandang rendah kepada sejarah dahulu ataupun tradisi yang lama. Bahkan merekalah yang bercakap tentang tradisi dan cuba melangkaui batasan yang selama ini diterima oleh umum. Disebabkan tradisi memberi kita kesinambungan dan ianya membentuk siapa diri kita pada hari ini. Bagi saya, kehidupan tradisional yang diamalkan sebelum ini menjadikan diri anda sebahagian daripada tradisi tersebut. Tradisi mengajar kita apa yang perlu kita lakukan. Pada hari ini, kita bukanlah tradisi, tetapi kita adalah tradisionalis, iaitu kita sendiri yang memilih untuk mengambil tradisi yang kita mahu dan meninggalkan tradisi yang tidak berkenaan. Jadi, sepertinya kita berada di dalam sebuah kolej yang besar, di mana kita bercampur dan cuba untuk mencari cebisan-cebisan maklumat daripada tradisi kita. Maka, kita keluar daripada keadaan yang dihadkan dengan tradisi sepenuhnya kerana jika kita berpegang kepada tradisi semata-mata, kita akan mengalami krisis yang hebat kerana pengalaman kita akan bercanggah dengan apa yang terdapat dalam tradisi terdahulu. Akhirnya kita akan berakhir dengan jenis pemikiran seumpama bangsa Amish. Amish perlu berpegang kepada suatu jenis cara hidup di mana mereka menolak teknologi. Mereka tidak boleh menggunakan telefon, elektrik dan pemikiran seumpamanya. Ini bukannya cara memahami tradisi Islam yang sebenar. Dalam Islam, tradisi sentiasa diperbaharui, berkembang serta menyesuaikan diri dengan keadaan di negara tersebut. Ia merupakan suatu pengajaran yang sangat berharga buat saya. Berada di sekolah tradisional ini membolehkan saya melihat kedua-dua kebaikan dan keburukan, dan ini saya ada kongsikan di dalam buku tersebut. F.R: Wah, menarik sungguh. Sebagai penutup perbincangan ini, saya ingin menjemput Prof untuk merenung kembali masalah perkauman di Amerika pada hari ini. Selepas kematian ngeri Eric Garner, sebelum itu juga terdapat rusuhan di Ferguson dan Prof pula adalah warga Arfika Selatan yang terdedah kepada permasalahan perkauman ini. Jadi, bagaimana Muslim seluruh dunia seharusnya bertindak dalam berdepan dengan isu ini? Kerana sebagai Muslim ada kecenderungan untuk mereka berfikir tentang masalah mereka sendiri sahaja dan kerap kali berfikir tentang keperitan. Jarang sekali mereka berfikir selain daripada itu. E.M: Saya rasa ini adalah soalan yang sangat penting dan sering kali saya fikirkan. Bertanyakan tentang apa yang saya boleh lakukan ataupun apa yang seharusnya kita lakukan. Masalah perkauman adalah stigma, dan merupakan noda dalam keadaan manusia. Kadang kala kita secara tidak sengaja terlibat dalam masalah perkauman. Jadi kadang kala sesetengah orang akan mempunyai cara pandang yang mengaitkan sesiapa yang berkulit hitam bererti mereka adalah orang Amerika dan mereka tidak memakmurkan sejarah tentang permasalahan sosial dan masalah lain. Ya, kita ada sejarah dan ada masyarakat kulit hitam Amerika telah menaikkan martabat mereka dalam sektor tertentu. Tetapi bukan semua orang dapat keluar daripada kesusahan itu. Jadi, ya, masalah perkauman adalah isu utama di Amerika, Asia Selatan dan seluruh dunia. Bahkan orang Afrika juga mendapat tempias dari permasalahan ini. Ini kerana mereka dilihat sebagai orang asing. Mereka berasal daripada Nigeria, India, Pakistan, Indonesia, Malaysia dan lain-lain lagi. Mereka fikir bahawa mereka munuju kejayaan. Sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya. Warga Amerika Afrika telah berada di Amerika berabad lamanya. Mereka terpenjara dalam sistem yang dibina. Mereka tidak dapat untuk pergi belajar di sekolah yang baik dan mereka tidak dapat melanjutkan pelajaran ke universiti. Terdapat lebih banyak warga Amerika Afrika yang berada di dalam penjara berbanding di universiti. Ianya menunjukkan bahawa rangkaian sosial di Amerika tidak mempunyai orang berkulit hitam. Isu perkauman ini perlu diperangi di setiap peringkat. Dan ianya bukanlah masalah mereka tetapi ini adalah masalah kita semua. Saya fikir apa yang sedang berlaku adalah, lebih malang lagi, polis dan pihak berkuasa yang boleh melakukan sewenang hati. Apa yang saya maksudkan ialah, bagaimana ianya boleh terjadi apabila polis menggari tangan pejalan kaki dan seterusnya mencekik mangsa. Sedangkan pada ketika itu, dia menjerit untuk mendapatkan pertolongan dan memberitahu bahawa dia tidak boleh bernafas dan akhirnya mati di tangan polis. Pada masa yang sama tiada dakwaan yang dilakukan? Saya tak mampu bayangkan bagaimana ianya boleh berlaku atau terlintas di fikiran mereka untuk melakukan sedemikian rupa. Tidak kira apa yang lelaki tersebut lakukan di Ferguson. Sesetengah pihak mengatakan pemuda tersebut terlibat dengan permasalahan jenayah dan mendesak dan banyak lagi. Tetapi untuk membunuhnya dengan cara sedemikian adalah suatu yang keterlaluan. Jadi apa yang kamu lihat adalah pemberontakan dan protes yang berlaku kerana kekecewaan. Ironinya, Presiden Amerika yang pertama adalah orang berkulit hitam. Presiden ini mencuba sedaya upaya untuk mewakili warga Amerika yang berkulit hitam tetapi beliau juga menyedari isu ini. Ini menjadikan beliau untuk berhati-hati supaya tidak dilihat sebagai seorang pemimpin yang berat sebelah dan juga supaya tidak dilihat sebagai menentang penguatkuasaan undang-undang kerana undang-undang merupakan mata dan telinga kerajaan. Jadi ianya sangat halus dan Presiden mestilah berwaspada dengan setiap perlakuannya. Polis yang tidak bertanggungjawab hendaklah diperangi. Tetapi pada masa yang sama kita tidak boleh menghapuskan sistem perundangan negara. Apa yang perlu kita lakukan adalah membongkar siapa polis yang tidak bertanggungjawab iaitu orang yang menganiayai bukan sahaja orang berkulit hitam, malahan coklat, putih dan lain-lain lagi. Disebabkan oleh beberapa polis yang tidak bertanggung jawab ini, dan mereka adalah minoriti. Tetapi minoriti ini yang selalu memberikan nama buruk kepada majoriti Muslim di dunia. Berfikir tentang ini, tidak semua warga Amerika yang berkulit putih mempunyai sifat perkauman yang tinggi. Makanya sama. Disebabkan segelintir warga Amerika yang mempunyai sifat perkauman yang tinggi, namun ia telah menyebakan keseluruhan warga Amerika dilabelkan dengan sama. Sama seperti penguatkuasa yang lain. Hanya disebabkan segelintir yang membuat masalah. Namun tempiasnya diterima oleh semua. Kita haruslah berwaspada sebelum menghukum seseorang. Namun, adalah penting untuk kita suarakan kritikan dan mencari jalan penyelesaian supaya kita mampu menyelesaikan permasalahan tersebut. F.R: Terima kasih Prof kerana sudi bersama kami pada hari ini. Nantikan buku tulisan Prof sendiri yang bakal dikeluarkan pada Mac ini dan anda juga boleh melakukan tempahan awal di Amazon.com. E.M: Sama-sama.
]]>