Projek Dialog

Sang Sapurba, Demang Lebar Daun dan Perlembagaan

“Maka sembah Demang Lebar Daun. ‘Adapun Tuanku segala anak cucu patik sedia akan jadi hamba ke bawah Duli Yang Dipertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli Tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhihatkan, dinista dengan kata-kata yang jahat; jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Syarak.’ Maka titah Sang Sapurba, ‘Akan pinta bapa itu hamba kabulkanlah, tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba.’ Maka sembah Demang Lebar Daun, ‘Janji yang mana itu, Tuanku?’ Maka titah Sang Sapurba, ‘Hendaklah pada akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan durhaka pada anak cucu kita, jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekalipun.’ Maka sembah Demang Lebar Daun, ‘Baiklah Tuanku. Tetapi jikalau anak buah Tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patik pun mengubahkanlah’ Maka titah Sang Sapurba, ‘Baiklah, kabullah hamba akan waadat itu.’” Ini adalah waadat Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun yang menjadi asas taat setia orang Melayu kepada raja mereka. Menurut perjanjian, keturunan Demang Lebar Daun (orang Melayu) harus taat dan setia kepada raja mereka, walau dizalimi sekalipun. Pada masa yang sama, keturunan Sang Sapurba (raja Melayu) juga berjanji bahawa tidak akan mengaibkan atau menista rakyatnya walau dosa mereka sebesar mana sekalipun, dan jika dihukum mati ia harus mengikut hukum Syarak. Daripada dialog ini, yang terkandung di dalam karya Melayu klasik ‘Sulalatus Salatin’ atau lebih dikenali sebagai ‘Sejarah Melayu’, kita dapat memahami konsep ‘derhaka’ dalam konteks budaya dan pemikiran orang Melayu. Jika rakyat keturunan Demang Lebar Daun itu melanggar waadat ini, maka derhakalah dia. Akta derhaka? Mutakhir ini, derhaka menjadi topik perbincangan.  Bekas hakim Mahkamah Rayuan, Mohd Noor Abdullah mencadangkan supaya suatu ‘Akta Derhaka’ digubal. Menurut laporan Bernama: “Patut ada undang-undang khas digubal tentang apa-apa perbuatan yang terjumlah dan terangkum dalam kesalahan derhaka. Undang-undang ini sesuai kerana rakyat di beberapa lapisan tidak memahami sebenarnya kuasa Raja. “Sudah tiba masanya bagi kerajaan menggubal undang-undang mengenai penderhakaan, bukan di bawah hasutan,” katanya kepada pemberita di luar Seminar Institusi Raja anjuran Universiti Malaysia Perlis di sini. Mengulas lanjut, beliau berkata undang-undang khas itu perlu menggariskan definisi derhaka dari sudut perbuatan, ucapan, sindiran, grafik dan lain-lain, serta mengenakan hukuman keras sekurang-kurangnya dua tahun penjara. “Ini supaya rakyat tahu tiada maaf bagi mereka yang melakukan kesalahan derhaka,” katanya. Cadangan ini diutarakan kerana beliau berpendapat bahawa kesalahan hasutan itu berbeza dengan penderhakaan. Dari sudut ini, penulis bersetuju dengannya; kesalahan hasutan yang terkandung dalam Akta Hasutan memerlukan elemen kecenderungan pihak ketiga terhasut oleh kata-kata atau perbuatan tertuduh. Derhaka pula bersifat peribadi, iaitu di antara individu dengan raja atau institusi diraja itu sendiri. Bukan ‘Treason’ Media telah menterjemahkan cadangan Akta Derhaka ini sebagai ‘Treason Act’. Tetapi pada penulis, ‘treason’ berbeza dengan derhaka. Treason adalah belot atau khianat, seperti percubaan menggulingkan pemerintah. Melawan raja adalah ‘treason’. Tetapi derhaka tidak mermerlukan perbuatan yang begitu drastik, tidak taat kepada raja itu boleh dianggap derhaka. Di Malaysia, kita tidak mempunyai undang-undang lese majeste atau undang-undang yang menghukum perbuatan menjatuhkan maruah atau martabat raja. Bandingkan ini dengan Thailand, misalnya, di mana hukuman dikenakan ke atas mereka yang dikatakan telah menghina raja mereka. Akta Hasutan bukanlah undang-undang lese majeste, walaupun kadangkala ianya digunapakai seperti ianya undang-undang lese majeste. Cadangan bekas hakim tersebut akan membawa lese majeste ke dalam badan undang-undang tanahair. Persoalannya, adakah Akta Derhaka ini diperlukan? Kita balik semula kepada waadat Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun. Pentingnya waadat ini untuk memastikan kesinambungan di antara raja dan rakyat zaman berzaman. Untuk mengikat nasib sang raja dengan rakyatnya, melalui perjanjian yang tidak boleh dilanggar oleh mana-mana pihak. Sekiranya waadat ini dimungkiri, maka pihak lagi satu tidak mempunyai tanggungjawab untuk terus mentaati waadat tersebut. Sekiranya rakyat derhaka, ia akan mengancam kesinambungan masyarakat Melayu dan sistem pemerintahan diraja mutlak pada ketika itu. Waadat baru Kita ada waadat baru sebenarnya. Perjanjian di antara raja, kerajaan dan warganegara. Waadat ini adalah Perlembagaan Persekutuan. Perjanjian yang  jauh lebih utuh daripada waadat Sang Sapurba dengan Demang Lebar Daun. Kuasa raja-raja, kedudukan raja-raja dan keistimewaan raja-raja kesemuanya dijamin dan termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan. Begitu banyak dan lengkap perlindungan yang ada di dalam Perlembagaan, termaktub dan hampir mustahil untuk diubah. Apa-apa perkara yang menyentuh perihal raja-raja bukan setakat memerlukan sokongan dua pertiga ahli Parlimen untuk dipinda, ia juga perlu perkenan daripada raja-raja Melayu sendiri. Waadat Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun sudah berubah. Raja mutlak kini menjadi raja berperlembagaan. Di bawah waadat baru ini, kebebasan asasi rakyat didukung, kedudukan institusi diraja dimartabatkan serta dilindungi dan badan-badan kerajaan yang lain diberi kuasa dengan sempadan-sempadan yang nyata. Semuanya di bawah undang-undang terulung negara, Perlembagaan Persekutuan. Maka melalui waadat Perlembagaan ini, rakyat dijamin kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat. Kebebasan ini sememangnya boleh disekat, tetapi sekatan hanya boleh digubal oleh Parlimen atas sebab-sebab tertentu yang dinyatakan oleh Perlembagaan sendiri. Juga, sekatan yang dikenakan haruslah sekatan yang munasabah. Malahan, Perlembagaan memberikuasa kepada Parlimen untuk menggubal undang-undang untuk melarang dipersoalkan perkara berkenaan kedaulatan, prerogatif, kuasa dan bidang kuasa raja-raja di negeri masing-masing. Kukuhnya kedudukan raja-raja Melayu di bawah Perlembagaan, ianya tidak mungkin terancam dengan kata-kata, walaupun boleh ditafsirkan sebagai menghina. Undang-undang lese majeste seperti Akta Derhaka untuk menghukum mereka yang menjatuhkan maruah atau martabat, menghina atau tidak menghormati institusi diraja tidak diperlukan kerana kedudukan dan kedaulatan institusi diraja sememangnya sudah terjamin. Undang-undang bukan jalan penyelesaian kepada semua cabaran yang kita hadapi. Sekiranya dihujahkan bahawa kita berhadapan dengan ‘penyakit’ rakyat yang tidak lagi menghormati institusi diraja, penjenayahan ‘derhaka’ bukanlah ubat yang mujarab. ‘Rawatan’ yang terbaik adalah pendidikan dan pemahaman, bukan dengan hukuman. Penulis yakin bahawa dengan pendidikan dan pemahaman, rakyat akan menghormati institusi diraja kerana mereka akan faham peri pentingnya institusi diraja di dalam kerangka tanahair kita.

]]>

Share your thoughts!

More Articles