Projek Dialog

Binatang politik dan pluralisme agama

Oleh: Uthaya Sankar SB Selain menulis, membaca dan bercakap, satu lagi aktiviti yang amat saya gemari adalah menonton filem pelbagai bahasa. Saya tidak menganggapnya sebagai hobi atau aktiviti mengisi masa lapang. Sebaliknya sebagai aktiviti intelektual yang mencambah minda; sekiranya kita bijak memilih filem untuk ditonton. Sejak sekian lama, saya tidak membazir masa menonton televisyen yang ketara menyajikan sampah dan propaganda semata-mata. Televisyen di rumah digunakan khusus untuk menonton filem dan siri televisyen bermutu dalam bentuk cakera padat video (VCD) dan cakera video digital (DVD). [caption id="attachment_1298" align="alignleft" width="300"] Siri “Political Animals” membuka ruang memperkatakan isu
mengenai “binatang politik”.[/caption] “It’s such a pity that ‘Political Animals’ (2012) starts and ends with Season One. There’s so much hope in the political and journalism theme it portrays.” Demikian saya berfikir – saya memang berfikir dalam Bahasa Inggeris – semasa menonton keenam-enam episod dalam siri itu pada 23 Disember 2012. Pada 2 November lalu, USA Network mengumumkan “Political Animals” tidak akan diteruskan. Sebelum ini, pada 13 Mei 2012, National Broadcasting Company (NBC) mengumumkan bahawa siri “The Firm” (2012) tidak akan disambung bagi musim kedua. Drama televisyen 22 episod itu menggambarkan kisah penuh mendebarkan dan mencabar minda berhubung apa yang berlaku kepada watak Mitch McDeere (lakonan Josh Lucas) dan keluarga peguam itu dalam tempoh sepuluh tahun selepas peristiwa dalam novel “The Firm” (1991) tulisan John Grisham dan filem “The Firm” (1993) lakonan Tom Cruise. [caption id="attachment_1301" align="alignright" width="300"] Kisah penjajahan makhluk asing disulam indah dengan tema
konspirasi politik dalam “The Event”.[/caption] Tepat setahun sebelum itu – 13 Mei 2011 – NBC membatalkan siri televisyen fiksyen sains berunsur politik, “The Event” (2010) selepas 22 episod (satu musim). Kisah penuh mendebarkan dan mencabar minda itu pula menampilkan isu konspirasi politik semasa dan kisah makhluk asing yang dijadikan tahanan oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) sejak 66 tahun lalu. Ada dua watak yang amat menarik perhatian saya, selain watak Sean Walker (lakonan Jason Ritter). Laura Innes memegang watak Sophia Maguire, ketua kumpulan makhluk asing yang ada beberapa kuasa istimewa dan sudah hidup dalam kalangan manusia. Misinya adalah menyelamatkan orang-orangnya. Untuk itu, Sophia sanggup melakukan apa sahaja; termasuk membunuh Presiden AS. Fiksyen meniru realiti Presiden yang baru dipilih ialah Elias Martinez (lakonan Blair Underwood) dan politikus Afrika-Amerika itu mungkin segera mengingatkan kita kepada presiden ke-44, Barack Hussein Obama II. Walaupun Elias cuba menjadi pemimpin berjiwa rakyat, suasana politik kebinatangan – dan suatu rahsia keluarga – sentiasa menjadi penghalang. Berbalik pada “Political Animals”, Sigourney Weaver yang baru-baru ini saya tonton dan suka akan penampilannya sebagai profesor psikologi bernama Margaret Matheson dalam filem “Red Lights” (2012), kali ini memegang watak Elaine Barrish, bekas Wanita Pertama AS – bukan Wanita Farsa Pulau Cinta atau ‘First Lady’ Malaysia – yang juga bekas Gabenor Illinois dan kini Setiausaha Negara AS. Lakonan mantap Sigourney mengingatkan saya kepada kehebatan Meryl Streep yang saya kagumi sejak “mengenalinya” menerusi filem “The French Lieutenant’s Woman” (1981); hingga kepada “The Iron Lady” (2011). [caption id="attachment_1302" align="alignleft" width="300"] Populariti novel/filem “The Firm” gagal menjamin hayat drama thriller ini.[/caption] Menonton “Political Animals” mungkin segera mengingatkan kita kepada Hillary Rodham Clinton. Watak bekas suaminya, Donald ‘Bud’ Hammond iaitu bekas Presiden AS dan bekas Gabenor North Carolina pasti mengingatkan kita kepada presiden ke-42, Bill Clinton – walaupun penampilan diri Ciaran Hinds yang memegang watak lelaki gila seks itu tiada persamaan fizikal. Anak kembar kepada pasangan yang sudah bercerai itu ialah Douglas (lakonan James Wolk) dan Thomas (lakonan Sebastian Stan) yang berumur 30 tahun. Untuk makluman, Hillary dan Bill Clinton hanya ada seorang anak, iaitu Chelsea Victoria. Secara langsung dan tidak langsung, pasangan kembar itu terlibat sama dalam “politik binatang” sejak kecil. Tambahan pula sejak Thomas mendedahkan orientasi homoseksual pada usia remaja. Dia juga penyalahguna kokain dan pengamal seks bebas yang sukar meninggalkan ketagihannya. Watak wartawan, Susan Berg lakonan Carla Gugino turut perlu diberi perhatian kerana kehadirannya dalam hidup/dunia politik Elaine sejak tahun 1990-an sangat memainkan peranan. Pasti sahaja etika kewartawanan dipaparkan secara tersirat dan terbuka menerusi siri televisyen ini. Etika penulisan dan kewartawanan Namun, rata-rata golongan wartawan dan pengamal media arus perdana di negara kita tidak perlu ambil tahu perihal isu ini (etika kewartawanan) kerana selalunya mereka hanya perlu berperanan sebagai penyampai propaganda pemerintah dan parti politik tertentu. Dalam konteks negara ini, kita lebih sering terpaksa berdepan dengan rata-rata politikus – pemerintah mahupun pembangkang – yang “cakap tak serupa bikin” dan menepati gelaran “janji dicapati”. Karya seni seperti filem, drama televisyen, novel dan cerpen arus perdana pula belum cukup berani untuk mengkritik politikus; khususnya pemerintah. Dan kita semua tahu mengapa. Dalam karier politik, Elaine dari Parti Demokratik tetap bercita-cita untuk bertanding dan mengalahkan Presiden Paul Garcetti (lakonan Adrian Pasdar) untuk muncul sebagai Presiden Wanita Pertama AS – bukan sekadar “wanita pertama” atau “wanita farsa” (farce lady) seperti diimpikan individu tertentu yang tidak berkelayakan di Pulau Cinta. Harus juga dinyatakan bahawa watak Paul selaku Presiden AS dalam siri televisyen ini bukan lelaki Afrika-Amerika seperti presiden ke-44, Barack Obama dalam realiti. Tidak juga seperti watak Elias dalam “The Event”. Siri “Political Animals” yang lahir daripada idea Greg Berlanti mungkin mampu memberi inspirasi kepada politikus wanita – atau isteri politikus – untuk turut memikirkan kemungkinan bertanding merebut jawatan tertinggi dalam parti politik dan seterusnya menjadi Perdana Menteri Wanita Pertama Malaysia. Masakan hanya Wan Azizah Wan Ismail dan Nurul Izzah Anwar yang berhak mengimpikan masa depan seperti itu. Berbalik pada kisah Elaine, pelbagai dugaan – dalam politik dan keluarga – membuatkan fikirannya berbelah-bagi antara mahu melepaskan jawatan yang ada sekarang, bertanding merebut jawatan presiden atau menerima satu jawatan penting yang ditawarkan kepadanya. Namun, amat sayang kerana siri ini – yang menarik perhatian saya tetapi mungkin membosankan bagi orang lain – tamat pada Musim Pertama dengan episod keenam bertajuk “Resignation Day” (Hari Peletakan Jawatan). Pengalaman menonton serta mengulas “Political Animals” sekurang-kurangnya memberi ruang dan peluang untuk memperkatakan pelbagai kisah “politik kebinatangan” yang berlaku dalam kehidupan sebenar. Membuka ruang untuk orang ramai berdialog lebih lanjut dengan bersandar kepada filem dan siri televisyen. Keamanan sejagat Saya pernah belajar mengenai sultan Mughal ketiga di India, Jalaluddin Muhammad Akbar (Akhbar the Great) dalam buku teks di sekolah. Sebagaimana Nabi Muhammad (s.a.w), Akbar juga menggalakkan dialog antara agama – walaupun pada peringkat awal, putera kepada Sultan Humayun itu dilaporkan menindas penganut agama-agama lain. [caption id="attachment_1303" align="alignright" width="229"] Filem “Jodhaa Akbar” turut dialih bahasa ke Tamil dan Telugu.[/caption] Filem Hindi “Jodhaa Akbar” (2008) lakonan Hrithik Roshan membantu kita lebih memahami Islam liberal, sekular dan plural yang diamalkan, ditegakkan dan disebarkan oleh penganut mazhab Syiah-Sunni itu. Filem ini bukan sekadar hiburan, tarian dan lagu-lagu. Akbar mengasaskan ajaran (agama) baru yang dinamakan “Sulh-e-kul” (keamanan sejagat) yang menumpukan pada keamanan, perpaduan dan tolak-ansur sejagat tanpa sebarang diskriminasi agama. Perkara seperti ini pasti kurang didedahkan dalam sistem pendidikan negara. Walaupun dalam versi filem “Jodhaa Akbar” arahan Ashutosh Gowariker, Akbar dikisahkan berkahwin dengan puteri beragama Hindu, Hira Kunwari @ Jodhaa (lakonan Aishwarya Rai), dalam realiti, sultan yang buta huruf itu dilaporkan mempunyai 30 isteri. Ada pula pandangan yang mengatakan bahawa Jodhaa sebenarnya isteri kepada Jahangir iaitu anak Akbar. Wallahu A’lam. Pada akhir Oktober 2012, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) mengeluarkan kenyataan rasmi menyelar penyiaran filem Hindi “My Name Is Khan” (2010) di TV3 sempena Hari Raya Korban (26 Oktober 2012). Saya ada menulis mengenai isu itu dalam makalah bertajuk “My Name Is Jaclyn Victor” (Projek Dialog, 29 Oktober 2012). Antara alasan yang diberikan Abim adalah bahawa “adegan hero (Rizwan Khan, lakonan Shah Rukh Khan) yang berkahwin dengan heroin yang beragama Hindu (dalam filem itu) jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Menerima dan mencampur-aduk cara penyembahan agama lain dengan Islam sebagai agama adalah sama jelas bercanggah dengan prinsip Islam”. Kalau puak tertentu berpeluang menonton dan memahami mesej serta paparan yang disajikan menerusi “Jodhaa Akbar” maka tentu filem ini juga akan diminta supaya diharamkan segera. Hal ini kerana filem hampir tiga setengah jam itu yang sempat saya tonton pada 23 Disember lalu mendedahkan terlalu banyak fakta sebenar yang mungkin sukar diterima golongan etnosentrik dan fanatik agama. Saya percaya bahawa kata-kata saya tidak keterlaluan dan tidak wajar dilabel sebagai berunsur perkauman. Ulasan saya adalah berdasarkan penelitian terhadap realiti di sekeliling sebagai usaha kecil membuka ruang bagi dialog dan perbahasan intelektual. Namun, saya akui bahawa usaha seperti ini tidak mudah di sebuah negara di mana “bahas bukan budaya kita”. Semuanya berbalik pada “politik kebinatangan” yang diamalkan oleh “binatang politik” yang mahu terus berkuasa dengan apa cara sekali pun. Politikus yang gagal menjiwai keperibadian mulia Nabi Muhammad (s.a.w), satu-satunya pemimpin Islam yang paling saya kagumi.  

]]>

Share your thoughts!

More Articles

Throwback: Pesta Filem KITA 2

16th March 2019 marked the day of Projek Dialog’s second instalment of Pesta Filem Kita 2. Boasting a reputation of showcasing films which illustrate the