Sanatana Dharma ini membuatkan ramai yang keliru terhadap agama Tauhid tertua ini. Malah, ramai yang menganggap serta melabelkannya sebagai agama politeisme dan agama yang menyembah berhala. Sejak tahun 2010, Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) menganjurkan Konvoi Rumah Ibadat ke masjid (Islam), gereja (Kristian), kuil (Hindu), tokong (Tao), wat (Buddha) dan gurdwara (Sikh) dalam usaha memupuk persefahaman antara agama. Setiap kali mengunjungi kuil, soalan lazim yang dikemukakan peserta Bukan Hindu adalah berkaitan berhala – atau “patung” – yang terdapat di rumah ibadat berkenaan. Rata-rata ingin tahu mengapa ada dewa-dewi yang pelbagai dan berapakah pula jumlah “Tuhan” dalam ajaran Hindu. Soalan mereka adalah amat wajar. Malah, salah satu tujuan Konvoi Rumah Ibadat adalah membuka ruang dialog di mana peserta bebas mengemukakan pertanyaan berdasarkan rasa ingin tahu. Saya pernah menulis makalah ringkas bertajuk “Cerita Kecil Tentang Agama Hindu” (Projek Dialog, 10 Oktober 2012), “Berapa Tuhan Orang Hindu?” (The Malaysian Insider, 12 Ogos 2013) dan “330 Juta Tuhan Hindu” (Free Malaysia Today, 17 Ogos 2013) dalam usaha menjawab antara pertanyaan yang sering dikemukakan rakan-rakan Hindu dan Bukan Hindu. Sesungguhnya Hinduisme adalah antara agama Tauhid yang pertama dan tertua di dunia. Fakta ini mungkin mahu dipertikaikan puak tertentu tetapi tidak boleh dinafikan. Malah, Kamaludin Endol dalam bukunya Hinduisme Agama Tauhid Terawal? (2014) mengemukakan hujah bahawa ajaran Hindu adalah agama Tauhid pertama yang diwahyukan oleh Allah kepada Nabi Adam. [caption id="attachment_3100" align="alignleft" width="150"] Sebuah berhala Dewa Ganesha yang dipuja dan disembah di Kuil Subramaniam Chettiar, Kuala Lumpur.[/caption] Ajaran Hindu sering dikaitkan dengan penyembahan berhala. Stereotaip ini sudah terlalu lama berleluasa – khususnya di Malaysia – sehingga ramai yang terlupa akan hakikat bahawa Hindusime bukan (ulang: bukan) agama politeisme yang menyembah berhala. Lalu orang ramai – dan tentunya puak etnosentrik, fanatik, pelampau, rasis dan ultra kiasu – akan mempersoalkan mengapa penganut Hindu pergi ke kuil dan menyembah berhala Murugan, Shiva, Ganesha, Mariamman, Kaali dan sebagainya. Secara mudah dan logik akal, apa yang disembah penganut Hindu bukanlah berhala – atau “patung” – tetapi sifat-sifat dan unsur-unsur kewujudan Tuhan yang digambarkan menerusi berhala itu. Sekadar perbandingan, apabila umat Islam bersolat berkiblatkan Kaabah, bukanlah objek itu yang disembah; sebaliknya Allah Yang Maha Esa. Sifat-sifat Tuhan digambarkan secara gambaran Apakah Allah hanya boleh disembah dengan menghadap kiblat? Demikian soalan retorik yang selalu saya kemukakan dan selalunya tidak mampu dijawab rakan-rakan yang mempersoalkan mengenai amalan orang Hindu bersembahyang menghadap berhala di kuil. Pertanyaan lain yang selalu bermain dalam fikiran orang ramai – termasuk generasi muda Hindu – adalah mengenai amalan menyembah berhala. Ramai yang tidak mampu memberikan penjelasan apabila rakan-rakan bertanya atau memperli. Keadaan keliru, dilema dan tidak mampu berhujah balas seperti ini berbalik kepada kejahilan orang Hindu sendiri terhadap kandungan ajaran Hindu – khususnya dalam soal “menyembah” berhala. Secara bandingan, jawapan yang tersedia dalam agama Islam adalah jelas dan tidak mengundang persoalan lanjut. Misalnya, dalam Islam diakui bahawa sifat-sifat yang dimiliki Allah adalah berciri infiniti; tidak boleh dibilang dengan angka. Bagaimanapun, terdapat 99 nama Allah yang merupakan nama-nama terpilih yang merujuk kepada sifat-sifat Allah. Seorang penganut Hindu yang bijak akan mampu memberikan contoh perbandingan yang sama untuk menjelaskan mengenai kewujudan “ratusan dan ribuan” Tuhan dalam ajaran Hindu. Untuk berlaku adil, harus ditekankan dan dimaklumkan bahawa berbeza dengan Islam, penganut Hindu dibenarkan “menggambarkan” (visualize) sifat-sifat Tuhan dalam bentuk lukisan, tulisan, ukiran, berhala dan sebagainya. Namun begitu, perlu juga dinyatakan bahawa “gambaran” (visualization) itu sebenarnya tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya. Terdapat syarat dan peraturan, serta kelayakan khusus bagi individu yang mengukir berhala. [caption id="attachment_3101" align="alignleft" width="150"] Patung papier-mache ini sekadar hiasan di ruang tamu rumah penulis sejak tahun 2000.[/caption] Dalam hal ini, suatu contoh yang boleh diberikan adalah apabila terdapat patung (ulang: patung) Ganesha – dewa berkepala gajah – yang diperbuat daripada papier-mache dan dijadikan hiasan di ruang tamu rumah. Saya juga ada satu di rumah. Atau lukisan Shiva – dewa bertubuh warna nila – yang digambarkan sedang bertapa dijadikan hiasan dinding di bilik bacaan. Begitu juga dengan patung Hanuman – lotong sakti terkenal dalam epik Ramayana – yang diletakkan sebagai hiasan di atas meja. Penjelasan menerusi ilmu ikonografi Objek-objek hiasan seperti ini sering dilihat di rumah orang Hindu dan sering pula menimbulkan rasa kurang selesa yang amat berasas kepada pengunjung. Mereka tidak tahu sama ada ia berhala (yang disembah) atau sekadar patung (hiasan). Dalam hal ini, masalah paling besar adalah apabila penganut Hindu sendiri kurang – atau langsung tidak – memahami bidang sains imej atau ikonografi yang menjadi asas kepada pembuatan dan pemilikan berhala dewa-dewi. Pembaca yang berpeluang meneliti cerpen “Interlok dan Siru Kambam”, “Kisah Cik Timun Busuk” dan “Persubahatan Encik Limau” dalam buku Kisah dari Siru Kambam (2013) tentu menyedari kewujudan Kumpulan Ikonografer Siru Kambam yang mengemukakan hujah berkaitan berhala Dewa Shiva di kampung berkenaan. Dalam ajaran Hindu sejak dahulu, wujud ilmu ikonografi yang dinamakan “Murtisilpasastra” – panduan mengukir berhala. Dalam kitab-kitab Veda, Tuhan digambarkan dalam pelbagai rupa fizikal mengikut sifat-sifat yang dimiliki-Nya. Sudah dinyatakan sejak awal bahawa ajaran Hindu bermula lebih 5,000 tahun dahulu dan merupakan agama yang amat kompleks serta subjektif sifatnya. Maka tidak hairanlah jika ramai yang sudah tidak tahu mengenai ilmu sains ikonografi yang mampu menerangkan kewujudan berhala dalam agama Tauhid tertua ini. Mengikut catatan Veda – teks agama Hindu – golongan rishi yang melakukan pertapaan telah berpeluang “melihat” Tuhan dalam “bentuk” yang pelbagai; iaitu mengikut sifat-sifat Tuhan yang infiniti. Gambaran “rupa” Tuhan – atau juga sering disebut dewa-dewi – dirakamkan dalam bentuk sloka (lagu) dalam kitab-kitab oleh golongan pendeta ini. Kamaludin dalam buku Hinduisme Agama Tauhid Terawal? menggelarkan golongan pendeta atau rishi ini sebagai Nabi dan Rasul. Kemudian, golongan pengukir berhala yang dipanggil silpi pula menghayati sloka yang dihasilkan rishi berkenaan. Untuk menjadi silpi bukanlah perkara mudah. Individu terbabit perlu patuh pada pelbagai syarat dan peraturan agama. Hanya individu terpilih boleh diiktiraf sebagai pengukir berhala. Pengukir berhala (silpi) yang diiktiraf itu pula wajib patuh pada diksa iaitu syarat, peraturan dan akujanji tertentu yang ditetapkan dalam kitab Veda. Pelbagai norma dan pantang-larang agama wajib dipatuhi oleh individu yang mahu kekal sebagai silpi. Daripada ‘dhyanasloka’ kepada ‘mantramurti’ Apabila seorang silpi diamanahkan tugas mengukir berhala Tuhan, dia akan merujuk kepada dhyanasloka iaitu catatan berlaku yang dilakukan oleh rishi yang berpeluang “melihat” Tuhan. Mengikut catatan dalam pelbagai bahan rujukan, seorang silpi akan menghafaz dhyanasloka serta berdoakan kepada Tuhan. Akhirnya, gambaran visual sebagaimana digambarkan dalam dhyanasloka akan muncul dalam minda pengukir tadi. Gambaran itu dinamakan mantramurti dan dijadikan rujukan mental oleh silpi untuk mengukir berhala dewa atau dewi berkenaan. Setelah siap, tentu sahaja akan diteliti dan diamati oleh rishi tadi untuk mengesahkan bahawa ukiran berhala yang dihasilkan oleh silpi berdasarkan dhyanasloka dan mantramurti adalah sama dengan apa yang dilihat oleh si pendeta tadi. Sudah dinyatakan tadi bahawa sifat-sifat yang dimiliki Tuhan adalah infiniti. Secara logik akal, “rupa” fizikal Tuhan adalah tidak terjangkau oleh fikiran manusia. Namun begitu, dalam ajaran Hindu – khususnya menerusi kitab-kitab Veda – dinyatakan bahawa Tuhan “muncul” di hadapan para rishi dalam “bentuk” yang boleh diterima akal rasional manusia. Gambaran “bentuk” fizikal itulah yang dijadikan dhyanasloka dan kemudian dihayati sepenuhnya oleh silpi untuk mengukir berhala yang “mewakili” sifat Tuhan. Memandangkan jumlah sifat Tuhan adalah infiniti, maka berhala yang dihasilkan juga banyak dan berbeza-beza berdasarkan dhyanasloka yang menjadi rujukan. Kesemuanya menggambarkan atau mewakili sifat-sifat Tuhan dan bukannya menggantikan Tuhan. Secara mudah, sebagaimana 99 nama yang baik (al-asmaaul husna) dalam Islam tetap merujuk kepada Allah Yang Maha Esa, begitulah juga ratusan atau ribuan berhala (ikon) dalam ajaran Hindu tetapi merujuk kepada Ekan – Tuhan Yang Maha Esa. Demikian huraian serba ringkas, umum dan mudah yang diharap dapat membantu menyelesaikan serba-sedikit kekusutan dalam jiwa orang Hindu dan Bukan Hindu yang selama ini tertanya-tanya perihal perkara ini. Orang ramai diundang melayari www.uthayasb.blogspot.com atas pilihan sendiri untuk membaca pelbagai makalah berkaitan budaya India dan ajaran Hindu.
]]>