Projek Dialog

Isu muzikal Easter: pesanan untuk kawan

Ancaman muzikal? Muzikal Easter tersebut bukanlah satu ancaman kepada umat Islam kerana jika dilihat dari perspektif positif dalam masyarakat majmuk. Sememangnya gereja tersebut berniat untuk menjemput umat bukan Kristian hadir ke aktiviti tersebut. Namun, adakah dengan menghadiri aktiviti tersebut lebih mudah seseorang itu jatuh murtad atau kafir? Begitu juga dengan situasi saya yang pernah pergi ke surau/masjid dan menyertai aktiviti yang ada disana tanpa melakukan sesuatu yang bertentangan dengan  iman dan kepercayaan  saya sendiri . Pada masa sama saya menghormati mereka beribadat: adakah saya masuk Islam atau keluar Kristian? Sudah tentu tidak! Mengekang penganut agama lain daripada melakukan aktiviti kerohanian dan ibadah serta melarang mereka menjemput penganut agama lain hadir ke aktiviti serta ibadat mereka adalah sesuatu yang bertentangan dengan norma masyarakat majmuk. Bagaimanalah kiranya seseorang itu dapat mengenali agama lain jika masuk ke rumah ibadat penganut agama lain itu dianggap sebagai haram dan taboo? Lebih parah lagi, ISMA dalam laman webnya ada membangkitkan isu penggunaan bahasa kebangsaan sebagai sesuatu yang kelihatan eksklusif untuk umat Islam. Sedangkan bahasa Melayu itu sendiri pun menggunakan pelbagai kata pinjaman daripada Sanskrit, Tamil, Eropah, Arab dan bahasa asing yang lain. Oleh sedemikian, amat  tidak wajar jika sesuatu bahasa apatah lagi bahasa kebangsaan itu disekat penggunaannya oleh penganut agama lain dalam apa jua upacara mahupun komunikasi mereka. Sungguh sempit sudut pandang ISMA apabila mengatakan penganut Kristian berbangsa Cina dan India merupakan majoriti penganut Kristian di Semenanjung Malaysia serta mereka tidak gemar menggunakan bahasa kebangsaan. Ini mengabai kewujudan penganut Kristian Sabah dan Sarawak mahupun orang Asli di Semanjung Malaysia yang turut menggunakan bahasa kebangsaan. Mengenali Hari Khamis Suci Perayaan hari Khamis Suci atau juga dikenali sebagai hari Khamis Putih ini disambut dengan penuh penghayatan akan peristiwa-peristiwa sebelum Yesus Kristus menghampiri wafatnya di kayu salib. Ia adalah hari pertama yang menandai permulaan Triduum (persiapan 3 hari)   Paska. Pada hari ini umat Kristian mengenang kembali santapan malam terakhir yang dilakukan Yesus bersama 12 pengikutnya. Tambahan pula, umat Yahudi ketika itu turut menyambut hari raya Roti Tidak Beragi pada 14 Nisan dalam kalender Yahudi. Dalam santapan terakhir itu juga, Yesus dikhianati oleh pengikutnya Yudas Iskariot. Ketika santapan tersebut, Yesus menyerahkan tubuh dan darahnya pada dalam bentuk roti dan anggur yang diberikan kepada para pengikutnya sebagai kenangan penyerahan dirinya bagi umat manusia. Selain daripada itu Yesus  juga mencuci kaki kedua belas pengikutnya sebelum diserahkan ke pengadilan untuk kemudian dijatuhkan hukuman mati melalui penyaliban di kayu salib. Dalam perspektif Katolik, umat dalam mengenang santapan tersebut menyambut ibadat ‘ekaristi’ sebagai kenangan akan Yesus berdasarkan kata-katanya, “Kenangkanlah akan Aku bila merayakan Perjamuan ini.” Ibadat ekaristi menjadi ‘jantung’ daripada iman Katolik dimana “sumber dan puncak seluruh kehidupan Kristiani” dan “hakikat dan rangkuman iman” digenapi dalam hubungan peribadi mereka dengan Yesus sebagai sarana keselamatan. [Katekismus Ajaran Gereja Katolik] Manakala dalam upacara misa Khamis Suci, paderi yang memimpin misa turut meneladani hal sama seperti yang dilakukan oleh Yesus yaitu mencuci kaki orang lain. Perlakuan mencuci kaki merupakan salah satu bentuk pengajaran bagi para pengikutnya mengenai penghormatan. Umum diketahui, kita hanya menghormati orang yang dianggap mempunyai status atau kasta yang sedarjat ataupun yang lebih tinggi. Yesus ingin mengajarkan bahawa penghormatan hanya berkesan terlaksana daripada atas ke bawah. Sebagaimana penghormatan guru terhadap muridnya. Begitu juga daripada hormat daripada penguasa kepada rakyatnya. Mengenali Hari Jumaat Agung Hari Jumaat Agung disambut bagi mengenang peristiwa-peristiwa yang membawa kepada kematiannya. Bermula dengan pengadilan Yesus di hadapan guru-guru agama Yahudi diikuti dengan penyangkalan sebanyak tiga kali oleh pengikut terdekatnya, Petrus, bahawa dia mengenal Yesus. Kemudian, Yesus  diadili oleh Pontius Pilatus menurut hukum Romawi. Sesudah diadili, Yesus memikul salibnya ke bukit Golgota dan disana dia menghembuskan nafas terakhir dengan menyerahkan nyawanya kepada Bapa di syurga dengan mengenapi kesemua apa yang dikatakan oleh dia sendiri. Tafsiran peristiwa dari sudut pandang Kristian Memang tidak dinafikan bahawa Islam mempunyai ceritanya tersendiri mengenai peristiwa ini. Namun, umat Kristian mengimani peristiwa ini sebagai sesuatu yang amat sakral dan bermakna bagi mereka. Hukuman Yesus dikayu salib bukanlah sesuatu yang hina namun ianya merupakan misteri pergorbanan Yesus kepada pengikutnya. Mesej utama peristiwa ini adalah mengenai hubungan peribadi Tuhan dengan manusia. Masalah dosa atau kejahatan merupakan satu perkara yang runcing dalam kehidupan. Melalui Yesus, yang juga disebut Anak ‘Allah’ oleh penganut Kristian, Tuhan memberikan mekanisme/contoh terbaik bagi melenyapkan kutukan dosa akibat kehendak bebas manusia. Melalui salib, umat Kristian percaya bahawa Tuhan bersama-sama dengan manusia dalam melawan kejahatan walaupun kesan penderitaan akibat dosa manusia tidak dapat dilenyapkan dalam kehidupan manusia.  Bagi umat Kristian, kehidupan kekal di syurga merupakan destinasi utama keselamatan mereka melalui Yesus. Dalam peristiwa ini, ‘Allah’ Bapa bukanlah hakim yang kejam Yesus dihukum mati disalib. Pada kayu salib itu, Tuhan itu sendiri sebenarnya ikut mengalami kesan yang paling buruk daripada keadaan manusia yang berdosa. Disamping itu, salib menunjukkan kepada umat Kristian betapa berharganya pengampunan daripada Tuhan. Sebagaimana mengampuni merupakan seseuatu yang sukar bagi manusia. Untuk mengampuni manusia, inkarnasi Yesus merupakan tujuan asal tersebut bagi mengantikan korban bakaran yang dilakukan bangsa Israel. Mengenali Hari Paska Agama Kristian tidak akan wujud sekiranya kebangkitan Yesus Kristus itu tidak menjadi realiti. Dalam Injil, Yesus menampakkan diri kepada banyak orang. Ianya bukan khayalan pengikut Yesus semata-mata namun disertai dengan bukti fizikal seperti kesan luka tangan dan rusuk kepada pengikutnya. Selepas kebangkitannya, Yesus bersama-sama pengikutnya selama 40 hari sebelum dinaikan ke langit. Hari Paska ini juga mempunyai kaitan dengan tradisi bangsa Israel. Hari Paska ini berubah-rubah mengikut kalender bulan Yahudi. Perkataan ‘Paska’ itu sendiri berasal daripada kata Ibrani ‘Pesach’ yang artinya ‘passover’, ‘dibebaskan’ yang mengacu kepada pembebasan bangsa Israel daripada penjajahan Mesir melalui nabi Musa dalam kitab Taurat. Peristiwa ini dikenang oleh bangsa Israel dengan perjamuan anak domba (kambing biri-biri). Perjamuan ini diadakan setiap tahun bagi memperingati perayaan penebusan, perjanjian Tuhan dengan mereka, daripada perhambaan menuju kebebasan, daripada kematian meuju kehidupan. Signifikannya bagi umat Kristian, peristiwa ini diperingati dan disempurnakan dalam perayaan Paska, di mana Yesus Kristus itulah Sang Anak Domba Paska yang dikorbankan, untuk membebaskan umat manusia daripada kutukan dosa. Kesimpulan Saya berharap dengan berkongsi penulisan makalah ini, ramai orang dapat memahami tentang apa dan mengapa umat Kristian menyambut sambutan hari Khamis Suci, Jumaat Agung dan Minggu Paska daripada perspektif saya sebagai Kristian dan Katolik . Harapan saya juga menginginkan setiap rakyat Malaysia diberi hak kebebasan beragama yang sewajarnya kerana terlampau banyak isu sentimen agama yang berlaku yang turut mengakibatkan Malaysia tidak lagi dihormati sebagai negara masyarakat majmuk berbilang kaum dan agama di dunia. Menyambut hari Jumaat Agung (Good Friday) dan Hari Paska (Easter Sunday) kepada semua umat Kristian di Malaysia yang menyambutnya.         unnamed

]]>

Share your thoughts!

More Articles