Projek Dialog

Imbas kembali: Pesta Filem KITA 2

16 Mac 2019 menandakan hari berlangsungnya Pesta Filem KITA siri kedua oleh Projek Dialog.

Festival ini ditubuhkan dengan tujuan menjadikan filem sebagai medium penyatuan rakyat Malaysia dan platform bagi menampilkan bakat-bakat belia tanah air.  Kali ini, kami berhasrat untuk menangkap tenaga anak muda yang sama seperti dari Pesta Filem KITA yang pertama tetapi berelemenkan unsur-unsur optimisme yang disandarkan oleh ‘Malaysia Baru’.

Pesta Filem KITA 2 juga dengan bangganya telah ditaja oleh United States Agency for International Development (USAID), US Embassy in Kuala Lumpur dan Malaysians 4 Malaysia.

Selepas beberapa perbincangan, akhirnya acara yang berlangsung selama 10 jam ini diadakan di RUANG by Think City di tengah-tengah bandar Kuala Lumpur dan dikelilingi kawasan yang kaya dengan budaya tradisional dan moden serta menjadi titik pertemuan antara pelbagai lapisan masyarakat. Selain dipilih kerana aksesibiliti yang mudah, ruang acara tertutup ini mampu menyediakan suasana peribadi, yang semestinya sesuai untuk menikmati filem!

Tempoh persiapan untuk acara ini berlanjutan selama lebih 3 bulan dan telah dipimpin oleh ahli Projek Dialog, Victoria Cheng dan Muzzamer Rahman. Pihak Pesta Filem KITA 2 telah menyokong pembikinan 7 filem yang kesemuanya dipercayai mampu memberi pandangan-pandangan yang kaya berkenaan kepelbagaian gaya hidup di Malaysia.  Sepanjang tempoh promosi di media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram, acara ini disambut oleh ramai pihak dengan komentar positif terutamanya berkenaan bakat-bakat muda tanah air yang menyertai geran pembikinan filem PFK2!

Ruang acara digunakan secara berkesan dengan pembahagian seksyen-seksyen: skrin besar dengan platform yang dibangkitkan untuk tayangan dan ucapan, tikar mengkuang dan kerusi beanbag disusun di hadapanya untuk suasana yang santai, sementara kerusi yang lebih tinggi berbaris hingga ke ruang belakang. Selain itu, terdapat ruang bergambar di mana latar belakang yang memaparkan poster PFK dengan gambaran ‘Nasi Lemak’ dikongsi bersama masyarakat pelbagai kaum.

Di sebelah ruang bergambar, terdapat kiub-kiub besar yang mempamerkan biodata pemenang geran serta sinopsis-sinopsis filem yang ditayangkan pada hari terbabit. Poster dan bunting dipaparkan berdekatan dinding dan sebuah skrin plasma disediakan untuk mempamerkan filem-filem pemenang geran daripada Pesta Filem KITA yang pertama.

Di samping itu, terdapat ruang penjualan buku yang diuruskan oleh Bibliophile (facebook.com/existbookshop.) dan Daniyal Kadir, yang telah mempromosikan karya beliau berjudul ‘Membedah P.Ramlee’. Meja pendaftaran disusun berdekatan pintu masuk untuk mengambil bilangan pelawat serta memberi baju T dan sticker laptop percuma.

Pesta Filem KITA 2 dimulakan dengan tayangan video daripada finalis-finalis Pertandingan Video Pendek Malaysians 4 Malaysia (M4M). Tema untuk video-video penyertaan adalah Harapan Anak Muda Untuk Malaysia Baru dan setiap video perlu berdurasi 1 hingga 5 minit sahaja. Lebih daripada 30 penyertaan telah dihantar oleh para pelajar di seluruh Malaysia dan hanya 9 finalis terpilih untuk ditayangkan hasil produksi mereka dan diberikan anugerah. Finalis-finalis tersebut adalah:

  • Butang Hukum (oleh: Ahmad Syazwan Bin Rosli)
  • Garisan Penamat (oleh: Izaq Yuzaini Bin Ismail)
  • Memoir (oleh: Adam Taufiq Suharto)
  • Above All Liberties (oleh: Tengku ‘Alauddin Mahmud)
  • Wanderlust (oleh: Syarul Akmal)
  • Our Hope and Dream For A New Malaysia (oleh: Bea Jia Hui)
  • Cengkerik Malam (oleh: Hakim Hasnan)
  • Buku (oleh: Khairi Hizami Bin Zalani)
  • Cultural Change: Beyond the Ballot Box (oleh: Teoh Sing Fei)

Selepas penayangan video yang mempamerkan tema melalui perspektif yang berbeza, jelaslah bahawa anak-anak muda Malaysia kini mempunyai potensi yang besar untuk bukan sahaja membikin video dan filem, tetapi memimpin masa hadapan dengan penuh patriotisme dan cinta untuk kepelbagaian di negara kita. Kemudiannya, temu ramah ringkas dan sesi Q & A diadakan bersama finalis-finalis, yang dijalankan oleh pengacara rasmi Pesta Filem KITA 2 – Sadiq.

Akhirnya, pemenang telah diumumkan berdasarkan keputusan kolektif oleh kurator kami yang dihormati, Victoria Cheng, Muzzamer Rahman, dan Fuad Rahmat, yang juga hakim untuk pertandingan ini:

  • Tempat pertama: Memoir
  • Tempat kedua: Butang Hukum
  • Tempat ketiga: Garisan Penamat
Yana Rizal

Di samping itu, Butang Hukum turut menjuarai Anugerah Pilihan Penonton sebagai kegemaran orang ramai, sepertimana yang diputuskan oleh para tetamu menerusi undian atas talian. Ucapan telah diberikan oleh Yana Rizal untuk mengungkapkan tahniah kepada para peserta atas dedikasi dan usaha kreatif mereka. Sesi pertandingan ini berakhir sekitar pukul 1 petang dan setiap finalis dan pemenang pulang dengan hadiah wang dan sijil sebagai bukti peruntukan mereka.

Pada masa yang sama, pendaftaran berlangsung sepanjang tempoh acara dan bilangan sambutan terus mengagumkan pihak Pesta Filem KITA 2, lebih 300 pelawat telah menghadiri festival ini dan majoriti besar adalah warga belia Malaysia. Setelah para pelawat mendaftarkan diri, mereka diberi baju-baju kemeja T bertemakan PFK2 dan sticker laptop sebagai sagu hati percuma. Ini menjadi tarikan popular dengan ramai memuji rekaan baju tersebut yang ringkas dan bermakna.

Baju kemeja T dan Sticker Laptop Pesta Filem KITA percuma!

Seterusnya di sebelah petang,, dua bengkel yang bertujuan untuk menyebarkan pengetahuan tentang pembuatan filem dan dokumentari telah dijalankan dari jam 1.30 petang hingga 3.30 petang. Bengkel pertama yang diketuai oleh Dr Khairul Fazi, menyampaikan tajuk menarik iaitu mengenai ‘Dokumentari: Cinéma Vérité yang Baru dan Berani’, bengkel ini menekankan dokumentari sebagai teknik pembuatan filem yang lazim.

Bengkel kedua telah dijalankan oleh Joshua Michael, yang menjelaskan dan menghuraikan topik ‘Media Baru, New Malaysia’, dengan demikian mengulas landskap media dalam iklim politik dan sistematik semasa. Ramai tetamu mengisi kerusi -kerusi yang tersedia, mendahagakan pengetahuan tentang dunia pembikinan filem.

Resepsi Koktel

Malam GALA bermula pada jam 5.30 petang dengan resepsi koktel yang ringan untuk memberi keselesaan kepada pelawat. Meja bufet diisi dengan sandwich mini yang tersusun dengan kemas, spaghetti Bolognese dalam cawan, kuih muih dan minuman, ketika para tetamu sedang bersosial.

Setelah orang ramai bersiap sedia untuk tayangan filem, YB Fahmi Fadzil yangmerupakan ahli Parlimen Lembah Pantai diberi penghormatan untuk menyampaikan ucapan pembukaan, dengan menekankan kepentingan pembikinan filem sebagai suatu bentuk kesenian dan pengaruhnya dalam budaya di Malaysia.

YB Fahmi Fadzil, ahli Parlimen Lembah Pantai

Tayangan filem sesi pertama bermula dengan 160 Juta (Diarahkan oleh: Ashrafiqal Aleef), melibatkan watak utama wanita yang kuat  untuk mempertahankan kampungnya daripada eksploitasi orang yang berkuasa, tetapi yang menonjolkan filem ini adalah konsep koboi barat yang menggabungkan persamaan dan juga kontras terhadap budaya tradisional kampung Melayu.

Aku Dan Roxane (Diarahkan oleh: Mohammad Fais Hafiz) seterusnya, meninggalkan penonton dengan renungan makna yang lebih mendalam tentang ‘kekacauan’ dalam kehidupan di bandar KL melalui pengeditan avant-garde, kerumitan emosi watak dan lampu neon bandar.

Akhirnya, Rumah Tidak Bertanah (yang diarahkan oleh: Putri Purnama Sugua) menandakan pengakhiran sesi pertama, filem ini berikutan kisah seorang kanak tanpa kewarganegaraan di Sabah, hidup dalam kemiskinan yang melampau, berusaha untuk mendapatkan pendidikan dan akhirnya terpisah dari ibunya selepas berlari dari pihak berkuasa. Filem ini berdasarkan isu-isu benar yang berlaku di Sabah.

Selepas itu, sesi Q & A (yang diketuai oleh Victoria Cheng) telah diadakan dengan ketiga-tiga pembikin filem tersebut untuk memberi gambaran tentang usaha-usaha di sebalik produksi mereka.

Tayangan filem sesi kedua diadakan selepas rehat selama 30 minit. Ianya bermula dengan Keretapi Ke Pangi (Diarahkan oleh: Mohamad Yusof B. Sadjirin), yang menggambarkan ikatan sentimental antara anggota keluarga dan kehidupan sederhana mereka di kawasan luar bandar, terutamanya di antara bapa dan anaknya, hubungan mereka semakin tegang selepas kemalangan bapa yang memaksakan anaknya untuk tergesa-gesa ke sebuah hospital yang terletak jauh kerana ketiadaan kereta api.

 Seterusnya, Khilaf (Diarahkan oleh: Khairi Asyraff & Dihasilkan oleh: Rais Aqil) secara berkesannya menggambarkan isu perkahwinan bawah umur dan nilai-nilai agama yang bercanggah melalui kisah seorang bapa yang dimanipulasi oleh kenalan rapat untuk mengahwinkan anak perempuannya yang telah dirogol, meninggalkan penonton dalam keadaan tegang.

Ninavau (Diarahkan oleh: Bebbra Mailin) ​​menceritakan masalah biasa berkenaan kebudayaan antara Islam dan Kristian melalui Ninavau, yang berasal dari rumah tangga Kristian, menukar agama kepada Islam dan menghadapi tekanan keluarga dan masyarakat untuk mengikut agamanya secara bebas.

Malaysian Like Me (Diarahkan oleh: Cech Adrea) adalah dokumentari yang berfokuskan kehidupan beberapa watak dan mempamerkan keramahan dan humor gaya Malaysia tertentu yang turut melibatkan hubungan sesama kita.

 Sesi Q & A kedua (yang diketuai oleh Muzzamer Rahman) diadakan bersama pembikin filem-filem ini untuk memahami lagi hasil-hasil produksi mereka.

Setiap filem kemudiannya dinilai oleh panel juri: Nova Goh – seorang pembikin dokumentari, Redza Minhat – pelakon dan penulis skrip, Indrani Kopal – pembikin filem, dan Dr Wan Aida Wan Yahaya – seorang akademik dan penulis skrip. Sebelum pengumuman pemenang, ucapan telah diberikan oleh setiap juri, dan juga kurator, Victoria Cheng, Muzzamer Rahman serta Fuad Rahmat untuk mengakui kreativiti dan usaha-usaha pembikin filem.

Akhirnya, pemenang setiap kategori telah diumumkan selepas keputusan dibuat:

  • Sinematografi Terbaik: Khilaf, yang menggunakan tangkapan lebar,watak yang bijak dan kedudukan objek dapat meningkatkan kesan yang mendebarkan, tangkapan filem di ladang getah yang diterangi matahari sangat menonjol.
  • Pengeditan Terbaik: Khilaf, yang secara berkesan menggunakan pemotongan pantas dan aksi berturut-turut untuk menekankan intensiti dan ketegangan, tetapi juga menggambarkan urutan yang koheren.
  • Pengarah Terbaik: Rumah Ndak Beranah, kompeten pengarah dipuji atas pengurusan pelakon  – yang memaparkan penduduk setempat – dan kepimpinan yang mahir dalam membuat keputusan dan menggambarkan plot pengalaman hidup yang benar dengan tepat.
  • Jalan Cerita Terbaik: Rumah Ndak Bertanah, yang menampilkan gambaran yang tepat tentang isu sosial yang berleluasa di Sabah, juga mempunyai naratif yang jelas yang menekankan logik sebab dan akibat.

Di samping itu, penonton sedang sibuk kerana mereka perlu memutuskan filem kegemaran mereka melalui undi atas talian. Hasilnya, pemenang Anugerah Pilihan Penonton adalah 160 Juta, yang menampilkan gabungan menarik antara kebudayaan barat dan budaya Malaysia, dan kecantikan cahaya matahari yang keemasan dan cahaya bulan biru yang mengasyikkan.

Majlis penyampaian anugerah itu menandakan berakhirnya Pesta Filem Kita 2. Secara keseluruhan, festival ini telah berjaya melebihi sasaran 300 orang pelawat dan menyambut lebih banyak penyertaan daripada warga belia Malaysia. Oleh itu, acara ini memiliki banyak potensi dan peluang masa hadapan untuk Projek Dialog dan semestinya kami akan menantikan kehadiran Pesta Filem KITA 3!

Jumpa anda lagi di masa hadapan!

Share your thoughts!

More Articles