Oleh Luqman Tarmizi Catatan ini ditulis sempena lawatan mahabbah ke Gereja Katolik St Theresa di Nilai, Negeri Sembilan anjuran Siswa Progresif (SISPRO) yang melibatkan kurang lebih 40 peserta (majoriti nya merupakan mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia) pada 3 April 2016 yang lalu. Penulis dipertanggungjawabkan untuk memberi ucapan kepada mewakili pihak penganjur. Catatan ini sengaja tidak ditulis dalam bentuk sekuen yang teratur supaya penulis dapat menyampaikan mesej-mesej dibawah tema tertentu. NABI KITA DI DALAM AL-QURAN Sebelum saya mulakan pembentangan ketika sesi dialog, ada fakta penting yang saya lontarkan iaitu: nama Nabi Muhammad s.a.w disebut sebanyak 4 kali dalam Quran. Tapi Nabi Isa? 25 kali. Bahkan Maryam lebih hebat, 34 kali namanya diulang sebut di dalam Quran. Maka tidak ada alasan lagi bagi para Muslim untuk kita kesampingkan pelajaran mengenai kedua-dua tokoh ini dengan alasan mereka berdua tidak penting. Quran telah mengisyaratkan bahawa mereka berdua penting! Secara umumnya, ada 3 perkara paling bermakna dalam tempoh kurang lebih 4 jam setengah lawatan kami itu (menyertai upacara Sunday Morning Prayer, makan pagi, sesi dialog dua hala dan makan tengahari) pada pandangan peribadi saya iaitu:
- Peluang berucap dalam gereja, meski hanya untuk kurang lebih 10 minit, merupakan kesempatan yang akan saya hargai sepanjang hayat saya. Peluang membina jambatan persaudaraan dan mengikat tali persahabatan sebegini tidak selalu datang. Dalam dunia yang penuh kebencian dan permusuhan, para penyebar kasih sayang dan perdamaian merupakan aset penting, dan saya bangga menjadi sebahagian darinya.
- Dan sebagai seorang Muslim, saya boleh berkata dengan bangga, bahawa alunan suci ayat Quran mengenai kewajipan kita berkenal-kenalan sesama bangsa dan agama, dan mukaddimah surah Maryam, dialunkan dan diperdengarkan di dalam gereja.
- Diminta oleh Father Eugene, ketua paderi gereja tersebut di akhir majlis, untuk membacakan doa yang diaminkan oleh sekalian hadirin, Muslim dan Kristian. Saya sempat mendoakan agar kami diberikan kekuatan untuk terus menyalakan obor perpaduan, dan semoga hubungan antara agama ini semakin erat dan dipelihara Allah s.w.t. Semoga Allah mengabulkan doa dan permintaan kami.
- Ketaatan dan ketundukan kepada Tuhan ketika zaman fitnah yang mencengkam, dan kesusahan menghadapi dugaan yang mendesak. Tidak akan ada kemenangan di alam fizikal (nyata) tanpa kekuatan di alam spiritual. Sebagai umat yang beragama, keyakinan akan bantuan dari alam spiritual itu merupakan tonik penting dalam menjana kekuatan.
- Semangat untuk membawa perubahan kepada masyarakat, membawa gerakan reformasi dalam memberi sinar keadilan dan meruntuhkan tembok kezaliman. Membaca buku berjudul Zealot: Jesus of Nazareth hasil karya sarjana perbandingan agama dari Iran, Reza Aslan setelah lawatan ke gereja ini berlangsung, memperkenalkan saya wajah sebenar Nabi Isa a.s. Jika dalam agama Kristian Nabi Isa digambarkan sebagai seorang ‘pacifier’ (pencinta kedamaian) dan penyebar kasih sayang, maka buku ini memberi perspektif baharu menurut kacamata sejarah (historical Jesus) yang bebas dari tafsiran sejarah menurut ‘pengasas’ agama Kristian seperti St Paul dan St Peter; bahawa Isa itu merupakan seorang revolusioner yang disalib oleh pemerintah Rom atas tuduhan menghasut rakyat.