Projek Dialog

Tafsir untuk Perempuan

Oleh Faisal Tehrani

TERDAPAT sebuah buku oleh Faqihuddin Abdul Kodir, seorang ulama Indonesia yang menurut saya sungguh menarik. Judulnya Qira’ah Mubadalah: Tafsir Progresif Untuk Keadilan Gender Dalam Islam. Ia mengingatkan saya kepada sebuah video terbitan Projek Dialog dengan tajuk hampir sama iaitu ‘Feminisme Tak Anti Islam’ (2013) membincangkan ketakutan sesetengah orang terhadap gagasan ini.

[yotuwp type=”videos” id=”qDWhwBWbTO8″ ]

Buku Qira’ah Mubadalah ini pasti menjawab pelbagai kritikan dan komentar negatif terhadap pembicara dalam video tersebut iaitu Saudara Suri Kempe. Qira’ah Mubadalah lahir dari sebuah perbincangan untuk membaca dan melihat ayat-ayat suci Al-Quran dari perspektif yang bersilang, berwacana dan dengan tujuan untuk memberi perdebatan mengenai hak-hak perempuan secara lebih telus, dan jujur. Ia adalah satu bacaan yang menggelisahkan tentunya untuk mereka yang tertutup, tetapi segar untuk mereka yang berani bertengkar dengan rasio diri sendiri. Ia sama sekali tidak membongkar atau menolak pemikiran ulama klasik, malah meraikannya; tetapi lebih penting buku ini memberi nilai tambah dan melihat dengan penuh arif agar terdapat satu alternatif pada pembacaan sedia ada.

Pengarang memasang atau menciptakan bacaan ini bukan secara semberono tetapi penuh teliti. Ia telah melalui pengalaman, perbahasan, perbincangan dan tolak terima yang panjang  menerusi pelbagai badan bukan kerajaan di Indonesia. Ia muncul di tengah pesantren, bahkan hasil studi tradisi pondok yang tidak takut untuk memikirkan, yakni satu nilai yang dituntut Islam. Bahkan konsep yang disuguhkan oleh Faqihuddin ini muncul dari disertasi beliau di Universitas Gajah Mada pada 2015 yang mana beliau membicarakan hadis-hadis dalam kitab Tahrir al-Mar’ah fi ‘Ashr al-Risalah.

Niat buku ini adalah untuk melihat secara adil gender. Justeru ia melontarkan cabaran berat iaitu agar tidak lagi membaca teks suci secara patriarki.

Bagaimana ia dilakukan? Dasar perbahasan atau gagasan Mubadalah ini bermula hulunya dengan menegaskan tauhid Islam, asas dan tunjang akidah yang sama sekali anti patriarki. Pengarang menghujahkan bahawa jangan sama sekali tersasul al-Quran, dan Nabi Muhammad saw datang untuk memanusiakan manusia Arab jahiliah, dan memberikan taraf manusia kembali kepada perempuan. Sebelum kedatangan baginda Rasulullah, malangnya wanita tidak dianggap manusia. Wanita di zaman jahiliah ditindas semahunya. Mereka adalah hamba pemuas nafsu, perempuan dijadikan hadiah, jaminan hutang, tebusan, untuk diperkosa, dikahwin atau dicerai sehingga ke tahap dikebumikan hidup-hidup semata-mata kerana gendernya.

Tauhid yang diperkenalkan oleh Nabi Muhammad menidakkan semua di atas dengan menjadikan perempuan itu sepertinya juga lelaki. Kaedah pembaikan Islam itu ialah dengan menerapkan ajaran bahawa asal penciptaan perempuan adalah sama seibarat lelaki. Kedua, tiada makhluk lebih baik dari wanita tetapi sebetulnya lelaki dan perempuan adalah khalifah Allah di muka bumi. Maka dengan itu ketiganya, perempuan hanya mengabdikan diri kepada Allah bukan kepada suami atau bapa di mana ketaqwaan adalah ukuran sebenar yang digunakan Ilahi.

Maka Mubadalah membawa kita menelusuri perlahan-lahan bagaimana Islam memberikan pengajaran bertahap untuk bangsa Arab agar menerima pembaikan untuk wanita ini. Jika sebelumnya lelaki tiada had untuk mengahwini dan meniduri perempuan; kini ada batasnya di mana monogami lebih dianjurkan kerana ia jauh lebih adil dari poligami. Juga bangsa Arab jahiliah digoncang lagi oleh Islam apabila nilai kesaksian perempuan diperhalusi, serta bahagian warisannya untuk perempuan diperkukuhkan supaya niat Islam iaitu untuk mendobrak tradisi patriarki masyarakat Arab berhasil disampaikan oleh al-Quran dan Rasulullah saw sendiri.

Metodologi bacaan ini ditentukan dengan melihat teks secara kategorinya iaitu teks mabadi’ (nilai umum Islam); teks dilihat secara qawa’id (nilai yang lebih tertentu dalam kehidupan) dan akhir sekali teks juz’i di mana perilaku tertentu ditangani secara spesifik. Keupayaan dan usaha bersungguh-sungguh atau ijtihad inilah yang kita tidak temukan dalam belahan masyarakat Islam di Malaysia. Ulama kita hampir gagal malah tidak melakukannya.

Oleh itu, di dalam buku panjang ini – sepanjang 616 halaman – misalnya ia cuba merenung semula makna hadis ‘perempuan kurang akal dan agama’ dengan melihat konteks secara penuh sabda baginda itu. Benarkah yang dimaksudkan oleh Nabi wanita itu bodoh? Atau senggama (aktiviti seks) dikupas dengan penuh saksama di mana seks adalah ‘sedekah yang berpahala’ dan bukan lagi tujah cabut yang kadang-kala tanpa rela isteri. 

Lebih melongokan ialah kebolehan pengarang menguasai ilmu hadis dan tafsir lantas menyediakan ruang perbahasan yang cukup bermakna, sangat bermakna yang kita tidak temukan dalam wacana mengenai fikh perempuan dalam kalangan kita, hatta oleh sarjana kita yang doktoratnya ilmu hadis.

Oleh sebab itu buku ini bukan sahaja membaca kembali teks gender secara menyeluruh, ia juga mendudukkan dan memberdirikan perempuan setara lelaki sehingga dakwaan wanita itu sumber fitnah ditubi agar tidak diterima lagi secara melulu. Isu-isu nusyuz, poligami, iddah dan pengasuhan anak diberi konteks yang besar sehingga ia tidak terkucil dalam satu ruang sahaja. Ia berusaha memerdekakan wanita di mana perihal ketokohan wanita sebagai ulama diberi perhatian. Ini termasuklah mencabar dengan nekad sekali kedudukan wanita sebagai imam sembahyang. Kemudian, hadis ‘tidak akan bahagia suatu kaum yang menyerahkan urusan kepimpinan mereka kepada seorang perempuan’ sebagai contoh dilihat bukan pada isu gendernya tetapi sebetulnya merupakan satu ramalan Nabi Muhammad terhadap kejatuhan kekaisaran Parsi di tangan seorang wanita. Membaca perspektif begini menyediakan kita lojik dan rasio untuk dunia hari ini yang mana kepimpinan perempuan jauh lebih berjaya berbanding lelaki, seperti yang ditonjolkan oleh Canselor Merkel di Jerman atau Perdana Menteri New Zealanda, Jacinda Adern.

Sukar untuk kita mempertikaikan kajian pengarang ini yang hadir dengan pelbagai sumber daripada kalangan ulama klasik sendiri membuatkan kita terperosok bahawa wanita dan tuntutan hak kewanitaan (justeru feminisme) adalah sebenarnya satu tuntutan hak kemanusiaan yang sudah pun dijuarai Islam lama dahulu. Buku ini akan membuatkan ulama kita yang patriarki kalah. Malah kalah menyembah.

Buku ini harus dibaca oleh setiap lelaki dan perempuan, khususnya para sarjana dalam bidang studi Islam kerana ia memberi nilai baharu pada perbincangan gender. Justeru kita kelak tidak lagi kebudak-budakan mengejek pembicara atau pendukung feminisme kerana tidak mengenakan kerudung, atau tidak mempunyai kefasihan terma-terma bahasa Arab yang sememangnya punya jantina iaitu muzakkar dan muannats.

Buku ini boleh dibeli atas talian iaitu menerusi penerbitnya, Diva Press.

Share your thoughts!

More Articles

Desentralisasikan Sistem Pendidikan Malaysia

Oleh Wing Thye Woo, Universiti Sunway, Universiti California di Davis Untuk mara ke peringkat pembangunan seterusnya, pertumbuhan ekonomi Malaysia harus diterajui oleh ilmu pengetahuan dan