Dr. Faizal Musa, atau Faisal Tehrani, penyelidik dan penulis novel terkenal. Setakat ini, enam buah novel beliau telah diharamkan badan penapisan buku.[/caption] Menurut Dr. Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani, tujuan utama Perishtiharan Hak Asasi Manusia diperkenalkan kepada dunia pada tahun 1948 adalah untuk melindungi hak asasi manusia seluruh dunia secara inklusif. Nilai-nilai perlindungan hak asasi manusia sebagaimana yang digariskan di dalam perisytiharan terbabit melangkaui elemen agama, budaya, bangsa, kewarganegaraan, orientasi seksual, gaya hidup, status sosial, dan fahaman politik. Oleh kerana itulah ianya dipanggil sebagai Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat – kerana setiap insan tidak boleh dinafikan hak-hak terbabit. Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat merupakan sebuah perisytiharan hak asasi manusia yang bersifat universal dan tidak mengambil kira relativisme budaya kerana ianya hanya akan merumitkan usaha penegakan hak asasi manusia. Relativisme Budaya Menyentuh mengenai isu relativisme budaya dalam pengolahan hak asasi manusia, Dr. Faizal berpendapat bahawa pengambilikiraan aspek relativisme budaya akan menyebabkan wujudnya pelbagai set dan dimensi berbeza dalam hak asasi manusia, dan keadaan ini menjadikan hak asasi manusia tertakluk kepada terma dan syarat tertentu – lantas bagi membuka ruang untuk hak asasi manusia dimanipulasi oleh pihak-pihak berkepentingan. Ketika membicarakan mengenai usaha sebilangan negara majoriti Muslim untuk mempunyai deklarasi hak asasi manusia yang berbeza daripada yang diisytiharkan oleh PBB pada tahun 1948, Dr. Faizal menegaskan bahawa pandangan Islam terhadap hak asasi manusia adalah penuntutan hak dan keadilan daripada yang teraniaya kepada yang menganiaya, bukannya antara Islam dan bukan Islam. Apabila negara Islam tampil ke hadapan dengan Deklarasi Cairo tentang Hak Asasi Manusia pada tahun 1990, walaupun ianya dilihat sebagai mewakili hak asasi manusia yang selari dengan hukum-hukum Islam, dalam masa yang sama ianya telah dimanipulasi oleh sebilangan untuk menekan hak asasi manusia penganut aliran Syiah – perkara sebeginilah yang menjadikan pengambilkiraan relativisme agama dan budaya dalam penegakan hak asasi manusia menjadi bermasalah. Model yang Kontemporari Adalah tidak dapat dinafikan bahawa model hak asasi manusia kontemporari adalah sebuah model hak asasi manusia acuan barat. Walaupun begitu, model acuan barat ini tidak seharusnya ditolak hanya kerana ianya dari Barat. Prinsip-prinsip hak asasi manusia sebagaimana yang digariskan di dalam perisythiran terbabit dan susulannya bersifat sejagat – rentas budaya dan agama. Adalah tidak adil untuk menuduh model ini bersifat tidak Islamik hanya kerana ianya tidak berlandaskan tuntutan hak asasi manusia di dalam agama Islam; kerana kesemua hak yang terangkum di dalam model kontemporari ini merupakan hak yang sama didokong oleh Islam. Sudah tentu akan ada suara-suara sumbang yang menuduh bahawa ianya tidak Islamik kerana tanggapan umum ialah: deklarasi hak asasi sejagat menyokong hak-hak golongan LGBTQIA, sedangkan deklarasi tersebut tidak secara khususnya menyebut mengenai hak golongan terbabit tetapi hanya menggariskan secara umum mengenai hak setiap insan untuk menjalani hidupnya tanpa didiskriminasi. Tuduhan sebegini merupakan hasil falasi intelektual yang tercetus daripada keengganan untuk melihat gambaran penuh mengenai hak asasi manusia sejagat. Hak Asasi dan Alam Melayu Mengupas mengenai hak asasi manusia dan alam Melayu, Dr. Faizal berkongsi intipati perbualannya dengan seorang pelajar yang mengatakan bahawa model hak asasi manusia yang wujud pada hari ini adalah tidak relevan untuk dipakai dalam konteks masyarakat Melayu Malaysia. Lantas, apabila pelajar terbabit disoal kembali mengenai model hak asasi manakah yang sesuai untuk diguna pakai oleh orang Melayu pada ketika ini, pelajar tersebut menyatakan bahawa orang Melayu seharusnya kembali kepada amalan hak asasi manusia zaman Kesultanan Melayu Melaka. Jawapan tersebut mengundang persoalan: adakah perbuatan Sultan Melaka membunuh ahli keluarga Tun Fatimah termasuk suaminya Tun Ali dan kemudiannya memperisterikan Tun Fatimah adalah perbuatan yang mendokong nilai-nilai hak asasi manusia? Semestinya tidak. Menurut Dr. Faizal, alam Melayu bukanlah tanpa bukti bahawa wujudnya usaha penegakan hak asasi manusia. Memberikan contoh dua batu bersurat: Batu Bersurat Talang Tuwo dan Batu Bersurat Pagar Ruyung, Dr. Faizal menjelaskan bahawa terdapat elemen hak asasi manusia termaktub sebagai intipati batu-batu bersurat terbabit. Batu Bersurat Talang Tuwo yang merupakan bukti tertua kewujudan aliran Buddhisme Mahayana di Indonesia dan Asia Tenggara misalnya, mempunyai premis mengenai keselamatan makanan. Tertera pada permukaan batu bersurat tersebut mengenai hak setiap insan untuk mendapatkan akses kepada makanan secara berterusan dan mencukupi untuk menjamin kelangsungan hidup – salah satu elemen terutama dalam hak asasi manusia kontemporari. Kerajaan Melayu lama Pagar Ruyung pula, menerusi Batu Bersurat Pagar Ruyung, menekankan mengenai hak untuk hidup. [caption id="attachment_6374" align="aligncenter" width="225"] Fridge magnet Batu Bersurat Terengganu yang dijual di eBay[/caption] Kesimpulan yang dapat dibuat daripada penelaahan intipati batu-batu bersurat kerajaan Melayu Lama terbabit ialah: hak asasi manusia bukanlah sebuah konsep yang asing dalam alam Melayu. Hak asasi manusia merupakan konsep yang tidak pernah lekang dengan perdebatan dan kontroversi. Walaupun model hak asasi manusia kontemporari dikritik dan ditolak sesetengah pihak, adalah tidak dapat dinafikan bahawa nilai-nilai hak asasi manusia yang termaktub dalam model kontemporari ini adalah bersifat sejagat. Desakan untuk merubah atau menolak sebahagian daripada nilai dalam model kontemporari ini adalah sebuah perbuatan yang tidak melihat kepada sejarah, atau ahistorik. Menilik realiti politik antarabangsa pada masa kini, kebanyakan negara yang menolak untuk mengguna pakai sebilangan premis model kontemporari ini lazimnya adalah negara yang sarat dengan praktis pencabulan hak asasi manusia terutamanya dari segi politik dan sosial. Seringkali juga, hak asasi manusia diketepikan bagi mencapai matlamat politik menggunakan justifikasi keselamatan negara. Sudah tiba masanya untuk sebilangan negara untuk berhenti menolak hak asasi manusia kontemporari atas nama relativisme budaya dan agama sedangkan realitinya, perjuangan penegakan budaya dan agama hanyalah alasan untuk permainan politik kuasa.]]>