Pihak kami berhujah bahawa tindakan ke atas ajaran komuniti merupakan suatu penyalahgunaan dan bercanggah dengan hak asasi manusia selaku rakyat di sesuatu negara. Keutamaan sesuatu institusi ataupun organisasi perlu dipersoalkan dan perlu melalui suatu proses demokratik yang jelas dan melibatkan kesemua pihak yang terlibat. Suatu tindakan yang hanya berteraskan arahan pihak atasan yang kemungkinan besar digerakkan atas dasar politik seringkali bertindak tidak adil dan hanya mengambil kira perspektif majoriti yang telah menjadikan ajaran ataupun golongan minoriti sebagai kambing hitam bagi sesuatu masalah yang dihadapi oleh mereka. Kami mengutuk tindakan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan juga Polis Diraja Malaysia yang menyerbu sebuah rumah dikenali sebagai Hauzah Syiah di Ulu Tiram pada 30hb September yang lepas. Serbuan tersebut memangsakan 21 individu, termasuk warga Singapura dan turut merampas beberapa bahan berkaitan ajaran berkenaan termasuk buku ajaran Syiah, batu Karbala dan kain rentang berunsur Syiah. Begitu juga dengan insiden di Serdang di mana autoriti agama Selangor telah menangkap 200 individu rakyat Iraq yang menyambut hari Asyura, tetapi dilepaskan setelah mendapat tekanan daripada pihak penguasa di Iraq. Bulan lepas juga menjadi saksi kepada insiden bantahan komuniti Gombak yang dibimbing oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) terhadap kewujudan komuniti Ahmadiyyah di kawasan mereka. Dengan menggunakan istilah Qadiani (suatu istilah negatif yang diberikan kepada komuniti Ahmadiyyah) – mereka berhujah bahawa penduduk di kawasan tersebut mulai risau akan perkembangan ajaran yang difahami sebagai sesat dan menggesa Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Perbandaran Sepang dan juga pihak Polis untuk mengambil tindakan segera terhadap mereka. Kami mengutuk kaedah penyelesaian yang disyorkan PPIM kerana mereka cenderung berharap kepada pihak penguasa untuk melakukan tindakan drastik tanpa apa-apa penyelesaian asas kepada konflik yang sedang berlaku. Penggesaan terhadap pihak berkuasa tanpa melibatkan komuniti Ahmadiyyah sendiri hanya akan mengakibatkan konflik dan prejudis yang semakin menebal. Tindakan mengapi-apikan sentimen perbezaan fahaman hanya memburukkan lagi keadaan. Ketiga-tiga insiden yang berlaku ini merupakan bukti bahawa pihak penguasa tidak bersetuju dengan kewujudan mereka, malah menolak perkembangan ajaran mereka di rantau ini. Penguatkuasaan dan tindakan menindas ajaran komuniti minoriti hanya membuktikan bahawa mereka menitik beratkan suatu ajaran secara mutlak, tanpa memahami betapa kompleks perkembangan masyarakat dan produk budaya mereka termasuklah kepelbagaian ajaran itu sendiri. Kami tidak bersetuju dengan tindakan hegemoni institusi keagamaan yang memangsakan komuniti ajaran minoriti secara konsisten, tanpa bersikap sama terhadap pemimpin-pemimpin negara yang lebih memporak-perandakan keharmonian negara kita. Kesemua mangsa yang diambil tindakan, terdiri daripada golongan biasa dan bukannya mempunyai apa-apa keistimewaan yang mampu menggugat kesejahteraan ekonomi negara. Kewujudan mereka dapat difahami dari sudut pandang perkembangan sejarah dan juga konteks perkembangan ajaran komuniti minoriti di seluruh dunia. Tindakan menangkap, menahan dan menghalang aktiviti mereka hanya menunjukkan aspek kekuasaan sesuatu organisasi terhadap kewujudan mereka dan tidak menunjukkan rasa hormat kepada kehidupan mereka di rantau ini. Konteks keharmonian dalam masyarakat perlu difahami dalam kerangka yang lebih meluas dan tidak hanya menjadikan sesuatu komuniti yang dominan sebagai titik rujukan. Perdebatan teologi ataupun dasar-dasar agama perlu dijalankan secara terbuka bagi meningkatkan lagi pemahaman sesama komuniti ataupun ajaran yang berlainan. Walaubagaimanapun, hal yang sebaliknya berlaku malah komuniti minoriti terpaksa melangsungkan upacara ataupun ajaran mereka secara berahsia dengan ketakutan dan kerisauan yang membelenggu komuniti mereka. Ini disertakan lagi dengan tindakan yang menindas di negara-negara yang lain. Penindasan yang dilaksanakan dengan kerjasama pihak penguasa merupakan suatu dominasi terhadap pihak ajaran komuniti yang tidak dimasukkan sekali dalam identiti negara ataupun lingkungan komuniti bayangan yang telah ditetapkan. Komuniti hegemoni mempunyai batas-batas yang tertentu dan ini secara tidak langsung menjadikan komuniti minoriti dipinggirkan malah prejudis dan diskriminasi mulai diperkembangkan dan diperkukuhkan melalui aparatus-aparatus kerajaan yang menyokong tindakan untuk menindas mereka. Kekuatan para organisasi yang menolak kewujudan ajaran minoriti, tanpa percubaan untuk memahami dan menyelesaikan masalah yang wujud melalui proses demokrasi yang telus dan ikhlas, akan membuahkan rasa prasangka dan ketakutan yang dapat menjurus kepada tindakan ekstrem. Ini tidak hanya berlaku kepada pihak yang mendominasi, tetapi turut juga berlaku pada pihak yang bertentangan. Niat untuk menyelesaikan isu seperti keselamatan dan sebagainya tidak akan selesai tanpa melalui proses berdialog yang dapat meningkatkan lagi pemahaman sesama sendiri. Tanpa adanya proses berdialog yang kritis, kedua-dua pihak bertentangan akan mengambil tindakan yang reaksioner dan ekstrem. Lebih penting lagi, perlunya suatu usaha ataupun inisiatif bagi pihak yang terlibat untuk memahami sudut pandang yang lain mengenai sesuatu isu. Sebagai contoh, apakah isu perayaan hari Asyura oleh komuniti minoriti Syiah di Malaysia membawa impak yang negatif kepada keadaan sosio-ekonomi golongan Sunni di kawasan tersebut? Ataupun apakah hubung kaitan ritual komuniti Syiah dengan perang yang sedang berlaku di Syria? Apakah konflik yang sedang berlaku ini berteraskan agama dan perbezaan mazhab/ajaran, ataupun perbezaan dari penguasaan ekonomi semata-mata? Contoh persoalan-persoalan di atas perlu dijalankan oleh pihak-pihak yang menjalankan tugas tindakan ke atas komuniti ajaran di sesetiap negara. Pihak atasan bagi setiap institusi perlu mengambil kira sudut pandang yang berbeza tanpa rasa prejudis, seiring dengan inisiatif dialog yang perlu diadakan. Kami menuntut institusi agama (yang terdiri daripada rakyat sendiri dan bukannya pihak atasan yang mempunyai kepentingan tertentu) menjalankan suatu proses dialog dengan pihak-pihak ajaran komuniti agar suatu pemahaman dapat dipertingkatkan dan melalui perbincangan demokratik yang sesuai, sebuah tindakan yang berteraskan persetujuan di antara dua pihak dapat dilaksanakan dengan benar. Suatu kaedah yang inklusif perlu dibina dan dibincangkan, sebelum tindakan dilakukan terhadap komuniti ajaran minoriti di negara kita. Ini secara tidak langsung menjadikan suatu proses lebih demokratik dan melibatkan kesemua pihak. Akhir kata, ini juga pada akhirnya berkait rapat dengan tatanan sesuatu organisasi dan bagaimana ianya dijalankan. Hierarki sesuatu organisasi tanpa kebolehan bagi pihak pekerja untuk bersuara ataupun tanpa proses bagi pekerja untuk melibatkan diri secara penuh, akan mengakibatkan sesuatu organisasi dijalankan atas arahan orang atasan yang mempunyai aspirasi yang cenderung kepada pihak penguasa yang seringkali menindas golongan minoriti. Ini secara tidak langsung menyebabkan sesuatu institusi dipandang serong oleh masyarakat dan dilihat sebagai suatu organisasi yang tidak mewakili aspirasi masyarakat secara menyeluruh.]]>
Mending the Multicultural, Multireligious Malaysian Dream
by Yvonne Tan EVERY so often some spaces offer a glimpse into the utopian Malaysia that is free of the race and religion strife which