Ini bandar kita

Gelandangan bekerja Kenapa tak mampu beli rumah? Fikir sendiri lah. Ini bukan sains kejuruteraan DNA babi yang memerlukan satu negara memerah otak di Facebook selama berminggu-minggu. Gaji ciput, kerja berjam-jam. Gelandangan bukan tak bekerja, mereka bekerja. Cuma faham-faham lah, mereka bukan loyar, majistret. Gaji minima tak dipantau, ramai pekerja yang masih ditipu majikan, dan pendidikan tentang hak pekerja masih sangat rendah, lebih-lebih lagi dikalangan yang miskin dan tak berpelajaran ini. Yang tempatan pula perlu bersaing dengan pekerja asing lagi. Kemudian yang menerima upah mengikut kadar waktu bekerja yang terlalu pendek, mereka pun sama malang. Mudah menyuruh mereka melakukan dua, tiga pekerjaan dalam sehari (macam lah kita yang bercakap ni mampu), dan bukan tiada, ada yang melakukannya. Tapi mana ada majikan akan memberi kerja menurut kelapangan masa si pemohon kerja? Jadual kerja bukan mengikut suka hati si pemohon. Gelandangan dibenci Ini belum lagi kita sentuh tentang diskriminasi majikan kepada gelandangan. Majikan akan memilih calon yang beralamat tetap, dan sudah tentu yang tampak pun kemas ketika temuduga (sesuatu yang bukan mudah dilakukan untuk orang yang tidak bertempat tinggal). Dalam banyak-banyak nama, si gelandangan akan jadi calon pilihan terakhir. Dan biasanya ada satu stigma yang melekat pada gelandangan ini bila mereka memohon kerja, mereka akan dipukul tabur sebagai ada masalah dadah, rekod jenayah, tidak boleh dipercayai, pencuri dan sebagainya. Dan memang ada yang pernah ada masalah dadah pun, yang itu lagi payah. Masalah pengangkutan, kesihatan, kecacatan fizikal, komunikasi (susah tak ada telefon!), rekod pekerjaan (kebanyakan gelandangan punya rekod tidak berpekerjaan atau punya tempoh tidak bekerja yang panjang selepas pekerjaan terakhir, mereka ini pun mudah jadi mangsa diskriminasi) juga menjadi faktor susah mendapat pekerjaan. Usaha ketara Yang pasti, bukan semua mereka malas. Masing-masing berusaha. Cuma mereka perlukan kasih sayang dan dorongan, perhatian dan bimbingan. Ramai mereka yang terpisah dengan atau dibuang keluarga, yatim, tidak berpendidikan tinggi, dipinggir dari masyarakat, membuatkan moral mereka jatuh. Mereka bukan ada penyokong macam kita yang ada anak isteri atau suami, kawan-kawan yang positif, pakar motivasi di Tv dan buku-buku bina sahsiah diri dan personality. Dunia di jalanan sangat berbeza dengan dunia kelas menengah dan tinggi. Maka di sinilah wujudnya gerakan-gerakan dapur jalan dan memperkasakan miskin bandar. Di sinilah peranan mereka. Satu, meringankan beban kewangan si miskin dan kedua menyokong mereka dari segi didikan dan moral. Tanpa gerakan-gerakan ini, jalanan itu benar-benar seperti neraka dunia. Soup kitchen, tapi sampai bila? Ketika tulisan ini dikarang, perang besar-besaran sedang dilaung-laungkan menentang fakir miskin dan gelandangan, juga ‘soup kitchens’ bandar Kuala Lumpur. Usaha-usaha sedang dilakukan untuk menyorok gelandangan di bawah permaidani merah bandar, entah sempena menuggu kehadiran siapa. Sejarah akan mencatatkan, para pembuat kebajikan yang biasanya dilihat sebagai penyantun dan penyayang akan bangkit melawan perintah Pak Menteri dan terus keluar seperti biasa memperkasakan golongan miskin yang tertindas dek perniagaan tanah bandar, dan pemerdagangan golongan pekerja. Pak Man, yang sedar tidak sedar apa yang sedang berlaku di sekelilingnya, terus didorong cita-citanya mahu memperbaiki kehidupan sendiri. Terus membayangkan pokok-pokok dan anak-anak ayam yang akan membesar di lamanya, dan terus tersenyum dengan telatah anak-anak muda aktivis yang kini sudah menjadi kawan-kawan baiknya, atau anak-anaknya. Dan di saat aku menulis ini juga, seorang ibu tunggal dalam lingkukan 30an baru sampai dari Ipoh, menjejak kaki di Kuala Lumpur buat pertama kalinya untuk bekerja di kota menara kembar malam tadi. Di sebalik riuh tetamu soup kitchen, dia menjengketkan kaki mencapai tinggiku, meninggikan suara dan berkata padaku “Beri sedikit masa, saya akan dapat kerja, nanti saya juga mahu tolong awak tolong orang” dalam pelat yang aku tak tahu nak kata Cina kah, Melayukah atau India. “Hiduplah kamu kaum wanita.” bisikku sendiri.         unnamed

]]>