Belasungkawa MH17

Watan Mungkin sebahagian besar mereka juga adalah pelancong dari bahagian sebelah sana dunia yang mendengar tentang keindahan Langkawi, kesejukan Pangkor, keriuhan Kuala Lumpur, ketinggian Kinabalu, dan kelazatan hidangan di pulau mutiara. Kami juga di Projek Dialog berasa sedih kerana terdapat penumpang MH17 adalah saintis dan aktivis kesihatan terkemuka yang berjuang untuk isu-isu kemanusiaan. Semua mereka yang terkorban itu adalah watan, atau tetamu kita walau untuk sekejap. Projek Dialog berharap kepimpinan negara akan menunjukkan ketokohannya dalam hari-hari rancu, rusuh, kacau dan gelap ini. Kami berharap supaya keadilan dapat ditegakkan. Pesawat MH17 tidak hilang secara misteri, tetapi ditembak jatuh dan merupakan satu pembunuhan di angkasa yang amat keji. Malaysia juga termasuk Tragedi ini juga menunjukkan Malaysia, kita seluruhnya, terdedah dan tidak terkecuali dari apa pun konflik di dunia ini secara global. Peperangan mengorbankan nyawa orang yang tidak bersalah. Atas nama cinta dan kasih sayang, insiden ini membuktikan perbalahan ternyata mengambil orang yang tidak perlu. Krisis yang jauh dari negara boleh sahaja menimpa kita secara di luar duga. Kami menuntut supaya kepimpinan negara bertegas seluruh kudrat yang ada untuk membawa perkara ini ke tengah. Sebagai sebuah nusa yang sudah dipersenda di mata dunia, Malaysia perlu mengorak ke hadapan dan menjadi kuasa di barisan hadapan untuk menuntut kebenaran. Sebagai negara yang kecil Malaysia tidak lagi harus dikucil dari segi maklumat dan alamat. Malaysia mesti bersungguh mendapatkan keadilan dan membersih citra di mata dunia. Kalian akan diingati Sesungguhnya ini adalah hari malang dan amat duka buat seluruh rakyat Malaysia. Kami di Projek Dialog menyeru supaya seluruh rakyat Malaysia tidak kira apa agama, bangsa dan kepercayaan supaya bersatu dan melihat ke hadapan sambil menjadikan tragedi ini suatu bekal. Mereka yang membawa nama baik Malaysia di hadapan dunia ini adalah anak-anak nusa pelbagai warna, ras dan keyakinan. Terdapat Melayu, India, Tionghua, Sikh dan mecakupi pelbagai lapis umur. Kami ingin sekali memberitahu kalian, dan semua, hari ini Malaysia mengerti. Ini adalah titik permulaan untuk kita mendengar satu sama lain; mendengar dan memahami. Bukan sahaja sekadar mendengar untuk menjawab. Sesungguhnya Malaysia adalah sebuah nusa yang hebat dan penuh kekayaan cerita dan peradaban. Hari ini Malaysia akan berhenti untuk berperibadi rendah, meninggalkan tengkar dan balah dan melakukan apa yang kalian lakukan; gigih, tabah dan berani. Buat penumpang-penumpang dan krew pesawat MH17, kalian akan diingati.

]]>