Projek Dialog

Fiqh Waqi’ bukan alasan untuk kezaliman

Keadilan Sebabnya jelas: keadilan merupakan perkara penting dalam kemaslahatan. Dan keadilan harus memerhati dan menjawab kepada realiti sesuatu keadaan. Jika tidak tercapai keadilan, maka itu bukan kehendak Syariah. Ibn al-Qayyim ada menyatakan bahawa, “syariah itu adalah keadilan Allah terhadap hambaNya, rahmatNya kepada kalangan makhlukNya, bayang-bayangNya do bumiNya.” Beliau juga berkata “apabila nyata tanda-tanda keadilan dan nyata jalan-jalan kearah tercapainya itu, maka dapatilah di sana ada Syariah dan agama Allah.” Memang benar bahawa ulama tidak sepakat dalam penghuraian makna keadilan.  Pemahaman-pemahaman yang ada memang pelbagai. Keadilan yang difahami sebagai meletakkan sesuatu pada tempatnya adalah kefahaman keadilan yang popular di kalangan sarjana Muslim. Di sana, terdapat perbahasan balik terhadap maksud kefahaman keadilan itu, seperti penjelasan Al-Qaradawi dalam satu temuramah beliau yang bertajuk Syariah wa hayah. Dalam temuramah tersebut, beliau ditanya tentang keadilan, lalu beliau menyatakan bahawa keadilan itu adalah memberikan hak kepada mereka yang berhak. Al-Qaradawi berpegang kepada satu hadis sahih dimana Nabi Muhammad SAW ada bersabda, “sesungguhnya pada jasad kamu itu ada hak, pada ahli keluarga kamu itu ada haknya, maka berikan hak kepada yang berhak” Penggunaan fiqh waqi’ adalah untuk menjayakan proses keadilan ini. Ia bertujuan untuk memastikan perlaksanaan itu berjaya memberikan hak kepada mereka yang berhak, tanpa melahirkan sebarang kerosakan. Tapak bagi bangunannya fiqh waqi’ adalah keadilan. Ia merupakan salah satu kaedah untuk menjayakan proses pemberian hak kepada yang berhak, bukan  sebaliknya. Larangan hak Namun ada sebilangan Muslim di Malaysia, yang mendakwa mereka sebagai golongan berilmu, menggunakan alasan fiqh waqi’ untuk menghalang hak orang bukan Islam di Malaysia dari bebas mengamalkan agama mereka. Dakwaan ini tidak lebih hanya mencandukan pemikiran orang awam agar penghujahan mereka kononnya dilihat benar. Hakikatnya, menjadikan fiqh waqi’ sebagai alasan untuk melarang orang bukan Islam dari bebas mengamalkan hak agama mereka, seperti penggunaan kalimah Allah adalah salah dari aturan dan ketetapan bagi fiqh waqi’. Lebih parah, dalam penggunaan kalimah Allah, pemberian hak penggunaan terhadap orang bukan Islam itu adalah pemberian Tuhan. Makanya dengan alasan fiqh waqi’ mereka menafikan hak pemberian itu merupakan proses menolak ketetapan Tuhan dengan menggunakan lebel agama. Lebih membawa kerosakan adalah, apabila ada di kalangan mereka golongan yang mencipta dan membangkitkan sentimen kebencian antara Muslim dan bukan-Muslim. Mereka menimbulkan dakwaan-dakwaan yang tidak benar disebalik pemberian kalimah Allah, kemudian mereka halang penggunaan itu dengan alasan fiqh waqi’. Mereka tidak menjanakan usaha untuk memahami konteks Kristian di Malaysia yang begitu rumit dengan cara yang ilmiah dan mendalam. Mereka rasa hanya cukup untuk memainkan sentimen agama.  Keluh kesah, cabaran dan kehendak masyarakat Kristian di sini langsung tidak dihiraukan. Jadi adakah hujah dan kesimpulan larangan mereka berdasarkan realiti di Malaysia? Apabila agama dimainkan Hakikat Islam itu adalah rahmat untuk sekalian alam. Islam datang untuk menghapuskan permusuhan, bukan sebagai pencetus kepada huru-hara. Islam juga hadir untuk memberikan hak bagi mereka yang berhak. Hak itu hendaklah diperlihara untuk, dan oleh, seseorang itu bagai tubuh badannya sendiri. Islam menganggap bahawa orang yang bekerja sepanjang masa tanpa diberikan rehat sebagai zalim terhadap badannya. Islam juga menjanjikan syurga kepada mereka yang memberi minum dan makan walaupun kepada seekor anjing sekalipun. Dari situ memang jelaslah Islam menganggap ia sebagai zalim, sudah pasti teramat zalim, jika ada penafian hak bagi masyarakat bukan Muslim di Malaysia, terutamanya dalam kehendak mereka beragama. Sudah pasti orang yang menyebarkab kebencian di kalangan manusia (antara Muslim dan bukan-Muslim; antara Melayu dengan bukan Melayu) adalah tindakan yang bercanggah dengan ajaran Islam. Lebih salah, apabila kezaliman yang dilakukan itu bersulamkan lebel-lebel agama.

]]>

Share your thoughts!

More Articles