Diterjemahkan oleh Zikri Rahman. Makalah asal dalam Bahasa Inggeris: http://www.truth-out.org/news/item/26538-can-civilization-survive-really-existing-capitalism-an-interview-with-noam-chomsky Berdekad lamanya, Noam Chomsky dimartabat sebagai intelektual cerdas yang tersohor (lapangan bahasa, falsafah serta kritik politik dan sosial) yang juga sosok penentang dasar luar Amerika yang terkemuka sedari zaman Perang Vietnam lagi. Chomsky yang kini sudahpun menerbitkan hampir seratus buah buku serta ribuan esei dan artikel,maka dikurniakan puluhan ijazah kehormatan oleh institusi akademik yang masyhur. Karyanya yang terbaru, Masters of Mankind: Essays and Lectures, 1969-2013, baru sahaja diterbitkan oleh Haymarket Books. Bersempena dengan terbitnya karya ini, Chomsky sudi diwawancara oleh C.J. Polychroniou untuk Truthout secara eksklusif dan meluas yang sebagiannya akan dipaparkan dalam The Sunday Eleftherotypia, sebuah suratkhabar utama di Greece. ISIS C.J. Polychroniou : Di ambang Ulangtahun Ke-13 serangan 11 September ke atas Amerika yang dipancarkan secara meluas di rangkaian televisyen negara, Obama mengumumkan kepada warga Amerika dan dunia bahawa Amerika akan kembali berperang di Iraq, kali ini berhadapan dengan mereka yang mengisytihar diri mereka, Islamic State of Iraq and Syria (ISIS). Adakah Iraq adalah sebuah hutang kerja yang tidak tertunai ketika kemasukan AS pada tahun 2003 ataupun ianya adalah hasil yang tak terelakkan dari agenda strategik sebuah empayar edan? Noam Chomsky: “Tak terelakkan” itu satu pendapat yang keras,tetapi yang jelas pemuka-pemuka ISIS dan penyebaran idea jihad yang radikal memekar hasil dari tindakan keras Washington terhadap warga negara Iraq yang masih lemah, yang terkesan teruk hasil dari sekatan AS-UK yang membebankan sehinggakan ada diplomat antarabangsa yang mewakili PBB meletak jawatan, ekoran dakwaannya bahawa ianya (sekatan) satu genosid. Graham Fuller, bekas pegawai CIA, merangkap seorang penganalisis Timur Tengah arus perdana, ada menulis yang,” Saya berpendapat bahawa Amerika Syarikat adalah yang menjadi tonggak utama ISIS. Amerika Syarikat tidak merancang pembentukan ISIS, tetapi campurtangannya yang membinasakan di Timur Tengah dan perang di Iraq adalah asas wujudnya ISIS.” Saya berpendapat, ada benarnya pendapatnya itu. Situasinya adalah satu bencana,ianya kesan langsung dari penjajahan. Yang lebih menggerunkan,hasil dari pencerobohan AS-UK adalah nyalaan konflik sektarian yang memporak-perandakan Iraq, tersebar ke rantau sekitarnya, yang pasti dahsyat akibatnya. C.J. Polychroniou : ISIS seakan-akan manifestasi sebuah pergerakan jihadis yang baru, dengan kecenderungan untuk melakukan keganasan dalam kegigihan misinya untuk memantapkan penubuhan Khalifah Islam, dengan keupayaan merekrut lebih ramai warga muda yang berpusat di Eropah, malahan hingga ke Australia, melangkaui kemampuan Al-Qaeda itu sendiri. Pada hemat anda, mengapakah kecenderungan ketaksuban berunsur keagamaan menjadi daya pemacu di sebalik kebanyakan gerakan Muslim di seluruh dunia? Noam Chomsky: Seperti Britain sebelumnya, Amerika juga mempunyai kecenderungan mendokong Islam Radikal dan menentang nasionalisme sekular, di mana kedua-dua negara empayar itu berpendapat yang ianya (nasionalisme sekular) lebih mengancam terhadap sasarannya untuk mendominasi dan mengawal. Saatnya pilihan untuk menjadi sekular digagalkan, seringkali yang mengisi lohongnya adalah ekstremisme agama. Tambahan pula, sekutu utama AS sejak sekian lama, Arab Saudi, sebuah negara Islam radikal yang juga pusat penyebaran doktrin ekstremis Wahabi / Salafi dengan menggunakan sumber minyak yang tidak terhad,menubuhkan banyak sekolah dan masjid,malahan menjadi sumber utama dalam mendanai gerakan Islamis radikal, seiring dengan negara-negara teluk – yang kesemuanya adalah negara sekutu Amerika. Diperhatikan, kecenderungan agama yang fanatik turut tersebar meluas juga di Barat, langsung menghakis demokrasi. US adalah contoh yang baik. Tidak banyak negara (Amerika Syarikat), di mana majoriti populasinya percaya bahawa Tuhan memandu proses evolusi, dan hampir sebahagiannya percaya bahawa dunia baru hanya tercipta hanya ribuan tahun dahulu. Dengan Parti Republikan yang semakin ekstrem mengikut telunjuk kuasa korporat dan kemewahan menjadikan mereka jauh dari tuntutan polisi awam yang tuntas, menjadikan mereka (kuasa korporat) yang akhirnya mempengaruhi polisi secara meluas. C.J. Polychroniou : Amerika sudahpun melakukan jenayah perang yang besar di Iraq, yang lebih memeranjatkan adalah keganasan terhadap warga awam, lebih-lebih lagi terhadap kanak-kanak dan warga rencam etnik dan komuniti agama. Dalam pada itu, Iraq di bawah era Saddam Hussein mempamerkan betapa stabil politiknya, apakah yang boleh ditekuni untuk pengajaran kita berkait suasana runcing di belahan dunia sebelah itu? Noam Chomsky : Pengajaran paling asas adalah kebijakan untuk memperakui norma ketamadunan dan perundangan antarabangsa. Akibat yang tertimpa hasil jenayah keganasan yang dilakukan negara-negara penyangak persis US dan UK adalah tidak terjangka, yang pasti usah terkejut jika meneliti apa yang mampu mereka lakukan. C.J. Polychroniou : ISIS yang berpengkalan di Syria diserang AS tanpa persetujuan dan kolaborasi regim Syria di bawah Bashar al-Assad adalah menyanggahi perundangan antarabangsa, dakwa Damascus, Moscow dan Tehran sejak sebelum pengeboman berlaku lagi. Ada pun begitu, bukankah kehancuran ISIS di Syria justeru akan mengukuhkan lagi regim Syria? Atau regim Assad lebih waspada perihal nasibnya kelak? Noam Chomsky : Regim Assad tampaknya memilih untuk berdiam diri dalam hal ini. Contohnya, mereka tidak merayu kepada Jawatankuasa Keselamatan PBB untuk membatalkan serangan, yang tanpa kemusykilan menyanggahi Piagam PBB, iaitu asas perundangan moden antarabangsa (dan bagi mereka yang peduli, yang juga sebahagian dari “Perundangan Tertinggi” di US, di bawah Perlembagaannya). Bagi regim Assad yang terkutuk, mereka beranggapan seperti warga dunia lain menganggap bahawa; serangan US terhadap ISIS akan melemahkan musuh utama mereka. C.J. Polychroniou : Selain dari negara-negara Barat, negara-negara Arab turut menyatakan dokongan dengan bantuan ketenteraan serangan AS ke atas ISIS di Iraq dan Syria. Dalam soal ini, adakah ianya mempamerkan fundamentalisme Islam (sebagai contoh, Arab Saudi) terhadap bentuk fundamentalisme Islam yang lainnya (ISIS)? Noam Chomsky : Seperti yang dilaporkan New York Times, dokongan ini berlaku suam-suam kuku sahaja. Regim (Arab Saudi) pastinya gentar akan ISIS, tetapi yang nyata mereka (ISIS) terus-terusan mendapat dokongan kewangan dari penderma yang kaya dari Arab Saudi dan Emiriyah, dan seperti yang saya nyatakan, akar ideologikalnya adalah pada ektremisme Islam warga Saudi yang radikal yang tidak terbendung. GAZA C.J. Polychroniou : Kehidupan di Gaza kembali seperti sediakala selepas Hamas dan Israel mempersetujui gencatan senjata. Berapa lama kali ini? Noam Chomsky : Saya enggan menggunakan terma “sediakala”. Pencerobohan baru-baru ini lebih dahsyat dari yang sebelumnya, kesannya sangat membinasakan. Pemerintahan diktator tentera Mesir, yang tanpa segan silu anti Hamas, menambah akan derita tragedi. Apakah yang akan terjadi seterusnya? Seakan-akan ada satu corak semenjak persetujuan pertama yang dicapai antara Israel dan pihak berkuasa Palestin sedari November 2005 lagi. Seringkali ianya termaktub (dalam perjanjian) begini,”satu laluan antara Gaza dan Mesir melalui Rafah untuk pengeksportan barangan dan transit warga, operasi berterusan di laluan antara Israel dan Gaza untuk import / eksport barangan, dan juga transit warga, pengurangan halangan untuk pergerakan dalam linkungan Tebing Barat, konvoi bas dan trak antara Tebing Barat dan Gaza, pembinaan pelabuhan di Gaza, (dan juga) pembukaan semula lapangan terbang di Gaza” yang akhirnya pengeboman oleh Israel merampas segalanya. Persetujuan (dalam siri Perjanjian Pelan Damai) yang dicapai untuk kali yang seterusnya adalah pelbagai tetapi mengekalkan tema yang serupa, termasuk yang paling terkini,juga sama. Setiap kali, Israel akan mengkhianati dengan Hamas akur mematuhi perjanjian sehinggalah ketegangan di pihak Israel memaksa Hamas untuk bertindak-balas, sekaligus memberi Israel peluang untuk “sapu bersih” hak warga Palestin. Tempoh “bertenang” yang sementara membenarkan Israel untuk menjalankan polisi merampas apa yang bernilai di Tebing Barat, justeru meninggalkan warga Palestin sehelai-sepinggang. Semuanya, pastinya, dengan dokongan US : ketenteraan, ekonomi, diplomatik dan ideologikal, dengan merangka perspektif beriringan dengan kemahuan asas penubuhan Israel. Yang pasti, itulah tujuan Israel menarik diri dari Gaza pada tahun 2005 – sambil mengerahkan cemgkaman penjajahan, seperti yang diperakui dunia (kecuali Israel sendiri), malahan termasuk AS. Tujuan asal “menarik diri” ini ada digariskan oleh Dov Weissglass, rakan subahat Perdana Menteri Ariel Sharon. Beliau menyatakan kepada media bahawa “hasil signifikan dari pelan “menarik diri” adalah untuk membekukan proses damai. Dan jika kita membekukan proses damai, sekaligus ianya menghalang pengisytiharan negara Palestin, menghalang perbincangan tentang pelarian, sempadan dan Jerusalem. Secara efektif, agenda Negara Palestin, dan yang berkaitannya, dikeluarkan sepenuhnya dari agenda kami. Dan ini semuanya dengan izin Presiden AS dan sokongan perwakilan kongres. Dan corak ini diulang berulang-kali, dan nampaknya akan digubal kembali. Walaupun begitu, terdapat sesetengah komentator Israel yang arif menyarankan Israel untuk mengendurkan tekanan terhadap Palestin. Pengambilan tanah secara tidak sah di Tebing Barat (Termasuk Greater Jerusalem) berjalan sewenang-wenangnya tanpa ada usaha menyelesaikannya. Dan kini mereka mempunyai sekutu di dalam bentuk diktator ketenteraan Mesir yang sudi bekerjasama. Tambahan pula, kebangkitan ISIS dan rantau yang kian porak-peranda menambah-baik perselingkuhan dengan diktator Saudi dan mungkin mereka yang lain (Negara-negara Teluk). Barangkali, Israel tidak lagi menjalankan dasar penolakan (rejectionism), walaupun buat masa sekarang, ianya tidaklah begitu jelas. C.J. Polychroniou : Sentimen umum semakin membuak-buak membelakangi Israel selepas siri terbaru pembunuhan di Gaza. Pada tahap manakah dokongan tanpa syarat oleh AS terhadap Israel menyaingi faktor politik domestik mereka (AS) dan seperti yang termaktub di bawah syarat yang bagaimana untuk kita melihat peralihan polisi Washington terhadap Tel Aviv? Noam Chomsky : Terdapat beberapa faktor domestik yang kukuh. Salah satunya apa yang terjadi di ambang serangan Israel yang terkini. Dari satu sudut,sumber senjata Israel terlihat berkurangan, lantas Amerika dengan baik hatinya menyediakan senjata yang lebih canggih, justeru membantu serangan yang lebih dahsyat. Senjata-senjata ini diambil dari simpanan AS yang terletak di Israel, yang pada mulanya untuk digunakan tentera Amerika, ini antara perkaitan hubungan yang sangat rapat terjalin sekian lama. Interaksi perisikan juga terjalin lebih rapat. Israel yang juga sebuah rakan dagang AS yang diminati, bukan sahaja dalam ekonomi melibatkan ketenteraan yang canggih. Terdapat juga blok pengundi Kristian Evangelikal yang pro-Israel secara taksub. Dan para pelobi Israel yang efektif, yang sering membuka jalan – dan berunding bila berhadapan kuasa AS, ianya sesuatu yang tidak memeranjatkan. Walaupun begitu, terdapat peralihan sentimen yang mendadak, khususnya dalam kalangan warga muda, termasuk komuniti Yahudi. Yang saya sendiri alami, bahkan tidak terkecuali orang lain juga. Tidak lama dahulu, secara jujurnya saya sehingga memerlukan perlindungan pihak polis ketika bersyarah tentang hal ini di kolej dan kampus,malahan di universiti sendiri. Kini segalanya berubah. Hari ini, setiakawan dengan warga Palestine menjadi komitmen teras di banyak kampus. Perubahan ini mengambil masa panjang yang bergabung dengan banyak faktor lain yang akan mempengaruhi dasar AS. Ianya pernah terjadi sebelum ini. Tetapi ianya memerlukan satu usaha yang gigih. UKRAINE C.J. Polychroniou : Selain mengganggu-gugat dan membiarkan kuasa lain melakukan kerja kotor, apa sasaran dan objektif polisi AS di Ukraine? Noam Chomsky : Sejurus kejatuhan Tembok Berlin dan kejatuhan USSR, AS mula meluaskan pengaruhnya, yang turut melibatkan ahli-ahli NATO, terhadap rantau yang keluar dari pengaruh Rusia – mengkhianati janji yang dilakukan terhadap Gorbachev dengan menafikan protes darinya (Gorbachev). Pastinya, Ukraine adalah sasaran mudah AS seterusnya. C.J. Polychroniou : Adakah Rusia punyai sebab yang absah terhadap potensi Ukraine bergabung dengan NATO kelak? Noam Chomsky : Ya, ianya sebab yang absah untuk diberi perhatian, lebih-lebih lagi dasar perluasan NATO itu sendiri. Malahan ianya begitu jelas di mana artikel utama dalam isu terbaharu jurnal terkemuka, Foreign Affairs, oleh cendekiawan perhubungan antarabangsa, John Mearsheimer. Menurut pemerhatiannya, AS merupakan akar kepada krisis di Ukraine. C.J. Polychroniou : Merujuk kepada situasi terkini di Iraq, Syria, Libya, Nigeria, Ukraine, perairan China dan sebagian tempat di Eropah, komen terkini Zbigniew Brzezinski di MSNBC bahawa, “Kita berdepan satu dinamika yang menjabarluaskan ketidakstabilan di sebagian muka bumi” seakan tepat pada masanya. Pada takat mana perkembangan ini berkaitan langsung dengan keruntuhan daulah global serta pertimbangan kuasa yang wujud sejak era Perang Dingin? Noam Chomsky : AS mencapai kemuncak kuasanya pada tahun 1945 dan mengalami penurunan yang konsisten sedari itu. Terdapat banyak perubahan sejak beberapa tahun yang lalu. China bangkit sebagai sumber kuasa baru. Pada perkembangan lain, Amerika Latin meloloskan diri dari kawalan penjajahan (kawalan Amerika, sejak abad lepas) buat pertama kali selepas 500 tahun. Berkaitan dengan itu juga adalah kebangkitan blok BRICS (Brazil, Rusia, Indonesia, China, Afrika Selatan) dan Shanghai Cooperation Organization berpusat di China termasuk juga India, Pakistan, Asia Tengah dan lain-lain lagi. Tetapi AS tetap mengekalkan daulah yang mendominasi peringkat global. C.J. Polychroniou : Bulan lalu,ulangtahun ke-69 peristiwa pengeboman AS terhadap bandar Hiroshima dan Nagasaki di Jepun, tetapi pelucutan senjata nuklear masih tinggal khayalan. Dalam artikel anda yang lepas, ada dinyatakan bahawa kita patut bersyukur sehingga hari ini kerana masih dapat mengelakkan perang nuklear. Pada hemat anda, seterusnya, adalah tentang persoalan bila senjata nuklear akhirnya akan dimiliki kumpulan pengganas,bukan? Noam Chomsky : Senjata nuklear sudahpun dimiliki kumpulan pengganas : negara pengganas, AS adalah diantaranya. Besar kemungkinan yang senjata pemusnah besar-besaran turut kan terjatuh pada tangan “pengganas yang berdagang”, sekaligus pasti lebih besar bencananya. KAPITALISME C.J. Polychroniou : Sejak 1970-an, ekonomi paling canggih berubah menjadi kapitalisme bersifat pemangsa. Hasilnya, pendapatan dan jurang kekayaan semakin melebar, kemiskinan yang berakar-umbi, pengganguran kian melangit dan kualiti kehidupan jatuh merudum. Tambahan lagi, “kapitalisme yang terwujud” hari ini mengakibatkan kerosakan dan kemusnahan di mana, dengan populasi yang meningkat sekaligus kan menjurus kepada bencana yang tak terbendung. Adakah ketamadunan kan bertahan dalam suasana kapitalisme hari ini? Noam Chomsky : Pertamanya, biar saya mengungkap bahawa terma ” Kapitalisme yang terwujud” hari ini adalah asasnya kapitalisme. Amerika Syarikat adalah satu hal yang penting,untuk sebab yang jelas. Terma “kapitalisme” itu sendiri samar-samar untuk meliputi keseluruhan hal. Biasanya ia diungkap merujuk kepada sistem ekonomi US, yang menerima campurtangan yang luas oleh Negara, dari inovasi kreatif sehinggalah sebesar-besar hal pentadbiran seperti polisi insurans untuk bank, di mana ianya dimonopoli, sekaligus mengehadkan kebergantungan terhadap pasaran. Perlu diingatkan, bagaimana perubahan dari “Kapitalisme Yang Terwujud” dari apa yang diberi nama “Kapitalisme Pasar Bebas” itu. Sekadar mengingatkan beberapa contoh, sejak 20 tahun yang lepas, perkongsian keuntungan 200 perusahaan terbesar telahpun meningkat dengan mendadak, mendokong terus ciri-ciri oligopoli ekonomi AS. Ianya memberi kesan langsung terhadap pasaran, mengelakkan persaingan harga melalui perbezaan produk yang tidak bermakna melalui pengiklanan besar-besaran, di mana ianya digunakan untuk menjejaskan pasaran secara terangan-terangan, berdasarkan konsumer yang memilih secara rasional. Komputer dan internet, seiring keperluan asas yang memacu industri IT, hampir keseluruhannya dalam sektor dipacu Negara (R&D, subsid, jual-beli dan lain-lain) berdekad lamanya sebelum dipindah kepada perusahaan swasta untuk disesuaikan dengan pasaran komersil dan keuntungan. Polisi insurans pentadbiran yang menyediakan bank-bank besar dengan kelebihan yang luas, dianggarkan secara kasar oleh ahli ekonomi dan media bisnes bernilai sekitar $ 80 bilion setahun. Walaubagaimanapun, kajian terbaharu oleh Bank Dunia menyatakan bahawa “bank terbesar dunia bukanlah sesuatu yang menguntungkan” dan menambah “berbilion dollar yang dikatakan diterima oleh pemegang saham,hampir keseluruhannya dari duit cukai warga AS”. Sekaligus ianya memberi sokongan terhadap pemerhatian Martin Wolf dari London Financial Times yang mengujarkan bahawa “sektor kewangan yang tidak terkawal sedang meratah ekonomi moden yang berasaskan pasar dari dalam, seperti larva dari labah-labah yang memakan perumahnya di mana ianya dilahirkan. Secara tidak langsung, semua ini menerangkan tentang bencana ekonomi yang terzahir melalui Kapitalisme kontemporari yang dinyatakan di atas. “Kapitalisme Yang Terwujud” – secara radikalnya tidak bersesuaian dengan demokrasi. Pada pendapat saya,ianya mustahil untuk ketamadunan kan bertahan dalam kapitalisme yang wujud dan melemahnya demokrasi yang turut wujud di dalamnya. Apakah demokrasi yang berfungsi akan melakukan perubahan? Persoalan tentang suatu sistem yang tidak wujud lagi akan menjadi spekulatif tetapi ianya sesuatu yang bernilai yang perlu difikirkan. Dan Kapitalisme yang terwujud hari ini adalah ciptaan manusia, yang boleh diubah dan digubal. C.J. Polychroniou : Karya terbaru anda, Masters of Mankind, yang diterbitkan pada September oleh Haymarket Books, adalah kumpulan karangan ditulis antara 1969 dan 2013. Dunia berubah secara mendadak di antara dua tempoh masa ini, soalnya : Apakah cara anda memahami dunia turut berubah sepanjang masa, dan jika begitu, apakah peristiwa yang memangkin pandangan anda terhadap politik? Noam Chomsky : Kebijakan saya tentang dunia seringkali berubah sepanjang masa kerana saya menelusurinya dengan mempelajari masa lalu dan peristiwa yang berlangsung lagi ditokok-tambah oleh pandangan yang kritikal. Sukar untuk saya mengenalpasti satu-satu peristiwa atau warga (yang mengubah pandangan tentang politik). Ianya bercambah hasil proses berterusan dalam penilaian semula didokong maklumat baharu dan gesaan dalam mempelajari apa yang tidak saya fahami. Walaubagaimanapun, hierarki dan kuasa sewenang-wenangnya yang masih menjadi teras politik dunia kita pada hari ini adalah sumber segala kejahatan. C.J. Polychroniou : Dalam pertemuan kita yang lalu, saya ada mengutarakan kegusaran tentang spesis umat manusia. Anda membalasnya, “Saya berkongsi kegusaran, tetapi jangan pernah lupa sepotong ayat yang sering saya kongsikan dari Analects, tentang memberi definisi “mereka yang ditauladani” – adalah mereka yang bertekad : “Mereka yang terus-terusan mencuba, walau dirinya tahu tiada lagi daya harapan.” Apakah ianya sedahsyat itu? Noam Chomsky : Kita takkan pernah tahu. Apa yang kita tahu, adalah, sekali kita menyerah dan berputus asa, seringkali yang terburuk akhirnya kan terlaksana. Dan jika kita memasang tekad bahawa harapan masih ada dan bersungguh-sungguh melaksanakannya, pastikan wujud dunia yang lebih baik. Kita tidak lagi ada banyak pilihan lain.
]]>Babigate 2020
by Yvonne Tan We are no stranger to anxieties surrounding halal consumption practices and the danger of contamination making waves in the media with a