Rohingya di Mata Dunia – Reaksi Rakyat ASEAN Baru-baru ini tersebar luas isu “Boat People” atau pelarian bot di tengah-tengah lautan berdekatan negara Malaysia, Thai dan Indonesia. Ratusan pelarian Rohingya dan Bangladesh terperangkap di dalam bot oleh sindiket penyeludupan manusia di tengah-tengah laut tanpa makanan dan air minuman bersih. Malah, isu ini telah menjadi liputan berita utama tempatan dan antarabangsa, dan warga internet sibuk menjadi jaguh menegakkan hak asasi manusia. Pada masa yang sama, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu telah berkali-kali merayu ASEAN untuk bertindak. Di media, tersebar juga isu-isu kemanusiaan dimana terdapat ramai pelarian Rohingya dan Bangladesh yang mati kebuluran, yang terpaksa meminum air kencing sendiri, yang dihumbankan ke laut kerana sakit tenat, dan sebagainya. Terdapat juga gambar-gambar pelarian anak-anak kecil yang melaung menangis meminta pertolongan. Melihat keadaan tersebut, terdapat ramai rakyat Malaysia dan Indonesia yang telahpun mengadakan kempen dermaan untuk menolong pelarian tersebut. Malah, komuniti ASEAN juga saling bantu-membantu menyebarkan krisis kemanusiaan ini ke seluruh pelosok Asia Tenggara dan dunia. Di sini terlihatnya semangat kekitaan dan perpaduan ASEAN yang diwar-warkan oleh para pemimpin ASEAN. [caption id="attachment_4737" align="aligncenter" width="522"] Gambar: Stephanie Peray[/caption] Krisis Pemimpin Tepis Bola Ping Pong Sebaliknya, perkara yang berlainan pula berlaku dalam kepimpinan ASEAN di peringkat atasan. Para pelarian Rohingya dan Bangladesh ini dijadikan bola ping pong di antara negara-negara ASEAN; masing-masing bersikap tidak endah dan menepis krisis ini tanpa perikemanusiaan. Tidak kisahlah mereka ini sesaudara Muslim, harga nyawa mereka tidaklah sepenting isu Palestin-Israel yang menyebabkan sesetengah orang Islam memboikot McDonald’s dengan hangat-hangat tahi ayam; tidak kira jugalah mereka ini sesaudara Asia Tengara, walhal mereka berstatus pelarian politik dan bukannya pekerja migran seperti yang disalah-anggap oleh sesetengah pihak. Mereka lari ke sini bukan kerana ingin “mencuri” kerja warga tempatan, tetapi kerana kekejaman politik di Myamar terhadap minoriti Islam di daerah Rakhine. Di Myanmar, agama Buddha disalahgunakan menjadi ideologi negara bagi menghalalkan pembunuhan dan penyeksaan etnik Rohingya. Sepanjang pemerintahan Junta di Mynamar, mereka dikandangkan dalam kem-kem pelarian serta dikongkong melalui undang-undang diskriminasi seperti perkahwinan, hak beranak, kebebasan bergerak, status kewarganegaraan dan sebagainya. Perkara ini membawa saya kepada persoalan ASEAN yang kita masing-masing perlu bertanya: apakah agenda Komuniti ASEAN hanyalah suatu agenda geopolitik? Apakah isu kemanusiaan hanya dipandang berat jika ia sealiran dengan politik antarabangsa Malaysia dan ASEAN? Malaysia – Kepimpinan Dayus dalam ASEAN? Malaysia sebagai pengerusi Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini, Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak telah nekad menjadikan ASEAN sebagai Komuniti ASEAN yang kukuh dari segi politik, ekonomi dan sosial. Beliau juga memuji dasar ‘non-interference’ (tidak campur tangan) sebagai tunjang pencapaian ASEAN. Apa yang merisaukan, Myanmar telah mengancam ASEAN supaya tidak membincangkan isu Rohingya di Sidang Kemuncak ASEAN. Kita sering mengatakan bahawa kita berbeza dengan Kesatuan Eropah kerana kita mengikut cara ASEAN atau ‘ASEAN Way’ dan apa-apa isu akan dibincangkan bersama melalui konsep ‘ASEAN Centrality’. Kepentingan ASEAN diutamakan dalam kerjasama serantau dan pembinaan komuniti. Pada Sidang Kemucak ASEAN yang ke-26 baru-baru ini, Malaysia berkobar-kobar semangat untuk membentuk Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC), wawasan pasaran ASEAN yang disatukan, dan rancangan ASEAN Pasca-2015 untuk mencipta warga ASEAN yang berpendidikan dan berkemahiran tinggi serta menjana ekonomi ASEAN yang setaraf dengan negara Cina, Kesatuan Eropah, Amerika Syarikat dan Jepun. Sebaliknya, interaksi dengan masyarakat awam tentang isu-isu hak asasi manusia agak dangkal. Selain memperkenalkan “Anugerah Masyarakat ASEAN” (“ASEAN Peoples’ Award”) dalam ucapan Perdana Menteri Dato’ Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, tiada cadangan konkrit yang diutarakan bagi menangani isu pelarian politik Rohingya. Isu kemanusiaan diperlekehkan sebagai tidak penting dalam pembentukan AEC. Persoalannya, dimanakah kepentingan ASEAN dalam isu krisis kemanusiaan ini? Yang menghairankan, partisan politik Malaysia di kiri dan kanan sebulat suara bersetuju dengan tindakan kerajaan untuk tidak menerima pelarian politik Rohingya ke dalam Malaysia. Isu Rohingya ini bukanlah isu baru, jika di zaman Tunku Abdul Rahman dahulukala kita boleh bersuara lantang menolak “Apartheid” di Afrika Selatan, di mana pendirian Malaysia sekarang? Adakah isu Rohingya ini satu isu keselamatan politik? Ataupun kita terlalu daif dalam realiti ASEAN yang perlu kita tangani? Penyelesaian Sebenar Untuk ASEAN Saya tidak nafikan isu Rohingya ini perlu ditangani dengan hemah, terutamanya kerana ia melibatkan hubungan diplomatik serantau di antara Malaysia, Myanmar dan negara-negara ASEAN yang lain. Namun, ia hanya merugikan Malaysia dan ASEAN jika kita berdiam diri. Isu pelarian bot ini telah memalukan Malaysia di mata dunia, Malaysia dianggap gagal dan dayus dalam kedudukannya sebagai pengerusi ASEAN tahun ini. Langkah utama yang Malaysia perlu ambil adalah menegakkan pendirian negara kita, iaitu menawarkan hak kemanusiaan kepada pelarian politik tersebut seperti Filipina baru-baru ini yang mengambil tiga ribu pelarian bot Rohingya. Kes tentera laut Malaysia yang menghalang pelarian bot dari masuk ke perairan Malaysia adalah amat dikesali. Malaysia juga perlu meneliti dasar luar negara kita. Dengan cita-cita Komuniti ASEAN Pasca-2015, kita perlu bersedia mengukuhkan dan memperkembangkan institusi-institusi ASEAN bagi menangani isu-isu yang bersifat transnasional. Kini, sekretariat ASEAN mempunyai belanjawan tahunan yang amat daif berbanding dengan sekretariat Kesatuan Eropah, malahan kita tidak mempunyai mekanisma, pengetahuan mahupun sumber manusia yang sesuai untuk menangani krisis-krisis tersebut. ASEAN juga mempunyai hubungan antarabangsa yang terlalu polarisasi, perlunya lebih penyatuan agenda atau “shared agenda” dalam isu-isu yang bertindih atau “overlapping”, hal ini termasuklah menangani isu pelarian politik untuk jangka masa panjang. Semakin penting ASEAN di mata dunia, semakin ASEAN perlu mengenepikan dasar tidak campur tangan. Malaysia perlu menunjukkan semangat kepimpinannya dalam ASEAN dan menjadi orang tengah dalam isu politik dalaman Myanmar. Isu Rohingya ini rumit, ia bukan sahaja menyentuh isu diskriminasi etnik minoriti, tetapi juga struktur politik Myanmar yang majoriti penduduknya beragama Buddha. Isu ini mungkin tidak akan selesai dalam sekelip mata, namun ASEAN perlu menunjukkan bahawa ia sama sekali tidak dapat menerima diskriminasi dan penyeksaan yang dilakukan terhadap etnik Rohingya. Penyelesaian berbilang hala (multilateral) yang melibatkan kerjasama antara semua negara-negara ASEAN perlu diutamakan. [caption id="attachment_4734" align="aligncenter" width="461"] REUTERS/Junaidi Hanafiah (INDONESIA)[/caption] Realiti Kemanusiaan Malaysia & Warga Asingnya Yang paling penting sekali adalah rakyat Malaysia perlu berdepan dengan realiti masa depan Malaysia di Asia Tenggara. Negara Malaysia dibina oleh warga migran yang kebanyakannya diseludup masuk secara haram ataupun dijadikan kuli tanpa hak-hak pekerja. Sebahagian mereka adalah pelarian politik, dan ianya rahsia terbuka bahawa Malaysia tidak mengiktiraf status pelarian politik. Walaupun telah berdekad-dekad menetap di Malaysia dan beranak-pinak, mereka tidak diberikan status warganegara ataupun penduduk tetap (PR). Kita angkuh dengan status negara membangun dan hidup dalam keselesaan duniawi. Tiap-tiap hari kita menutup sebelah mata kepada warga migran dan pelarian politik di sekeliling kita. Mungkin sekarang kita sudah celik, mungkin kita terharu dan berlinang air mata lihat gambar anak-anak kecil Rohingya yang menangis menjerit meminta tolong. Sebagai rakyat Malaysia, amat penting sekali kita melihat isu sebenar atau gambaran besarnya (“the big picture”). Malaysia hanya akan diiktirafkan sebagai negara dunia pertama jika prinsip kemanusiaan kita seiring dengan pencapaian ekonomi. Geopolitik Malaysia mestilah ke arah prinsip serantau yang mengutamakan komuniti ASEAN sebangai tunjang pencapaian. Isu Rohingya adalah isu rakyat Malaysia juga, kerana kos kemanusiaannya akan memberi impak ekonomi negatif terhadap Malaysia. Selain itu, perkara serius yang kita perlu depani adalah isu pelarian politik. Kita tidak mampu berdiam diri tanpa menyuarakan pendirian Malaysia tentang menandatangani deklarasi pelarian politik di peringkat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu. Persoalan yang saya ingin rakyat Malaysia bertanya: Adakah negara Malaysia sudah matang dalam politiknya untuk menerima pelarian politik? Sampai bila lagi tentera laut Malaysia perlu mengawasi pelarian politik dan bukannya menjalani tugas sebenar mereka, iaitu menjaga keselamatan politik negara kita?
]]>